“PENGHASUT datang! penghasut datang!” Kata mereka bila melihat kelibat kami. Inilah yang berlaku akhir-akhir ini bila kami ke mana-mana.
Hati kami terguris. Bukan terguris sikit tapi terguris banyak. Berkeping-keping jadinya. Memanglah kami ini kuat mengata orang dan kaki fitnah tapi kami sebenarnya ada perasaan dan agak mulia peribadinya.
Dan kata-kata adalah doa. Maka lain kali jika kita bertemu, katakan saja, “Ahli sorga datang! Ahli sorga datang!”. Ialah, mengharap kamu menghulur tangan dari atas di sana nanti, kamu juga entah-entah duduk dalam ‘Melaka’. Jadi doakan kami masuk sorga dan dengan izin Tuhan, akan kami cari kamu walau terpelesok di lubuk yang mana.
Sekian sedikit luahan perasaan.
Kita balik kepada kisah pengembaraan kami ke Pantai Timur. Lawatan sehari semalam tapi sudah lebih tiga minggu belum habis ditulis itu. Kepada para penulis, ini adalah teknik untuk mendapat bayaran yang banyak untuk kerja yang sedikit.
Kami akan selesaikan tulisan mengenai lawatan ke Pantai Timur ini dalam tulisan yang akan datang. InsyaAllah.

Setelah keluar dari studio Azzaha Ibrahim, kami mencari tempat untuk sarapan. Cadangan ialah untuk kembali ke kedai roti tempayan kelmarin. Mahu makan kari kambing dan bayar sendiri. Malangnya kedai tersebut belum dibuka dan kami meneruskan perjalanan sambil melihat-lihat di tepi jalan jika ada kedai atau warung yang menarik untuk dilanggan.
Kami kemudiannya berhenti di sebuah kedai yang baru hendak memulakan perniagaan untuk hari itu. Terdapat hidangan biasa Kelantan seperti nasi kerabu, nasi dagang dan juga beberapa hidangan lain. Kami lupa apa yang kami makan tetapi yang pasti kami tidak makan nasi kerabu. Walaupun berasal dari Pantai Timur dan kacak, kami belum pernah makan nasi biru disimbah budu itu. Katanya sedap sangat tetapi kami belum mahu mencuba dan tak ada yang berjaya menghasut kami untuk memakan nasi kerabu.
Seperti juga nasi kerabu, tak ada siapa yang berjaya menghasut kami minum air dalam mangkuk. Kami memang tak pernah minum air dalam mangkuk.
Jenis tak bertamadun.
Bercakap fasal makanan, kami gemarkan makanan Terengganu seperti nasi dagang, ketupat sotong, singgang dan juga rojak betik.
Rojak betik Terengganu sebenarnya bukan seperti rojak biasa. Ianya hanya betik separuh masak yang dikelar, sedikit mentimun dan juga sekeping atau dua nenas. Kuahnya pula diperbuat dari ikan dan seakan-akan kuah laksa Kuala. Bezanya cuma, kuah rojak betik Terengganu sedap manakala laksa Kuala langsung tak sedap.
Nasi dagang Terengganu berbeza dengan yang di Kelantan. Singgang mereka juga berbeza. Begitu juga dengan ketupat sotong. Di Kelantan kami tidak pernah menemui rojak betik. Jika ada, sila beritahu kami. Teringin juga mencubanya.
Oh! Di Terengganu, nasi minyak juga adalah sarapan yang popular. Dan ia juga adalah sarapan kegemaran Laki Hanim. Jenis nak kawin banyak tapi takut, jadi memadailah bagi dia makan nasi minyak banyak kali sambil kesal.

Memang kami merancang untuk melawat Muzium Losong di Terengganu. Selain untuk bertemu dengan Saberi Muda, kurator, penggiat teater, penulis puisi dan juga pelukis, kami juga tertarik ke sana kerana muzium tersebut adalah di antara muzium yang menghormati karyawan seni.
Buku sajak Saberi yang berjudul ‘Wook’ kekal menjadi di antara kumpulan sajak yang kami gemari.
Beberapa tahun lalu, muzium tersebut menjadi tempat untuk pelukis berlumba berebut hadiah dalam pertandingan Terbuka Terengganu. Kami mengagak pertandingan tersebut bertahan sekitar sepuluh tahun sebelum diberhentikan. Namun usaha untuk mengangkat seniman tidak terus diabaikan.
Muzium Terengganu kekal mengadakan pelbagai aktiviti bagi meraikan seniman tempatan. Seniman catan sentiasa berada di hati mereka disebalik keghairahan mereka mengumpul artifak yang mewakili sejarah dan juga warisan negeri tersebut.
Pelbagai aktiviti khususnya untuk para pelukis tempatan diadakan sepanjang tahun.
Usaha yang baik ini seharusnya diteruskan walaupun hanya sebagai pemberi semangat kepada seniman satu-satu negeri untuk terus berkarya.
Di Muzium Terengganu kami di bawah minum di gerai berhampiran. Sebelum itu kami bercadang untuk melihat pameran catan yang diadakan namun Saberi memberitahu kami yang pameran tersebut sudah pun berakhir dengan aktiviti catan yang akan datang hanya akan bermula pada minggu yang satu lagi.
Ketika kami sampai di muzium itu, pameran lain sedang berlangsung. Pameran motosikal jika kami tidak silap.
Kami tidak bercadang untuk melihat pameran tetap di muzium tersebut kerana sudah melihatnya beberapa tahun yang lalu.
Mula-mula kami kenal Taib Aur ialah di Johor Bahru. Kami ingat dia orang Johor tapi rupanya dia orang Taiping. Kemudian sebelum naik berjumpa Saberi, kami bertemu Taib di tempat letak kereta muzium. Sekali lagi kami sangka dia orang Terengganu rupanya dia orang Perak.
Taib ini boleh merupa-rupa dan kebolehan ini adalah amat penting untuk seorang seniman. Namakan apa saja yang kamu mahu dari seorang seniman maka Taib akan mengadakannya.
Dia bukan saja menerima tempahan portrait, mural dan apa-apa hal berkenaan lukisan malah ‘kaing ssahang’ pun dijualnya.
Setelah selesai di muzium, Taib kemudiannya membawa kami melawat beberapa mural hasil tangannya di sekitar Pulau Duyong. Sebelum berangkat ke tempat lain, dia telah membawa kami ke studionya. Studio tersebut agak porak peranda. Mungkin Taib boleh memberi sedikit masa dalam kesibukan menerima tempahan itu ini untuk menjadikan studio dan galerinya itu lebih aman untuk dilawati.
Sedikit mengenai orang Perak.
Dalam tulisan yang lalu kami katakan yang orang Perak itu memang terkenal dengan baik hati dan ramah tamah. Sebenarnya kami tulis demikian hanya sekadar untuk mengambil hati penduduk negeri tersebut. Sekadar berbasa-basi.
Tetapi, baru-baru ini kami ke Lenggong dan terbukti orang di sana memang baik hati dan sangat mengalu-alukan tetamu.
Tidak pernah kami merasa begitu diraikan melainkan bila di Lenggong. Seawal subuh hari kami disapa oleh beberapa orang di masjid. Mereka bertanya khabar dengan wajah yang penuh dengan senyuman dan ini adalah menakjubkan jika kita mahu bercakap benar. Jarang orang masjid datang bersalam dengan orang luar tambahan pula kami semuanya kelihatan seperti budak-budak tabligh yang tak terurus itu.
Selesai di masjid kami ke warung berhampiran dan sekali lagi kami terpegun dengan keramahan penduduknya. Mereka dengan gembira bertanya itu ini dan berbual mesra. Tahniah penduduk Kampung Sumpitan.
‘Orang Ulu…’ kata Raduan bila kami menyatakan ketakjuban akan hal baiknya orang Lenggong.
Itulah, orang Sayong mengata orang Lenggong. Padahal sama-sama orang darat.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang tinggal di kawasan bertaraf antarabangsa tetapi sukar dihubungi.

