FILEM Mencari Ramlee dijadualkan menemui penonton pada 19 Jun nanti selepas dua tahun pembikinannya.
Mencari Ramlee merupakan filem sulung arahan Megat Sharizal yang amat meminati Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee.
Bercerita tentang minatnya terhadap P.Ramlee, Megat Sharizal memberitahu dia didedahkan kepada filem-filem Seniman Agung itu ketika dibesarkan oleh datuk dan neneknya.
“Untuk beberapa tahun sewaktu saya kecil, saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya.
“Mereka mempunyai koleksi hampir kesemua filem-filem Tan Sri P. Ramlee dalam bentuk VHS ataupun pita video. Jadi secara tidak langsung, itulah pendedahan pertama saya kepada filem,” katanya.

Mencari Ramlee mengisahkan tentang Zakaria, seorang peniru gaya (impersonator) P. Ramlee yang mempunyai masalah kewangan dan mempunyai kesukaran untuk mendapat kerja kerana populariti P. Ramlee yang sudah merudum ketika itu.
Zakaria juga mempunyai seorang adik iaitu Yasmin yang masih belajar di Universiti. Untuk menyara kehidupan mereka, Zakaria terpaksa berhutang dengan seorang gangster tempatan iaitu Yusuf.
Satu hari, Zakaria dibawa ke rumah Yusuf untuk menyelesaikan hutang-hutangnya, namun di situ dia bertemu kakak kepada Yusuf iaitu Zaiton. Zaiton yang menghidapi penyakit amnesia, berfikiran bahawa dia masih lagi hidup dalam tahun 50 an.
Zaiton menyangkakan bahawa Zakaria adalah P. Ramlee yang sebenar. Lalu Yusuf menggunakan peluang itu untuk membahagiakan kakaknya. Zakaria harus berlakon menjadi P.Ramlee dan segala hutang piutangnya langsai. Dengan berat hati, Zakaria bersetuju.

Filem ini menampilkan Tony Eusoff sebagai Zakaria, Sofia Jane sebagai Zaiton, Mimi Lana sebagai Yasmin dan di bantu oleh Megat Sharizal sebagai Yusuf. Ia juga menampilkan dua pelakon muda berbakat besar Han Zalini sebagai Salleh dan Abi Madyan sebagai Joned.
Selain dari itu, Mencari Ramlee juga mempunyai penampilan istimewa dari pelakon-pelakon ternama seperti Azhan Rani, Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Anas Ridzuan, Bront Palarae, Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah, Vanidah Imran dan ramai lagi.
Selain itu, Filem ini juga menampilkan Najua P. Ramlee yang merupakan cucu kepada seniman agung kita. Filem ini turut mendapat sentuhan musik dari Pitahati.

Filem yang diterbitkan oleh Playground Film Sdn Bhd ini mendapat sokongan dari Finas di dalam bentuk Dana Kandungan Digital (DKD) filem cereka. Filem ini juga merupakan salah sebuah filem yang menjadi pilihan rasmi di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam ataupun International Film Festival Rotterdam (IFFR).
Mencari Ramlee juga mendapat sokongan dari D’Ayu Pictures yang bertanggungjawab sebagai pengedar dan Bahagian pemasaran.
