“…sebuah filem yang berjangka masa lebih kurang seratus minit hanya mampu menampung sebanyak mana yang boleh ditampung olehnya.”
Saya memetik U-Wei HajiSaari dalam esei Wayang Angkat Saksi I: Wayang U-Wei dalam Seni Tampak yang diterbitkan pertama kali pada 2011.
Kesedaran bahawa filem punya had masa boleh melahirkan beberapa kesan. Antaranya, pengkarya sedar bahawa apa-apa yang mahu disampaikan mesti selesai dalam had masa tersebut.
Dengan kesedaran itu, beberapa batas diletak supaya persoalan-persoalan penting terjawab ketika penonton meninggalkan panggung (jika pengkarya mahu ia dijawab), supaya tak wujud lubang plot (plothole) yang tidak perlu.
Kesedaran itu juga menuntut pengkarya menjadi ekonomik: tidak membazir masa pada babak picisan tak bermakna, memanfaatkan ruang komunikasi dengan penonton (dialog, rekaan set dan sebagainya) serta memastikan penceritaan dan perwatakannya cekap.
Had masa dalam filem mungkin kurang diberi perhatian ketika ini dengan popularnya konsep jagat sinematik yang membolehkan satu cerita dikembang kepada beberapa filem dan siri. Namun, asasnya, had masa dalam filem masih penting.
Watak melimpah banjir
Kekecewaan menonton filem biasanya dirasa sejak tontonan pertama lagi. Selepas menonton lebih seratus minit (kebiasaannya), ada rasa tak cukup dan puas.

Kalau tak cukup dan puas itu datang dari ketidakfahaman, ia boleh diubat dengan tontonan berulang dan bacaan ulasan. Namun, kalau kita dah faham tapi tetap rasa tak cukup dan puas, itu biasa datang dari kelemahan naskhah.
Selesai menonton filem terbaharu Aziz M. Osman, 6 Jilake tempoh hari, ada rasa tak cukup dan puas. Tapi bukan kekecewaan yang besar sebab filem itu, secara asasnya, cukup menghibur. Cuma saya fikir, ada ruang yang tak dapat diisi durasi 134 minit filem itu.
Saya fikir, ini kerana kebanjiran watak yang ditampilkan. Banyak watak yang diperkenalkan dan masing-masing ada latar sendiri tetapi watak utama seperti Kuping dan Nagasari tidak dapat diperkenalkan sebaiknya, terutamanya kerana kedua-dua watak itu ditampilkan sebagai yang paling kuat berlawan.
Muasal kependekaran Kuping sukar difahami, termasuk juga Nagasari yang mengetuai kumpulan samseng terkuat dalam jagat filem tersebut.
Latar kedua-duanya yang nipis menyukarkan penonton menerima detik-detik dan persimpangan penting dalam pergerakan cerita tersebut.
Angkat pelakon berbakat
Namun, kerana watak juga filem itu menarik. Saya sangat gembira dengan kejayaan Aziz menyerlahkan pelakon-pelakon yang selama ini tidak begitu dikenali atau diingati.
Jenaka terbaik filem itu datang dari watak Orang Kaya Besar lakonan Jalil Hamid pada awal cerita. Watak sampingan paling kompleks dijayakan Wan Gegau sebagai Badak Berendam. Kazar Saisi cukup berkarisma sebagai Tok Lepat.

Begitu juga dengan pemeran komedi yang sememangnya popular seperti Bell Ngasri (Kasturi) dan Kamarool Hj Yusof (Serabai). Kehadiran mereka bukan hanya sebagai pelempar jenaka, malah menambah lapis pada cerita. Asmidar juga cukup cemerlang sebagai Kaswi.
Dua watak utama, iaitu Kuping dan Nagasari kurang menyerlah berbanding watak lain tapi bukanlah kerana faktor lakonan, sebaliknya watak. Jika kedua-dua watak tersebut ditulis dengan lebih kedalaman, ia mampu menyerlah.
Melayu di permukaan
Jangkaan saya tinggi terhadap watak Kuping kerana komik yang disertakan dalam beg cenderahati kepada media pada malam tayangan perdana 6 Jilake. Dalam komik itu, pada bahagian Ulasan Pengarah, Aziz menulis: “Kuping merupakan ‘conscience’ saya yang mencintai dunia dan peradaban Melayu”.
Tulisnya lagi, “Di zaman ketaasuban manusia untuk asimilasi menjadi satu bangsa dunia, harapan saya Kuping mampu pertahankan akar tunjang warisan Melayu”.
Ulasan itu meletakkan cita-cita yang tinggi terhadap watak Kuping. Elemen Melayu dan antiglobalisasi yang hidup dalam ulasan itu buat saya tertunggu-tunggu, Melayu bagaimana yang hidup dalam kesedaran Aziz dan bagaimana Amerul Affendi akan memaparkannya dalam filem?
Namun, seperti yang diulas di atas, watak Kuping kurang diteroka kedalamannya. Ia buat saya fikir, Melayu yang mahu ditonjolkan melalui watak tersebut ialah ‘Melayu Perlembagaan”.
Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiga ciri utama Melayu (tanpa mengambil kira ciri kewarganegaraan yang digariskan), iaitu menganuti agama Islam, lazim berbahasa Melayu dan menurut adat Melayu.
Kuping ialah Melayu yang memenuhi ketiga-tiga ciri itu, malah terlebih dalam ciri pertama iaitu menganut agama Islam. Dia bukan sekadar menganut, malah taat dan sangat mementingkan ajaran Islam.
Ciri-ciri Melayu di luar konteks Perlembagaan tidak begitu diteroka, menjadikan Kuping sama seperti pemuda Melayu lain di negara ini, cuma dia rajin solat dan rajin menyuruh orang solat.
Begitu juga watak-watak lain yang Melayunya jelas pada faktor luaran seperti rupa dan bahasa tetapi kurang penerokaan pada tahap psike atau jiwa. Ada cubaan menunjukkan watak Nagasari sebagai lelaki yang “sebaik kaki menjejak ke luar rumah, satu dunia akan dia tentang” (sekali lagi saya memetik U-Wei) tetapi ia habis begitu saja.
Kenapa dan bagaimana di persimpangan
Perjalanan cerita 6 Jilake tidak rumit tetapi ia beralun lancar sejak mula hingga akhir. Cuma, yang boleh dibaiki ialah kekemasan.
Struktur cerita bergerak dari pengenalan watak, zaman, tempat dan konflik, kemudian berkembang kepada konflik utama serta sampingan. Pada penghujungnya, konflik mula dilerai dengan persimpangan-persimpangan – mungkin ada yang lebih suka rujuk sebagai plot twist, terpulanglah.
Persimpangan-persimpangan itu yang boleh jadi lebih kemas. Persoalan lapis atas seperti apa, bila dan di mana terjawab mudah tetapi memasuki soalan kenapa dan bagaimana, penonton boleh terkeliru.

Kritikan saya yang utama terletak di situ kerana seperti yang disebut awal tadi, filem ini cukup menghiburkan. Hasrat Amerul Affendi, seperti yang dinyatakan dalam sidang akhbar tempoh hari, mahu filem ini menjadi hiburan pengurang tekanan buat rakyat Malaysia yang dihimpit bermacam hal. Saya yakin, hasrat itu dapat dicapai.
Sifat komedi filem ini tidak berlebih-lebih atau mengada-ngada. Jenakanya sofistikated. Malah, saya suka pendekatan Aziz yang menolak logik – walaupun berlatarkan abad ke-18, jenakanya tidak terkepung pada zaman itu. Dia buat lawak smartphone atas peta.
6 Jilake mula ditayang di pawagam pada 24 April. Simpul akhir yang saya buat untuk ulasan ini: ia berbaloi ditonton di pawagam, terutamanya bersama seisi keluarga. Kelemahan memang ada tapi tahapnya berbaloi dinikmati sebab, manalah tahu, yang saya sangka lemah itu kuat untuk anda.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
— Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan pasukan editorial Senimalaya.
