Dalam dunia seni kontemporari, penggiat kreatif daripada pelbagai cabang kesenian, daripada seni visual, teater dan seni persembahan hinggalah muzik serta perfileman, beroperasi dalam persekitaran yang dibentuk oleh pelbagai norma sosial dan budaya.
Di sebalik kebebasan berkarya yang sering dijunjung, terdapat keadaan dan pertembungan dinamik yang lebih halus berlaku antara pegangan agama, adat tempatan dan tuntutan kehidupan profesional.
Pertembungan ini tidak semestinya hadir dalam bentuk penolakan atau penerimaan yang nyata.
Sebaliknya, ia sering berlangsung melalui penyesuaian kecil, pertimbangan praktikal dan kompromi yang paradoksikal, yang apabila diulang sekian lama, akhirnya menjadi sebahagian daripada kebiasaan yang jarang dipersoalkan secara mendalam.
Bagi penggiat seni Malaysia yang beragama Islam, keadaan ini membuka ruang perundingan yang berterusan antara apa yang diyakini dengan apa yang diamalkan.
Perundingan tersebut bukan sahaja berlaku dalam kehidupan sosial, ketika berhadapan dengan rakan seniman, pengiat seni, menghadiri majlis atau sewaktu membina jaringan profesional, tetapi turut meresap ke dalam proses penciptaan dan objek karya yang dihasilkan.
Dalam kedua-dua keadaan, seniman berhadapan dengan persoalan tentang kedudukan pegangan agama (peribadi) apabila berinteraksi dengan norma yang dibentuk oleh persekitaran kreatif.
Dalam sesetengah lingkungan seni, perlakuan yang mungkin dianggap janggal atau kurang sesuai dalam konteks tertentu boleh diterima sebagai sebahagian daripada kebiasaan sosial.
Interaksi fizikal antara lelaki dengan perempuan bukan mahram, misalnya, mungkin berlangsung secara spontan dalam pertemuan profesional, adegan lakonan atau acara sosial.
Perlakuan sedemikian tidak semestinya disertai niat untuk menolak pegangan agama. Namun, dalam persekitaran yang mengaitkan keterbukaan dengan kematangan sosial, persoalan tentang batas peribadi kadangkala beralih menjadi persoalan tentang kesesuaian seseorang untuk menyesuaikan diri.
Sesuatu yang pada mulanya memerlukan pertimbangan akhirnya boleh diterima sebagai perkara biasa, lebih-lebih lagi apabila ia dianggap ‘tidak membawa kemudaratan kepada sesiapa’.
Rasionalisasi bahawa sesuatu perlakuan itu sekadar tuntutan kerja, adat pergaulan atau tanda kemesraan profesional menyediakan ruang untuk perbezaan nilai diletakkan di tepi, sekurang-kurangnya buat sementara waktu.
Lama-kelamaan, perkara yang dahulunya mengundang pertimbangan mungkin tidak lagi memerlukan penjelasan.
Namun, persoalan yang sama turut muncul di hadapan kanvas, di dalam studio. Di pentas teater, di ‘set’ drama atau pada objek seni yang dipersembahkan kepada khalayak.
Jika dalam kehidupan sosial kompromi berlaku melalui perlakuan dan pergaulan, dalam penghasilan karya ia boleh hadir melalui pemilihan subjek, representasi tubuh, penggunaan simbol agama, pembentukan naratif atau keputusan artistik yang lain.
Hubungan antara pegangan peribadi dengan karya tidak semestinya mudah dibaca, kerana sesuatu karya yang mencabar norma tidak semestinya mencerminkan pendirian peribadi senimannya, sebagaimana identiti keagamaan seseorang tidak semestinya menentukan keseluruhan bahasa visual yang digunakannya.
Namun ‘niat’ sendiri tidak juga mampu menanggung wacana yang berasas – tidak ada seseorang yang berpengetahuan akan menerima gambar bogel wanita sebagai suatu bentuk pengajaran yang berguna untuk kesedaran atau pengetahuan.
Walau bagaimanapun, proses penciptaan tidak berlangsung dalam ruang yang sepenuhnya terasing daripada nilai, kepentingan dan jangkaan sosial.
Apa yang dianggap berani, progresif, relevan atau signifikan dalam seni turut dibentuk oleh lingkungan yang memberikan pengiktirafan kepada karya tersebut.
Maka, persoalannya bukan sekadar tentang apa yang boleh dilakukan atau dihasilkan atas nama seni, tetapi juga tentang bagaimana batas kebebasan itu difahami, dirundingkan dan, dalam keadaan tertentu, dilupakan.
Pascakolonialisme dan Warisan Matriks “Kemodenan”
Untuk memahami bagaimana sesetengah norma sosial dan artistik memperoleh kedudukan yang begitu lazim dalam dunia seni moden, kita perlu menelusuri warisan sejarah yang membentuk pemahaman tentang kemajuan dan kebebasan kreatif.
Pemerintahan kolonial melalui dasar dan perlaksaan pandang dunia mereka bukan sahaja meninggalkan sistem pentadbiran dan ekonomi, tetapi turut menyumbang kepada pembentukan hierarki epistemologi, iaitu kerangka yang menentukan bagaimana pengetahuan, kemodenan dan pencapaian budaya dinilai.
Dalam konteks pascakolonial, pengaruh tersebut tidak semestinya hadir melalui paksaan atau peniruan yang disengajakan. Ia boleh beroperasi secara lebih halus melalui institusi, pendidikan, wacana kritikan seni dan ukuran pengiktirafan yang diwarisi.
Falsafah sekular serta tradisi estetika Barat, misalnya, menjadi sebahagian daripada kerangka penting dalam perkembangan seni moden dan kontemporari.
Persoalan di sini bukanlah sama ada pengaruh tersebut perlu diterima atau ditolak secara mutlak, tetapi bagaimana ianya telah menjadi sebahagian dalam perlakuan yang telah diterapkan dalam konteks masyarakat yang mempunyai sejarah, tradisi dan pertimbangan moral tersendiri.
Antara warisan yang menarik untuk diperhatikan ialah gambaran seniman sebagai individu Bohemian atau Avant-garde, iaitu sosok yang bebas, individualistik dan bersedia melangkaui batas yang ditetapkan masyarakat.
Gambaran ini mempunyai sejarah yang panjang dalam perkembangan seni Eropah, khususnya melalui tradisi Romantik dan gerakan avant-garde. Dalam banyak keadaan, keberanian mencabar norma menjadi sebahagian daripada naratif tentang kebebasan artistik dan pembaharuan budaya.
Apabila gambaran tersebut beredar dalam ekosistem seni tempatan, ia tidak semestinya diterima secara keseluruhan. Namun, tanpa disedari, keberanian melanggar batas menjadi salah satu ukuran tidak rasmi bagi menentukan keterbukaan pemikiran dan perlakuan seseorang seniman.
Dalam keadaan tertentu, keupayaan menyesuaikan diri dengan norma sosial yang lebih liberal turut dibaca sebagai tanda kematangan dan kemodenan, sedangkan usaha mengekalkan batas tradisi mungkin dianggap sebagai pilihan peribadi yang kurang serasi dengan semangat zaman.
Di sinilah satu percanggahan yang halus mula terbentuk. Kebebasan artistik yang pada asalnya bertujuan membuka ruang kepada kepelbagaian pengalaman dan pemikiran akhirnya, dalam keadaan tertentu, melahirkan jangkaan baharu tentang bagaimana seseorang seniman seharusnya berfikir, bergaul dan berkarya.
Contohnya batas lama mungkin dipersoalkan, tetapi batas baharu yang terbentuk melalui budaya profesional pula tidak semestinya diperiksa dengan ketelitian yang sama.
Keadaan ini tidak bermaksud bahawa penggiat seni meninggalkan tradisi atau ajaran agama secara menyeluruh. Karya yang mengangkat nilai kesucian, pengajaran moral, warisan tempatan dan hubungan manusia dengan Tuhan masih mempunyai tempat dalam wayang seni tempatan.
Namun, pada masa yang sama, unsur tradisi juga boleh dipilih, ditafsirkan dan dipersembahkan mengikut keperluan artistik tertentu. Tradisi diraikan sebagai sumber identiti, sejarah dan estetika, sementara batas yang berkaitan dengan perlakuan atau pergaulan namun dirundingkan secara berbeza dalam kehidupan profesional.
Pemilihan sedemikian tidak semestinya menunjukkan ketidakjujuran.
Tradisi sememangnya ditafsirkan semula oleh setiap generasi. Namun, persoalan menjadi lebih menarik apabila unsur tradisi yang mudah diterjemahkan sebagai warisan visual diraikan dengan penuh keyakinan, sedangkan tuntutan yang lebih dekat dengan amalan harian memerlukan penyesuaian yang lebih rumit.
Dalam keadaan ini, warisan boleh hadir di atas kanvas sebagai tanda pengenalan, sementara hubungannya dengan kehidupan seniman di luar karya kekal sebagai persoalan yang lebih peribadi.
Situasi tersebut turut berkait dengan struktur pengiktirafan dalam dunia seni.
Pembiayaan, program residensi, jemputan kuratorial, penerbitan kritikan seni, liputan media dan jaringan profesional membentuk sebahagian daripada mekanisme yang menentukan keterlihatan seseorang seniman.
Norma dan kecenderungan institusi yang berpengaruh boleh mempengaruhi jenis karya yang mendapat perhatian, bahasa yang digunakan untuk membicarakannya dan bentuk penampilan profesional yang dianggap sesuai.
Dalam keadaan sedemikian, penyesuaian tidak semestinya dilakukan kerana seseorang bersetuju sepenuhnya dengan nilai yang dominan.
Ada kalanya, penyesuaian berlaku kerana tuntutan untuk terus bekerja, membina jaringan dan mengekalkan kedudukan dalam ekosistem profesional. Bahasa kebebasan, keterbukaan dan kemajuan boleh menjadi sebahagian daripada kosa kata bersama yang memudahkan seseorang memasuki lingkungan tertentu.
Pada masa yang sama, persoalan tentang nilai yang terpaksa diketepikan sepanjang proses tersebut mungkin kekal di luar perbincangan.
Hal ini menimbulkan satu persoalan yang lebih luas – apabila kemodenan menjadi ukuran penerimaan, sejauh manakah seseorang benar-benar bebas menentukan batasnya sendiri?
Pengkondisian Tingkah Laku: Pengukuhan Sosial dalam Subbudaya Kreatif
Tingkah laku manusia dibentuk melalui interaksi berulang dengan persekitaran, pengalaman dan tindak balas sosial. Sesuatu perlakuan yang pada awalnya terasa asing boleh menjadi kebiasaan apabila diterima secara berterusan oleh kelompok sekeliling.
Dalam hal ini, ekosistem kreatif bukan sekadar tempat karya dihasilkan dan dipamerkan, tetapi turut menjadi ruang sosial yang mempunyai bentuk ganjaran, penerimaan dan penolakan tersendiri.
Majlis pembukaan pameran, pertemuan selepas acara persembahan, budaya membina jaringan dan perhimpunan tidak formal menyediakan peluang untuk membina hubungan serta pertukaran idea dan pengaruh. Penglibatan dalam ruang tersebut boleh membawa kepada kerjasama, peluang projek, pembelian karya dan pengiktirafan rakan sejawat.
Dalam persekitaran yang mementingkan hubungan profesional, kebolehan menyesuaikan diri dengan kebiasaan sosial kelompok sering menjadi kelebihan yang sukar dipisahkan daripada perkembangan kerjaya.
Di sini, pengukuhan positif berlaku apabila sesuatu bentuk tingkah laku disambut dengan penerimaan, kemesraan atau peluang yang lebih luas. Sebaliknya, apabila seseorang memilih untuk mengehadkan interaksi tertentu atas pertimbangan agama, idelogi atau tabiat tertentu, keputusan tersebut mungkin menimbulkan rasa janggal atau disalahertikan sebagai sikap menjauhkan diri.
Namun memadai jika seseorang mula merasakan bahawa penetapan batas akan menyukarkan hubungan atau mengurangkan peluang untuk terlibat dalam aktiviti yang lebih terbuka, kompromi boleh berlaku secara beransur-ansur.
Batas yang pada mulanya ditetapkan dengan jelas mungkin dilonggarkan untuk memudahkan urusan kerja, mengelakkan salah faham dan niat atau menjaga hubungan profesional. Setiap keputusan mungkin kelihatan kecil dan munasabah apabila dinilai secara berasingan.
Apabila keputusan yang sama berulang dalam pelbagai keadaan, ia boleh membentuk satu corak penyesuaian yang akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada peningkatan perlakuan sosial yang sebahagaian ramai telah menerima.
Proses ini boleh dikaitkan dengan penyahpekaan (desensitisation), iaitu pengurangan tindak balas terhadap sesuatu perkara akibat pendedahan berulang.
Perlakuan yang pada mulanya menimbulkan persoalan moral mungkin tidak lagi mencetuskan reaksi yang sama apabila menjadi kebiasaan dalam persekitaran kerja.
Apa yang dahulu memerlukan pertimbangan kini mungkin dianggap sekadar sebahagian daripada cara dunia seni berfungsi bagi pengemudia dan pengkarya seni.
Kesan pengkondisian sosial ini tidak terhad kepada perlakuan peribadi. Ia juga boleh mempengaruhi cara seniman memahami proses penciptaan dan objek karya.
Apabila sesuatu pendekatan artistik sering diberikan pengiktirafan, ia berpotensi menjadi model yang diikuti atau ukuran tidak rasmi bagi menentukan karya yang dianggap relevan, contohnya lukisan ‘babi’, ‘wanita bogel’ dan sebagainya.
Sebaliknya, pendekatan yang tidak selari dengan kecenderungan dominan mungkin memerlukan penjelasan yang lebih panjang untuk mendapatkan perhatian yang sama kerana ia biasa tanpa kejutan.
Namun dalam kedua-dua keadaan, kebiasaan tidak semestinya lahir daripada keyakinan yang mendalam.
Ada kalanya, sesuatu diterima kerana ia memudahkan hubungan sosial atau pada waktu yang lain, ia dipilih kerana membuka ruang kepada pengiktirafan artistik.
Lama-kelamaan, perbezaan antara pilihan yang dibuat atas dasar keyakinan dengan pilihan yang terbentuk melalui penyesuaian mungkin semakin sukar dikenal pasti.
Antara Perlakuan dan Karya: Pemisahan Minda dan Kerangka Etika
Dalam fenomena perlakuan seni oleh masyarakat seninya, hubungan antara pegangan agama, perlakuan sosial dan amalan artistik tidak semestinya selalu bergerak dalam satu arah.
Seseorang seniman boleh menjaga batas pergaulan dalam kehidupan peribadi, tetapi menghasilkan karya yang mencabar norma masyarakat.
Sebaliknya, seseorang yang mengekalkan amalan ritual agama mungkin berhadapan dengan pertimbangan yang lebih rumit apabila tuntutan sosial dan profesional bertembung dengan pegangan peribadinya.
Dalam keadaan ini, karya tidak lagi dilihat dan dianggap sebagai gambaran langsung tentang akhlak atau kepercayaan senimannya atau mungkin dalam kepercayaan yang relatif corak pembacaanya.
Di sini objek seni mempunyai sejarah penghasilan, bahasa visual, konteks pameran dan kemungkinan tafsiran yang tidak semestinya sepadan dengan niat penciptanya.
Hal ini tidak bermaksud bahawa proses berkarya bebas sepenuhnya daripada persoalan etika. Keputusan tentang apa yang hendak dihasilkan, bagaimana sesuatu subjek diwakili dan mengapa pendekatan tertentu dipilih tetap boleh menjadi sebahagian daripada pertimbangan seniman.
Keupayaan seseorang mengekalkan amalan agama sambil berhadapan dengan tuntutan yang dirasakan bercanggah merupakan suatu disonansi kognitif (cognitive dissonance) dan pemisahan minda (compartmentalisation).
Dalam hal ini wujud suatu ketegangan terhadap kepercayaan, sikap atau tindakan seseorang yang tidak selaras antara satu sama lain dengan meletakkan aspek kehidupan yang berbeza dalam kategori mental yang berasingan.
Dalam konteks ini, amalan ritual agama mungkin dianggap sebagai tanggungjawab peribadi yang dipelihara secara khusus, manakala kehidupan profesional dilihat sebagai ruang yang tertakluk pada pertimbangan dan tuntutan yang berbeza.
Dalam ruang kerja, keputusan mungkin dibuat berdasarkan keperluan produksi, kerjasama, pertimbangan kuratorial atau matlamat artistik. Dalam proses penciptaan pula, sesuatu pilihan mungkin dipertahankan atas dasar kebebasan ekspresi atau keperluan konseptual karya.
Pemisahan ini boleh memudahkan seseorang bergerak antara pelbagai peranan dalam kehidupannya. Namun, ia juga berpotensi mewujudkan keadaan apabila persoalan etika hanya dipertimbangkan dalam konteks tertentu, sedangkan konteks yang lain dianggap perlu, malahan wajib.
Dalam keadaan ini sesuatu yang dinilai berdasarkan pegangan agama dalam kehidupan peribadi mungkin ditafsirkan semula apabila memasuki ruang profesional atau artistik.
Di sinilah rasionalisasi memainkan peranan. Perlakuan tertentu mungkin dianggap sebagai tuntutan kerja, manakala keputusan artistik pula dipertahankan sebagai keperluan ekspresi.
Dalam kedua-dua keadaan, penekanan terhadap niat, konteks dan kebebasan individu boleh menjadi cara untuk mengurangkan ketegangan antara kepercayaan dengan tindakan.
Rasionalisasi sedemikian tidak semestinya salah atau tidak tulen.
Seni memang memerlukan ruang untuk bereksperimen, mempersoalkan norma dan meneroka pengalaman yang kompleks. Begitu juga, kehidupan profesional memerlukan pertimbangan terhadap orang lain dan keadaan yang tidak sentiasa dapat dikawal.
Namun, kebebasan untuk membuat pilihan turut membuka ruang kepada persoalan tentang bagaimana pilihan itu dipertimbangkan dan dipertanggungjawabkan.
Persoalannya menjadi lebih halus apabila kebebasan artistik digunakan bukan sekadar untuk membuka kemungkinan baharu, tetapi juga sebagai jawapan yang menutup perbincangan.
Apabila sesuatu keputusan dianggap tidak lagi memerlukan penjelasan kerana ia dilakukan atas nama seni, ruang untuk meneliti hubungan antara niat, perlakuan dan kesan karya mungkin menjadi semakin sempit. Kebebasan yang sepatutnya memperluas kemungkinan pemikiran akhirnya berisiko menjadi alasan yang mengakhiri pertanyaan.
Pada masa yang sama, tidak semua seniman mengalami atau menyelesaikan ketegangan ini dengan cara yang sama. Ada yang merundingkan batasnya secara sedar, ada yang melihat tiada percanggahan antara amalan artistik dengan pegangan agama, dan ada juga yang memilih untuk mengekalkan pemisahan tertentu dalam kehidupan profesional.
Perbezaan ini penting kerana persoalannya disini bukan untuk menentukan tahap keimanan seseorang berdasarkan perlakuan atau karya, tetapi untuk memahami dan menelanjangkan fenomena bagaimana norma sosial dan artistik mempengaruhi cara seseorang membuat keputusan.
Suci dalam Debu
Hubungan antara agama dengan seni dalam kalangan penggiat kreatif Muslim di Malaysia tidak mudah diringkaskan sebagai pertentangan antara yang benar dengan yang salah, atau antara tradisi dengan kemodenan dalam realiti seperti apa yang berlaku sekarang.
Natijah kepada keadaan kini terbentuk hasil dari pelbagai persilangan sejarah, tekanan sosial, keperluan profesional dan pertimbangan peribadi yang sering bergerak secara serentak dan seakan-akan ‘semula jadi’ walaupun pada dasarnya ia adalah, sebahagiannya, suatu binaan manusia dan juga sebahagiannya ‘semula jadi’.
Percanggahan yang muncul ini tidak menghasilkan penolakan yang jelas. Kadangkala, ia diselesaikan melalui ‘kompromi’ yang dianggap kerdil, remeh, pada waktu yang lain, ia dibiarkan terbuka dan diterima sebagai sebahagian daripada kerumitan.
Di sini kompromi ini tidak semestinya selari antara perkara yang terlibat, tetapi pada mana-mana fasa memperlihatkan bagaimana pegangan peribadi berhadapan dengan pelbagai tuntutan yang datang daripada persekitaran.
Ekosistem kreatif ini mungkin tidak pernah meminta seseorang meninggalkan sejadah demi sebuah adegan berpegangan tangan dalam drama bersiri, atau mengetepikan kepercayaan peribadi demi sebuah karya yang hangat terjual.
Tuntutan sedemikian jarang hadir dalam bentuk arahan yang nyata lebih-lebih lagi sebagai suatu peraturan. Sebaliknya, ia sering muncul sebagai kebiasaan yang tidak harus dijelaskan, pilihan yang dianggap profesional, atau keputusan artistik yang seolah-olah telah memperoleh pembenaran dengan sendirinya.
Apabila sesuatu diterima secara meluas, keperluan untuk mempersoalkannya juga boleh semakin berkurangan dan tidak diminati dalam agenda keberlangsungan dan pembinaan dunia kesenian.
Namun, barangkali dari situlah letaknya persoalan yang lebih menarik. Bukan pada keupayaan seseorang untuk mengekalkan amalan agama secara baik sambil bergerak dalam dunia seni atau menjadi progresif terus menerus, tetapi pada cara kedua-duanya difahami dan dihubungkan dalam berlangsungnya kehidupan.
Adakah pemisahan antara pegangan, perlakuan dan karya merupakan satu keperluan untuk mengemudi dunia yang kompleks, atau adakah pemisahan itu kadangkala memudahkan kita mengelakkan pertanyaan yang tidak begitu selesa?
Kanvas dan sejadah mungkin berada di ruang yang berbeza, masing-masing dengan fungsi dan maknanya tersendiri dalam perwatakan seni di Malaysia.
Namun, kedua-duanya tetap berada dalam bumbung rumah yang sama. Apa yang dilakukan di satu ruang tidak semestinya terpisah sepenuhnya daripada apa yang diyakini di ruang yang lain, meskipun sempadan mental telah dibina untuk membezakan keduanya.
Mungkin yang perlu direnungkan bukanlah sama ada kanvas dan sejadah boleh diletakkan bersebelahan, tetapi sama ada kita masih bersedia memeriksa apa yang berlaku di antara keduanya.
Dr. Mohd Fuad Md Arif (Fuad Arif) merupakan seniman seni visual, ahli akademik dan juga Pensyarah Kanan di Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau aktif dalam bidang seni visual, penyelidikan, pameran, kuratorial dan penyeliaan akademik.
