WALAUPUN tidak mendapat publisiti secara meluas media massa dan arus perdana, namun sekumpulan seniman tanah air tidak melepaskan peluang menyatakan sokongan mereka kepada rakyat Palestin yang ditindas dan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis di bumi Gaza.
Mereka, kumpulan seniman dari Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI) diketuai Pengerusinya, Datuk Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali dengan nama penanya Dinsman menterjemahkan sokongan itu menerusi teater yang diadaptasi dari sebuah buku skrip “Tetamu Dari Medan Perang”.
Buku skrip teater karya Dinsman itu dilakonkan dua pemegang watak utama iaitu Sultan dan Queen yang memerintah sebuah negeri terletak di Asia Tenggara.
Teater ini mengisahkan sikap tidak apa dan tidak peduli pemerintah berkenaan ketika negara lain bertungku lumus membela dan menyelamatkan umat Islam dari dibunuh dan ditindas oleh pemegang kuasa dunia, Amerika Syarikat.
Watak Sultan yang dilakonkan Timbalan Pengerusi PAKSI, Kassim Muhamad dan Queen oleh seniman Sharifah Khatijah berjaya menarik tumpuan hadirin yang memenuhi kerusi Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Shah Alam.
Kisah bermula dengan persoalan agresif daripada Queen yang mempersoalkan kenapa Sultan terpengaruh dengan dakyah barat yang secara terang-terangan sedang menghina umat Islam.
“Bila saya sebut jihad, tuan terus melenting, seolah-olah saya telah sebut satu perkara yang sangat hina. Mereka nampaknya telah berjaya mencemari fikiran kita tanpa kita sedari.” – dialog Queen.
Lalu disanggah oleh Sultan dengan tegas, “Kamu hendak mengajak kami kembali kepada kesucian Islam? Betullah kamu ini… tak ada adab, tak kenal orang.

“Hari ini dunia tanpa sempadan, tuan. Tidak cukup kita berjihad di dalam sempadan negara kita sahaja. Faham demokrasi-kebendaan yang dijulang oleh Amerika dan Eropah yang bukan Islam itu disebarkan ke merata-rata, seluruh dunia, segenap tempat. Dan, itu bukan sekadar sebuah faham sekular yang tidak bersifat agama, tetapi yang sebenarnya itu adalah anti-agama, anti-Islam dan against Islam”. – petikan dialog Queen.
Watak Sultan yang telah begitu selesa dengan keadaan negaranya seperti gagal melihat penderitaan umat Islam di negara lain dan tidak peka dengan pergolakan serta keresahan umat Islam yang dilabel sebagai pengganas.
Watak Queen pula hanya sebagai lambang kehadiran suara-suara yang menuntut keterlibatan para pemimpin dan umat Islam di seluruh dunia untuk turut berjihad dengan perjuangan menentang kezaliman yang dipelopori barat khususnya Amerika.
Dalam teater ini, hujah terhadap Islam, umat Islam dan pemimpin Islam memang begitu menonjol dan itu yang cuba ditonjolkan Dinsman menerusi sebahagian kecil dialog antara Queen dan Sultan yang berbalah demi mempertahankan umat Islam daripada diperkotak-katikan manusia barat.
Pementasan teater yang mengambil masa kira-kira setengah jam itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Turut hadir, tiga Sasterawan Negara (SN) iaitu SN Datuk A. Samad Said, SN Datuk Zurinah Hassan dan SN Datuk Siti Zainon Ismail.
Majlis juga diserikan dengan kehadiran Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid; Kaunselor Kebudayaan Kedutaan Iran (Kuala Lumpur), Dr. Arzani Reza; Timbalan Presiden Kelab Putra 1 Malaysia, Datuk Mohd Farid Hasan; Palestine Cultural Organization of Malaysia, Belal; Palestine Forum Malaysia, Dr. Ibrahim Ghaffar; Aliansi Masjid Sedunia Pertahan Al-Aqsa, Datuk Seri Ahmad Awang; dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Datuk Wira Abdul Ghani Samsuddin.
Antara tetamu kehormat yang hadir, wakil Majlis Teater Malaysia dan NGO, Muslim Care Centre, NGO Palestin dan NGO Singapura.
Persembahan selama dua bagi keseluruhan pementasan itu turut diselitkan dengan persembahan para sasterawan, seniman, penggiat, aktivis seni dan penyair menerusi Seniman Bangkit, Deklamasi Puisi, Bicara Nurani Seniman serta kemuncaknya Script Reading Teater Tetamu Dari Medan Perang.
Turut mengambil bahagian dalam persembahan itu penggiat seni tidak asing lagi dari Kota Bharu, Kelantan, Anuar Bakri Haron atau nama penanya Anbakri Haron yang mendendangkan lagu puisi “Dear Gazzah” sambil diiringi petikan gitar oleh Ringo dari Frup Fotograf.
Program Seniman Bangkit Membela Palestin – menentang Kezaliman Israel itu anjuran bersama PAKSI, MAPIM dan PPAS yang berlangsung di PPAS Shah Alam pada 14 November lalu.
Acara juga diungguli oleh secara Zoom Online oleh Alhaj Aris Abeba, Imam Ziarah Karyawan Panggung Toktan (ZKPT) dari Pekanbaru, Riau, Indonesia bersama puterinya, Qori Islami Aris dengan muzikalisasi Puisi Talang di Langit Palestine.
Dinsman merupakan seorang karyawan tersohor dalam dunia sastera tanah air dan Nusantara serta pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekitar pertengahan 70-an hingga awal 80-an.
Beliau lulusan Kolej Islam, Petaling Jaya dan Universiti Malaya (UM) dalam Sarjana Muda Sastera (Kepujian).
