“Dah tengok SeNadi SeNafas?’ tanya Sani kepada kami. “kena tengok,” tambah dia lagi dan kerana itu kami pun jadi bersemangat mahu ke pameran tersebut. Ini pameran dua seniman tersohor. Hasnol Jamal Saidon dan Raja Shahriman Raja Aziddin adalah nama besar. Lalu kami berkira-kira untuk datang pada hari perasmian pameran tersebut. Dan mungkin boleh berbual dengan dua seniman hebat tersebut.
Alas, kita merancang dan Tuhan juga merancang lalu perancangan Tuhan adalah yang Maha Benar. Kami tidak dapat hadir di acara pembukaan pameran tersebut kerana jadual yang bertingkah maka kami dahulukan lawatan kami ke Galeri Shah Alam seminggu lebih awal.
Sani di atas adalah Khairulsani Ismail, seorang artis yang semua pelukis dan kolektor kenal namun jarang mengadakan pameran di dalam negara kita. Dia adalah bekas pekerja Galeri Shah Alam dan lebih kerap berpameran di luar negara. Karya-karyanya berukuran sangat kecil namun dibeli orang (luar) dengan harga yang sangat besar. Mungkin kerana itu dia sedikit berlagak. Tambahan pula kini dia tampak segak bergaya dengan gigi palsu yang baru. Podah laa Sani.
Pertama-tama, kami merasakan ruang pameran yang ada di Galeri Shah Alam tidak memberi keadilan kepada karya-karya yang dipersembahkan. Karya-karya yang dibawa dari jauh oleh dua seniman tersebut seperti terhimpit dan sukar untuk bernafas.
Karya Hasnol misalnya, susunaturnya seperti dipaksa-paksa dan tidak memberi lapang kepada penonton untuk lebih menikmatinya. Mungkin karya-karya tersebut sengaja diatur sedemikian rupa untuk menggambarkan tema intim yang cuba dibawa olehnya namun kami tidak dapat benar-benar menghayati karya yang sepatutnya melankolik itu.

Selain susunatur, kami tidak akan bercakap mengenai karya Hasnol secara menyeluruh kerana kami menghormati buah fikiran yang selalu dibawa oleh seniman tersebut. Siapa yang boleh mempersoalkan apabila Hasnol dengan yakin mengatakan bahawa apa saja untung atau malang dapat dihitung melalui keindahan diri. Segala macam anugerah atau musibah menjadi mudah apabila mengenal diri. Atau sekurang-kurangnya itu yang kami diberi faham oleh Tuhan bila cuba menyelami hati budi seniman tersebut.
Dalam kata lain, Hasnol adalah seorang seniman dan seperti mana-mana seniman,dia agak penuh dengan dirinya sendiri.
Semua orang yang sudah melihat karya terbaru Raja Shahriman akan terpegun dengan kehandalan teknis seniman tersebut. Orang jadi mudah teruja tentang bagaimana Raja Shahriman boleh mengulung besi-besi yang diketahui keras itu mengikut kehendaknya.
Maka sepertimana layaknya mereka yang mudah masuk ke alam di sebalik mata, mereka, walaupun dalam nada berjenaka akan mengatakan yang Raja Shahriman ini ‘pakai jin’.
Keterujaan pada teknikal satu-satu karya sepatutnya terhapus apabila kita mahu memperkatakan karya-karya yang dihasilkan oleh seniman yang sudah lama membuktikan kepandaiannya dalam mengenal warna misalnya.

Setelah duduk bergelumang dengan warna atau bahan semasa masih mengaji maka setelah tahu karya-karya mereka sepatutnya pergi kepada satu daerah yang lain. Hal ini dapat dielak bila kita mahu namun keadaan sekeliling tidak membenarkan kita berbuat demikian.
Pergi saja ke mana-mana pameran dan kamu pasti akan pertama sekali bertanya bagaimana karya tersebut dihasilkan. Walhal ‘apa’ dan ‘bagaimana’ itu sudah lama selesai. Yakni sejurus sang seniman tamat apa juga kursus kesenian yang diladeninya suatu masa dulu.
Lalu setelah khatam ‘apa’ dan ‘bagaimana’ seniman seharusnya diraikan oleh ‘mengapanya’. Namun ini tidak berlaku dan mungkin juga tidak akan pernah berlaku. Mungkin diantara sebabnya adalah kerana kita suka untuk memadankan mana-mana karya dengan sofa yang ada di rumah kita.
Terlanjur bercakap, kami dapati ‘bagaimana’ yang dihasilkan oleh Hasnol melalui roh kucing-kucing adalah below-par. Ia tidak kelihatan dihasilkan oleh seorang seniman yang duduk di tempat Hasnol. Kucing-kucing yang katanya dibuat menggunakan pencetak 3 dimensi itu kelihatan seperti boleh dibeli dimana-mana kedai 2 ringgit.

Satu kejutan yang baik dari Raja Shahriman adalah bila dia dengan beraninya meletakkan harga yang tinggi untuk kumpulan karya terbarunya itu. Ini adalah satu perkembangan yang bijak. Sudah terlalu lama harga-harga karya yang dipamerkan duduk dalam kumpulan marhaen. Para kolektor mungkin tidak bersetuju namun jika sebuah karya itu dijual dengan harga RM5,000 misalnya. Setelah ditolak komisen dan modal bahan maka apa yang sebenarnya milik seniman adalah sekitar RM1,000.
Jika kamu setuju untuk menjual diri kamu dengan RM1,000, silakan namun jika kamu kuat bertahan, seniman dan kesenian tempat kita tentu akan berada di tempat yang lebih baik dari hari ini.
Sebagai bandingan, harga karya-karya seniman yang kita anggap hebat di negara ini secara kasar adalah sekitar RM30,000 ke RM40,000. Jika nilai ini ditukar kepada nilai dollar Amerika, ia adalah sekitar USD 7,000. Dan USD 7,000 adalah harga sebuah karya oleh seniman yang baru habis mengaji di negara berkenaan.
Tapi itulah, gaji asas graduan pun tidak pernah berubah sejak 20 tahun yang lalu.

Satu lagi kejutan yang mengujakan adalah apabila kami melihat Raja Shahriman bersilat melalui video-video yang lalu di internet. Kami tidak pernah kagum dengan lenggok seni mempertahankan diri seperti apa yang kami lihat diaksikan oleh pengarca tersebut. Dia yang selama ini kami kenal sebagai seorang yang amat berhemah bertukar menjadi seorang pendekar yang gagah.
Gerak langkahnya sangat meyakinkan dan kami jadi sedar bahawa sesungguh adalah benar bila kamu mengatakan yang silat adalah suatu seni yang indah. Terujanya kami melihat ketangkasan Raja Shahriman sehingga nyarislah kami percaya yang dia memang sebenarnya ‘pakai jin’.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang cepat merajuk.
