SELAMA lima tahun – LIMA TAHUN – saya menunggu pengumuman ini. Sejak Butterfingers umum comeback di Rockaway dan Konsert Transcendence pada 2019. Sejak gambar LoQue dan Emmet bertentang muka tapi bukan mata disebar di seluruh pelusuk media sosial.
Sejak saya tahu Butterfingers masih ada kudrat berkonsert solo, saya selalu tunggu giliran konsert album bahasa Melayu mereka. Selalu.
Ada secebis nikmatnya dapat saya rasa ketika Konsert UND3RGROUND tahun lalu, menampilkan Hujan, Bunkface dan Butterfingers. Tapi itu baru secebis. Maka teruslah saya menunggu.

Penghujung tahun 2024, ketika sibuk mengurus acara malam tahun baharu, acahan (teaser) konsert terbaharu Butterfingers mula tersebar.
Ada listrik menggelinjang saraf ketika melihat pilihan font dan gaya tulis acahan itu. Gambar matahari tenggelam di horizon laut dengan efek hitam-putih dan berbutir diteman sebaris ayat. Ditulis rapat tanpa jarak, huruf pertama setiap perkataan ditulis kapital.
“AdakahAndaSudahBersedia?”
Jejak petunjuk
Tiada apa-apa yang boleh buat saya tak bersedia, Butterfingers, kecuali hal keluarga dan kesihatan diri. Tanpa dua hal itu, percayalah, saya akan terpacak di JioSpace pada 22 Februari.
Kali ini Butterfingers buat kelainan. Nama konsert bukan lagi diambil terus daripada nama album. Maka teruslah ia menjadi rahsia, lagu-lagu apa yang akan didendang dalam konsert itu nanti?
Saya boleh hubungi sesiapa untuk dapatkan jawapan tapi tak apa, saya tak mahu tahu. Saya mahu dikejutkan. Asal saya tahu, konsert itu khusus untuk lagu-lagu berbahasa Melayu mereka pun dah cukup.
Rentang diskografi Butterfingers yang panjang itu ada dua album berbahasa Melayu: Selamat Tinggal Dunia dan Kembali. Dalam promosi mereka, kedua-dua album ada dirujuk.
Ejek pertama, gambar Emmet, LoQue, Kadak dan Loko berbaring disertai kapsyen “Angkasa Penuh Dengan ______”. Itu petikan lirik Mati Hidup Kembali dari album Kembali.

Ejek kedua, gambar matahari terbenam seperti yang ditulis di atas, sebahagian kapsyennya ditulis “Yang Tua Muda, Yang Miskin Kaya, Dengar Semua”. Itu petikan lirik Joget Global, juga dari album Kembali.
Kapsyen poster rasmi pertama konsert itu dibuka dengan soalan, “anda sudah bersedia untuk ‘hilang seketika’?”, merujuk lirik Cuai dari album Selamat Tinggal Dunia.
Dengan petunjuk yang ada, selamat untuk kita jangka yang lagu dari kedua-dua album itu akan dimainkan.
Generasi lagu Melayu
Diskografi yang panjang dan pelbagai buat peminat Butterfingers terpecah-pecah kepada beberapa kumpulan.
Generasi yang lebih awal mengenali mereka pasti tergilakan fasa grunge dalam album 1.2 Miligrams, Butter Worth Pushful dan Transcendence. Ini diikuti sekumpulan kecil peminat langka yang sukakan Malayneum yang lebih eksperimental.
Bagi generasi saya yang menemui Butterfingers dalam ledakan muzik independen Melayu sekitar 2000-an, Selamat Tinggal Dunia dan Kembali sangat ikonik.
Selamat Tinggal Dunia lebih diingati ramai. Mungkin sebab kualiti juga – lagu-lagu dalam album itu memang berhantu dan berkuasa. Pengaruhnya mampu menginspirasi lebih daripada satu generasi pemuzik. Hujan dan Iqbal M. antara yang terkenal, belum masuk yang lain-lain.

Saya sedikit berbeza sebab mula kenal Butterfingers dari Kembali. Penerokaan saya jadi terbalik. Dari Kembali terus mengundur sampai 1.2 Miligrams.
Mungkin juga minat mendalam kepada genre folk dan muzik klasik Melayu buat saya lebih meminati Kembali.
Kalau mahu ditumpu pada LoQue seorang, Kembali ialah fasa peralihannya kepada bunyian yang dibawa dengan MonoloQue. Yang ada album fizikal Kembali dirahmati dengan fakta ini: lagu Lengkap Semula dan Mati Hidup Kembali dicipta dengan meminjam, apa yang Butterfingers katakan sebagai, “cebisan irama” daripada dua lagu klasik.
Lengkap Semula meminjam irama Hatiku Rindu (Terkenang Semasa Dulu) nyanyian R. Azmi manakala Mati Hidup Kembali mengambil sedikit irama Sedangkan Lidah Lagi Tergigit nyanyian P. Ramlee dan Saloma.
Naik ke angkasa
Dengan segala yang ditulis di atas, anda boleh faham kenapa saya teruja menanti konsert tersebut.
Pastilah saya mengharapkan suasana yang lebih mega untuk meraikan konsert itu, seperti yang dialami peminat lain semasa konsert Transcendence dan Malayneum. Konsert bertaraf stadium.
Tapi saya faham kenapa acara itu dibuat di ruang dengan kapasiti yang lebih kecil. Bikin konsert dalam persekitaran sekarang seperti berjudi. Apatah lagi para peminat Butterfingers era album Melayu lebih muda. Lebih tidak stabil hidupnya. Lebih sedikit simpanan KWSP-nya.
JioSpace merupakan pilihan yang realistik. Saya pernah menonton beberapa acara di sana, ia tidak kurang mega. Harap sistem bunyi nanti tidak mengecewakan.
Paling penting, konsert itu bukan hanya untuk para peminat Butterfingers. Mereka yang pelik dengan kegilaan sesetengah peminat terhadap muzik independen tempatan, ini konsert yang sesuai untuk anda.
Butterfingers ada sebahagian jawapannya. Tontonlah kegemilangan sebuah kugiran yang punya jejak penting dalam perkembangan muzik alternatif negara.
Saya tak mahu mempromosikan kepercayaan karut tapi percayalah, persembahan lagu-lagu Melayu Butterfingers pada 22 Februari nanti akan buat para peminat seperti saya naik ke angkasa Jio. Tanpa bahan terlarang, hanya muzik bergentayang yang meresap dan mengkhayal.
Tiket boleh dibeli di sini.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

