KINI, apabila kita makan angin ke Kuala Lumpur – sama ada berjalan kaki, berkenderaan awam, atau berkereta sendiri – kita dah ada tempat nak lepak atau dalam bahasa budak-budak sekarang, tempat nak ‘healing’.
Bagi peminat seni rupa, kita sudah ada pameran seni yang kekal di bangunan vintage yang telah diubahsuai dengan gabungan seni bina lama dan moden. Kalau dari McDonald simpang empat Bukit Bintang, jaraknya cuma 10 minit kalau berjalan kaki.
Bagi yang mencari-cari galeri seni atau muzium sebegini, sudah tentulah akan terjawab rasa ‘gian seni’ apabila dapat melawat sebuah muzium seni yang sedemikian rupa. Urban Museum atau singkatannya Ur-Mu ini adalah milik Dr. Tan Loke Mun.
Beliau memulakan dunia muzium seninya dengan membangunkan Ur-Mu di kawasan segi tiga emas Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Ur-Mu 2 pula di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur. Terletak di bangunan TOFFEE yang berada berdekatan dengan Muzium Telekom dengan ‘menghidangkan’ dua lantai yang sarat dengan karya-karya lokal.
Lantai pertama menempatkan karya-karya dari koleksi Dr Tan sendiri yang merupakan seorang arkitek tersohor. Manakala lantai kedua menempatkan koleksi istimewa Pakharuddin Sulaiman atau Pakha yang merupakan seorang peguam. Beliau ini ‘gila’ mengumpul karya-karya pelukis tanah air sebelum zaman Piyadasa sehinggalah kepada yang terkini dan lebih kontemporari.
Di Ur-Mu 2 ini sedang berlangsung pameran bertajuk TUBUH – koleksi peribadi Pakha yang terdiri daripada figura dan potret diri karya Jalaini Abu Hassan, Ahmad Zakii Anuar, Ahmad Fuad Osman, Amron Omar, Bayu Utomo Radjikin; arca karya Mad Anuar dan Raja Shahriman.
Setimpal jika dikenakan bayaran masuk serendah RM20.00.
Khabarnya Ur-Mu 3 bakal menyusul dan terletak di Jalan Tun HS Lee. Apabila siap nanti akan bertambah lagi ruang pameran seni.
Maka, akan ‘kenyanglah’ kita jika dapat melawat ketiga-tiga muzium ini dalam sehari.
Kenapa jadi Art Collector?
Negara kita ini sebenarnya tidak kurang dengan Art Collector yang tegar lagi hebat.
Aku berani berkata demikian kerana sudah terdedah kepada dunia seni rupa dengan ‘scene’ dan masyarakatnya lebih 20 tahun. Ada yang ‘surface’ – yang kita panggil kolektor ‘submarine’ – yang simpan terus untuk tatapan diri sendiri dan begitu juga yang sebaliknya.
Banyak alasan mengapa seseorang menjadi kolektor seni.
Antaranya kerana:
Cinta pada Seni. Mungkin dia sangat mengkagumi seni dan menemukan keindahan serta inspirasi dalam karya seni tersebut. Koleksi seni boleh menjadi cara untuk mengekspresikan cinta dan apresiasi terhadap seni.
Melabur – Bagi sesetengah orang, mengumpul karya seni boleh menjadi pelaburan yang baik. Karya seni yang bagus selalunya bernilai tinggi dan meningkat nilainya mengikut peredaran waktu.
Ekspresi Diri – Koleksi seni boleh mencerminkan keperibadian, minat, dan rujukan estetika diri seseorang. Ini boleh menjadi cara untuk mengekspresikan diri dan memperindah ruang hidup.
Menjalin Hubungan – Bergabung dalam komuniti kolektor seni boleh membuka kesempatan untuk bertemu dengan orang-orang dengan minat yang sama. Ini boleh menjadi cara untuk memperluaskan lingkaran sosial.
Menemukan Nilai Baru – Kadang-kadang, bila mengumpul seni membuka kesempatan untuk menemukan karya-karya yang kurang dikenali namun memiliki nilai artistik atau sejarah yang tinggi. Ini boleh menjadi pengalaman yang memuaskan untuk menemukan sesuatu yang istimewa dan jarang ditemui.
Alasan mereka menjadi seorang kolektor seni tegar mungkin berbeza dari yang disebutkan di atas atau bahkan kombinasi dari beberapa faktor tersebut. Yang penting, mereka dapat menikmati proses mengumpul seni dan mendapat kepuasan daripada koleksi mereka. Itu yang paling penting.
Namun, diingatkan bahawa alasan-alasan ini tidak selalu menjadi faktor utama dalam keputusan seseorang untuk menjadi kolektor seni. Banyak kolektor seni yang sejati didorong oleh cinta mereka pada seni itu sendiri, dan bukan semata-mata oleh dorongan untuk menunjukkan kekayaan atau status sosial.
Dulu mungkin hanya ada 30 Art Friends sahaja. Kini tidak lagi.
Aku berkata demikian kerana merujuk kepada sebuah buku tebal berkulit keras yang diterbitkan sedikit masa lalu – inisiatif kolektor-kolektor seni Malaysia dan Singapura.
Kolektor muda dan baharu semakin bertambah tetapi tidak dapat aku buktikan dalam bentuk statistik di sini. Faktanya, daripada kelibat yang mengunjungi pameran dan aktiviti seni di Lembah Klang – sudah selalu ada muka-muka baru, muda, dan berkedudukan hebat seperti peguam, doktor, arkitek, jurutera, ahli korporat, dan ahli perniagaan.
One Piece Club (OPC) – Malaysia Chapter sudah tertubuh selama 2 tahun dimana Bingley Sim dan Brendan Navin adalah penggeraknya, dan berjaya mengumpul kolektor muda dan baharu serta aktif mengadakan aktiviti-aktiviti seni seperti memperkenalkan ahli-ahlinya kepada galeri-galeri di sekitar Lembah Klang. Setakat ini mereka mempunyai seramai 200 orang ahli.
Mengajar, berkongsi, dan membimbing kolektor muda dan baharu adalah matlamat dan usaha yang amat disokong.
Gabungan OPC ini ada di beberapa negara jiran lain seperti di Singapura, Indonesia, dan Taiwan. Buku 30 Art Friends 1 dan 2 ini boleh didapati di toko-toko buku terkemuka.
Sebenarnya ada banyak penerbitan yang telah menghimpunkan koleksi masing-masing seperti Katalog Pameran IMCAS 2009 (Iskandar Malaysia Contemporary Art Show) – buku hitam, tebal, besar, lebih 300 muka surat ini sarat menghimpunkan Koleksi AFK – Malaysian Contemporary Art.
Buku (Koleksi Almarhum Zain Azhari) seperti Hati & Jiwa dan A Glimpse of Malaysia in 60 Artworks terbitan Galeri Z yang menghimpunkan karya-karya hebat dengan penulisan seni oleh Syed Mohd Hafiz dan Sarah Abu Bakar.
Buku ‘Jumping Jack Flash’ terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) memaparkan koleksi karya berbentuk arca dan instalasi oleh kolektor Dr U-Wei HajiSaari.
Seorang lagi kolektor muda, Nik M Fahmee, diam tak diam telah menerbitkan 3 buah buku. Butterflies in My Stomach, Ginger Biscuits dan Walking Back Home – Art and Stories yang menghimpunkan koleksinya sendiri dan koleksi rakan-rakan kolektornya.
Beberapa kolektor tegar yang lain seperti Rahimie Harun (Allahyarham) menerbitkan buku ‘Koleksi Saya’ mengiringi pamerannya di Balai Seni Negara pada tahun 2008 yang menghimpunkan koleksi karya seni pelukis tempatan dari tahun 70-an sehingga ke 80-an dan buku ‘From The Heart’ ketika Pameran Koleksi Tan Sri Khamil dan Azian turut diadakan di Balai Seni Negara. Begitu juga dengan koleksi Billy Too Hing Yeap dan isterinya, Yoong Sin Min yang telah dipamerkan di The Edge Gallerie Kuala Lumpur bertajuk ‘Selections from the Sin Min and Too Hing Yeap Collection’ serta dibukukan pada tahun 2014. Semua ini boleh dijadikan rujukan seni halus di Malaysia. Saya percaya ada lagi yang tak sempat dinyatakan di sini.
Hari ini, kolektor-kolektor seni sudah mula berani mendedahkan koleksi mereka. Bukan lagi seperti 20-30 tahun dahulu – di mana khazanah yang terbaik ini hanya tersimpan di dinding pejabat korporat atau di dinding rumah-rumah agam mereka untuk tatapan keluarga, teman-teman rapat, atau golongan elit sahaja. Kita yang marhaen ini telan air liur sahajalah kalau hendak melihatnya secara terus.
Membuka ruang pameran dan menerbitkannya dalam bentuk katalog atau buku – apa yang terdapat dalam koleksi peribadi adalah cara yang terbaik untuk khalayak umum, pelajar, dan pengkaji seni halus menikmati karya-karya tersebut dan sangat membantu dalam kerja-kerja rujukan seni.
Pameran kolektor seni yang boleh anda cari dan melawat sekarang:
Koleksi Dr. Tan Loke Mun – Ur-Mu 1, di Bukit Bintang & Ur-Mu2, TOFFEE di Jalan Hang Lekui, Kuala Lumpur.
Koleksi Pakharuddin Sulaiman – TUBUH di Ur-Mu 2, TOFFEE Jalan Hang Lekui, Kuala Lumpur.
Koleksi Dr. Steve Wong – Not Just In Black And White di GDP Campus, Bukit Damanasara, Kuala Lumpur.
Koleksi Bingley Sim & Ima Norbinsha – Hin Bus Depot, Georgetown, Pulau Pinang.
Koleksi Zain Azhari – Abstrac@on – Galeri Z di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
**********************
PISAU PALET – adalah seorang pengamal dan pengiat seni tegar sejak 1987
