2 November 2023 lepas, ketika Israel terus “membedal” Palestin dan dunia bangkit untuk menyuarakan penentangan terhadap kekejaman negara Zionis itu, kumpulan rock terkemuka The Beatles melancarkan lagu terakhir mereka bertajuk “Now and Then”.
Dunia yang marah dengan tindakan zalim Israel terhadap rakyat Palestin dan dimanifestasikan dengan demonstrasi besaran-besaran di kota-kota besar seperti London, Paris dan New York “ditenangkan” dengan lagu ciptaan John Lennon itu.
Tiada siapa yang menyangka pada tahun 2023, 53 tahun selepas The Beatles berpecah dan dua daripada anggotanya, Lennon dan George Harrison sudah meninggal dunia, Now and Then dikeluarkan dengan penglibatan semua anggota kumpulan itu, terima kasih kepada bantuan kecerdasan buatan atau artificial intelligence.
Pemain dram kumpulan itu, Ringo Starr dalam laman sesawang rasmi The Beatles berkata lagu itu “adalah yang paling bermakna pernah kami usahakan untuk membawa dia (Lennon) kembali ke dalam studio, jadi ia sangat emosional untuk kami semua”.

Hubungan cinta
The Beatles bukan hanya dimiliki oleh generasi 1960-an atau 1970-an sahaja kerana lagu-lagu mereka terus relevan merentasi zaman menyebabkan apabila lagu Now and Then dikeluarkan, ramai yang emosional sehingga mengalirkan air mata walaupun sebahagian besarnya belum lagi lahir ketika kumpulan itu berada di tahap kemuncak.
Ketika artikel ini ditulis, enam hari selepas Now and Then dilancarkan, di Youtube ia mendapat 24 juta tontotan sementara di aplikasi Spotify distrim lebih 16 juta kali.
Now and Then pada mulanya dicipta dan dirakamkan Lennon pada tahun 1977 di rumahnya di New York, Amerika Syarikat dengan diiringi oleh denting piano akan tetapi masih belum diselesaikan.
Pada tahun 1994, balu kepada Lennon, Yoko Ono menyerahkan dua kaset yang mengandungi beberapa lagu-lagu dirakam Lennon yang belum lagi selesai atau dikeluarkan kepada Paul McCartney.
Lagu-lagu yang terdapat dalam dua kaset diberikan Ono ialah “Free as a Bird”, “Real Love”, “Grow Old with Me” dan Now and Then.
Free as Bird dan Real Love diselesaikan dan dikeluarkan dalam album kompilasi “The Beatles Anthology” pada tahun 1995 dan 1996, manakala Grow Old with Me diterbitkan dalam album terakhir Lennon bersama Ono yang bertajuk “Milk and Honey” pada tahun 1984.
Terdapat percubaan untuk melakukan perkara sama dengan Now and Then tetapi projek itu terbengkalai kerana bunyi latar belakang pada kaset demo menyebabkan Harrison menolaknya.

Lennon dan McCartney merupakan dua watak yang mendominasi The Beatles dengan lagu-lagu ciptaan mereka walaupun tidak dinafikan bakat Harrison dalam penciptaan lagu apabila mula diberikan ruang tidak berapa lama sebelum kumpulan itu berpecah.
Gandingan Lennon dan McCartney dalam memacu The Beatles sehingga merevolusikan industri muzik dunia akhirnya bertukar menjadi persaingan sesama sendiri yang menjadi salah satu punca kepada perpecahan kumpulan itu.
Selepas masing-masing bergerak secara solo sebagai penyanyi dan pencipta lagu, “perang dingin” antara Lennon dan McCartney diteruskan di dalam lirik lagu masing-masing.
Contohnya dalam lagu “How Do You Sleep?” yang ditujukan Lennon kepada McCartney. Sementara McCartney membalasnya dengan lagu “Dear Friend” tetapi akhirnya mereka berdamai.
Giles Martin, penerbit kepada lagu terakhir The Beatles itu mempunyai teori tentang mengapa McCartney bersungguh-sungguh mahu menyiapkan Now and Then walaupun pernah ditolak oleh Harrison.
Beliau yang juga anak kepada penerbit The Beatles, George Martin yang dianggap sebagai lagenda berkata: “Saya merasakan ‘Now and Then’ seperti surat cinta kepada Paul, yang ditulis oleh John.”
Sementara Ian Leslie, yang sedang menyiapkan bukunya bertajuk “John and Paul: A Love Story in Songs” menulis di The New York Times: “Walaupun ia sering dikatakan sebagai sebuah persahabatan, persaingan dan perkongsian yang menguntungkan, cara terbaik untuk memikirkan tentang hubungan antara dua orang pintar ini ialah hubungan cinta.”
Antara yang ditulis Lennon dalam Now and Then:
“I know it’s true
It’s all because of you
And if I make it through
It’s all because of you.”
Sementara dalam sebuah lagu yang ditulis sebagai penghormatan terhadap hubungannya bersama Lennon yang bertajuk “Here Today”, kurang setahun selepas sahabatnya itu dibunuh pada 1980, McCartney menulis:
“And if I said,
I really knew you well, what would your answer be?
If you were here today?
Ooh, ooh, ooh,
Here today,
Well, knowing you,
You’d probably laugh and say that we were worlds apart,
If you were here today,
Ooh, ooh, ooh,
Here today,
But as for me,
I still remember how it was before,
And I am holding back the tears no more,
Ooh, ooh, ooh,
I love you.”
Lagu yang dimuatkan dalam album “Tug of War” pada tahun 1982 sedikit sebanyak boleh memberikan kefahaman kepada kita tentang hubungan antara kedua-dua lagenda itu dari pandangan McCartney yang boleh dikatakan sebagai salah seorang manusia yang sangat memahami Lennon.
Sementara Now and Then pula merupakan versi dari Lennon yang ditulis lebih awal.
Apa pun latar belakang di sebalik lagu Now and Then, ia tetap memberikan kesan yang besar terhadap ramai orang dan pada tahun 2023, 63 tahun selepas penubuhannya, The Beatles kekal sebagai antara kumpulan muzik paling berpengaruh di dunia.
Dan McCartney dan Starr sudah pasti merasa sangat lega kerana dapat menyelesaikan sebuah tugas besar, menyiapkan lagu terakhir The Beatles tanpa Lennon dan Harrison bersama mereka secara nyata.
AMIN ISKANDAR merupakan seorang penulis yang meminati seni dan kebudayaan.
