DISEBABKAN satu babak yang cukup berkuasa, filem Indonesia Di Bawah Lindungan Ka’bah (Asrul Sani, 1977) yang saya tonton bersama arwah bapa di pawagam sekitar awal 1980-an terus ‘menganggu’ saya bertahun lamanya. Didakwa sebagai adaptasi novel karya Hamka (Abdul Malik Karim Amrullah), saya menjejaki naskahnya di perpustakaan ketika di sekolah menengah. Namun, setelah membacanya, saya merasa kecewa lagi hairan. Apa tidaknya, jalan cerita versi novel, yang berpusat kepada kisah cinta, begitu berbeza dengan versi seluloid. Lebih mendukacitakan, watak utamanya dan ‘babak berkuasa’ (yang disebutkan tadi) tidak terjelma sama sekali. Ketika pasca-persekolahan, barulah saya dimaklumkan (menerusi pembacaan) yang filem ini bukanlah sebuah adaptasi patuh. Selain itu, versi filem merujuk penulisan Hamka lain, Ayahku (1950), biografi ayahandanya, Dr. H. Abdul Karim Amrullah, seorang guru agama berpengaruh di Sumatera Barat yang dikenali sebagai Haji Rasul dalam kalangan para pelajarnya.
Di Indonesia, filem Di Bawah Lindungan Ka’bah inimenggunakan judul Para Perintis Kemerdekaan kerana Pilihan Raya Umum 1982 di Indonesia memberi tekanan kepada filem ini hingga judul asalnya (Di Bawah Lindungan Ka’bah) digesa untuk ditukarkan kerana imej kaabah menghiasi logo sebuah parti Islami (parti lawan Suharto) yang turut bertanding. Malah, kerana bimbang akan pengaruh politik, filem ini telah dihalang penayangannya di Jakarta sebelum PRU 1982. Sewaktu beredar dan ditayangkan di pawagam secara terhad di Malaysia pada awal 1980-an, filem ini menggunakan judul asal. Saya dapati yang Di Bawah Lindungan Ka’bah versi Asrul Sani ini – yang bagi saya adalah filem terbaik pengarahnya – agak underrated dalam pancakarya (canon) sinema Indonesia dan tidak dapat dipastikan sebabnya.

Asrul Sani ialah tokoh sastera, seni dan budaya Indonesia yang disegani. Dalam ranah sinema Indonesia, beliau muncul ketika era 1950-an bersama para perintis sinema nasional Indonesia seperti Usmar Ismail dan Djamaluddin Malik dan menulis lakonlayar pertamanya Lewat Djam Malam (1954). Beliau lebih terkenal sebagai penulis lakonlayar. Selain Lewat Djam Malam, lakonlayar beliau yang cukup dikenali dan diraikan adalah komedi romantik Kejarlah Daku Kau Kutangkap (1985) dan epik perang komedi Nagabonar (1987). Filem-filem arahannya mencakupi pelbagai genre dan pendekatan. Dari filem sejarah tentang revolusi, Pagar Kawat Berduri (1961) hinggalah ke satira comedian comedy, Ateng Mata Keranjang (1975). Selain Di Bawah Lindungan Ka’bah, beberapa filem beliau yang lain merepresentasikan masyarakat di Sumatera seperti Salah Asuhan (1972 – adaptasi novel Abdoel Moeis) dan Bulan di Atas Kuburan (1973 – diinspirasi dari puisi Malam Lebaran karya Sitor Situmorang).
Jika diteliti, sejumlah karya arahan atau tulisan beliau cenderung bertemakan keislaman dan kerohanian. Usaha terawal Asrul adalah Titian Serambut Dibelah Tujuh, arahan sulung beliau pada 1959 (dan dibikin semula pada tahun 1982 oleh Chaerul Umam berdasarkan lakonlayar yang sama) yang merupakan allusion kepada kisah Nabi Yusuf a.s. Pada tahun 1964, beliau mengarahkan Tauhid: Panggilan Tanah Suci tentang perjalanan transformatif para jemaah haji, sebuah projek yang dinaungi presiden Sukarno melalui Lesbumi, sebuah organisasi seni-budaya di bawah Nahdlatul Ulama, organisasi Islam terbesar Indonesia di mana Asrul juga adalah ahlinya. Antara lakonlayar beliau yang bernafaskan Islam pula adalah Al-Kautsar (1977) dan Nada dan Dakwah (1991) – kedua-duanya arahan Chaerul Umam yang disulami tema dakwah dalam konteks pembangunan (Malah, Nada dan Dakwah menjadi filem terbaik Rhoma Irama!). Selain itu, dua filem lain arahannya – Apa Yang Kau Cari, Palupi? (1969) yang menebal dengan sentuhan European art cinema meneroka persoalan eksistensialisme, dan Kemelut Hidup (1977), sebuah melodrama kepincangan keluarga adaptasi novel karya Ramadhan K.H. – masih disisipkan dimensi spiritual, apatah lagi kedua-dua filem ini diakhiri dengan lantunan azan secara signifikannya.
Filem-filem bertemakan keislaman (atau digelar ‘film islami’ atau ‘film religi’ di Indonesia) bukan sahaja menjadi fenomena budaya popular kontemporari (semenjak sambutan hebat Ayat-Ayat Cinta pada 2008), tetapi era Orde Baru sudah menyaksikan kelompok filem-filem sedemikian yang dilabel ‘filem dakwah.’ Ini termasuklah yang mengangkat kisah-kisah magis dan mistikal para wali dunia Jawa seperti siri filem-filem Sunan Kalijaga, puluhan muzikal dangdut Rhoma Irama (Perjuangan dan Doa, 1980; Satria Bergitar, 1984), dan kohort karya yang lebih kritis dan berpengisian (selain Di Bawah Lindungan Ka’bah) seperti Atheis (1974, adaptasi novel Achdiat Karta Mihardja) dan Titian Serambut Dibelah Tujuh (1982). Ternyata Di Bawah Lindungan Ka’bah versi Asrul Sani ini begitu jauh meninggalkan filem-filem islami kontemporari (seperti Surga Yang Tak Dirindukan, Air Mata di Ujung Sajadah) yang disuntik estetika dan semangat ‘sinetron’ serta penonjolan Islam secara kosmetik dan pengisian cerita yang agak utopia. Ini termasuk versi bikinan semulanya (2011) arahan Hanny Saputra yang, walaupun lebih setia adaptasinya, fokus kisahnya adalah cinta khayalan ala Hindustan.
Kisah Di Bawah Lindungan Ka’bah versi Asrul Sani ini mengambil tempat di Padang dan Padang Panjang, Sumatera Barat pada era 1920-an, era ketika penjajahan Belanda dan kemuncak gerakan komunisme. Fokus cerita versi Asrul ini adalah pada Halimah, wanita dari Padang yang dijatuhkan hukum nusyuz oleh seorang kadi yang menyokong tindakan si suami yang mengabaikan nafkah zahir-batin, tetapi enggan menceraikannya. Lalu Halimah mendapatkan bantuan Haji Wali, seorang pendakwah golongan modenis, serta pengusaha sekolah agama di mana para pelajarnya bergiat dalam gerakan anti-Belanda ‘bawah tanah’ – tidak kurang juga yang tertarik dengan komunisme. Haji Wali bersama para ulama dan pemimpin agama di Padang Panjang bermesyuarah untuk memutuskan status Halimah bersama suaminya. Namun, Halimah yang sudah terlalu kecewa merancang untuk murtad bagi melepas-bebaskan ikatan bersama si suami.
Watak Halimah adalah precursor kepada figura wanita lain dalam filem-filem sejarah dan separa-sejarah era Orde Baru dengan citra dan subjektiviti kewanitaan yang kental lagi kompleks: R.A. Kartini (1982), Roro Mendut (1982) dan Tjoet Nja’ Dhien (1988). Halimah digambarkan sebagai cekal lagi berani dalam memperjuangkan hak wanita, maka di sinilah lakonlayar Asrul berbeza dengan novel Hamka. Dua watak dari novel ini yang dikekalkan adalah Hamid dan Zainab – namun, Asrul memposisikan mereka sebagai watak sampingan sahaja yang banyak membantu perjuangan Halimah. Juga, filem ini tidak memerihalkan Hamid dan Zainab menemui ajal setelah mereka berpisah, seperti yang dipaparkan novel. Asrul turut secara longgarnya mengadaptasi secebis kisahan dari biografi ayahanda Hamka tadi dari satu seksyen (yang libatkan beberapa mukasurat saja), Nikah Si Kani, berkenaan Kani, seorang wanita yang ditindas dan dinafikan hak oleh suaminya. Isu-isu sebenar kendalian Haji Rasul di Padang Panjang mendapati wanita-wanita yang melalui kesulitan (seperti Kani) sering merancang untuk meninggalkan Islam.
Saya tertarik dengan beberapa sosok ‘ibu’ yang ditampilkan Asrul, idea yang mungkin sejajar dengan sistem matrilineal masyarakat Minangkabau yang mengambil garis keturunan dari sebelah ibu. Pertama, watak ibu Halimah yang sentiasa berada di belakang anaknya. Kedua, watak wanita (seorang penduduk kampung) yang mendodoikan bayinya dalam buaian yang disantuni Halimah. Diselitkan syot fantasi Halimah bermain dengan seorang kanak-kanak di sebuah landskap indah, setelah ditanyakan sama ada beliau pernah mempunyai anak. Ketiga, Ratu Belanda, dengan close-up terhadap lukisan potretnya yang tergantung di dinding mahkamah dalam beberapa babak, merupakan sosok ‘ibu’ kepada masyarakat Indonesia (yang dijajah ketika itu). Sosok-sosok ini adalah cerminan kepada Halimah dan disebabkan secara harfiahnya beliau belum menjadi seorang ibu, maka dapat dibaca, secara figuratifnya, yang Halimah adalah ‘ibu pertiwi’ in the making (dalam pembikinan) dalam proses pembinaan sebuah negara-bangsa.
Dalam konteks sejarah politik sebagai latar cerita, dipaparkan nasionalis Minangkabau yang tidak memisahkan Islam dengan gerakan politik dalam menyemai sentimen anti-Belanda dan memperjuangkan kemerdekaan – justeru membezakan Sumatera Barat dengan Jawa. Filem ini turut memuatkan peristiwa politik penting di Sumatera Barat seperti pemberontakan Komunis pada tahun 1927 yang dipatahkan pihak Belanda. Perjuangan Halimah membantu kaum wanita dengan hak dan pendidikan mereka menjadi semakin rumit kerana dihimpit konflik antara gerakan anti-kolonialisme para modenis Islam (Kaum Muda) dan golongan ulama tradisional (yang disenangi penjajah Belanda). Selain itu, para Kaum Muda berkonflik dengan rakan-rakan komunis mereka yang memilih serangan secara fizikal terhadap Belanda. Perspektif filem ini mengangkat nilai bawaan gerakan intelektual reformasi Islam (Kaum Muda). Contohnya, kes Halimah yang dimenangkan Haji Wali dan para ulama modenis memanfaatkan pendekatan ijtihad, yakni proses memutuskan sesuatu persoalan hukum syarak menerusi kemunasabahan penelitian dan tafsiran, dengan berbalik kepada sumber Al-Quran dan Hadis. Contoh lain, Fakhruddin menasihati Hamid tentang kepentingan belajar menulis dan menguasai bahasa ketika memperkenalkan Menara, majalah berorientasikan politik yang diusaha dan diterbitkan mereka.
‘Babak berkuasa’ yang saya nyatakan pada awal tadi melibatkan Halimah menuju ke masjid untuk membuat pengakuan keluar dari Islam, dengan orang-orang kampung melontarkan batu dan meludah ke wajahnya. Malah, detik-detik cemas dan tegang ini diselang-selikan secara bijak menerusi intercutting dengan babak Haji Wali sedang bersidang dengan para ulama lain bagi memutuskan kes Halimah – teknik yang menyarankan paralelisme. Selain itu, sandingan syot ini turut disemarakkan dan dicemaskan dengan bunyi paluan kompang sekumpulan pemuda di luar bangunan ruang pertemuan para ulama. Sewaktu tiba di dalam masjid untuk menafikan kewujudan Tuhan, tiba-tiba sesuatu yang luar biasa, mistikal lagi transendental berlaku ke atas diri Halimah. Sekuen yang dipengaruhi gaya formalis sinema Kesatuan Soviet era 1920-an ini berakhir dengan syot tukul mahkamah diketuk Haji Wali menandakan keputusan kes Halimah telah dicapai secara konsensus oleh mereka.

Dalam sekuen yang panjang di atas, terselit satu segmen yang luar biasa bila Halimah tiba di masjid yang dipersembahkan dalam bentuk montaj, yang dihiasi teknik animasi dan matte work. Pelbagai syot wajah/sosok Halimah disandingkan dengan imej-imej abstrak lagi kinetik, mengingatkan saya pada karya Jordan Belson, artis dan pembikin filem avant-garde Amerika. Menerusi suntingan, Asrul mencipta ruang-ruang skrin yang berkesinambungan tetapi berbeza-beza bersama jalinan naratif. Pada separuh pertama, seusai Halimah mengumumkan ketiadaan Tuhan, muncul tulisan khat (dengan kalimah syahadah) diikuti syot kepulan-kepulan awan di langit kelam dengan dentuman guruh dan panahan kilat. Kemudian dikeudarakan suara latar: Man Rabbuka….Siapa Tuhan Engkau? Ini disusuli dengan pertukaran beberapa warna, corak, putaran dan pergerakan. Satu tompok cahaya putih di tengah bingkai bergerak membesar dan berpijar-pijar memantul ke wajah Halimah, di samping berkumandangnya laungan talbiah. Imej tulisan khat tadi muncul kembali tetapi dicerahkan dengan suluhan cahaya putih tadi. Selepas cut back kepada ruang masjid, Halimah melafazkan dua kalimah syahadah, lalu muncul syot kepulan-kepulan awan putih di langit biru yang tampak cerah lagi tenang. Dapat disingkap yang cahaya tadi dikurniakan kepada langit, bumi dan seisinya, justeru menandakan yang Halimah melalui pencerahan (penemuan) semula. Hal ini sudah diberi bayangan pada awal sekuen bila Hamid menyanggah Fakhruddin yang menghalang Halimah ke masjid dengan berkata, “Tuhan lebih dekat dengan kakak dari urat nadi kakak sendiri…” – dialog yang didasarkan daripada Surah Qaf (ayat 16).
Cahaya bukan saja signifikan dalam segmen tadi, tetapi turut mendasari babak lain hingga menjadi motif sinematik utama. Contohnya, syot pertama (selepas caption tentang sedikit maklumat sejarah tertera) dan syot pada penghujung filem, yang kedua-duanya menangkap awan-langit dan landskap dibezakan dari segi cahaya dan warna. Yang pertama, ketika terbenamnya matahari, dan yang kedua menandakan waktu fajar menyinsing, kontras yang mencipta satu pattern pembinaan naratif yang menyatakan tentang peralihan dari kegelapan kepada pencerahan. Selesai saja kredit pembukaan, kita diperlihatkan cahaya lunak yang menerobos masuk ke ruang penjara Halimah (menerusi tingkap kecil berpalang) yang membayangkan satu pengharapan. Dalam beberapa adegan, cahaya diterbitkan lampu/pelita seperti di rumah ibu Halimah, rumah Zainab dan kediaman para pelajar Haji Wali. Selain cahaya, burung dilihat menjadi motif bagi mengungkap hal-hal berkaitan kebebasan dan kemerdekaan dalam pelbagai bentuk dan pada pelbagai tahap: babak dua ekor burung yang dikeluarkan dari sangkar untuk beradu nasib dalam ‘adu balam’ (tradisi masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat); syot dua ekor burung yang bertenggek di atas kabel elektrik ditembak mati satu persatu sebelum babak pemberontakan Komunis; syot seekor burung yang berterbangan di udara tanpa haluan dengan kicauan yang nyaring mendahului babak si komunis Zainuddin (rakan Fakhruddin) ditembak Belanda dalam pertempuran (pemberontakan); dan, syot beberapa ekor burung menjulang tinggi terbang di udara selepas bapa Zainab meninggal dunia.
Nuansa dan rincian dunia masyarakat Minangkabau era 1920-an di Sumatera Barat dihidupkan aspek sinematografi dan bunyian. Landskap dan milieu Padang dan Padang Panjang ditangkap sebaiknya, dari babak perang (pemberontakan Komunis terhadap Belanda) yang getir lagi tegang hinggalah kepada syot-syot peralihan yang puitis. Antaranya, extreme long shot sungai yang jernih-indah dan berbatuan dengan latar belakang lintasan gerabak keretapi yang tampak jauh-kecil di celah-celah flora dan fauna yang tebal menghijau, dan long shot Hamid dan dua pelajar Haji Wali bersolat di landskap yang lapang mengadap tasik kecil selepas terbenamnya matahari. Manakala penggunaan instrumen dan muzik tradisional sebagai soundscape mahupun skor muzik bukan saja memandu naratif, tetapi menjana mood dan estetika budaya Minangkabau. Lihat saja babak pertemuan Hamid-Zainab (dengan ditemani Halimah) di tepian pantai. Sewaktu Hamid cuba memujuk Zainab untuk mengahwini lelaki pilihan si ibu-bapa, terdengar secara sayup-sayup lagu tradisional Minangkabau yang bernada meratap dalam bentuk nyanyian koral seperti dalam persembahan randai. Bila Hamid secara tiba-tiba berlari anak, beredar dari situ kerana tidak dapat mengawal perasaannya lagi, skor muzik Idris Sardi berlenggokkan irama kemelayuan mula bergema mendayu-dayu buat halwa telinga. Walaupun filem ini begitu sarat dengan babak-babak syarahan, perbahasan dan perbualan, selain dialog-dialog yang turut didasari surah Al-Quran, Asrul Sani berjaya mengimbangi hal ini dengan elemen visual, seperti cahaya, syot-syot burung dan landskap, justeru mengesahkan visi sinematiknya dan beliau sebagai penghasil imej yang baik.
Lakonlayar adaptasi Asrul Sani yang berani lagi radikal menjadikan pengisian naratif filem ini, terutamanya yang ditunjangi persoalan kemerdekaan (dalam konteks kebenaran), tampil padat lagi berperingkat. Pada satu peringkat, filem ini boleh dihayati sebagai memperjuangkan pembebasan dan pemberdayaan wanita. Pada peringkat yang lain pula melibatkan perjuangan anti-penjajahan bagi memerdekakan Indonesia dari taklukan Belanda. Dan paling signifikan yang ingin disampaikan Asrul Sani adalah kemerdekaan pada peringkat spiritual, seperti paparan babak akhir yang cukup menyentuh. Halimah yang dijatuhkan hukuman di atas tuduhan menghasut dan digari tangannya tampak tenang lagi tersenyum sambil mengingatkan ibunya (yang mula beremosi) yang pemenjaraan beliau hanyalah persinggahan (sementara) dalam satu perjalanan yang panjang. Pengalaman transendental Halimah telah memerdekakan beliau secara hakikinya, yakni satu bentuk penyerahan diri secara total kepada Sang Khaliq. Ini adalah intipati kata-kata suara latar Halimah yang persis surah Al-An’am (ayat 162) sewaktu beliau diiringi tentera Belanda menyusur masuk ke beberapa fasa laluan sebelum tiba ke sel penjaranya.
– NORMAN YUSOFF merupakan pensyarah kanan di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Kampus Puncak Perdana.
