NAMANYA masih meniti dari bibir ke bibir hingga ke hari ini, lebih-lebih lagi dengan perbualan hangat di Hollywood tentang Timothée Chalamet yang dikatakan layak membawa pulang Oscar menerusi lakonannya sebagai seorang ikon. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan status Bob Dylan sebagai dewa muzik telah terpahat selama hampir 60 tahun. Walaupun terkenal sebagai seorang yang pemalu tetapi prolifik, Dylan kerap ditemu bual dan diminta menyenaraikan artis yang memberinya inspirasi. Mujurlah dia tidak pernah segan untuk berkongsi nama-nama tersebut.
Mungkin ini kerana Dylan berada dalam kelasnya tersendiri sehinggakan sebarang pujian terhadap rakan seangkatan adalah ibarat Lewis Hamilton memuji cara anda membuat parallel parking. Keunikan bakatnya menjadikannya kebal daripada tuduhan meniru seperti yang terjadi dalam beberapa kes lain.
Ada beberapa orang pencipta lagu jelas menarik perhatiannya. Sebahagian besar memoirnya Bob Dylan: Chronicles One memberikan penghormatan tinggi kepada Woody Guthrie yang menjadi pemangkin kepada gaya folk bersemangatnya yang mencetuskan gelombang perubahan budaya besar. Gelombang itu kemudiannya merempuh pula kedai-kedai kopi diselubungi asap di Greenwich Village di mana rakan-rakan seperti Odetta dan Dave Van Ronk turut menjadi sumber inspirasi.
Meskipun sudah mencapai kejayaan besar, Dylan tetap menghargai rakan-rakannya yang lain. Dia sering ditanya tentang proses penulisan lirik, sudah tentulah kerana kehebatannya dalam menguasai seni tersebut. Tetapi apabila ditanya siapa yang benar-benar dikaguminya, satu nama sering disebut, iaitu Randy Newman. Newman adalah seorang pencipta lagu yang tidak disangka, namun dikagumi oleh Dylan. “Bagi saya, seorang yang menulis lagu dengan sangat baik ialah Randy Newman,” kata Dylan kepada Paul Zollo pada tahun 1991.
Dia menambah, “Ada ramai orang yang menulis lagu yang baik, sebagai lagu. Randy mungkin tidak akan naik ke pentas dan membuatkan anda hilang akal. Dia tidak akan buat penonton di barisan hadapan teruja. Tapi dia akan menulis lagu yang lebih baik daripada kebanyakan orang. Dia benar-benar faham muzik. Tiada yang lebih baik daripada ‘Louisiana’ atau ‘Sail Away’. Tidak ada yang lebih baik daripada itu. Itu adalah lagu-lagu klasik yang heroik. Dia berjaya melakukannya. Ada beberapa orang yang boleh buat begitu. Tapi tidak ramai yang setanding dengan Randy.”

Bagi Dylan, era awal Newman adalah yang paling digemarinya. “Saya suka lagu-lagu awalnya, ‘Sail Away,’ ‘Burn Down the Cornfield’, ‘Louisiana’, di mana semuanya ringkas. Lagu-lagu bordello. Saya menganggapnya sebagai seorang Putera Mahkota, pewaris takhta kepada Jelly Roll Morton. Stailnya sangat mengelirukan. Dia begitu bersahaja sehingga buatkan anda lupa dia sedang menyampaikan sesuatu yang serius. Randy seakan-akan terikat dengan era yang berbeza, sama seperti saya,” katanya.
Penyampaian subjek serius dengan sentuhan ringan atau humor santai inilah yang telah memberikan gelaran Dean of Satire kepada Randy Newman, apabila dia tidak sibuk menggubah skor muzik untuk filem-filem klasik Pixar (dalam hal ini pun dia masih berjaya menyelitkan beberapa lagu dengan nuansa falsafah yang mendalam tanpa disedari oleh penerbit-penerbit).
Bagi Newman sendiri, dia tetap merendah diri, menepis segala pujian yang bahkan pencipta lagu terhebat pun akan impikan. Menariknya, ketika pujian itu pertama kali diketengahkan dalam satu temu bual bersama The Guardian, dia seolah-olah kembali kepada idea yang pernah Dylan utarakan, bahawa mungkin mereka berdua adalah pencipta lagu yang terikat dengan era yang berbeza.
Ketika ditanya sama ada dia kecewa kerana penghormatan daripada rakan pencipta lagu tidak diterjemahkan kepada kejayaan komersial, Newman sekadar berkata, “Saya cuma marah sedikit terhadap pemujaan berlebihan terhadap sesetengah pencipta lagu yang generasi tertentu angkat tanpa soal.”
Dia menambah, “Dylan tahu dia tidak lagi boleh menulis lagu seperti dalam dua album pertamanya. Pujian luar biasa yang diterima daripada dua album terbarunya, saya tidak pasti itu akan berlaku jika bukan kerana namanya tertera di situ.” (Ini adalah pada tahun 2008, apabila dua album terakhir Dylan, Modern Times dan Love and Theft, dianggap sebagai sirih pulang ke gagang). Tidak lama selepas itu, apabila penemubual menyebut komen Dylan tentang dirinya, Newman berseloroh, “Oh, saya tidak tahu tentang itu. Jika saya tahu, pastinya saya tidak akan kata apa yang saya katakan. Tapi, dia seorang yang cerdik.” – Far Out Magazine
Diterjemahkan oleh: Ahmad Kamal Abu Bakar
