“Yusry KRU hanyalah watak fiksyen. Dia bukan nyata, tak wujud pun. Saya hanyalah seorang family man. Semua yang ada ni kita pinjam. Masing-masing ada kehidupan sendiri. Sebab andalah, kami ada di sini. Sebab anda semua (menunjuk ke arah penonton) kami ada di sini yang sebenarnya sudah melepasi tarikh luput.”
Momen ini menjadi kegemaran saya sepanjang konsert GenKRU The Finale, dan mungkin juga akan terpahat dalam ingatan untuk jangka masa yang panjang. Wisdom words dari seorang penghibur yang telah mengabadikan dirinya selama lebih tiga dekad dalam bidang hiburan tanahair.
Hati saya diguris halus, serta merta airmata bertakung di kelopak.
Stadium Hoki Bukit Jalil bergema pilu, dan terlihat ramai yang mengesat airmata ketika visual zooming ke wajah mereka.
Terdengar jeritan:
“Jangan nangis bang Chik. Masih terlalu awal ni.”
Ketika menuturkannya, Yusry hanya seorang di atas pentas untuk segmen ‘The Yusry Show’. Antara gimik yang dihadirkan setelah 4 konsert yang berlangsung sebelum ini di Axiata Arena, sekitar Mei, kemudian diteruskan dengan cemerlang di kota Singa pada Jun lalu.

Konsert yang mencatat sejarah dalam industri hiburan Malaysia dengan dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records: Most Shows in a Single Concert Series dan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour, dengan 8,000 tiket habis dijual dalam masa satu jam.
Bila dengar Yusry kata begitu, saya semakin faham mengapa KRU masih bertahan, diminati, dan disayangi ramai–termasuk saya, peminat fanatik sejak zaman sekolah.
Dinding bilik penuh wajah mereka bertiga–ditampal dari keratan akhbar dan majalah. Punyalah minat pada Yusry; sampai ada seorang ‘abang angkat’ semata-mata sebab muka dia ada iras Yusry. Begitulah gigihnya fangirling zaman tu. Walaupun terpaksa berebut kasih sayang dengan budak perempuan lain. Malu juga bila teringat.
Waktu tingkatan empat, saya ada jersey Lakers yang dipakai setiap hujung minggu sampai koyak rabak dan lunyai, gara-gara pengaruh KRU. Kira terpaling fesyen masa itu. Belum cerita pasal kaset yang ulang siang malam, sambil buat konsert sendiri dengan panjat katil (adik-adik jadi penonton), sampai tercabut spring-nya. Mengamuk mak abah. Itulah penangan KRU dalam memori zaman kecil saya dan mungkin juga buat ribuan anak perempuan yang membesar era 90-an.
Seorang artis pasti punya ramai pengikut, dan cara peminat menyatakan sayang mereka pula pelbagai bentuk. Bila Yusry secara rendah diri mengatakan beliau hanyalah watak fiksyen, ia seolah-olah mengajak kita merenung kembali tujuan hidup–kenapa kita meminati seseorang? Mengapa kita jadikan mereka inspirasi? Kata-katanya itu seperti bisikan lembut: hiburan itu sementara, idola harus dihargai dengan sederhana, dan setiap insan perlu kembali pada fitrah, menjadi manusia yang baik.
Banyak perbandingan dibuat dari konsert sebelum ini. Di media sosial, peminat yang hadir di Axiata Arena, meluahkan rasa tak puas (dengan pelbagai faktor; pilihan lagu, pentas kecil, sound system dll). Tak sepatutnya saya mengulas tentang itu, kerana cuma hadir menonton GenKRU The Finale: One More Time pada 22 November.

Teringat kata sepupu saya waktu kami main pickleball. Wajib tengok konsert KRU at least sekali seumur hidup. Rasa terpukul, saya mencari tiket beberapa hari sebelum hari kejadian. Kami (saya dan suami) beruntung dapat tiket yang dijual di Carousell dengan harga jauh lebih murah dari asal, dan tempat duduk yang agak selesa. Kebetulan pemilik tiket tersebut tidak dapat hadir atas masalah kesihatan. Dia cuma mahu let go saja (istilah paling tepat: bersedekah), dan saya anggap itu sebagai rezeki buat kami.
Sebelum adik-beradik KRU muncul, ada pesanan keselamatan–memberi amaran kepada khalayak untuk berhibur tapi jangan lupa standby minyak angin. Ramai yang terhibur. Tapi sungguhlah kiri kanan saya rata-ratanya mereka yang berusia mungkin sekitar 35-40 tahun. Lebih dari usia itu pun ramai. Anak dah besar-besar dan mungkin dah bercucu pun.
Paling seronok dapat lihat fesyen masing-masing. Tema pakaian masih kekal dengan 90-an seperti konsert terdahulu. Yang membawa gaya streetwear klasik, seluar baggy, jaket kulit atau jeans, dan kasut retro seperti Converse, Timberland, atau Reebok Pump. Peminat bergaya ala 90-an untuk mengekalkan semangat nostalgia konsert ini. Saya juga berusaha untuk tampil dengan gaya makwe 90’s dengan checkered dress dipadankan dengan high cut boot dan skaf di leher. Ala-ala Meg Ryan dalam filem Sleepless in Seattle.
Bukan mudah pada usia mereka sekarang–Norman (53), Yusry (52) dan Edry (49)–untuk tampil dengan tenaga sekuat zaman muda. Apatah lagi bila membawakan lagu-lagu yang up-beat dan menuntut stamina tinggi. Namun khalayak dapat melihat sendiri betapa serius dan kerasnya latihan yang mereka jalani. Nyanyian dan persembahan mereka bukan saja bertenaga, malah terasa lebih mantap berbanding era remaja dahulu. Fit, karismatik dan penuh aura. MC Normy pula–rap beliau memang smooth, padu habis. Salut.

Ternyata KRU 2025 masih kelihatan segak dan bergaya–memang sedap mata memandang. Jelas bahawa mereka sangat sedar penampilan masih menjadi elemen penting sebagai karyawan. Kepekaan mereka terhadap apa yang dilihat mata menunjukkan betapa seriusnya untuk menjaga citra, bukan sahaja secara luaran, tetapi juga mencerminkan disiplin dan profesionalisme dalaman. Semua ini memberi gambaran bahawa seni bukan sekadar suara atau persembahan, tetapi juga keseluruhan pengalaman visual yang mengangkat martabat karya mereka.
Keringat yang membasahi tubuh mereka sepanjang konsert membuktikan segalanya. KRU bukan sekadar kumpulan muzik. Mereka adalah pioneer, innovator, dan jenama yang membentuk wajah muzik moden Malaysia. Sejak muncul pada 1992, mereka memecahkan tradisi dengan gabungan rap, R&B, pop, dance dan unsur elektronik–sesuatu yang hampir tiada di Malaysia ketika itu. Hasilnya, lahirlah era baharu muzik urban tempatan.
Keikhlasan terpancar dari wajah dan aksi mereka yang begitu berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk setiap peminat yang datang dari jauh dan dekat. Berkali-kali menzahirkan ucapan terima kasih buat peminat yang sentiasa menyokong.
Konsert GenKRU The Finale: One More Time seolah hadiah buat peminat sejati atau OG GenKru yang tahu lebih dari sekadar lagu-lagu mainstream. Tiada lirik yang dipaparkan di visual, mungkin inilah yang mengundang kekecewaan peminat baru. Generasi X dan Y semuanya mengunyah lirik, dan mereka boleh sing along sepanjang konsert.
Antara lagu rare yang dinyanyikan seperti Balada Hati, Diari Metropolitan, Emilia, Sampai, Salah Siapa, Sayang, Enuff Ezz Enuff dan banyak lagi. Sepertinya KRU tidak mahu mengulang barisan lagu yang sama seperti sebelum ini. Pada saya itu percaturan yang menarik juga. Mustahil untuk puaskan hati semua. Namun lagu-lagu wajib seperti Mengerti, Awas, Fanatik, Jangan Lafazkan tetap didendangkan.
Secara peribadi saya merasakan 24 buah lagu yang dinyanyikan termasuk beberapa medley, cukup rencah dan membekas. Seimbang antara rancak dan balad. Beratus lagu KRU, tentunya untuk memilih dan menyusun dalam dua jam setengah persembahan, pekerjaan yang sukar. KRU juga tidak sambil lewa dan malas dengan menyerahkan lagu-lagu dengan versi asal, mereka menggubah dan melakukan arrangement yang segar dan terkini.
Nama ‘GenKRU’ bukan sekadar judul konsert–ia simbol penghargaan kepada fanbase yang merentasi tiga zaman: Gen X yang menyaksikan kelahiran revolusi muzik KRU pada awal 90-an, Millennials yang membesar dengan lagu-lagu mereka sepanjang era 2000-an, dan Gen Z yang mengenali mereka melalui filem, media sosial dan karya-karya klasik yang kekal relevan. KRU menyatukan semua lapisan peminat sebagai Generasi KRU–komuniti yang dibentuk oleh muzik, memori dan legasi mereka yang tak pernah pudar.

Istimewa untuk konsert kali ini, masing-masing dapat personal spot, dapat cerita serba sediit perjalanan masing-masing dengan lebih intim. Kita harus akui yang mereka bertiga mempunyai bakat yang unik dan tersendiri. Kalau seorang sudah hebat, apalagi kalau bergabung. Kehebatan KRU tidak berhenti pada penciptaan lagu atau nyanyian semata-mata. Mereka ialah karyawan serba boleh: penerbit muzik, komposer, pengarah filem, penulis skrip, penerbit eksekutif, dan usahawan kreatif yang pernah menerajui pelbagai cabang industri hiburan.
Hubungan adik-beradik ini jelas kelihatan, bukan sekadar chemistry di pentas. Saya yakin ia adalah cerminan didikan dan sifat kekeluargaan yang mereka terima sejak kecil. Bonding ini menunjukkan pada khalayak bahawa kejayaan bukan hanya tentang bakat, tapi juga sokongan, ketekunan, dan saling menyayangi. Dalam industri muzik yang penuh cabaran, keteguhan mereka sebagai adik-beradik jadi inspirasi nyata–bukti bahawa persaudaraan dan kerjasama boleh membentuk sesuatu yang luar biasa. Saya begitu kagum dan hormat dengan ibu bapa mereka–inilah contoh sebenar parenting goals.
Edry tak dapat menahan sebak bila berkongsi ayahnya tidak dapat hadir ke konsert atas masalah kesihatan. Sambil mengusap airmata, dia memohon para peminat mendoakan kesejahteraan ayahnya yang menjadi tiang utama dalam perjalanan mereka sebagai anak seni. Sekali lagi, seluruh stadium terdiam dalam rasa hiba. Ini adalah pengorbanan yang terpaksa diteruskan demi melunaskan apa yang dirancang, tapi di sudut hati, fikiran tetap melayang pada insan tersayang. Itulah realiti duri dan belati yang tersembunyi di sebalik gemerlap pentas yang ramai tak nampak.
Sebenarnya, bila dengar dengar tekun lirik-lirik KRU, ia straightforward–tiada bunga-bunga atau puitis. Lagu-lagu cinta mereka, misalnya, bersifat melankolis dan lugas, kadang-kadang sedikit ‘cringe’, tanpa simbolisme, metafora, atau simile. Namun, kekuatan sebenar KRU terletak pada melodinya. Lagu-lagu mereka catchy, mudah dihadam, dan tidak meleweh, menjadikan setiap karya fresh dan mudah diingati. Tanpa keraguan bahawa mereka memang master of melody–lagu-lagu mereka penuh hook, evergreen, dan tetap relevan hingga kini.
Kemunculan artis undangan seperti kumpulan nasyid Rabbani, Juliana Banos, Elite, dan Adam AF menambahkan lagi kehangatan konsert. Namun, kalau diberikan sedikit ruang untuk ucapan–tentu lebih seronok. Contohnya, Juliana Banos yang sudah lama bersara dari dunia nyanyian dan membuat penampilan julung kali, sepatutnya diberi peluang berbicara dengan penonton.

Namun begitu, Juliana tampil dengan persiapan yang rapi, anggun, dan penuh tenaga, membawa kembali nostalgia serta memenuhi kerinduan peminat yang sudah lama menunggu penampilannya. Sehidup Semati lagu yang dinyanyian bersama Edry dan kemudian disusuli oleh Yusry dan Norman–menjadi soundtrack hidup bagi ramai peminat, tampil sebagai salah satu highlight paling berkesan malam itu.
Alam seperti merestui, cuaca sangat baik malam itu. Ramai yang bimbang akan hujan, namun segalanya dipermudahkan, seolah Tuhan memberkati usaha dan dedikasi kecemerlangan KRU sepanjang perlaksanaan siri konsert GenKRU.
Satu perkara yang perlu diberikan pujian tentang penganjuran Icon Entertainment ialah para petugasnya sangat membantu dan berdedikasi. Mereka tidak lokek dengan senyuman dan tidak jemu memberikan panduan serta arahan tempat. Pernah suatu ketika, sewaktu konsert M.Nasir, saya diiringi sehingga ke depan pintu tandas yang agak jauh di hujung dewan. Kru tersebut sanggup menunggu sehingga saya selesai dan memastikan saya kembali ke tempat duduk dengan selamat. Itu benar-benar menunjukkan pengurusan yang efisyen dan sikap manusiawi yang tinggi. Begitu juga pada konsert GenKRU The Finale, kru yang bertugas sangat menyantuni dan ramah tamah–satu sikap yang saya kira amat penting sebagai penyambut tetamu. Front of House (FOH) merupakan faktor utama yang menentukan kelancaran acara. Syabas dan terima kasih!
Percikan bunga api yang menyala di langit Stadium Hoki Bukit Jalil menjadi penutup indah yang pasti dikenang oleh 12 ribu peminat Kumpulan Rap Unggul ini. Siapa tahu apa lagi kejutan yang menanti–mungkin konsert jelajah, mungkin kolaborasi orkestra, atau mungkin sesuatu yang langsung tidak dijangka. Apa pun bentuknya, satu hal saya yakin: mereka tidak akan berhenti berkarya. Bidang hiburan masih memerlukan kreativiti, visi dan spirit tiga bersaudara ini.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
