SEJAK ditubuhkan pada 1991, Yayasan Seni Selangor Galeri Shah Alam (YSS GSA) telah menjadi pusat perkembangan seni yang aktif dengan pelbagai pameran, bengkel, wacana, dan majlis perasmian yang menjadikannya salah satu lokasi seni yang terkemuka dalam dan luar negara.
YSS GSA merupakan cetusan idea dari, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sejak ia ditubuhkan yayasan ini telah mengumpulkan banyak karya hebat seniman-seniman tempatan.
Bagi meraikan sumbangan besar seniman-seniman tanah air menerusi karya mereka, YSS GSA telah menganjurkan Pameran Jasa yang menampilkan karya 38 seniman tersohor. Antara karya yang dipamerkan termasuklah gurisan arang stik campuran warna air oleh Datuk Syed Ahmad Jamal yang bertajuk “Tanpa Tajuk” dan sketsa “Ruang Pendingin”. Selain itu, sketsa “Siri Tari VI” oleh Yusof Ghani dan “Paku-pakis-penaklukan” oleh Yusoff Ahmad turut menghiasi pameran ini.

Istilah ‘jasa’ membawa makna yang mendalam. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jasa merujuk kepada pekerjaan baik yang dilakukan kepada negara, raja, atau masyarakat. Dalam konteks YSS GSA, jasa merujuk kepada sumbangan besar yang diberikan oleh artis-artis tanah air melalui karya seni mereka.
Pameran Jasa juga mempamerkan pelbagai media seni, termasuklah warna air oleh Maamor Jantan, cat minyak oleh Sani Mohd Dom, dan gaya naif oleh Yusof Gajah serta rakan-rakannya. Seni khat kaligrafi, cetakan digital grafik, dan catan ilustrasi realisme turut dipamerkan oleh artis seperti Mazlan Noor Along, Kamaruzali Ibrahim, dan Fauzi Ab Rahim.
Setiap karya dalam pameran Jasa bukan hanya sekadar hasil seni, tetapi juga luahan jiwa dan perkongsian pengalaman seniman-seniman ini. YSS GSA telah menjadi platform untuk mereka mengekspresikan kreativiti mereka dan berkongsi emosi, kegembiraan, dan kejayaan melalui aktiviti seni. Karya-karya ini juga telah menyumbang kepada kenangan manis yang terjalin di kalangan komuniti seni.
Foto-foto bersaiz “3 dan 4R” yang dipamerkan di satu sudut khas menggambarkan 1001 memori manis di awal penubuhan YSS GSA. Foto-foto Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Sultan Nazrin Shah sewaktu menyaksikan pameran seni di Galeri Shah Alam menambahkan lagi nilai sentimental kepada institusi ini.
Penubuhan YSS GSA dan pameran Jasa adalah bukti nyata bagaimana seni dapat menjadi medium untuk menyampaikan jasa dan sumbangan kepada masyarakat. Melalui karya-karya seni ini, kita dapat melihat bagaimana setiap artis telah memberi sumbangan besar kepada dunia seni dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada penggemar seni di Malaysia dan negara jiran. Jasa mereka akan terus dikenang dan dihargai sebagai lambang semangat dan bakti yang berterusan.

Sejujurnya “JASA” Terima Kasih Seni Malaya…