BARU-baru ini, saya menghadiri sebuah Forum Kandungan & Filem yang berlangsung di Ochestra Hall, ASWARA. Saya mengaku yang saya memang kurang pengetahuan dalam hal-hal filem. Cuma, saya pernah belajar mengenainya secara dasar dan mengutip pengalaman senior-senior saya yang bekerja dalam industri perfileman dan stesen-stesen TV tempatan.
Banyak hal yang kurang enak saya dengar (tetapi banyak juga yang baik-baik saya cerap dalam forum tersebut) – terutamanya hal yang melibatkan layanan industri terhadap penulis skrip yang berlaku di sepanjang tempoh produksi.
Pada sesi kedua forum yang bertajuk Sinema Kita, Citra Kita: Dari Perspektif Idea & Cerita – ahli panel yang terlibat bukanlah individu yang tidak tahu menahu tentang industri perfileman Malaysia, malah mereka ini adalah individu yang aktif bergerak dalam industri tersebut. Datuk Saniboey Mohd Ismail (penerbit), Ilmiya Roslan (Viu) dan June Tan (penulis skrip) merupakan tiga individu yang dipertanggungjawabkan untuk menjawab segala hal-hal yang tidak terjawab dalam dunia filem tanah air ketika forum berlangsung .
Ada dua hal menarik yang saya ‘tangkap’ di sini: isu bayaran rendah dan tanggungjawab pembikin filem.
Hakikat pertama yang Saniboey ‘tamparkan’ kepada muka kami:
“Realitinya, skrip memang dibayar rendah. Adakah penerbit yang mahu spend 10 peratus daripada bajet untuk skrip? Mereka hanya akan berbelanja 2-4 peratus sahaja yang diperuntukkan. Betapa hinanya penulis skrip!”
Saya yang pada awalnya hampir terkatup mata menahan kantuk – terus menjadi segar-bugar. Kenapa peruntukkan untuk penulis sangat kecil?
Mengapa penulis skrip sering dibayar rendah walau hakikatnya skrip merupakan antara elemen yang paling utama dalam sesebuah filem?
Saya rasa, isu ini bukanlah cuma berlegar setahun dua, malah sudah bertahun-tahun lamanya. Saya fikir, untuk mendapatkan skrip yang baik lebih adalah susah berbanding untuk menjana wang yang banyak. Maka, tidak salah untuk memberikan bayaran yang tinggi kepada penulis skrip.
Seperti mana-mana forum yang saya hadiri, tidak semuanya berakhir dengan satu jawapan yang pasti.Bercakap tentang hal duit – ia akan menjadi panjang berjela-jela dan mungkin memerlukan sesi khas yang lain untuk mencerakinkan hal ini.
Tetapi Imi (Ilmiya Roslan) sempat menyanggah pendapat Saniboey itu:
”Bukanlah tidak ada perubahan dari segi pembayaran penulis skrip jika hendak dibandingkan dengan tahun-tahun lalu. Ada naiknya, walaupun tidak seperti yang diharapkan.”
Penjelasan beliau tentang isu bajet yang diberikan kepada penerbit adalah ‘cukup-cukup’. Setiap bajet yang diberikan kepada penerbit untuk menghasilkan drama, filem, dan lain-lain sudah dikira-kira dan ditimbang-tara se‘cukup-cukup’nya untuk keperluan sesebuah produksi.
Saya tidak ingat apa pandangan June Tan sebagai seorang penulis skrip tentang hal ini.
Tetapi, kenyataan Saniboey pada mulanya itu membuatkan saya terfikir: Apakah seorang penulis skrip akan selamanya terkena sumpahan bayaran rendah ini?Atau industri seni di Malaysia ini masih menganggap bayaran untuk orang-orang seni ini sebagai “Ah! Tak payah bayar mereka besar. Bukan susah pun buat kerja ini.”?
Tetapi itulah hakikatnya. Tidak kira sama ada projek itu projek besar mahupun kecil, bayaran penulis sentiasa tidak dianggap sebagai penting. Ini sekali lagi ditegaskan oleh Saniboey:
“Apa, anda ingat penulis skrip akan makan [duit hasil] royalti dengan cerita yang diulang tayang? Tidak!Mereka ini dibayar sekali dan habis! Itulah hakikat kehidupan penulis kita, tidak dihormati dan tidak dihargai, tetapi [pihak industri] mahukan cerita yang bagus. Dan ini merupakan hal yang terlalu panjang untuk diceritakan.”
Jika beliau katakan ‘hal ini terlalu panjang untuk diceritakan’, maka saya menganggap bahawa perkara ini adalah perkara yang sudah lama dibicarakan dan disuarakan, tetapi ia seolah-olah tidak menemui titik akhir.
Akhirnya, penulis skrip sentiasa akan menerima sumpahan seperti yang saya katakan tadi. Bagaimana mahu diubah? Saya tidak tahu. Tiada jawapan untuk itu.
Belum sempat isu itu tamat, terbit isu kedua berkenaan ‘Filem Kita, Wajah Kita!’ – satu slogan arkaik yang sudah lama tidak saya dengari.
“Filem Kita, Wajah Kita!”
Apa yang menjadikan filem itu wajah dan identiti Malaysia? Menurut Saniboey – filem hanyalah sebuah filem. Mengapa tanggungjawab mewajahkan identiti negara kepada sebuah filem? Sedangkan dalam mana-mana institusi yang lebih tinggi (parlimen, misalnya) masih tidak mewajahkan kita.
“Slogan arkaik!” Katanya lagi.
Jika filem kita, wajah kita, maka filem-filem di Malaysia ini harus membogelkan apa realiti yang berlaku dalam kehidupan kita pada masa ini tanpa rasa takut-takut dengan mana-mana pihak individu, institusi dan lain-lain. Adakah kerana filem dianggap sebagai platform mendidik, maka sudah jadi tanggungjawab mereka juga untuk mewajahkan hal-hal yang baik sebagai representasi Malaysia?
“Filem hanya filem? Kenapa perlu letak tanggungjawab pada filem untuk mendidik masyarakat?”
Dan saya sambung sedikit kenyataannya:
“Mengapa perlu tanggungjawab itu digalas pengkarya seni. Tugas filem dan medium seni yang lain hanyalah untuk menghidang karya dan hiburan. Penonton yang dijamu harus menilai hidangan yang diterima sebagai hiburan yang mendidik atau sekadar hiburan? Kalau saya hendak mendidik penonton, lebih baik saya buat filem pendidikan.”
Nah! Selama saya belajar dalam bidang seni di ruang kuliah secara formal – saya sentiasa difahamkan bahawa pembikin filem harus ada rasa tanggungjawab dan tanggungjawab itu datang dengan nilai-nilai yang baik (mendidik). Jadi, saya praktikkan hal ini dalam mana-mana karya yang saya tukangi sehingga akhirnya saya merasakan bahawa saya hendak menghasilkan sesuatu yang tak bermakna pada orang lain tetapi penuh makna untuk saya. Sesuatu yang saya tidak perlu fikirkan apa kesannya kepada orang lain. Kerana interpretasi menusia akan tetap berbeza-beza.
Pembikin filem bebas membikin apa sahaja (filem) yang mereka mahu. Tidak boleh ke?
Ketika saya mempersoalkan hal ini dalam kepala sendiri; jawapan yang saya terima dari diri sendiri – tidak boleh!
Tidak boleh bukan kerana ‘tidak boleh’ – tetapi kerana kita tak terbiasa.
“Hiburan sebagai alat untuk mendidik.” Ini adalah kenyataan biasa yang kita dengar, dan pengkarya perlu ada rasa tanggungjawab dengan apa yang sudah ditukanginya. Lalu akhirnya, kita perlu memikirkan kesannya kepada masyarakat yang akan menikmati. Bosan!
Tetapi sekarang kita sudah lebih terbuka. Sudah ada aliran lain yang mula dinikmati penonton iaitu art film. Sasaran penontonnya – individu yang ‘lapar’ akan idea tabo dan idea di luar daripada kebiasaan.
Jadi, pilihan untuk pembikin filem yang hanya ingin menghidang seni dan hiburan – maka art film adalah jawapannya.
Idea dan cerita adalah seperti ramuan serasi yang mengaul cantik dan menjadi sebuah filem yang dihidangkan molek kepada penonton – mengenyangkan perut dengan paparan visual dan babak yang mengagumkan.
Melalui forum ini, bukanlah hal-hal sekitar bayaran dan tanggungjawab pembikin sahaja yang dibicarakan. Terlalu banyak yang menarik untuk dicedok dan diambil, tetapi akhirnya kapasiti otak saya hanya mampu menangkap satu dua hal – yang saya kira, jawapannya masih samar-samar saya terima.
– Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis. Ia tidak mencerminkan pandangan dan pendirian sidang redaksi Senimalaya.

Mengapa penulis sentiasa dibayar rendah?
Dengan nama Allah pembuka bicara.
Terpanggil saya untuk menjawab persoalan ini bahawa mengapa penulis sentiasa dibayar rendah? Ibarat mencubit paha kiri dan paha kanan terasa juga sakitnya.
Ini kerana saya juga adalah seorang penulis dan pencinta karya seni. Meskipun saya bermula dari bawah dan secara senyap tetapi saya mula mengorak langkah menunjukkan karya dan bakat saya yang dianugerahkan Allah. Biarpun agak lewat saya mula melangkah namun saya bersyukur masih ada peluang tunjukkan usaha dan kemampuan saya.
Tidak kira apa jua bidang seni tetap berkaitan dengan penulisan akhirnya untuk melakarkan sesuatu tetap kena menulis jugakan?
Pada pandangan saya, penulis ini besar pengorbanannya jika hendak dibandingkan dengan penerbit. Ini kerana penulis perlu memerah otak dan mencari ilham barulah mereka dapat menghasilkan satu skrip dan cerita yang baik dan lengkap. Terpulang kepada apapun ilham dihasilkan dan akan dikotakan pada ceritanya sama ada menarik, kurang dan tidak bermutu bergantung kepada kemampuan yang telah individu itu hasilkan.
Yang penting itulah hasil kerja ikhlas dan jujur datang dari naluri dan daya usaha mereka sendiri yang bersungguh-sungguh. Bukan hasil ciplak mahupun mengupah orang lakukan kerja untuknya. Lebih senang cerita bagai perumpamaan ‘lembu punya susu tetapi sapi dapat nama’.
Si penulis juga telah gunakan banyak masa yang bukan percuma dan tenaga yang harus dihargai dan tidak ternilai dengan wang ringgit jika ingin diukur dari segi itu. Ada kala mereka bersengkang mata dan keadaan kurang baik mereka pula kurang sihat ketika cuba menghasilkan kerja yang terbaik dan mencuba mengejar masa seperti syarat-syarat ditetapkan di dalam tempoh yang ada untuk menyiapkan sesuatu projek.
Bayangkan untuk menghasilkan sesuatu cerita dan penulisan perlukan daya imijinasi dan cara pemikiran yang tinggi dan mental yang kuat untuk memberi kesan yang hebat di dalam sesuatu penulisan mahupun cerita. Ada kala mereka perlu berfikir luar dari kotak fikiran dan pandangan yang luas serta rujukan demi rujukan bahan yang ada untuk dapat mutu cerita yang terkesan di hati para penonton atau pembaca.
Adakah bayaran sekadarnya cukup dirasa oleh para penerbit untuk membayarnya? Janganlah ambil kesempatan di atas kepandaian dan hasil mutu kerja orang untuk dijadikan batu loncatan menaikan cerita, buku mahupun filem juga nama anda sendiri.
Ini sudah masuk kes penginayaan dan mencuri hasil kerja orang tanpa nampak di mata kasar tetapi dilakukan dalam cara halus. Fiikirkanlah dengan penuh ikhlas dan ingatlah Allah nampak apa anda lakukan. Hasil rezeki yang anda dapat untuk memberi keluarga anda makan nanti takut tiada keberkatannya. Tidak akan senang dan kaya orang yang lakukan perkara sekeji ini. Baliklah kepada agama dan lakukanlah kerana Allah dan hasil kerja orang yang layak dibayar mengikut usaha mereka dan mutu hasil kerja mereka. Kita adalah sama-sama manusia di dunia ini dan sama di sisi Allah Yang Maha Esa. Jika kita jujur memudahkan dan hargai hasil kerja seseorang akan berbalik kepada kita juga.
Penerbit kerjanya agak mudah sebenarnya setelah kerja mereka banyak telah dibantu oleh para penulis untuk memerah otak mencari idea dan menghasilkan kerja yang baik dari mula penceritaan, tajuk dan pengakhiran cerita tersebut. Sementara penerbit akan analisa hasil kerja seseorang penulis dan membuat pembetulan dan menambah mana yang perlu untuk mencantikkan lagi hasil kerja tulisan dan berbincang apa yang patut dan tunggu untuk menerbitkannya sahaja.
Ini sekadar pendapat sayag sebagai orang baru tetapi punya pandangan yang jauh. Dari sekarang kita perlu mengubah prinsip pembayaran dan hargai hasil kerja seseorang seperti kerja anda para penerbit akan dinilai juga oleh para pembaca dan penonton setelah sesebuah cerita diluluskan. Sama ada sesuai atau tidak dengan budaya, adat, adab dan agama Islam agama rasmi kita sebagai orang Malaysia.
Semoga semakin bermutu dan sentiasa ‘advance’ mutu hasil kerja filem atau buku penulisan orang Malaysia kita yang akan membuka luas mata orang luar negara serata dunia nanti. Insya-Allah.
30Julai’24 ~ Nieda @ Nor Hanidah Sheikh Ali