KITA harus bersyukur kerana dunia muzik kita masih ada lagi duo atau kumpulan yang dianggotai oleh sepasang suami isteri. Untuk tahun kedua puluh milenium ini, Satwo muncul mengisi vakum tersebut. Satwo (disebut Satu) yang terdiri daripada Rafiz dan Maz, tidak sekadar memiliki ciri istimewa sebagai ‘suami isteri yang menyanyi dalam satu band’, malah yang lebih membanggakan ialah mereka mempunyai karya yang baik untuk dipersembahkan kepada peminat muzik dan lagu tanahair. Nama Satwo itu sendiri menyerlahkan keunikan yang bersifat peribadi. ‘Sa‘ itu bermaksud tunggal, manakala ‘two’ bermaksud dua. Barangkali Satwo bermaksud penyatuan dua ‘diri’ menjadi satu dan bersama-sama mengangkat ideologi mereka.
Mendengarkan album penuh Satwo berjudul Di PersemBUNYIan membawa kita ke pengembaraan dunia mereka yang sarat dengan kesakitan. Jalan yang berkocak-kocak dan bergelombang sehingga menerbitkan resah. Irama indie-folk dan psych pop yang diadun dengan senikata yang puitis membuatkan kepala berdengung – sedih – suram tetapi pada akhirnya meluncur lembut menuju tenang.
Aku coba pejamkan mata tapi hanya namamu yang terus kuseru
Aku sedar aku keliru
Setelah kau menghilang…
- lagu Untok Kita (Hanya Kita)
Terbayang seolah-olah Rafiz dan Maz sedang mengalami chronesthesia (pengembaraan masa dengan menggunakan mental). Satwo mengembara (tripping) dan mengajak kita melihat masa lalu dan masa hadapan untuk mencari diri, sebelum meneruskan perjalanan menuju kepada kesempurnaan.

Itulah pandangan penulis terhadap keseluruhan konsep album Di PersemBUNYIan oleh Satwo yang diterbitkan oleh Ilham Pitahati di bawah naungan Luncai Emas Sdn. Bhd.
Satwo bertuah kerana turut dibantu oleh pemuzik hebat generasi mereka dari Pitahati, Ramayan, Iqbal M, dan Margasatwa (sekadar menyebut beberapa nama). Turut memberikan sentuhan ajaib ialah Allahyarham Tony Alberto Iskandar (bekas pemain bass kumpulan Spider).
Dalam lagu Gelap, Langit Jingga dan Sepasang Sayap telah memperlihatkan Rafiz dan Maz seakan-akan sedang bergelumang di maqam gelisah. Perjalanan mereka untuk melepasi lembah hitam telah selesai. Segala marah dan geram telahpun mereka bersihkan dan kini mereka sedang mengharung lembah lawwamah. Sebuah lembah peperangan jiwa yang masih lagi berbolak-balik di antara jahat dan baik, berulang-ulang antara betul dan salah. Namun perjalanan harus diteruskan seperti bait di dalam lagu Gelap.
Ku mencari suara dalam tenang dan gelap melalui rasa (ku temui)
Ku mencari suara merentasi masa (ku temui)
Sakit dan derita yang mereka lalui telah mereka jinakkan dan mereka menukarkannya menjadi nikmat. Satwo barangkali melihat bahawa sakit juga adalah nikmat yang turut harus dirai.
Berada di daerah wasangka, hangat cuaca tapi langit mendung, pantas berlari cari tempat berlindung.
– bait lagu Akhirnya.
Suara gelisah Rafiz yang ditindan sayu vokal Maz kedengaran cukup menghiris. Harmoni yang berbau mistik dalam penghayatan kedua-dua mereka. Bait-bait yang mereka alunkan seperti dipengaruhi oleh suatu kuasa sakti. Kuasa yang mengawal dan memandu mereka untuk terus ralit bernyanyi sehingga turut mempengaruhi kita. Kita yang mendengar, cuba pejamkan mata, biarkan gelombang muzik dan suara mereka merayau mencari tubuh kita dan kemudiannya meresap masuk, lalu mengangkat kita ke alam mereka. Ikutkan sahaja arus mereka dan biarkan fikiran kita meluncur. Asyik!
Bertemu sepasang sayap mengangkatku lebih tinggi
– lagu Sepasang Sayap
Kekecewaan Satwo melihat sikap manusia yang haloba ingin memiliki harta dan kuasa diluahkan dalam lagu Aku Mahu. Ternyata jiwa yang damai sempurna tidak akan selesai selagi mata tersilau dengan darjat dan kedudukan. Emas dan harta kau sapu tapi sampai bila? Kau mahu memiliki segalanya, jangan sampai gila.
Solusi kepada sakit jiwa dalam mencari diri dan mata yang masih terpesona dengan dunia materi ialah dengan memulangkan semula jiwa kepada yang empunya. Lagu Serahan Jiwa menyebut serahkan pada suria jiwamu yang melara, suara yang melenyap, hatimu yang kian mati. Setelah penyerahan dilakukan, barulah perjalanan semakin indah dan bererti. Seperti sebuah perjalanan yang direstui.
Betapa indahnya kita lalui segalanya bersama, betapa indahnya kita harungi rintangan berdua.
– Betapa Indah
Sebagai insan, perjalanan kita menuju ke tujuan akan lebih indah apabila kita mempunyai teman yang bersama-sama pada setiap masa. Jika tidak, ia akan sunyi dan kosong. Tiada siapa yang menjadi saksi perjalanan kita. Barangkali, kerana itulah diciptaNya Hawa sebagai hadiah untuk dihayati oleh Adam.
Satwo memang istimewa. Album Di PersemBUNYIan wajar dimiliki untuk kita menghayati perjalanan sebuah rasa. Dengarkan lagu Cahaya Malam dan Sungai Peristiwa buat mereka yang hatinya cedera dan jiwanya kacau tak keruan. Ikutlah Satwo meredah rimba gelisah. Rasakan kesuraman, nikmatilah kesakitan, kerana ia juga pengalaman.
Telahpun berakhir penderitaan, palingkan ke mukasurat baru.
– lagu Akhirnya.
Semua lagu ditulis oleh Rafiz. Menyaksikan Rafiz dengan gitar dan Maz dengan papan nada (keyboard) secara langsung akan lebih mengujakan.
Satwo hanya Satu!
– RONASINA adalah seorang pelukis, penulis dan pengendali podcast Selam Lagu di portal arenamuzik.com
