AMBO sebenarnya tak ingat bila tarikh mula-mula tengok dikir barat. Tahu-tahu dah jatuh minat. Dah hafal nama nama tokoh dikir barat ketika itu. Nama Tok Jogho (juara) saperti Daud Bukit Abal, Aripin Ana, Jusuh Kelong dan Salleh Jambu melekat di kepala. Begitu juga nama nama tukang karut Seman Wau Bulan, Husin Alur Kuang/ Gelang Emas, Awang Ikan Duyung dan Dolah Kulat Malam. Ramai lagi yang berdikir tapi empat Tok Jogho dan empat Tukang Karut ini sahaja yang jadi bualan peminat dikir barat. Masing masing ada ciri-ciri tersendiri yang menarik minat penonton.
Kampung Landak, kampung ambo tidak mempunyai kumpulan seni budaya. Tak pernah ada pasukan dikir barat, kumpulan wayang kulit, main kertok, bersilat atau apa-apa. Kampung baik. Lama sebelum ayah ambo jadi Tok Penghulu, dia pernah buka gelanggang tomoi. Umur ambo lima tahun ketika itu. Ambo ingat lagi sikit-sikit. Tok gurunya Jusuh Sabak. Ayah ambo jadi Tok Penghulu tahun 1968.
Ambo tengok dikir barat di padang Penjara Pengkalan Chepa. Setahun sekali ada malam pasaria. Ada juga di padang Polis Hutan (PPH).
Semasa perasmian Sekolah Rendah Dato Hashim pada tahun 1973, ambo darjah enam, secara tak sedar ambo naik ke bangsal dikir barat dan turut bertepuk tangan. Orang kata “pergi dengan angin”.
Ketika pesta puja pantai tahun yang sama di Pantai Hiburan Dasar, Sabak, ambo pergi dengan dengan Denan Kancil (tua 3 tahun dari ambo) dan dua lagi kawan. Dikir barat mula pukul dua belas tengah malam. Sebelum dikir barat, ada wayang kulit. Selain itu ada teka biji betik. Bayar lima puluh sen dan tekalah berapa banyak biji ada dalam buah betik yang belum di belah itu. Di pertengahan acara dikir barat barulah diumumkan betik akan dibelah dan dikira jumlah bijinya. Pemenang akan menerima sebekas pulut kuning. Kalau ramai yang teka jumlah yang sama, maka kongsi lah pulut hadiah itu.

Kami juga dapat tengok orang lepaskan lembu sembelihan ke laut. Acara tolak bala. Ketika itu ritual sebegini masih jadi amalan masyarakat.
Kami berjalan kaki pergi dan balik. Persembahan dikir barat selesai kira-kira pukul 5 pagi. Jarak kampung Landak dan Pantai Sabak kira-kira 5 batu. Kami tetap balik sebab pagi nak pergi sekolah.
Malam itu ada orang bergaduh. Malah bertikam. Kalau tak silap yang menikam itu namanya Che Wil. Dia orang Sabak. Ada gelarannya tapi saya lupa. Lawannya bukan orang tempatan. Bergaduh tempat hiburan ini biasa sangat. Di tempat macam ini lah senang nak jumpa musuh. Ada musuh yang dah lama dan ada juga kes baru. Baru berlaku malam itu juga. Kadang-kadang kes tengok menengok saja, “Apa tengok tengok? Nak apa?” Itu saja.
Sekali lagi tahun yang sama, ambo, Denan Kancil dan seorang kawan ke Kota Bharu. Salah satu acara sambutan keputeraan Sultan Kelantan adalah dikir barat. Acara ini dianjurkan oleh RTM Kelantan. Malam itu sebelum dikir barat penonton dihiburkan dengan nyanyian oleh penyanyi tempatan saperti Husin Selamat, Normah Jan dan Wan Salman Ahmad. Selain itu kita bergelak ketawa dengan pelawak lokal Wak Sir, Pok Ya dan Yunus Ismail (gitaris kombo RTM). Persembahan istimewa malam itu yang dibawa khas dari Kuala Lumpur adalah pelawak terkenal ketika itu trio SM Salim, Ibrahim Din dan Jamal Kerdil. Pertama kali dapat tengok secara hidup mereka ini. Tapi lawak kumpulan Wak Sir tetap menyengat. Kita faham gurauan kita.
Sekali lagi kami bertiga balik jalan kaki. Pukul dua belas malam, bas sudah tak beroperasi. Pukul dua belas dikir barat baru mula. Sampai rumah pukul tujuh pagi.
Begitulah peringkat awalnya kegilaan ambo pada seni dikir barat ini. Suka pada seni karutnya. Cerita dalam berpantun secara spontan dan bergurau menarik minat ambo. Seman Wau Bulan lawan Husin Alur Kuang paling diminati. Kemudiannya awal 70-an, dunia dikir barat di Kelantan diwarnai dengan kehadiran tukang karut dari Selatan Thai. Ku Mat Patani mula dengan lagu-lagu yang ditukar lirik. Lirik dalam dialek Kelantan/ Patani mula digilai. Sebelum itu nyanyian sudah pun ada di bangsal dikir. Lagu-lagu biasa sahaja. Lagu hindustan dan lagu-lagu langgam Melayu. Lagu P.Ramlee pun ada. Akan tetapi bila ditukar lirik lokal dia lagi melekat. Antara lagu awal Ku Mat bawa ialah lagu Dunia Moden. Ditukar lirik lagu yang asalnya bahasa Minang, Ayam Den Lapeh.
Kemudian masuk beberapa nama lagi dari Selatan Thai. Nama Mat Yeh, Sudin Pok Wo dan Sudin Kecik mula digemari. Asalnya setiap kumpulan hanya seorang tukang karut sudah bertambah jadi dua orang. Makin menarik.
Lagu-lagu yang liriknya berbau lucah bukan sahaja dapat dinikmati di bangsal dikir malah dikasetkan. Dengan demikian ia viral merata-rata. Sebenarnya semua lagu-lagu yang lirik berbau lucah itu mengandungi nasihat dan pesanan yang baik. Lirik yang berbau lucah menjadi halal ketika di bangsal dikir barat. Kata-kata lucah yang sama tidak mungkin menjadi halal atau manis didengar di kedai kopi atau di tempat lain.
Pertama kali ambo berdikir (berkarut) tahun 1980. Ketika itu ambo di tingkatan enam rendah di Institut Pendidikan Kota Bharu. Hari penutup minggu orientasi. Tahun kemudiannya tingkatan enam atas sekali lagi berdikir lawan kumpulan dikir cikgu. Ambo tak belajar. Masih “pergi dengan angin”.

Kemudian ambo lama tak tengok dikir barat. 1982 ambo datang ke Kuala Lumpur. Ambo balik cuti pun hanya dua kali masuk pagar guni dikir barat.
Tahun 1988, ambo berdikir di DBP secara tak dirancang. Ini berlaku bila ambo lihat tukang karut pasukan dikir barat bahagian percetakan DBP Ulu Kelang menghafal lirik. Tukang karut mesti spontan, tidak boleh menghafal. Ambo lupa majlis apa. Ambo sebagai pengacara majlis pada hari itu minta dengan ketua kumpulan untuk ambil alih. Dia setuju. Itulah kali pertama ambo berdikir di Kuala Lumpur.
Sampai hari ini ambo masih “pergi dengan angin”.
– SABRI YUNUS merupakan seorang pengarah dan pelakon yang sering menampilkan kesenian dan kebudayaan Kelantan dalam karyanya.

