ADAKAH Datuk Zainal Abidin Borhan,71, akan mengekalkan status quo kepimpinan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dalam pemilihan Ahli Jawatankuasanya pada pemilihan akan datang atau sebaliknya? Itu menjadi perbualan hangat dalam kalangan ahli persatuan penulis pada ketika ini.
Untuk rekod, Zainal Abidin menjadi Ketua Satu GAPENA pada 2016 setelah Prof. Tan Sri Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar tidak mempertahankan jawatannya. Beliau sekali lagi mengekalkan jawatan Presiden GAPENA pada 2022 sehingga kini. Beliau telah menjadi Ketua Satu dan Presiden GAPENA selama empat penggal (8 tahun).
Jika Zainal Abidin melepaskan jawatan orang nombor satu GAPENA tersebut, terdapat tiga nama yang disebut-sebut untuk menggantikan tempatnya; iaitu Dr. Mohammad Saleeh Rahamad, 60, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA); Amiruddin Md Ali Hanafiah, 59, Presiden Persatuan Penulis Johor (PPJ); dan juga Zainal Jais, 61, Yang Di-Pertua Persatuan Penulis & Kebajikan Selangor (KEMUDI).
Pertandingan tiga penjuru ini dilihat sengit oleh penganalis-penganalis politik berpersatuan. Peluang untuk salah seorang daripada mereka memenangi “kerusi panas” ini adalah 50-50.
Sebagai rekod, Amir “The Napoleon”, pernah menjadi gandingan mantap Zainal Abidin sebagai Ketua Dua GAPENA dari 2016 sehingga 2022 dan kemudian kalah tipis jawatan tersebut di tangan Saleeh “The Trojan” pada tahun berikutnya. Hubungan bittersweet kedua-duanya sebenarnya bermula setelah Amir dan SM Zakir tidak mempertahankan jawatan masing-masing (Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PENA) pada tahun 2016 kerana tidak lagi sehaluan dalam banyak perkara dengan Saleeh sebagai Presiden pada ketika itu.
Kekalahan tipis Amir kepada Saleeh untuk jawatan Ketua Dua GAPENA pada tahun 2022 dilihat menjadi faktor untuk “membalas dendam” dalam pemilihan jawatan tertinggi GAPENA pada kali ini dan menentukan “hidup mati” kerjaya politik berpersatuan beliau pada peringkat nasional.
Saleeh dilihat sebagai ingin mengekalkan sebanyak mungkin golongan ahli akademik Universiti Malaya (UM) di GAPENA – selepas Allahyarham Tan Sri Profesor Ismail Hussein, Abdul Latif, dan Zainal Abidin yang juga daripada universiti tersebut. Manakala Amir dilihat ingin memecahkan tembok “keras” tersebut dengan membawa masuk golongan daripada pelbagai latar belakang. Beliau berpengalaman luas dalam persatuan belia, guru, dan koperasi sejak muda. Zainal Jais “The Midas Touch” pula dilihat sebagai pemecah undi kepada kedua-duanya. Beliau merupakan Pengarah Media & Komunikasi Yayasan Kepimpinan Strategi Malaysia dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Basmi Kemiskinan serta berpengalaman luas dalam berpersatuan.
Jika hal pecah undi ini berlaku sudah tentulah akan membawa kerugian kepada Saleeh dan Amir. Tidak dinafikan, peluang untuk Zainal menang adalah lebih besar.
Oleh kerana itu, strategi yang ada pada Saleeh adalah dengan mempertaruhkan Zainal Abidin bagi jawatan Presiden GAPENA untuk melawan Amir secara satu lawan satu. Manakala beliau sendiri akan bertanding jawatan Timbalan Presiden GAPENA melawan Zainal Jais secara satu lawan satu. Namun, tidak mustahil jika Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Mohd Mansor Abdullah, 79, Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) datang menyelit di celah kedua-duanya untuk mengacau undi dalam perlawanan tiga penjuru ini.
Untuk rekod, Zainal Abidin adalah “guru” kepada Saleeh dan Zainal Jais di Universiti Malaya dahulu. Dalam adat Melayu apatah lagi dalam kepimpinan Kerajaan Madani kini, konsep murid tidak akan menderhaka kepada guru benar-benar wujud dan direalisasikan di sini. Apa-apa pun, Zainal Abidin dilihat “lebih sayang” kepada Saleeh berbanding dengan Zainal Jais.
Datuk Jasni Matlani, 62, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang sebelum ini dikatakan sebagai gandingan “Prabowo-Gibran” bersama-sama Amir dikhabarkan tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden GAPENA, sebaliknya akan bertanding jawatan Naib Presiden menentang Profesor Dr. Hashim Ismail, 59, yang kini adalah Bendahari GAPENA. Jasni diperlukan untuk jawatan ini sebagai checks and balances bagi pihak Amir sekiranya dia kalah. Sementara Hashim diperlukan untuk jawatan ini sebagai usaha untuk mengekalkan golongan ahli akademik UM dalam persatuan induk ini.
Manakala untuk jawatan Setiausaha Agung GAPENA pula, Saleeh mencalonkan Dr. Norhayatie Ab Rahman, 60, AJK PENA (seorang lagi ahli akademik dari UM). Amir pula akan mencalonkan Dr. Shamsudin Othman, 58, Setiausaha PENA/PPJ (seorang ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia). Manakala Zainal Jais dikhabarkan akan mencalonkan Ahmad Zauawi Che Cob, 58, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA), seorang guru.
Untuk jawatan Timbalan Setiausaha GAPENA pula melihatkan perlawanan antara Azmi Ismail, 50-an, dari Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak (PENTAS) dengan Haji Mohd Khairy Haji Halimi, 70, dari PPJ.
Namun, tidak mustahil juga jika Azmi membuat pecutan terakhir dan bertanding jawatan Setiausaha Agung jika mendapat pencalonan oleh mana-mana persatuan ahli gabungan GAPENA.
Untuk jawatan Bendahari GAPENA, Hashim tidak akan melepaskan jawatan yang dipegangnya buat sekian lama ini dengan sewenang-wenangnya dan akan menentang Usman Ibrahim, 70, dari PENA. Hashim sudah pun mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden GAPENA dan dipercayai boleh menang besar. Manakala Usman pula dilihat sebagai “pak turut” atau standby candidate sekiranya Hashim kalah merebut jawatan yang lebih tinggi ini. Atau dalam bahasa mudahnya, pencalonan ini sekadar untuk menyempurnakan formaliti sahaja.
Rata-rata calon yang bertanding adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Tidak ada satu pun calon yang bertanding merupakan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah. Maka usah bermimpilah wahai penulis-penulis muda untuk melihat kepimpinan yang akan terpilih nanti membawa aspirasi baharu anak muda ke takah yang lebih tinggi agar suara mereka didengar oleh masyarakat.
Apa-apa pun, semua spekulasi ini akan terjawab pada 7 Disember 2024 nanti.
~ ALE BAGINDA adalah penganalisis politik berpersatuan.
— Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis. Ia tidak mewakili pendirian pasukan editorial Senimalaya.


Bagi saya, politik berpersatuan ini sihat selagi prinsip khidmat berwibawa diamalkan. Jadilah jawatankuasa yang berwibawa, terutama jika menjadi setiausaha, piawai bahasa mesti dijaga. Ahli-ahli di lapangan sangat menghargai khidmat yang berwibawa.