SEBUAH buku lakaran di atas meja kerja. Sebatang pen bola mata hitam diam di tepinya, selari dengan tepi panjang buku yang dililit dengan dawai putih. Angin malam berhembus, cukup untuk menggerakkan beberapa arca gantung belum siap yang tergantung dari rangka besi bumbung. Aku melepaskan satu nguapan.
Ada bau wangi segar yang pernah aku tercium dari rumpun bunga telang yang bersiratan di besi pagar. Aku melihat buku lakaran dan pena mata bola di meja kerjaku. Aku melihat arca belum siap berayun. Aku tahu yang dia akan muncul sebentar lagi.
Ada debar di jantungku. Aku melihat ke rumpun bunga telang. Bau harum segar semakin kuat.
“Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakahtuh.”
Dia muncul, seperti biasa secara tiba-tiba dan masuk ke studio, berdiri berhadapan aku di meja kerja.
“Wa alaikummussalam wa rahmatullahi wa barakahtuh.”
Siapa dia ini?
Pada malam pertama kali dia datang/muncul, aku sungguh terkejut dan terasa mahu menjerit kehairanan atau ketakutan; tapi aku putuskan untuk tidak berbuat demikian; aku akan hadapi saja apa pun. Aku manusia, dia makhluk entah apa kalau tidak manusia.
“Jangan bimbang. Aku manusia biasa seperti kamu, tetapi aku tidak berjisim. Tidak perlulah aku bercerita panjang tentang itu. Kau sendiri pun tentu tahu yang terdapatnya berbagai jenis makhluk Allah S.W.T di dunia ini. Aku tahu yang kau ada titih dari keturunanku, maksudnya kita bersaudara. Aku juga seorang seniman-arca, justeru aku tahu benar akan fikir dan permasalahan mu.Jangan bimbang-bimbang lagi. Demi Allah, aku tidak akan mencederakan mu.”
Suasana sekeliling sunyi. Sudah lepas tengah malam, barangkali jam dua pagi.
“Dari mana saja kamu dinihari begini? Malam hari itu pun, masa-masa beginilah kamu muncul.”
“Di hujung jalan sana, ada rumah seorang bidan. Aku ditugaskan menghantarnya pulang setiap dia bertugas di kampongku di Bukit Puchong itu pada waktu-waktu begini. Semasa lalu ikut sini tadi, aku terlihat studio mu terang. Aku agak tentu kau ada di sini. Baik, apa khabarmu dan kenapa belum tidur lagi? Apa yang berlegar di kepalamu, saudaraku?”
Aku menyalakan tembakau di paip. Dia mengeluarkan bekas rokok lalu menggulung sebatang rokok untuk dirinya.
“Aku baik-baik saja. Sekarang masa yang agak kritikal, aku harus menyusun karya-karya ini untuk pameran. Kena buat pernyataan seniman dan menghantarnya ke galeri untuk diedit, dibubuh fotonya dan dicetak untuk katalog pameran. Ini tengah memikirkan hal inilah ni.”
“Baik. Berapa arcamu semuanya? Ada foto-fotonya? Sebahagiannya sudah aku tengok.”
Aku membuka galeri foto di Samsung tabs dan menunjukkan kepadanya.
“Arca semuanya ada sepuluh buah, lukisan ada tujuh puluh keping…”
Aku menghembus asap tembakau. Dia menyedut rokoknya.
“Ah, banyaknya lukisanmu!”
“Inilah masanya untuk aku pamerkan semuanya, lagi pun semuanya berkaitan, kau boleh tengok sendiri.”
“Ya. Begini, aku cadang kau fikirkan akan satu cerita. Lagipun semua arca dan lukisan mu ini figuratif sifatnya. Buat satu cerita dan benda-benda ini semua boleh kau jadikan watak untuk mengukuhkan cerita mu itu!”
“Apa cerita yang hendak ku buat?”
“Reka sajalah apa pun! Semuanya dari sini, bang.”
Jari telunjuknya ditunjukkan ke bahagian kepala. Dia menyedut rokoknya lagi. Dia tersenyum.
“Ah, takkanlah kau tidak tahu, tidak ada ilham. Aku sudah membaca kumpulan catatan-cerita mu, ‘Ditangkap Gergasi’ itu! Kalau buku serupa itu boleh kau tulis, tentu saja cerita untuk arca-arca dan lukisan mu ini senang saja jadinya! Kau tahu? Buku mu itu agak popular di kampungku! Nanti kau suruhlah penerbitmu cetak lagi dalam 500 buah. Aku sendiri boleh tolong menjualnya!”
Aku mengambil cubitan tembakau baru ke dapur paipku dan membakarnya. ‘Ditangkap Gergasi’ laris di kampungnya? Ah… Aku tersenyum.
“Bagaimana pula dengan perkembangan kerja kamu sendiri?”
“Seperti kamu, aku akan sibuk bermula minggu depan. Orang-orang di kampung di sempadan Gua Gelanggi hutan Pahang dan Johor sana telah bersetuju dengan reka bentuk arcaku, itu pun jenuh aku kena terangkankan konsep rekaannya. Mereka bimbang arcaku akan dianggap orang ramai sebagai berhala! Dan aku juga terpaksa mengubah sedikit reka bentuknya untuk tujuan itu. Minggu depan aku akan ke sana untuk memeriksa tapak selama dua tiga minggu. Nanti kalau aku jumpa apa-apa tongkol kayu yang baik, aku akan bawa pulang untuk mu. Eh, ambilkan aku segelas air masak. Terasa dahaga pula. Maaf, kalau menyusahkan kau saja.”
Aku masuk ke dalam rumah, mengambil sebotol air masak dari fridge dan dua biji gelas.
Manusia tidak berjisim? Makhluk jenis apa? Aku tidak tahu dan seperti katanya; tidak perlu untukku tahu lebih-lebih? Titih keturunan? Saudaraku? Ah… Aku menyalakan tembakau di dapur paip.
“Saudaraku, apa pun yang kita buat dan hasilkan, jangan sekali-kali meniru dari orang lain. Itu pesan Guruku, itu pantang seniman seperti kita ini. Kita boleh tengok dan ambil ilham saja, kita malah digalakkan untuk melihat seberapa banyak karya seni yang dibuat orang untuk mematangkan pengalaman visual kita. Maaf, kalau kamu tidak suka mendengarnya, tapi Guruku sendiri telah menyuruhku untuk memberitahumu. Katanya dia juga ada pertalian darah denganmu, walau mungkin sangat jauh. Dia berkirim salam kepadamu. Nanti senang-senang, selepas aku balik dari Gua Gelanggi ini, aku akan bawa kamu ke kampungku, bertemu Guruku, saudara kita itu. Mari. Aku gulung sebatang rokok sebelum meneruskan perjalananku. Fajar pun sebentar lagi akan menyinsing.”
Aku mencubit lagi tembakau dari dalam tin tembakauku.
Angin dingin bertiup. Arca-arca gantungku yang belum siap itu berayun. Aku buka buku lakaran, mengambil pena, membuka lembaran baru dan mengunjukkan kepadanya
“Lakarkan aku sesuatu, sebagai tanda pertemuan kita.” Dia tersenyum lalu meneguk air di gelas. Dia mengambil pena, mendirikan pena di permukaan kertas. Pena itu boleh berdiri! Dia melambai tangan kanannya sedang yang kiri mengambil mancis untuk menyalakan rokok di bibirnya. Di kertas, pena mata bola itu seperti menari-nari, dan, terupa sebuah gubahan abstrak yang memukau dengan kualiti garisan yang berbagai.
“Ini untukmu. Tidak perlu dilihat oleh orang lain.” Dia menutup buku lakaranku dan memberikan kepadaku. Aku mengambil, memilih lembaran lakaran yang ada, mengoyaknya dengan teliti lalu memberikan lakaranku itu kepadanya.
“Ini pula pemberian dariku. Semoga perjalananmu ke Gua Gelanggi itu lancar dan selamat adanya. Salam takzimku kepada Gurumu. Insya Allah. Ada rezeki dan jodoh pertemuan, bertemulah kita.”
Bunyi kokok ayam bergema dari kejauhan. Dia tersenyum dan kami berjabat tangan.
“Aku pulang dulu. Assalamualaikum wa rahmatullahi wabarakah tuh.” Dia berpaling dan bergerak ke arah rumpun daun telang di pagar.
*******************
TENGKU SABRI IBRAHIM merupakan seorang pelukis dan penulis. Cerita ini dihasilkan pada 2016 dan tidak pernah disiarkan dalam mana-mana penerbitan.
