SAYA belum pernah pergi ke Morocco. Tetapi, setelah menghayati karya-karya catan Rafiee Abdul Ghani dan menulis beberapa buah buku dan esei mengenainya, saya merasakan yang saya seolah-olah sudah sampai ke sana.
Rafiee adalah seorang pelukis dan pengembara. Kesemua siri karya utamanya terhasil daripada pengalaman kembaranya: Siri “Rainbow Warrior” (Perjalanan ke Jerman, 2007), Siri “Perfumed Garden” (Perjalanan ke India, 2011-2012); Siri “Desert Rose” (Perjalanan ke Tunisia, Algeria dan Morocco, 2014); “Dusun Raja” (2014) perantauan di negaranya sendiri, khususnya di negeri Kelantan tempat dia dibesarkan; “Bumi Bertuah” (2023) merentasi kesemua kembara ini: suatu sintesis tentang perantauannya; “Arca Samudera” (2024) perihal kembara ke pelbagai pelosok dunia; dan pameran yang terbaharu di Galeri G13 pada Januari 2025 lalu, “Rafiee Ghani in Morocco” dengan jelas meraikan kepelbagaian warna Morocco.
Saya telah diundang oleh Rafiee sebagai penulis tamu untuk beberapa pameran solonya sejak tahun 1990-an lagi: “The Painted Garden” (Rusli Hashim Fine Art, 1996); “Dusun Raja” (Rusli Hashim Fine Art, 2014); “The Tale of Rafiee Ghani’s Moroccan Journey” (buku terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia dengan Visioncy, 2017); “Bumi Bertuah” (Galeri G13, 2023) dan “Arca Samudera” (Galeri PUTEH, 2024).

Dalam setiap buku dan pameran ini, Morocco tidak pernah terpisah daripada diri Rafiee. Ada semacam suatu magis mengenai masyarakat, budaya, landskap dan geografi Morocco yang memikat Rafiee, selain daripada keinginannya menjejaki perjalanan pelukis-pelukis besar ke Morocco yang memberi inspirasi kepadanya.
Undangan Rafiee untuk saya menyumbangkan satu esei dalam buku bagi pameran “The Painted Garden” (Rusli Hashim Fine Art, 1996) meninggalkan banyak kenangan, bukan hanya kerana ia merupakan penulisan terawal yang saya hasilkan mengenai beliau, tetapi juga mengenai kesungguhan Rafiee bersusah-payah dan memberi kepercayaan kepada saya untuk menulisnya sewaktu saya berada di United Kingdom.

Ketika itu, saya sedang menyambung pengajian ijazah kedoktoran di Centre for the Study of Cartoons and Caricatures di University of Kent, Canterbury di England (1994-1997). Apa yang lebih menyentuh perasaan dan jiwa saya ialah pada suatu hari pada tahun 1996, Rafiee dan isterinya muncul di hadapan rumah saya di Whitstable, bandar kecil di persisiran pantai di Kent, tempat tinggal saya sewaktu belajar di England itu semata-mata untuk menyampaikan buku The Painted Garden yang baru siap dicetak dan diterbitkan.
Itu merupakan antara kenangan manis sewaktu di sana di samping kenangan-kenangan sewaktu belajar Seni Halus di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka (AD), Institut Teknologi MARA (ITM) pada awal dekad 1980-an. Misalnya, ketika rombongan bersama-sama Rafiee dan pelajar-pelajar Seni Halus lain keluar melakar di kediaman Duta Perancis di Kuala Lumpur pada 2 September 1983 di bawah bimbingan pensyarah dan pelukis tersohor Dr. Choong Kam Kow.
Esei saya yang berjudul “A Stylistic Analysis of Rafiee’s Intimisme” dalam buku The Painted Garden itu mengupas karya-karya awal Rafiee yang menampilkan unsur-unsur intimisme yang kuat menerusi pengolahan warna dalam siri catan “Room of Flowers” (1993), “Oriental Afternoon” (1994) dan “The Painted Garden” (1996).

Karya-karya yang menggambarkan suasana dalaman seperti “The Blue Curtain” (1993), “Her Parasol” (1994) dan “Mid-day at Home” (1996) dengan penggunaan warna-warna yang terang dan panas seperti jingga, kuning, merah dan biru itu boleh dihubungkan dengan karya-karya pelukis aliran Fauvisme dan The Nabis yang bertapak di Paris pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Karya-karya Henri Matisse (1869-1954), Pierre Bonnard (1867-1947) dan Edouard Vuillard (1868-1940) yang menggunakan pengolahan warna-warna sedemikian banyak memberi inspirasi kepada Rafiee ketika itu.
Menyentuh karyanya “Oriental Afternoon” (101.6 x 91.4 cm, cat minyak atas kanvas, 1994), Rafiee menyebut, “Oriental Afternoon is more defined… I want the viewer to experience the pleasure of colours and the joy of manipulatimg it rather than pondering into the forms and shapes that they represent” (The Painted Garden, Rusli Hashim Fine Art, 1996: 43). Hal ini dengan jelas menunjukkan warna menjadi keutamaan Rafiee dan dia mahukan khalayak menikmati warna dengan sesungguhnya berbanding memikirkan bentuk atau rupa yang diwakilinya.

Karya-karya awal oleh Rafiee ini menggambarkan suasana ruang dalaman yang intim lagi tenang, juga diiringi subjek alam benda dengan objek-objek biasa dalam kehidupan seharian seperti sofa, kerusi, meja, jambangan bunga dan fabrik yang bersifat dekoratif dan penuh warna-warna imaginatif. Kesegaran dan kemeriahan warna amat terasa memungkinkan catan-catan ini kelihatannya mencerminkan jiwa dan perasaan yang riang dan hidup. Kesempatan berada di luar negara dan mengunjungi muzium-muzium seni besar sewaktu kembaranya telah memungkinkan Rafiee melihat dengan lebih dekat karya-karya catan Van Gogh, Gauguin dan Matisse yang dikaguminya.
Lebih daripada menghayati karya-karya penting pelukis ini, Rafiee berusaha memahami dan mendalami pemikiran dan pendekatan mereka. Misalnya perihal Henri Matisse yang berkunjung ke Morocco untuk memahami masyarakat, budaya, alam dan geografi negara itu dalam proses kreatifnya. Rafiee cuba menjejaki lokasi-lokasi yang mereka kunjungi bagi memahami apakah sebenarnya yang menyentuh hati dan kreativiti mereka tentang tempat-tempat ini: apakah masyarakat, budaya, seni bina, alam, warna, cahaya, landskap atau persekitaran secara umumnya?

Rentetan itu, Rafiee mengambil pendekatan yang sama, menjadikan kembara atau perantauan itu sebagai gerbang meluaskan horizon pemikiran dan daya kreativitinya. Rafiee pernah berkata, “Saya mengembara bukan untuk mencari mercu tanda, tetapi untuk melihat kehidupan, menemui manusia dan memahami tingkah laku dan budaya mereka. Perantauan adalah tentang manusia, bukan tentang tempat” (Rafiee Ghani, temubual bersama penulis, Ahad 30 Oktober 2022, 10.00 pagi, Studio Alam Budiman dalam Bumi Bertuah. Galeri G13, 2023: 4).
Justeru itu, dia mengembara ke segenap pelosok dunia. Sewaktu kembara di Tunisia, Algeria dan Morocco, Rafiee lebih suka bergerak secara solo dengan menyewa kereta dan menginap di hotel-hotel kecil sambil bergaul dengan masyarakat tempatan sekerap mungkin untuk memahami kehidupan dan kebudayaan mereka.

Dalam buku The Tale of Rafiee Ghani’s Moroccan Journey (ITBM dan Visioncy, 2017: 41-50), Rafiee mencatatkan pengalamannya ketika kembara ke Morocco dalam nukilan bab berjudul “Perjalanan Maghribi” yang ilustratif, memikat dan penuh dramatis.
Sementara itu, dalam siri kembara mutakhirnya, khalayak dapat menikmati liku-liku perantauan Rafiee yang sering kali dikongsikannya melalui gambar atau video yang dimuatnaik dalam laman Facebook dan Instagram miliknya. Kerap kali hantaran-hantaran atau foto dan video itu memaparkan keindahan landskap, seni bina, kesenian dan ragam budaya masyarakat yang dikunjunginya dengan penuh warna-warni. Meneliti gambar-gambar atau video-video ini memungkinkan kita memahami keterujaan dan pengalaman yang Rafiee kecapi sepanjang perantauannya, yang kemudiannya dicurahkan ke permukaan kanvas yang penuh warna.
Sebelum kembara ke Morocco, Rafiee telah banyak membaca tentang negara itu dan malahan, setelah mengunjunginya dia akan membaca lagi dan kembali ke lokasi untuk lebih memahami. Membaca membuatkan Rafiee bersedia mendepani sebarang kemungkinan sewaktu perantauannya, malahan untuk mengetahui dengan lebih dekat lokasi, seni bina ataupun masyarakat yang dikunjunginya.

Menerusi kembaranya ke Morocco, Rafiee cuba mencari jawapan mengapa pelukis-pelukis besar Peranchis seperti Delacroix, Matisse dan impresionis lain mengembara ke negara itu. Mereka mencari cahaya dan warna, cuba memahami manusia, kehidupan, kepercayaan dan budaya. Mereka mencari pengalaman artistik baharu melalui pertembungan langsung dengan budaya dan manusia yang asing daripada kehidupan dan budaya mereka.
Hal seperti ini yang memberi inspirasi kepada Rafiee untuk mengembara, untuk mengalami pengalaman artistik secara langsung dengan manusia dan masyarakat yang berbeza budaya daripada akar tradisinya. Berbeza daripada Matisse mahupun pelukis-pelukis Eropah yang lain, Rafiee berkongsi fahaman agama yang sama dengan banyak manusia yang ditemuinya di benua Afrika itu. Hal ini memungkinkan dia merasa lebih selesa, kerana perantauan itu juga sebenarnya tentang hubungan manusia dengan manusia, manusia dengan alam, dan manusia dengan Penciptanya.
Seperti banyak pelukis dan penulis besar sebelumnya, Tangier amat istimewa bagi Rafiee kerana keunikan dan tarikan budayanya, justeru menjadikan kota itu seperti rantau internasional: penting dari segi sejarah dan kebudayaan. Rafiee mengembara ke Morocco yang disifatkannya sebagai “cultural melting pot” itu pada tahun 1987, 2012, 2016, 2022 dan 2024. Menurut Rafiee, di Morocco kita menghayati cahaya, berwarna-warni, dengan keindahan budaya dan seni bina yang unik seperti suatu magis. Kita seperti mengejar cahaya: “chasing the light” dalam istilah fotografi katanya.

Menjejaki perjalanan pelukis-pelukis besar seperti Matisse di Tangier, Rafiee memahami tujuan mereka untuk mengejar cahaya: mencari dedahan cahaya yang lebih kuat dan mengalami secara langsung kehidupan dan budaya masyarakatnya. Rafiee duduk di tempat yang sama di mana pelukis-pelukis besar ini duduk suatu ketika dahulu dan cuba memahami apa yang mereka lakukan dan dia merasa bangga dapat melakukan sedemikian.
Meninjau kembali akan kecenderungan Rafiee ke Morocco dan benua Afrika berulang kali memberi gambaran tentang cintanya kepada pemandangan yang luas, langit yang biru, cahaya yang cerah, masyarakat yang ramah dan budaya Mediteranean yang unik. Perantauan itu memberi kesan kepada proses kreatifnya, sebagaimana dia pernah berkata:
“Saya rasa karya-karya saya menjadi lebih ekspresif dan secara perlahan-lahan bergerak kepada lebih abstrak. Meskipun kesan-kesan kaligrafi tidak begitu kuat, ia masih berstruktur. Ini juga hasil daripada penggunaan warna-warna “fauves” seperti jingga, merah dan biru yang lebih ketara. Saya rasa karya-karya saya kini lebih bebas” (Temubual bersama penulis, Isnin, 11 Julai 2016, 10.40 pagi, Studio Alam Budiman dalam Muliyadi Mahamood, The Tale of Rafiee Ghani’s Moroccan Journey, Kuala Lumpur: ITBM & Visioncy, 2017: 12).

Pernyataan inilah yang juga tercermin dalam karya-karya mutakhir Rafiee Ghani, khususnya dalam siri catan dalam pameran “Rafiee Ghani in Morocco” di Galeri G13 daripada 11 hingga 25 Januari 2025 yang baru lalu. Karya-karyanya itu bagaikan suatu perayaan warna-warni Morocco yang meriah, beralun, beritma, berulang-ulang, bertindan-tindih serta mengalir mesra.
Dari kaca mata Rafiee, Morocco adalah warna dan cahaya, justeru mengingatkan saya kepada pernyataannya pada awal tahun 1990-an, ketika berbicara mengenai karyanya “Oriental Afternoon:” “I want the viewer to experience the pleasure of colours and the joy of manipulatimg it rather than pondering into the forms and shapes that they represent.” Rafiee mahukan khalayak menikmati warna dengan sesungguhnya berbanding memikirkan bentuk atau rupa yang diwakilinya.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
