Pavane for an Infant arahan Chong Keat Aun adalah pilihan Malaysia sebagai calon filem asing terbaik di Anugerah Akademi atau Oscar, lapor media industri di Amerika Syarikat.
The Wrap melaporkan Pavane for an Infant adalah antara 86 judul filem yang dikongsikan kepada ahli Akademi melalui emel pada Jumaat (24 Oktober) untuk mereka tonton dan seterusnya mengundi.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), agensi yang bertanggungjawab mengendalikan proses pemilihan calon Malaysia untuk Oscar, bagaimanapun setakat ini tidak membuat sebarang pengumuman rasmi, sejak pencalonan ditutup pada 1 Oktober.
Untuk layak, filem yang dicalonkan mestilah tayang di pawagam di negaranya sendiri antara 1 Oktober 2024 dan 30 September 2025.
Pavane for an Infant sebelum ini terpilih membuka Festival Filem Antarabangsa Hong Kong pada 10 April lalu bersekali dengan filem Jepun, The Brightest Sun.

Ia tayang di Malaysia selama dua minggu bermula 14 Ogos lepas di bawah Skim Wajib Tayang.
Pavane for an Infant mengisahkan Lai Sum, seorang pekerja sosial di pusat perlindungan bayi, yang cuba membantu Siew Man, seorang perempuan bawah umur yang hendak menggugurkan kandungan.
Filem ini menampilkan Fish Liew, pelakon Malaysia yang menempa nama di Hong Kong, sebagai pelakon utama.
Ahli Akademi kini akan menyaring 15 judul yang bakal diumum pada 16 Disember sementara lima calon akhir akan diumum pada 22 Januari 2026.
Calon Thailand, Kemboja tersingkir
Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) asalnya menerima pencalonan dari 92 negara tetapi kemudian meluluskan hanya 86 judul untuk disaring oleh juri, lapor media.
A Useful Ghost dari Thailand adalah antara enam judul yang tidak dihantar kepada juri. Filem sulung arahan Ratchapoom Boonbunchachoke menang Hadiah Utama Minggu Pengkritik Antarabangsa di Cannes, hadiah sama dimenangi oleh Tiger Stripes pada 2023.
Turut diketepikan ialah Tenement dari Kemboja, Cadet (Kazakhstan), Papa Buka (Papa New Guinea), Demba (Senegal), dan Black Rabbit, White Rabbit (Tajikistan).
Black Rabbit, White Rabbit adalah antara empat filem karya pengarah Iran yang terpilih mewakili empat negara.
Republik Islam itu mencalonkan Cause of Death: Unknown arahan Ali Zarnegar sementara The Things You Kill arahan Alireza Khatami mewakili Kanada.
Sebuah lagi filem karya pengarah Iran, It Was Just an Accident arahan Jafar Panahi mewakili Perancis. Filem yang menang Palme D’Or di Cannes pada Mei lepas disebut-sebut akan tersenarai antara lima calon akhir.
Anugerah Akademi ke-98 akan berlangsung pada 16 Mac 2026.
