SAYA berada di Biblio Bookcafe di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya Ahad lalu bersama-sama Rozan Azen Mat Rasip. Terdapat lebih 2,000 buah buku simpanan peribadi Datuk Raja Ahmad Aminullah yang dihimpunkan untuk dijual murah.
Selama empat hari (27 hingga 30 Julai 2024) buku-buku Datuk Raja memenuhi ruangan tengah café buku itu menunggu pembeli. Saya percaya tidak mudah untuk Datuk Raja melepaskan buku-buku yang mungkin dalam simpanannya puluhan tahun.

Saya sendiri punya koleksi buku yang banyak, terkumpul lebih 55 tahun. Malah saya terpaksa menyewa ruang pejabat untuk menyimpannya. Saya pernah bercadang untuk menjualnya secara murah apabila saya tidak mampu lagi mengurus koleksi 12,000 judul itu dengan baik. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menghadiahkan hampir kesemuanya pada Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) di kampus utama di Parit Raja, Johor.
Saya percaya banyak lagi pengumpul buku yang menghadapi masalah yang sama. Malah apabila mereka meninggal dunia keluarga tidak tahu apa yang patut dilakukan dengan buku-buku itu. Saya teringat kisah seorang penulis tersohor yang koleksi bukunya akhirnya menjadi mangsa anai-anai.
Himpunan buku terpakai Datuk Raja ini segera mengingatkan saya pada Wigtown, sebuah bandar kecil di Scotland, United Kingdom (UK). Wigtown adalah kota buku kebangsaan bagi Scotland. Di bandar ini terdapat lebih banyak buku dari manusia, kambing biri-biri dan lembu dikumpulkan.

Bayangkan sebuah bandar kecil yang dihuni oleh 1,000 orang tetapi mempunyai 15 buah kedai buku. Sebahagian besarnya adalah kedai buku terpakai. Bandar ini menjadi tempat berhimpunnya ribuan penggila buku dan pelancong setiap bulan September dan Oktober. Dari 17 September hingga 6 Oktober setiap tahun, Wigtown Book Festival akan berlangsung.
Tahun ini merupakan tahun ke-26 Pesta Buku Wigtown. Tahun ini juga menandakan tahun ke-26 Wigtown dinobatkan sebagai Bandar Buku Scotland. Satu masa dulu bandar kecil di sorokan sempadan England-Scotland-Wales ini adalah bandar mati, terpencil dan dilupakan. Hari ini pelancong datang berduyun-duyun untuk melihat sendiri keistimewaannya. Menurut laporan lebih sejuta pengunjung telah sampai ke Wigtown setakat ini dan membawa keuntungan ekonomi pada bandar ini dan kawasan sekitarnya.
Wigtown juga pernah menjadi tuan rumah pada Squadron ke-29 Tentera Udara UK tetapi kini hanya kapal terbang kecil menggunakan kemudahan lapangan terbang Baldoon.

Pada tahun 1990-an tiba-tiba Wigtown mencipta nama sebagai bandar buku. Mungkin Scotland mahu menyaingi Hay-on-Wye di Wales yang dikenal sebagai bandar buku. Terdapat lebih 20 buah kedai buku di situ. Seperti Wigtown, Hay-on-Wye punya jumlah penduduk yang kecil, sekadar 1,900 jiwa.
Saya sendiri mengenal Wigtown setelah membaca buku yang ditulis oleh seorang wanita dari Amerika Syarikat (AS) bernama Jessica A Fox. Buku ini adalah kisah beliau menemui Wigtown, alam buku dan cinta di situ. Buku itu berjudul Three Things You Need to Know about Rockets yang terbit pada tahun 2013.
Saya menemui pula buku The Diary of A Bookseller tulisan Shaun Bythell pada tahun 2017. Buku ini tentang kisah seorang penjual buku di Wigtown. Tidak banyak penjual buku yang menulis tentang pengalaman mereka menjual buku.
Bagi saya memoir ini merupakan buku tentang penjual buku yang terbaik pernah saya baca. Mana tidaknya beliau menulis tentang pengalaman susah senang menjual buku. Beliau membuat catatan pelbagai jenis manusia (dan kegilaan sesetengah daripada mereka) yang masuk ke kedainya. Juga merekodkan jumlah jualan harian setiap hari.
Kebetulan pada tahun itu saya merancang untuk terbang ke Scotland oleh sebab urusan rasmi. Pada waktu yang sama saya mengambil keputusan untuk melakukan pendakian dan trekking di Scotland termasuk di sekitar kawasan Fort William dan Glencoe. Bersama seorang teman, kami cuba mendaki Ben Navies, gunung tertinggi di UK. Kami gagal, salji datang awal di puncak Ben Navies tahun itu. Kami tidak bersedia untuk itu.
Saya menuju ke Wigtown untuk melihat sendiri bandar itu. Pesta Buku Wigtown sudah berakhir pada penghujung Oktober sewaktu kami sampai. Tapi kami bermalam untuk menjengah sebanyak mungkin kedai buku di bandar itu.
Saya berkesempatan sampai ke kedai buku terpakai milik Bythell. Namanya The Book Shop. Kedai ini adalah kedai buku terpakai yang terbesar dan Scotland. Di dalamnya terdapat lebih 100,000 judul buku yang disusun secara kemas. Kedai itu kelihatan unik dan antik, dengan cara penyusunan yang mengingatkan kita pada sebuah perpustakaan lama.

Bythell tinggi orangnya. Beliau memberitahu saya mungkin saya orang Malaysia pertama yang sampai ke kedainya. Mungkin beliau silap, mungkin juga ada orang Malaysia yang pernah datang tetapi tidak memperkenalkan diri mereka.
Sudah tentulah bagi seorang penggila buku, saya menganggap pegalaman saya di Wigtown amat bermakna. Saya melihat buku di mana-mana. Bandar yang hampir mati, hidup semula dengan wajah yang ceria, cerdik dan ghairah. Ini bukan sebarang bandar. Bandar buku untuk orang buku, penggila buku dan pembeli buku. Juga untuk orang biasa.
Baru-baru ini (2021) Kathleen Hart menulis buku Devorgilla Days: Finding Hope and Healing in Scotland Book Town.
Beliau pengidap barah payu dara yang hidup tanpa sokongan, tanpa wang dan hubungan suami-isteri yang mula musnah. Beliau datang ke Wigtown untuk tujuan pemulihan. Wigtown memulihkannya daripada segi semangat dan keyakinan. Beliau terhutang budi pada Wigtown. Seperti Jessica, Kathleen mendapati dunia yang luar biasa, segar bugar dan menenangkan di Wigtown. Jessica menemui cinta dan kehilangan cinta semula di Wigtown dalam buku Three Things You Need to Know About Rockets. Tetapi Kathleen menemui semula dirinya di Wigtown.
Wigtown punya cerita tersendiri untuk setiap orang yang mendatanginya, termasuk saya.

Saya menyebutkan tentang perlunya sebuah “Wigtown” di Malaysia pada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sewaktu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pertama. Saya memberitahunya kita akan kehilangan kedai buku satu persatu. Rangkaian kedai buku kini mengurangkan stok buku lalu membesarkan ruang stationery. Nampaknya menjual pen, kertas dan pemadam lebih menguntungkan dari menjual buku.
Saya cadangkan beliau menjadikan Simpang Renggam, tempat beliau sendiri sebagai Wigtown. Lagipun Simpang Renggam lebih dikenal kerana kompleks penjaranya. Kenapa tidak semarakkan Simpang Renggam menjadi sebuah bandar buku? Pada waktu yang sama memungkinkan peluang pertumbuhan ekonomi baharu di sana? Saya mengingatkan beliau hal seperti itu memerlukan komitmen, kesabaran dan kerjasama banyak pihak. Start small, nasihat saya.
Mungkin “model Simpang Renggam” boleh diperkembangkan pada bandar-bandar kecil yang lain, sekiranya sebuah Wigtown berjaya di situ.
Sayangnya beliau tidak lama menjadi Menteri Pendidikan.
Maka nampaknya tiada siapa lagi yang bermimpikan sebuah bandar buku di Malaysia.
– TAN SRI JOHAN JAAFFAR banyak menulis tentang buku, orang buku, dunia buku dan industri buku. Beliau juga menulis buku. Beliau mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Terima kasih sdr Johan, kerana suatu sudut perbukuan yang tidak byk diketahui org. Saya anggap diri saya sebagai hantu buku dan sudah pergi ke byk kedai buku di merata pekan, sudah pun pergi ke Hay-on-Wye, tapi belum ke Wigtown. semasa saya belajar di england saya tak tau itu pekan buku, saya kira itulah tempat mereka membuat dan menjual wig…tapi apa perlunya utk saya yang berambut penuh dan hitam. sekarang dah tau itu kota buku saya pula dah jadi penulis miskin…oleh itu saya baca dengan sedikit rasa terubat kerana tidak dapat ke sana. Makalah Jo menjadi penawar saya…