TAHUN lepas, saya tak tonton AJL. Dah lupa kenapa, sedangkan Amir Jahari bertanding. Sejak dulu, saya selalu jadi penyokong Amir, terutamanya apabila dia bersaing dalam arus perdana.
Tahun ini, sambil memandang himpunan kerja tak tersiap, saya terdetik mahu mendaftar akaun Tonton dan menonton AJL39. Tonton sambil-sambil saja.
Saya fikir, gelora AJL tahun ini lebih besar kerana persaingannya sengit antara artis-artis pujaan para fanatik. Tahun lepas orang tahu, susah artis-artis itu mahu mengatasi fenomena Hasrat.
Begitulah besarnya pengaruh para fanatik terhadap anugerah seperti AJL. Mereka melabur masa, tenaga dan kewangan untuk anugerah seperti itu, sebab itu banyak hal dalam AJL perlu mengikut ‘restu’ para fanatik. Tanpa restu para fanatik, AJL boleh hilang seri, pengaruh dan geloranya merudum.
Fanatisme destruktif
Siapa fanatik yang saya maksudkan? Mereka yang berfesyen gaya maut dan menjadi sasaran polis agama serta moral dalam media sosial sekarang.
Ada yang sebut pondan, arbok, bapok dan macam-macam lagi. Para kipas susah mati pelaung balada nada tinggi yang sentiasa mendapat tempat dalam AJL.

Saya tak suka diskriminasi. Saya tak suka generalisasi. Saya benci generasi Z jelongak kerbau rampung. Mereka ini bodoh sombongnya katastropik tapi saya tak benci semua generasi Z. Saya juga jelik dengan lelaki berperwatakan wanita yang kaki gosip, bermulut celupar dan toksik tapi saya tak benci semua lelaki lembut.
Atas sebab itu, saya tak ada masalah dengan kemunculan para pondan berfesyen glam di AJL. Fesyen mereka tak ganggu periuk nasi saya, maka biarkanlah.
Masalah sebenar golongan itu bukan pada baju bentuk hati atau dada estrogen yang didedah, sebaliknya fanatisme mereka.
Fanatisme peminat buat mereka menjadikan seluruh industri muzik sebagai sebuah persaingan mencari nombor satu. Sikap ini, secara alami, menjadi diskriminatif dan destruktif. Artis lain sukar dapat peluang menyerlah.
Dan fanatisme ini tidak terhad pada golongan lelaki lembut sahaja. Peminat lelaki normal pun boleh terperangkap.
Ketumpuan diskriminatif
Industri muzik Malaysia ada masalah ketumpuan (concentration) yang kritikal. Dalam banyak hal, satu-satu perkara itu terlalu pekat dan tertumpu.
Seperti festival, terlalu tertumpu kepada artis atau kugiran tertentu. Pertandingan seperti AJL, tertumpu kepada artis dan genre tertentu. Dalam hal melibatkan populariti, susah nak nampak kepelbagaian dalam industri muzik tempatan.
Sejak sekian lama, balada meraung dan lagu-lagu pop bebal mendapat tempat istimewa dalam senarai finalis AJL. Begitu juga tahun ini. Lima daripada 10 lagu boleh dikategori sebagai balada meraung, dan dua daripadanya mendapat tempat tertinggi.
Namun, bolehkah kita bayangkan lagu-lagu sebegini tiada dalam pentas akhir AJL?
Kita boleh tapi saya fikir, penerbit AJL tak boleh. Mereka akan hilang sokongan fanatik dan tanpa fanatik, penganjuran AJL tidak akan sekecoh sekarang. Begitulah dilemanya,
Tambahan lagi, konsep AJL bermula dengan pertandingan populariti. Lagu-lagu yang diundi secara konsisten dan tanpa pedoman yang berpeluang masuk Separuh Akhir.
Maka, bertahanlah kita menonton para penyanyi buat gimik muzik terhenti ketika melaung nada tinggi. Dan bertahanlah juga kita menonton pertandingan yang asalnya untuk meraikan penciptaan lagu menjadi persaingan julat vokal.
Kebiasa-biasaan prerogatif
Kemenangan lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, Hening Rindu memang mengejutkan. Mendengar lagu itu, saya tak pernah jangka ia mampu menjadi juara.
Secara mudahnya, ia lagu yang biasa-biasa. Melodi, lirik dan susunannya semua biasa-biasa. Dan mengangkat kebiasa-biasaan bukanlah hal yang baik.
Mungkin ada alasan teknikal yang saya tak mampu faham buatkan ia jadi juara. Dan keputusan hasil prerogatif barisan juri itu juga wajar dihormati. Cuma, saya fikir, juri tidak mengambil kira konteks dalam penjurian kali ini.

Konteks yang saya maksudkan ialah bentuk lagu yang mampu menggerakkan arus muzik negara. Kepentingan untuk mengambil kira nilai sofistikated dan kesegaran lagu dalam konteks muzik semasa.
Jika hal ini diambil kira, Diam ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh serta Risiko ciptaan Apipapol, Benzooloo, Ghidd, Meerfly, Tuju dan MK layak duduk di tempat tiga terbaik.
Dua lagu itu menampilkan gaya yang boleh menggerakkan muzik Malaysia. Menjadi arus supaya tidak bertakung.
Sekurang-kurangnya, itu dua lagu yang sofistikated dan segar dalam senarai finalis AJL39. Di luar AJL, banyak lagi lagu yang lebih baik.
Yang menarik tentang Hening Rindu ialah pengaruh nasyid dalam komposisinya. Ia buat kita sedar, nasyid tak pernah hilang dari radar muzik Malaysia.
Selain komunitinya yang kekal kuat sehingga kini, ia juga menjalar halus dalam ranah pop.
Mungkin sukar untuk dibuktikan secara teknikal tetapi bayangkan Hening Rindu dialun kumpulan harmoni seperti Edcoustic atau UNIC, ia cocok. Ikhwan Fatanna juga, kita tahu, ada pengaruh nasyid yang besar dalam kariernya.
Kebosanan repetitif
Secara keseluruhan, saya menganggap AJL39 sebagai membosankan, walaupun tahu kenapa faktor-faktor bosan itu wujud.
Aina Abdul akan terus ada dalam AJL, kecuali dia sendiri pilih untuk berhenti. Pada tahap ini, Aina Abdul tak perlukan AJL, AJL yang perlukan dia. Persembahannya untuk Puas Sudah bertaraf mega dan AJL perlukan kemegaan itu.
Nadeera yang jelas mendapat restu para fanatik akan terus bertanding, kemudian beberapa tahun lagi akan muncul Nadeera baharu, kemudian yang baharu lagi. Umur balada nada tinggi akan panjang.
Saya cuma berharap lebih ramai artis seperti Ernie Zakri akan muncul. Dia satu-satunya penyanyi super popular yang berani membawa kelainan. Gaya vokalnya lebih berwarna dan susunan muziknya selalu berbeza.

Dan harapan saya juga, AJL lebih teliti dan bermaruah dalam kurasi persembahan pembukaan serta selingan. Pilihan untuk menggunakan lagu Indonesia dalam persembahan pembukaan itu memalukan.
Begitu juga persembahan selingan yang nampaknya disusun untuk jadi sesi karaoke dengan penonton.
Gunakanlah ruang itu untuk menghargai kepelbagaian muzik Malaysia. Legasi Roslan Aziz Productions, Positive Tone, pop Melayu era Dasar Kebudayaan Kebangsaan atau artis-artis alternatif yang bawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa juga layak dikenang.
Kalau AJL tahun 2000 pun boleh temukan seni teater dengan muzik dalam persembahan selingan, kenapa suku abad selepasnya jadi lebih sempit dan lapuk?
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
— Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak mewakili pandangan dan pendirian pasukan editorial Senimalaya.

