Filem arahan Chong Keat Aun sekali lagi terpilih tayang perdana dan bertanding di Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF), untuk tahun kedua berturut-turut.
Mother Bhumi, filem cereka keempat arahannya, adalah antara 15 judul yang disenaraikan bersaing dalam kategori pertandingan antarabangsa bagi edisi ke-38 TIFF.
Filem yang menampilkan pelakon dari China, Fan Bingbing juga antara lapan judul yang tayang perdana pada festival yang akan berlangsung antara 28 Oktober hingga 5 November ini.
Pada TIFF ke-37 tahun lepas, filemnya Pavane for an Infant terpilih bertanding dalam kategori Asian Future. Awal tahun ini, filem keduanya Snow in Midsummer dinamakan sebagai filem terbaik Malaysia bagi tahun 2024 oleh Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur.

Mother Bhumi mengisahkan seorang wanita di sebuah kampung yang siangnya bekerja di sawah dan malam menjadi dukun. Di tengah masalah perebutan tanah di kampung yang didiami oleh masyarakat Cina, Melayu, dan Siam di utara Malaysia itu, misteri kematian suaminya terbongkar.
Filem itu juga mendapat lapan pencalonan di Anugerah Golden Horse ke-62 termasuk bagi kategori filem terbaik dan pengarah terbaik sementara Fan tercalon untuk pelakon wanita terbaik.
Anugerah Golden Horse, yang bermula sejak tahun 1962 untuk mengiktiraf pencapaian filem dalam bahasa Cina, akan berlangsung di Taipei pada 22 November.
Mother Bhumi diterbitkan oleh Janji Pictures Production (Malaysia) dengan Wong Kew Soon sebagai penerbit bersama Stefano Centini dari Volos Films, sebuah syarikat penerbitan di Taiwan.
