Festival filem Berlin, yang juga terkenal dengan panggilan“Berlinale” sudah pun melabuhkan tirainya pada hujung minggu lepas dimana edisi kali ini dipenuhi skandal dan kontroversi oleh pihak penganjur dan juga barisan para jurinya. Umum juga sudah mengetahui bahawa pengarah ‘The Voice of Hind Rajab’ turut menolak anugerah Berlin diatas reaksi balas terhadap apa yang berlaku di Gaza. Pengarah warga Tunisia, Kaouther Ben Hania, membuat keputusan untuk tidak menerima anugerah “Most Valuable Film Award”, sebuah penghormatan tertinggi di Cinema for Peace Gala, yang diadakan seiring “Berlinale”, selepas seorang jeneral tentera zionis israel diberi penghormatan di acara tersebut.

Dalam ucapan yang disampaikan, Ben Hania berkata ‘rasa bertanggungjawab’ telah melampaui rasa syukurnya, sambil menyeru pada keadilan dan kebertanggungjawaban pada Hind Rajab, seorang anak Palestin berusia lima tahun yang dibunuh oleh tentera zionis israel di Gaza pada tahun 2024 bersama dua paramedik yang cuba menyelamatkanya juga turut ditembak mati.
“Keadilan bermaksud akauntabiliti, tanpa akauntabiliti, tiada keamanan,” kata Ben Hania. “Tentera israel membunuh Hind Rajab; membunuh keluarganya; membunuh dua orang paramedik yang datang untuk menyelamatkannya, dengan penglibatan kerajaan dan institusi paling berkuasa di dunia,” tambahnya lagi; “Saya enggan membiarkan kematian mereka menjadi latar belakang kepada ucapan yang sopan tentang keamanan. Tidak selagi struktur yang membolehkan mereka kekal tidak disentuh.”
Ben Hania menyimpulkan dengan mengatakan bahawa dia tidak akan membawa pulang anugerah tersebut, dan akan meninggalkanya ‘sebagai peringatan’ sambil menambah bahawa dia hanya akan menerimanya ‘dengan kegembiraan’ apabila keamanan dipacu sebagai kewajipan undang-undang dan moral, berakar umbi dalam kebertanggungjawaban terhadap perilaku genosid oleh rejim zionis israel.
Pembikin filem itu juga kemudiannya menggambarkan bahawa kematian Hind ‘bukan pengecualian’, tetapi sebahagian daripada apa yang disebutnya sebagai genosid yang meluas, mengkritik pemimpin politik yang mencirikan genosid terhadap orang awam sebagai langkah ‘mempertahankan diri’ atau akibat dari ‘keadaan yang kompleks’. “Keamanan memerlukan keadilan dan akauntabiliti, bukannya slogan yang berkilauan” ujarnya lagi.
Penolakan Kaouther Ben Hania tersebut didahului oleh penulis India, Arundhati Roy (PEN Pinter Prize 2024) yang juga turut mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada “Berlinale” selepas kenyataan ‘filem tidak berpolitik’, oleh presiden jurinya disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’ terhadap perbuatan genosid israel ke atas Gaza.

“Ia adalah cara untuk menghentikan perbincangan tentang jenayah terhadap kemanusiaan walaupun ia sedang berlaku di hadapan kita,” tulis Roy, yang juga pemenang anugerah Booker Prize (1997) untuk novel sulungnya ‘The God of Small Things’.
“Saya terkejut dan jijik,” tulis Roy lagi, sambil menambah bahawa beliau percaya “Seniman, penulis dan pembikin filem harus melakukan segala-galanya untuk menghentikan” perang di Gaza.
“Izinkan saya katakan ini dengan jelas; apa yang telah berlaku di Gaza, apa yang terus berlaku, adalah genosid rakyat Palestin oleh israel,” tulisnya lagi.
Arundhati Roy dijadualkan menyertai festival yang berlangsung pada 12 hingga 22 Februari yang lalu setelah filem yang ditulis dan dilakonkannya, In Which Annie Gives It Those Ones (1989), dipilih untuk ditayangkan dalam bahagian Klasik, beliau kemudian memboikot festival tersebut walaupun tayangan perdana filem itu akan ditayangkan dalam format 4K.
Wim Wenders, presiden juri “Berlinale” bagi edisi kali ini yang mengekalkan pendirian“kita harus menjauhi politik” berhubung persoalan tentang pembunuhan beramai-ramai di Gaza sewaktu pembukaan festival tersebut telah menyebalkan bukan sahaja Arundhati Roy, tetapi juga kepada para pekerja filem yang lain seperti pelakon Mark Ruffalo, Tilda Swinton, Javier Badem, penulis skrip India, Varun Grover, penerbit The Zone of Interest, James Wilson, pengarah Brazil, Fernando Meirelles, pembikin filem British, Mike Leigh, Ken Loach serta ramai lagi. Pengarah filem Malaysia U-Wei bin HajiSaari turut menyatakan protes dengan menyifatkan kenyataan Wenders dan Ewa Puszczynska tersebut ‘bangang,‘ serta memberi‘Salut’ kepada Arundhati Roy diatas pendiriannya.
Lebih dari 80 pekerja filem yang merupakan peserta semasa atau bekas peserta “Berlinale” telah menandatangani surat terbuka yang mengutuk “kebisuan institusi” dan “penapisan” organisasi tersebut terhadap perang di Gaza yang diterbitkan dalam laman web Variety.
“Kami kecewa dengan penglibatan “Berlinale” dalam menapis artis yang menentang genosid berterusan oleh Rejim tentera israel terhadap rakyat Palestin di Gaza juga peranan penting negara Jerman dalam membolehkannya”.
“Berlinale” adalah festival filem Eropah yang dilihat lebih cenderung ‘bersifat politik’ diantara ‘Tiga Besar’ dan pesaingnya (Venice dan Cannes), ibu negara Jerman itu menjadi pusat graviti politik yang membuatkan permainan di“Berlinale” menjadi lebih kompleks disebabkan situasi semasa serta perkembangan dunia sentiasa menjadi topik utama dan sangat rapat dengan dunia sinema, pada setiap sidang akhbar, pembuat dan pekerja filem bergelut untuk memberikan jawapan dari para wartawan politik yang rata-ratanya sangat tajam dan kritikal di tengah musim sejuk Berlin mencengkam.

Pada tahun 2024, lebih daripada 500 seniman, pembuat filem, penulis dan pekerja budaya antarabangsa menyeru golongan kreatif untuk berhenti bekerjasama dengan institusi budaya yang dibiayai oleh Jerman mengenai apa yang mereka sifatkan sebagai “dasar McCarthyist yang menyekat kebebasan bersuara, khususnya ungkapan solidariti bersama Palestin”.
“Institusi budaya sedang mengawasi media sosial, petisyen, surat terbuka dan kenyataan awam yang mengungkapkan solidariti terhadap Palestin serta menyingkirkan pekerja budaya yang tidak menyokong sokongan Jerman yang terhadap israel,” kata penganjur inisiatif itu.
Di upacara penutup festival tersebut, ‘political cinema’ akhirnya berjaya menemukan jalur ledakanya. Festival yang dicemari kontroversi dan wacana mengenai tanggungjawab politik atau sebaliknya dalam seni telah menobatkan pembikin filem Jerman-Turki İlker Çatak sebagai pemenang anugerah utama ‘Golden Bear’ untuk filem “Yellow Letters” (German: Gelbe Briefe) sebuah filem berani tentang pasangan penulis dan pelakon drama yang menjadi sasaran dan gangguan birokrasi disebabkan gaya persembahan teater mereka yang bersifat protes serta mencabar autoriti politik.
Sebelum menyampaikan hadiah tersebut, presiden juri Wim Wenders seolah melakukan pusingan dengan memuji filem tersebut kerana “bersuara dengan jelas tentang bahasa politik totalitarianisme berbanding bahasa pawagam yang empati,” sambil mengisytiharkannya sebagai “visi yang menakutkan ke masa depan.”
Wenders juga menangani kontroversi yang mencemar dirinya dengan melunakkan teks ucapan yang telah disediakan dengan berhati hati serta lebih bernuansa sebelum anugerah utama disampaikan, “Bahasa sinema adalah empati, bahasa sinema sosial adalah berkesan. Maruah dan perlindungan terhadap nyawa manusia, ini juga adalah tujuan kita. Anda melakukan kerja yang sepatutnya dan berani, tetapi adakah ia perlu bersaing sesama kita? Adakah suara kita perlu berlaga?”
Wenders kemudian dengan nada goyah dan sinikal mengucapkan “Aktivis berjuang, terutamanya di internet, bagi tujuan kemanusiaan, maruah dan perlindungan nyawa manusia. Ini juga adalah tujuan kita.” dan mengakhiri ucapanya dengan memetik ucapan Tilda Swinton (presiden juri edisi sebelumnya) yang dilihat sebagai suatu percubaan bela diri yang tersasar serta diluar konteks.
İlker Çatak membuka ucapan kemenangan “Yellow Letters” dengan nada yang sinis,“Saya memang menyediakan ucapan dan ia bersifat politik, tetapi izinkan saya untuk tidak mengucapkannya sekarang”, lalu menyambung ucapan dengan mendahulukan penghargaanya kepada para pekerja yang terlibat dalam filem tersebut sambil mengulas filem tersebut dengan berkata; “saya rasa filem itu bersuara untuk dirinya sendiri dalam mesej politiknya, atau lebih tepatnya mempersoalkannya”. Yellow Letters’ dipuji sebagai drama universal yang mengejutkan, berkisar tentang ketidakadilan serta penganiayaan yang disebabkan oleh salah faham politik.
Sama ada secara kebetulan atau sebagai tindak balas kepada kontroversi atau mungkin sebagai percubaan ‘damage control’, pendirian para juri seolah beralih dengan memutuskan dua pemenang utamanya berkisar tentang kisah ketidakadilan berlatar belakang negara Turki. Para juri secara kolektifnya kelihatan seolah olah cenderung kepada karya-karya yang mungkin digambarkan “bersifat politik.” atau mungkin juga merupakan ‘counter’ terhadap kontroversi yang tercetus diawal pembukaan festival.

Anugerah kedua paling berprestij, ‘Grand Jury Prize’, dimenangi oleh “Salvation” (Kurtulus) sebuah lagi filem berlatar belakang Turki arahan Emin Alper.
“Kurtulus adalah sebuah filem tentang bagaimana sesebuah komuniti boleh melakukan jenayah yang dahsyat. Sejarah penuh dengan kisah-kisah sedemikian…Malangnya, ia masih berlaku hingga hari ini. kita menyaksikan genosid di Gaza. Satu-satunya perkara yang boleh menghentikan jenayah ini ialah reaksi keras daripada dunia, tetapi kita telah mengabaikan Palestin,” ujar Ermin dalam ucapannya.
Pengarah Lubnan, Marie-Rose Osta, yang menerima anugerah bagi filem pendeknya “Someday a Child” (Arabic: Yawman ma walad) mengisahkan tentang seorang budak lelaki dengan kuasa Adiwira yang tinggal disebuah perkampungan di Lubnan menegaskan bahawa kanak-kanak di Lubnan dan Gaza telah dibunuh oleh bom israel;

“Pada hakikatnya, kanak-kanak di Gaza, di seluruh Palestin, dan juga ditempatku Lubnan tidak mempunyai kuasa Adiwira untuk melindungi mereka daripada bom israel. Tiada kanak-kanak sepatutnya memerlukan kuasa Adiwira untuk terselamat daripada genosid yang direstui oleh kuasa Veto serta kegagalan undang-undang antarabangsa.”
Pengarah Syria-Palestin, Abdallah Al-Khatib yang menerima anugerah ‘Best Feature Debut’ untuk filemnya “Chronicles from the Siege” memberikan ucapan paling keras hingga menyebabkan Menteri Alam Sekitar Jerman, Carsten Schneider, yang berada di majlis tersebut keluar selepas Al-Khatib dengan tegas mengucapkan;
“Saya gembira berada di sini untuk menerima hadiah ini, tetapi saya orang Palestin, jadi saya perlu menggunakan saat ini untuk bercakap tentang Palestin.” sambil menyambung, “Saya berada di bawah banyak tekanan untuk menyertai Berlinale hanya diatas satu sebab; untuk berdiri di sini dan mengatakan bahawa rakyat Palestin akan bebas dan suatu hari nanti, kami akan mengadakan festival filem yang hebat di tengah-tengah Gaza, di tengah-tengah bandar-bandar Palestin yang lain.”
“Festival kami akan berdiri sebagai tanda solidariti dengan orang-orang yang hidup di bawah pengepungan, di bawah pendudukan dan di bawah pemerintahan diktator di seluruh dunia.” Yang jelas merujuk kepada komen Wenders sebelum ini dan menambah; “

“Kami akan bercakap tentang politik sebelum sinema. Kami akan bercakap tentang penentangan sebelum seni, tentang kebebasan sebelum keindahan, dan tentang kemanusiaan sebelum budaya, hari yang dinanti-nantikan akan tiba.”
Al-Khatib kemudian menuduh kerajaan Jerman, antara lain, sebagai “rakan kongsi dalam genosid di Gaza.” yang disambut dengan tepukan gemuruh dari hadirin, beliau kemudian menyambungnya dengan,“Kami akan mengingati semua orang yang berdiri di sisi kami, dan kami akan mengingati semua orang yang menentang kami.” dan mengibarkan bendera Palestin diatas pentas.
Dalam perkembang paling mutakhir, Tricia Tuttle, pengarah festival“Berlinale” (yang dibiayai kerajaan Jerman) kini berhadapan dengan isu pemecatan terhadapnya, pesuruhjaya budaya Jerman, Wolfram Weimer, telah memanggil mesyuarat luar biasa untuk membincangkan nasibnya. Tuttle kini dibela oleh lebih 700 pembuat filem yang telah menandatangani petisyen serta kira kira 500 pekerja ‘Berlinale’ yang menulis surat terbuka menyokongnya. Tuttle dikatakan kehilangan sokongannya selepas ucapan ‘Pro Palestine’ oleh Abdallah al-Khatib, serta bergambar dengan pembuat filem yang mengenakan keffiyeh dan memegang bendera Palestin seminggu sebelumnya, walaupun ia tidak melanggar undang-undang Jerman atau menjadi skandal.
‘The Voice of Hind Rajab’ telah dicalonkan dalam kategori ‘Best International Feature Film’ untuk Academy Awards 2026 pada bulan March yang akan datang, tapi apakah nasib filem tersebut setelah Kaouther Ben Hania yang dengan tegas dan penuh rasa tanggugjawab menolak anugerah tersebut di festival filem Berlin, apakah akan ada reaksi balas dari ‘the Oscars’ dan para pencatur sinema Hollywood terhadap keputusan berani Ben Hania yang dilihat memalukan “Berlinale” pada edisi kali ini.
Malaysia, dan hanya beberapa negara di dunia yang sangat berani dan terang-terangan menyatakan sokongan terhadap semua bentuk kempen kemanusian dan penentangan genosid zionis israel terhadap rakyat Palestin di Gaza. Rakyat Malaysia juga sudah membuktikanya dengan tayangan filem ‘The Voice of Hind Rajab’ mencatat lebih dari 60,000 tontonan sepanjang ia ditayangkan, yang juga merupakan ketiga tertinggi di dunia selepas Perancis dan Itali.
Selaras dengan pendirian, konsistensi dan perkembangan tersebut, sepatutnya pihak yang berkaitan atau paling tidak dari dunia perfileman memikirkan suatu pengiktirafan yang sewajarnya kepada ‘The Voice of Hind Rajab’ dan Kaouther Ben Hania. Ia juga mungkin menjadi pernyataan kita terhadap pendirian ‘Berlinale’, yang dilihat secara aktif mengelak tanggungjawab mereka terhadap perbuatan genosid rejim israel di Gaza. Inilah masa untuk kita melakukan sesuatu yang mungkin pelik tapi penuh rasa tangungjawab dengan bersolidariti terhadap dunia yang kita peduli (Palestine, perfileman dan kemanusiaan) tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa suatu bentuk anugerah untuknya mungkin lebih bersifat ‘honourable’ jika mahu dibandingkan dengan anugerah ‘Datuk’ yang pernah kita diberikan kepada SRK (sebagai rujukan), tanpa bertujuan untuk mempertikai atau merendahkan pengiktirafan tersebut.
“Sinema senantiasa dan setiap masa bersifat politik, seni, secara alaminya, juga bersifat politik.
Bukan politik kepartian, tapi keterlibatan dalam sosio-politik“.
Nota Editorial:
Senimalaya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menonton filem yang telah mencatat rekod ‘Standing Ovation’ paling lama dalam sejarah (23 minit) di premier Venice Film Festival.
The Voice of Hind Rajab masih ditayangkan di panggung TGV seluruh negara:
www.tgv.com.my/movie/the-voice-of-hind-rajab
