“It’s absence is present, it’s presence is absent.”
Yang ada seakan tiada, yang tiada seakan ada.
Petikan ini masih terngiang dalam fikiran, berulang suara narrator dalam video pendek yang saya tonton di Ilham Art Show 2025 baru-baru ini. Video dengan satu imej untuk setiap frame tersebut merupakan sebuah memoir–tribute seorang anak kepada ayahnya–yang digarap dengan lembut, penuh kenangan dan emosi yang telus. Saat baris itu diucapkan, saya terasa seolah-olah masa terhenti seketika; ruang layar menjadi cermin kepada rasa kehilangan yang kita semua pernah alami dalam bentuk berbeza.
Eddie Choo Wen Yi dengan karyanya Rewound Trading Legacies: Family Flashbacks yang berdurasi 15 minit sepertinya menjadi pembukaan kepada perjalanan pemeran seni ini yang berlangsung dari 2 November hingga 5 April 2026. Kepelbagaian bahasa yang dituturkan seperti Hakka, Kantonis, Mandarin, Melayu, Inggeris, Jerman dan Findland membalut kecantikan karya ini.
Apa yang paling menyentuh ialah bagaimana visual dalam filem ini disusun dengan penuh kejujuran–bersahaja, raw, dan tidak dipaksa. Tanpa tripod, tanpa arah sinematografi yang ketat, Eddie berjaya menangkap keindahan yang lahir daripada ketidaksempurnaan. Setiap getaran lensa, setiap perubahan cahaya yang tidak dirancang, semuanya terasa seperti sebahagian daripada perjalanan sebenar–bukan sekadar rakaman, tetapi dokumentasi perasaan.

Filem dalam bentuk memori tersebut tidak sekadar menceritakan tentang perpisahan antara seorang anak dan ayah, tetapi juga tentang bagaimana memori menjadi tempat tinggal bagi kasih yang sudah tiada. Setiap bingkai, setiap diam, dan setiap gema suara seolah menyampaikan bahawa kasih itu tidak pernah benar-benar hilang–ia hanya berpindah tempat, dari dunia nyata ke ruang hati.
Apa yang tinggal pada masyarakat yang sudah terbiasa melihat tetapi tidak lagi benar-benar memerhati? Kita hidup dalam dunia yang terlalu pantas–di mana skrin menggantikan pandangan mata, dan ‘perhatian’ menjadi mata wang paling mahal. Dalam keghairahan menatal, kita lupa bahawa seni tidak dicipta untuk dinikmati semata-mata, tetapi untuk mengganggu, menyoal, dan mendebatkan hal-hal yang kita lebih suka diamkan: sejarah, kuasa, identiti, dan kehilangan. Seni bukan hiburan–ia adalah bentuk pemikiran yang dijelmakan dalam warna, bentuk, dan bunyi.
Di sinilah ILHAM Art Show 2025 menuntut kita untuk berhenti sejenak. Pameran ini bukan sekadar dinding yang menampal karya; ia adalah ruang wacana, tempat seniman menolak batas, dan tempat kita sebagai masyarakat diuji–adakah kita masih mampu berfikir secara perlahan? Tanpa tema kuratorial yang mengawal, artis dan kolektif terpilih membawa kita menelusuri persoalan tentang masa, identiti, dan ingatan dengan cara yang berani, jujur, dan juga sebentuk provokasi.
Pameran ini menghimpunkan 20 suara seni kontemporari Malaysia yang terpilih daripada lebih 270 penyertaan terbuka. Setiap artis diberikan geran penghasilan karya untuk mencipta sesuatu yang baru, dengan kebebasan penuh untuk mengubah atau memperhalusi idea mereka sepanjang enam bulan proses. Antara artis yang terlibat ialah Afiza Abu Bakar, Dr Kendy Mitot, Eiffel Chong, Kim Ng, Marcos Kueh, Umar Sharif dan ramai lagi.
ILHAM Art Show, yang diperkenalkan pada tahun 2022, merupakan pameran triennial–satu-satunya inisiatif open call bagi galeri ini. Ia diwujudkan untuk menggalakkan inovasi, risiko, dan eksperimentasi–menjadikan pameran ini sebagai cerminan sebenar tentang ke mana arah seni Malaysia sedang bergerak.
Panel pemilihan terdiri daripada nama-nama penting di rantau ini: Gridthiya Gaweewong (Thailand), Sharmini Pereira (Sri Lanka), Wong Hoy Cheong (Malaysia), dan Rahel Joseph (ILHAM Gallery). Gabungan perspektif ini memastikan pilihan yang dibuat bukan sekadar berdasarkan teknik atau estetika, tetapi juga keberanian idea dan relevansi sosial.
Meskipun tiada tema khusus ditetapkan, karya-karya yang dipamerkan seolah-olah bernafas dalam irama yang sama, memantulkan gema perasaan dan fikiran masyarakat hari ini. Tema-tema yang muncul terasa tumbuh secara organik, seperti denyut bawah sedar yang dikongsi bersama. Antara idea yang berulang ialah tentang sejarah dan ingatan–bagaimana masa lalu dijadikan cermin untuk memahami masa kini serta bayangan masa depan. Turut terserlah ialah kerapuhan alam dan ekologi, yang mengajak penonton merenung hubungan manusia dengan dunia semula jadi yang semakin terancam.

Dalam masa yang sama, fluiditi identiti turut menjadi getar penting, memperlihatkan bagaimana sempadan bangsa, gender, dan budaya kini semakin cair dalam lanskap pasca-nasional. Begitu juga dengan tema perubahan sosial dan keluarga menyingkap sisi manusia yang rapuh–keterasingan, hubungan, dan kehilangan yang timbul dalam dunia yang serba pantas dan digital. Secara keseluruhan, pameran ini berfungsi seperti peta emosi sebuah negara, merakam bukan sahaja imej, tetapi juga denyut batin dan perasaan kolektif rakyatnya terhadap dunia yang terus berubah.
Antara karya yang menyentuh saya ialah Asuhan dan Dandanan oleh Umar Sharif, yang dengan begitu halus menggunakan objek tali pinggang sebagai simbol maskuliniti dan kuasa patriarki dalam masyarakat. Tali pinggang yang suatu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada uniform sekolah kini tampil sebagai refleksi kegelisahan–suatu renungan terhadap ketidakseimbangan gender dan diskriminasi terhadap perempuan yang terus menghantui ruang sosial kita.
Melalui dandanan (seperti bayangan rambut) yang kreatif dan menarik daripada seutas tali pinggang–objek yang lazimnya menandakan autoriti dan kawalan lelaki–Umar Sharif menyingkap paradoks antara keindahan dan penindasan, antara perhiasan dan pergelutan identiti. Pandangan mata terpaku oleh estetikanya, namun hati terusik oleh realiti yang belum berubah.
Without art, the crudeness of reality would make the world unbearable.- George Bernard Shaw
Kata-kata ini menggaungkan semangat karya Umar Sharif–bahawa seni bukan sekadar bentuk ekspresi, tetapi suara perubahan, satu naratif yang berani menyoal tatanan kuasa dan membuka ruang empati terhadap mereka yang terpinggir. Dalam konteks ini, Asuhan dan Dandanan menjadi lebih daripada sekadar karya visual; ia adalah manifesto kecil tentang keberanian dan kesedaran sosial.
Karya Ong Hieng Fuong berjudul Da Bo Gong Book turut menarik perhatian melalui olahan semula terhadap buku mimpi tradisional, yang berakar daripada memori zaman kecilnya di kampung halaman, Tanjung Sepat. Karya ini lahir daripada pemerhatian peribadi–kenangan melihat jiran-jiran yang begitu taksub menafsir mimpi dan memadankannya dengan nombor tertentu, seolah-olah dunia bawah sedar mampu menyingkap nasib dan harapan mereka.

Dengan pendekatan pop yang segar, Ong menyuntik nafas baharu kepada warisan budaya ini melalui lukisan yang lucu, warna yang berani, dan gaya visual yang trendy. Di sebalik jenakanya, tersembunyi sindiran halus terhadap masyarakat moden yang masih mencari makna dalam tafsiran dan kepercayaan lama.
Mimpi, bagi sesetengah orang mungkin tampak remeh–sekadar bayangan sementara–namun bagi mereka yang mempercayai tafsirannya, mimpi adalah cerminan harapan, ketakutan, dan keinginan yang paling jujur dalam diri manusia.
Karya And Here We Sit, In the Weight of Silence oleh Kimberley Boudville menampilkan sebuah imej meja makan lengkap dengan hidangan kegemaran keluarganya. Pada permukaan, ia tampak seperti lukisan intim mengenai makanan dan suasana santai, namun di sebalik itu tersimpan lapisan memori dan pengalaman peribadi artis. Meja makan di sini bukan sekadar objek–ia menjadi simbol keakraban, nostalgia, dan tempat di mana hubungan keluarga dibentuk dan dipelihara.

Tajuk karya itu sendiri ‘In the Weight of Silence’–menambah dimensi reflektif. Walaupun meja penuh dengan hidangan dan kehangatan visual, ‘keheningan’ menandakan perasaan yang lebih kompleks, mungkin tentang kehilangan, jarak emosi, atau perasaan introspektif yang sering hadir dalam ruang keluarga. Dengan kata lain, Kimberly mengajak penonton untuk merasai ketegangan antara kehadiran fizikal dan kehadiran emosional–antara ritual harian yang tampak biasa dan beratnya memori atau rasa sunyi yang tersembunyi di sebaliknya.
Dalam konteks seni kontemporari, karya ini boleh dibaca sebagai naratif personal yang juga universal: meja makan menjadi medium untuk meneroka hubungan, identiti, dan warisan budaya, sambil menyoal pengalaman individu terhadap ruang domestik dan kenangan keluarga. Ia mengingatkan bahawa apa yang tampak sederhana–hidangan kegemaran, meja makan, rutin harian–sebenarnya membawa cerita yang mendalam tentang hidup, keterikatan, dan kehilangan.
Salah satu elemen paling menarik dalam Pameran Seni ILHAM 2025 ialah penglibatan sekumpulan penulis seperti Azzad Diah, Ong Kar Jin, Zikri Rahman, Ellen Lee, dan Nuraishah Shafiq–yang ditugaskan menemu bual para artis dan menulis teks sebagai respons terhadap karya mereka. Di sinilah seni dan kata bertemu: satu membentuk imej, satu lagi membentuk makna. Kedua-duanya melengkapkan pengalaman penonton, memberi lapisan tambahan kepada apa yang dilihat dan dirasai.

Esei-esei ini dimuatkan dalam katalog pameran, membolehkan penonton bukan sahaja melihat karya seni secara visual, tetapi juga memahami idea, gagasan, dan emosi seniman di sebalik setiap karya. Pendekatan ini menjadikan pengalaman menonton lebih terarah, sambil merangsang inspirasi dan imaginasi secara tidak langsung. Ia amat berharga terutamanya untuk penggemar seni pemula, terutamanya generasi muda yang baru berjinak-jinak dengan dunia seni, kerana mereka dapat membaca dan merasai pemikiran artis secara jelas, menjadikan interaksi dengan karya lebih mendalam dan bermakna. Teks ini juga boleh dibaca (walaupun mungkin tidak sepenuhnya) di ruang yang menampilkan karya tersebut.
Apabila kita berdiri di hadapan karya-karya ini, kita bukan sahaja menghargai kreativiti artis, tetapi juga membuka ruang bagi refleksi diri dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap dunia. Seni, pada akhirnya, bukan sekadar hiburan; ia adalah dialog, renungan, dan kadang-kadang, panggilan untuk bertindak–sebuah peluang untuk memperluas empati, merasakan kehidupan orang lain, dan menyedari bahawa setiap detik yang kita luangkan untuk memahami dan menghargai, adalah momen yang membina kembali cara kita memandang dunia.
Dengan langkah yang perlahan di galeri, dengan pandangan yang terbuka, kita belajar bahawa menikmati seni adalah cara untuk mencintai kehidupan itu sendiri–untuk menghargai memori, emosi, dan keindahan yang kadang-kadang tersembunyi di sebalik rutin harian kita. ILHAM Art Show 2025 bukan sekadar pameran; ia adalah panggilan lembut untuk hadir sepenuhnya, melihat dengan mata hati, dan membiarkan seni mengubah cara kita berfikir dan merasa.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
