TAHUN 2024 merupakan satu pencapaian yang penuh makna bagi Senimalaya apabila perjalanan sepanjang tahun ini dipenuhi dengan pencapaian membanggakan dalam dunia seni dan budaya. Bermula dengan pengiktirafan sebagai rakan media untuk pameran unik anjuran Galeri Puteh “Sesat di Kuala Lumpur: Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M. Nasir”, hingga jemputan eksklusif oleh Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC, Senimalaya terus melakar sejarah sebagai medium penting dalam dunia seni tempatan.
Rakan media untuk pameran anjuran Galeri Puteh
Pameran “Sesat di Kuala Lumpur: Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M. Nasir” anjuran Galeri Puteh, menjadi salah satu acara seni yang paling dinanti-nantikan oleh peminat seniman yang digelar sifu pada tahun ini. Berinspirasikan lagu-lagu ciptaan Datuk M. Nasir, pameran ini menghimpunkan lebih 60 karya yang dihasilkan kira-kira 30 pelukis tempatan.
Pameran ini bukan sekadar mendedikasikan penghormatan kepada legenda seni ini, tetapi juga merungkai keunikan pandangan dunia beliau terhadap seni, muzik, dan budaya Malaysia.
Sebagai rakan media rasmi, Senimalaya memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan dan mempromosikan pameran ini kepada khalayak lebih luas.
Jutaan terima kasih kami kepada Nizam Rahmat dan Galeri Puteh yang memilih Senimalaya sebagai rakan media untuk pameran “Sesat di Kuala Lumpur: Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M. Nasir”. Juga penghargaan kami kepada Datuk M.Nasir dan Datin Marlia Musa atas segala kerjasama yang diberikan. Moga ada lagi kerjasama selepas ini.
Jemputan eksklusif ke Washington DC
Sementara itu, satu lagi pencapaian penting berlaku apabila Senimalaya menerima jemputan rasmi daripada Kedutaan Besar Malaysia di Amerika Syarikat untuk membuat liputan tentang pameran songket Malaysia di Washington DC.
Pameran ini menampilkan kehalusan seni tenunan tradisional Malaysia kepada masyarakat antarabangsa, di mana karya-karya songket yang dipamerkan menonjolkan nilai seni dan budaya Melayu yang kaya. Senimalaya berpeluang untuk membuat liputan tentang pameran ini yang telah memberi ruang untuk seni tekstil tradisional ini dikenali dan dihargai oleh masyarakat luar.
Terima kasih kami kepada Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datin Seri Haflin Nazri atas kepercayaan yang diberikan kepada Senimalaya.
Peranan Senimalaya sebagai platform seni dan budaya
Kejayaan-kejayaan ini membuktikan bahawa Senimalaya bukan sekadar portal berita seni biasa, tetapi sebuah platform yang membawa tanggungjawab dalam mengangkat martabat seni dan budaya Malaysia. Dari karya seni kontemporari hingga seni tradisional, Senimalaya berusaha memastikan semua lapisan seni menerima tempat di bawah perhatian masyarakat.
Dengan penghormatan sebagai rakan media rasmi serta jemputan ke acara di luar negara, Senimalaya terus memperkukuh kedudukannya sebagai suara utama dalam dunia seni Malaysia, sambil memupuk kefahaman dan penghargaan terhadap seni tempatan.
Tahun 2024 telah menjadi bukti nyata bahawa Senimalaya bukan hadir sekadar untuk ada tetapi berusaha untuk menjadi platform terbaik bagi seni, budaya dan sastera. Kehadiran beberapa penulis unggul seperti Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, Ku Seman Ku Hussain, Noor Azam Shairi, Dr Muliyadi Mahamood, Abdullahjones, Ku Syafiq Ku Fozi, Fazleena Hishamuddin dan beberapa nama lain.
Kami amat terhutang budi kepada Galeri Puteh yang banyak membantu kami sejak awal kemunculan portal ini dan sentiasa memberi peluang kepada portal kecil ini.
Selain itu kami mengucapkan terima kasih kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), CIMB, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Balai Seni Negara yang menaruh kepercayaan terhadap Senimalaya.
Senimalaya akan memastikan kami hadir bukan hanya sebuah portal, tetapi satu pergerakan budaya yang menyatukan seni, dan suara rakyat Malaysia.

