Saya berkesempatan untuk menayangkan sebuah filem pendek berjudul “TOK” di Auditorium Akademi Seni & Teknologi Kreatif (ASTIF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga di Ruang Tamu Ekosistem berdekatan UMS, Kota Kinabalu, Sabah pada 18 dan 19 Jun yang lalu.
Ini adalah tayangan sulung bagi filem tersebut. Kehadiran saya kesana diikhtiarkan oleh dua pensyarah ASTIF, sdr Faez Ramleh dan Dr. Lilian Lee. Terima kasih. Ia bukan acara perdana atau tajaan, tapi inisiatif persendirian dan tepian.

Filem “TOK” diterbitkan oleh saya dan rakan saya Anderson Ee. Dia menulis lakon layar, menyunting dan mengarah filem pendek itu berdasarkan tulisan saya dalam blog Kebun Jiwa Halus, berjudul “Hanyut Tok Timah”. Tautan ke tulisan ini ada pada ruangan ‘nota dan rujukan’.

Filem pendek “TOK” buat masa ini hanya boleh ditonton dalam tayangan khas di beberapa lokasi terpilih. Ia sebenarnya ‘prequel’ untuk filem-filem pendek kami yang lain, “HERO”(2014), “HERO:EPILOG”(2015) dan juga pameran “HERO SEDEKAD” (2014-2024). Boleh rujuk tautan ke filem-filem dan pameran ini pada ruangan ‘nota dan rujukan’ juga.
Tapi hal H3RO saya tinggalkan dahulu. Boleh dikongsikan kemudian.
Kembali kepada “Hanyut Tok Timah”. Ia adalah cerita tentang moyang saya berdasarkan cerita lisan yang disampaikan kepada saya oleh Bonda, Jamaliah Noordin. Ceritanya pula diturunkan secara lisan kepada bonda dan ibunya Rabeah bt Taha oleh moyang saya Fatimah bt Abdullah.
Tayangan di UMS pada 18 Jun itu disusuli taklimat ringkas. Dalam taklimat tersebut, saya memohon para pelajar yang hadir untuk menelefon bonda masing-masing bagi mendapatkan satu cerita lisan tentang nenek mereka (ibu kepada bonda mereka).
Setelah itu, mereka diminta menulis cerita lisan tersebut sepanjang satu mukasurat. Dari tulisan tersebut, mereka diminta menggunakan AI untuk menjana satu gubahan visual yang merumuskan cerita lisan yang ditulis.
AI di sini digunakan sebagai teknologi yang menyantuni pelajar untuk mendekati warisan lisan. AI menjadi alat untuk menghidupkan semula memori, bukan menggantikannya. Ia memberi bentuk visual kepada cerita lisan yang diwarisi.
Mereka kemudiannya berkumpul, berkongsi cerita leluhur masing-masing dan memilih lima orang pelajar dikalangan mereka untuk menyampaikan cerita tentang nenek masing-masing secara lisan di Ruang Tamu Ekosistem pada keesokan harinya 19 Jun.
(Dikongsi foto2 janaan AI dan dokumentasi foto persembahan cerita lisan empat orang pelajar ASTIF UMS, Awangku Mohd Irfan, Norsha, Alif Ronan, Anik Daniel dan Awang Ku Ade Az Zarieff













Saya dan Anderson bercadang untuk menayangkan “TOK” sambil mengusahakan bengkel ‘Srikandi Dalam Kelisanan’ ke serata Malaysia dan luar negara.
Bengkel ini diharap dapat menjadi kaedah kreatif untuk menggalakkan anak muda mengenal leluhur mereka.
Kami berangan untuk mengumpulkan secara ko-kreasi, cerita-cerita leluhur ini. Lebih mengujakan jika dapat dipersembahkan dalam sebuah pameran imersif. Berangan itu ‘free’.
Kami mengalu-alukan jemputan tayangan serta bengkel bersama mana-mana komuniti anak muda. Jika panggilannya kuat dan kami ada kemampuan atau tajaan, sampailah kami, InsyaAllah.
Frasa “Srikandi Dalam Kelisanan” kami pinjam dari artikel Ismail Zain berjudul “Pupusnya Siti Nurbaya”, yang diterbitkan dalam majalah Dewan Budaya tahun 1988. Semiotika Ismail Zain dalam membicarakan perihal feminiti dalam alam patriaki Melayu tradisi, halus.
Artikel itu juga menjadi sebahagian dari inspirasi untuk “TOK”. Pada kami, cerita tentang moyang saya Tok Timah adalah contoh ‘Srikandi dalam Kelisanan’.
Cerita tentang nenek-moyang harus diperkasa oleh setiap unit keluarga. Kita tidak harus hanya bergantung kepada sejarah rasmi atau naratif arus perdana semata-mata sebagai sauh untuk keperibadian budaya. Kita perlu hargai warisan lisan yang nenek-moyang kita tinggalkan. Memelihara cerita nenek-moyang adalah tangungjawab keluarga bukan institusi kerajaan.
Darah yang mengalir dalam tubuh kita ada ‘imprint DNA’ dari ayahanda, bonda dan leluhur kita. Tak kenal leluhur, macam mana nak kenal diri sendiri? Tidak berdamai dengan leluhur, macam mana nak berdamai dengan diri sendiri?
Mengenal leluhur tidak sekadar menghafal salasilah. Termasuk dalam mengenal itu adalah pelajaran dan pengajaran dari peristiwa, cerita, aksi, lokasi dan watak di dalamnya, yang baik dan yang buruk. Ia menjadi medan refleksi diri dan keluarga yang penting.
Juga medan untuk kita berdepan dan berdamai dengan sebarang ‘inherited trauma’ mahupun penyakit zahir dan batin. Mungkin kita dapat menepis, menapis dan memulih apa yang kita warisi dalam darah.
Kitalah pewaris cerita ayahanda, bonda dan leluhur kita. Menerusi warisan lisan inilah berlakunya pemindahan atau transmisi nilai-nilai halus dari satu generasi ke generasi seterusnya. Pemindahan nilai ini boleh bantu pemuliharaan warisan tidak ketara melalui tradisi lisan. Ia juga mengukuhkan hubungan antara generasi, apabila anak, ibu-bapa dan nenek-atok bertaut dalam satu rangkaian penceritaan.
Akhir sekali, ini dapat membantu pembinaan identiti anak muda, supaya mereka memahami bahawa kehidupan mereka ialah sebahagian daripada sejarah keluarga yang lebih panjang.
Setelah tamat bengkel dan tayangan, saya cuba buat refleksi. Sambil membuat catatan jurnal, saya bersembang santai dengan Chatgpt.
Saya: “Kau fikir bengkel ini boleh dianggap terapi ke?”
ChatGPT: “Bengkel ini bukan terapi. Tapi ia menyentuh faktor yang diketahui menyumbang kepada kesejahteraan psikologi, iaitu rasa memiliki identiti, hubungan kekeluargaan dan makna kehidupan.”
Saya: “Apa ya yang para pelajar itu boleh dapat dari cerita nenek moyang mereka?”
ChatGPT: “Bila peserta mendengar kisah nenek mereka—tentang keberanian, kehilangan, penghijrahan, kasih sayang atau ketabahan—mereka bukan sekadar mengumpul fakta sejarah keluarga. Mereka sedang membina naratif tentang diri sendiri: Aku datang daripada seseorang. Hidupku adalah sambungan daripada perjuangan orang sebelumku.”
Saya: “Pentingkah bengkel sebegini, atau buang masa kami je?”
ChatGPT: “Pendekatan bengkel ini signifikan kerana ia menghubungkan tradisi dan teknologi. Kelisanan ialah medium warisan yang paling tua dalam tamadun manusia, manakala imej janaan AI ialah antara teknologi paling baharu. Apabila peserta sendiri menghasilkan prompt AI berdasarkan cerita keluarga, mereka bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi belajar bahawa teknologi boleh berfungsi sebagai alat untuk memelihara memori budaya, bukan menggantikannya.”
Saya: “Kau fikir apa yang para pelajar tu boleh renungi dari filem “TOK” yang ditayangkan?”
ChatGPT: “Tayangan filem TOK memperlihatkan bahawa kisah sebuah keluarga boleh menjadi kisah yang menyentuh masyarakat. Moyang anda bukan sekadar watak dalam salasilah keluarga, tetapi menjadi pintu masuk untuk penonton merenung sejarah, identiti dan hubungan mereka sendiri dengan leluhur.”
Bagi saya dan Anderson Ee, filem “TOK” dan bengkel ‘Srikandi Dalam Kelisanan (juga projek HERO SEDEKAD yang telah kami usahakan sebelum ini) adalah respon kerdil kami terhadap beberapa cabaran yang perlu diinsafi dan didepani oleh masyarakat kontemporari.
Mungkin juga sebagai satu bentuk intervensi budaya menerusi filem dan pemerkasaan warisan lisan. Fokusnya kepada naratif kecil yang sering terpinggir.
Perlunjuran demografi masyarakat Malaysia kini semakin menuju ke arah masyarakat menua dan berisiko kehilangan memori antara generasi.
Pada waktu yang sama, data dari beberapa sumber menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental, khususnya dalam kalangan anak muda. Mereka memerlukan rasa identiti serta keterikatan.
Jurang yang semakin melebar antara teknologi moden dan warisan budaya juga boleh mengekang transmisi nilai dari generasi tua (generasi boomers dan x) ke generasi muda (generasi milenials, gen-z dan gen-alpha).
Data-data stastitik dan dapatan-dapatan dari beberapa tinjauan serta kajian berkaitan masyarakat menua, kualiti kesihatan mental, transmisi nilai rentas generasi.
Kerana terlalu sibuk mengejar itu ini yang bersifat material atau kuantitatif, kita mungkin makin kurang bertanya kepada orang tua tentang kehidupan mereka.
Ramai hanya mula bertanya apabila ibu bapa atau datuk nenek sudah tiada.
Nota & Rujukan:
1. Tautan ke “Hanyut Tok Timah” di blog: Kebun Jiwa Halus
2. Filem HERO
3. Filem HERO:EPILOG
4. Tautan ke VR pameran HERO : SEDEKAD
5. Petikan dari artikel: “Pupusnya Siti Nurbaya” oleh Ismai Zain
6. Dari ChatGPT: “Malaysia sedang bergerak ke arah negara menua. Peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas meningkat daripada 6.4% pada 2020 kepada sekitar 7.5% pada 2025, dan Malaysia dijangka menjadi negara menua apabila 15% penduduk berumur 65 tahun ke atas sekitar tahun 2043–2045. Pada masa yang sama, kadar kelahiran terus menurun. Ini bermaksud semakin sedikit anak dan cucu yang akan mewarisi pengalaman hidup daripada semakin ramai warga emas.
Dalam keadaan ini, setiap cerita yang tidak sempat diceritakan akan hilang bersama pemergian seorang warga tua. Bengkel “Srikandi Dalam Kelisanan” dapat mewujudkan ruang yang jarang berlaku hari ini: seorang anak bertanya kepada ibunya tentang neneknya. Soalan yang kelihatan mudah itu sebenarnya menghidupkan semula dialog antara generasi yang semakin berkurangan akibat urbanisasi, kesibukan dan perubahan struktur keluarga.
Kedua, isu kesihatan mental di Malaysia semakin membimbangkan. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2015 melaporkan 29.2% orang dewasa mengalami masalah kesihatan mental, meningkat hampir tiga kali ganda berbanding 10.7% pada 1996. Manakala NHMS 2023 menganggarkan kira-kira 1 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan golongan muda merupakan antara yang paling terkesan.”
7. Department of Statistics Malaysia (DOSM). (2025). Current Population Estimates, Malaysia, 2025. Putrajaya: DOSM.
8. Department of Statistics Malaysia (DOSM). (2024). Current Population Estimates, Malaysia, 2024. Putrajaya: DOSM.
9. Institute for Public Health (IPH), Ministry of Health Malaysia. (2024). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023: Key Findings. Kuala Lumpur: Institute for Public Health.
10. Institute for Public Health (IPH), Ministry of Health Malaysia. (2015).
National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2015. Kuala Lumpur: Ministry of Health Malaysia.
11. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). (2014). Fifth Malaysian Population and Family Survey (MPFS-5). Putrajaya: LPPKN.
12. Rahimah Abdul Aziz & Fatimah Yusoff. (2012). “Intergenerational Relationships and Communication among the Rural Aged in Malaysia.” Asian Social Science, 8(6), 184–193.
13. Nadarajah, M. (2013). Living Pathways: Meditations on Sustainable Cultures and Cosmologies in Asia. Pulau Pinang: Areca Books.
Nota Editorial:
“Kita semua merupakan muzium sendiri, kita membawa sejarah naratif kita sendiri, dan itu juga penting”. Petikan dari temubual Farish A. Noor di saluran YouTube Projek Budhiman: Antara Halus dan Kasar – Farish A. Noor | Sejarah Yang Tak Diajar Ep.2
Video penuh di sini: Projek Budhiman
