FILEM Zim Zim Ala Kazim arahan Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.2 juta selepas seminggu ditayangkan di pawagam di seluruh negara.
Biarpun asalnya disiapkan dalam format super tele untuk tayangan atas talian dengan kos yang rendah, Mawi berkata, keputusan menayangkan filem itu di pawagam adalah satu tindakan tepat dan berbaloi.
“Alhamdulillah, pertamanya saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini. Ternyata sambutan yang diterima sangat baik sehingga meraih kutipan yang tinggi di pawagam.
“Malah, komen yang diberi mereka yang sudah menonton sangat positif. Saya fikir ini antara faktor filem saya mendapat sambutan,” katanya.
Sebelum ini, Zim Zim Ala Kazim yang memaparkan kisah pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim berdepan gangguan sihir dan mistik mencatat kutipan RM1 juta selepas tiga hari ditayangkan di pawagam.
Mawi yang turut membintangi naskhah berkenaan berharap agar filem arahannya itu akan terus mendapat sambutan hangat di pawagam.
“Selain mengarah dan berlakon, saya bertindak sebagai penerbit dan pastinya harapan saya agar kutipan filem ini terus meningkat,” katanya lagi.
Selain Ustaz Kazim dan Mawi, filem terbitan Mawi World Entertainment Sdn Bhd itu menampilkan Rosnah Johari, Bell Ngasri, Anas Tahir, Man Raja Lawak, dan ramai lagi.
Zim Zim Ala Kazim mengisahkan sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal. Mereka kemudian menemukan sesuatu yang pelik dan mendapati Ustaz Kazim dalam bahaya, lantas mengambil keputusan menyelamatkannya.
Ia adalah sebuah filem yang sesuai ditonton seisi keluarga dan turut menyelitkan unsur komedi dan sindiran terhadap sikap masyarakat yang tidak senang dengan kejayaan orang disekeliling.
Filem ini mendedahkan sikap sesetengah pihak yang iri hati dengan kejayaan seseorang hingga sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk seperti sihir. Ia juga memperlihatkan, ada ketikanya orang yang rapat dengan kita seperti saudara sendiri, sanggup berbuat apa sahaja untuk melihat kita jatuh dań menderita.
Zim Zim Ala Kazim adalah filem kedua arahan dan terbitan Mawi yang ditayangkan di pawagam selepas filem Tiada Tajuk.
