SAYA menonton Ninavau hanya lebih seminggu selepas menonton filem muzikal romantik kultus, Once. Kedua-duanya bawa tema berbeza, genre berbeza tetapi ia ada persamaan: kedua-duanya, secara relatif, merupakan filem bajet rendah.
Once lebih berjaya. Kekangan-kekangan bajet diubah menjadi kelebihan. Kerana kurang wang, pengarahnya, John Carney menggunakan teknik kamera handheld yang lebih realistik. Malah, untuk babak di tempat awam, mereka tidak mengupah pelakon tambahan. Jurukameranya akan merakam secara sembunyi dari jauh supaya orang ramai tidak tahu mereka berada di set penggambaran.
Once juga membariskan pelakon-pelakon amatur yang kebanyakannya merupakan penyanyi dan pemuzik. Mereka tak dapat Cillian Murphy tapi Glen Hansard dan Marketa Irglova menjalankan peranannya dengan sangat baik.
Hasil sebegitu cemerlang tidak dapat dicapai Ninavau; sesetengah pihak akan melihat kerja kamera dan lakonannya setaraf drama tivi sahaja. Namun, saya berpendapat, ia layak diangkat sebagai sebuah filem. Cukup ‘sinema’ atau tak, saya tak pasti tapi idea dan penceritaannya cukup gemilang. Ia layak mengisi layar lebar di panggung-panggung.
Rusuh yang damai
Dalam tempoh 10 tahun ini, kita dapat saksikan beberapa filem dibikin untuk menggempar sensitiviti masyarakat. Kebanyakannya dibuat dengan niat baik: untuk mewujudkan dialog, borak-bual dan perbahasan dalam kalangan masyarakat. Banyak juga yang tak berjaya ditayang di pawagam, sebaliknya menghuni acara-acara dialog sosial atau agama.
Mudah kata, apabila filem sebegini dibikin, perbincangannya lebih kepada isu yang dibangkitkan berbanding ia sebagai sebuah filem. Laporan-laporan media tentangnya juga lebih banyak mengisi ruang berita umum berbanding kolum seni atau sinema.
Tidak ada salahnya, malah mungkin itu yang lebih patut. Tujuan filem itu dibikin untuk menggempar masyarakat yang selalu tak bersedia berdialog tentang isu-isu tersebut. Cuma, Ninavau mengambil jalan berbeza.

Pemerhatiannya sama ketika saya menonton Once. Saya fikir, pembikin filem selalu ditekan untuk membentuk dinamik konflik—perlu ada pembuka yang memperkenalkan konflik, kemuncak yang intens dan emosional kemudian peleraian penuh katarsis yang menjawab persoalan-persoalan penonton.
Namun, untuk Once dan Ninavau, semua hal itu menjadi sekunder. Yang utama ialah naratif, tak kiralah ia mendatar atau bersimpang-siur; kalau naratif mahukan ia jadi begitu, ia akan jadi begitu.
Konflik dalam Ninavau tidak dipapar jelas. Yang ditunjuk hanya tanda-tanda yang kalau dihayati, akan berperang dalam minda penonton. Watak-wataknya penuh rusuh tapi rusuh yang dipendam.
Dan filem ini dengan jelas mahu jadi pacifist. Tidak ada kekasaran yang ditunjuk, melainkan dialog-dialog tajam beberapa orang yang sedang mabuk. Babak Ninavau menumbuk scammer juga dipotong.
Ia mengingatkan saya kepada pemerhatian sendiri sewaktu mengulas kemenangan Hasrat dendangan Amir Jahari dalam Anugerah Juara Lagu satu ketika dulu. Ketika lagu-lagu lain meregang emosi pendengar ke arah ekstrem, Hasrat mensyarahkan ketenangan dan kesederhanaan. Ninavau berperanan sama.
Kalaulah impaknya besar, ditonton dan diambil pedoman jutaan rakyat Malaysia, mungkin segala isu-isu sosial yang ekstrem – bunuh-membunuh, pukul-memukul – yang banyak berlaku sekarang boleh sedikit-sebanyak diubati.
Bahasa filem
Saya terpikat dengan filem ini sejak bingkai pertama. Bagasi mengalir dibawa conveyor di lapangan terbang membawa ingatan kepada rakan-rakan Malaysia Timur. Kapal terbang ialah pengangkutan utama mereka yang datang ke Semenanjung. Imej-imej itu sangat dekat dengan mereka.
Lebih lama menonton, imej pengangkutan awam menjadi lebih berlapis dan mendalam. Hampir semua babak Ninavau di Semenanjung ada imej pengangkutan awam, lebih-lebih lagi kereta api. Ia membawa subteks hijrah dan pergerakan, seperti yang berlaku dalam jiwa Ninavau.
Bahasa filem sebegini yang mengangkat Ninavau dari sebuah filem pendek kepada filem. Dalam filem pendek yang terbit setahun lepas, metaforanya agak minimal. Dalam filem, ia agak sarat—pengangkutan awam, rumah yang tak siap-siap, hujan yang membuka dan menutup cerita, malah sekecil-kecil kuali baharu yang dibeli Edward.

Banyak juga plot dalam filem ini yang seakan-akan memerangkap penonton. Seperti watak Elvira yang dibingkai sebagai jahat dan tersasar, yang rupanya hanya sementara. Atau nyanyian koir serta khutbah di gereja yang nampak mendamaikan, dijukstaposisi dengan sangka buruk penganut Kristian kepada Islam, atau pengalaman hijrah orang kampung yang buruk, ia mewujudkan jangkaan bahawa akan ada orang atau agama dalam filem ini yang akan diantagoniskan.
Sebaliknya, tiada satu pun watak utama dalam filem ini menjadi antagonis, malah tak ada agama yang diantagoniskan. Filem ini dibikin teliti dengan mengambil keindahan dalam kedua-dua agama yang bertingkah, lalu dipadu sebagai sebuah mesej damai yang memuaskan.
Dan, ini mungkin sukar dipercaya orang yang penuh luka khianat, tapi filem ini cuba memberitahu bahawa ada kebaikan dalam diri setiap manusia. Semua watak yang kita fikir akan jadi jahat tidakpun menjadi jahat. Ninavau membawa harapan dan, memetik Andy Dufresne, harapan satu hal yang baik, mungkin yang terbaik, dan hal baik tak akan mati.
Peranan kita, usaha semua
Tidak ada apa-apa dalam pembikinan Ninavau yang membolehkan ia menjadi sebuah filem pecah panggung. Malah, ada beberapa perkara yang sengaja dielak, seperti tidak mahu filem ini menjadi filem poskad untuk pelancongan Sabah, tidak mahu menikam-nikam penonton dengan isu sensitif dan kontroversi.
Tayangan perdananya juga tidak semeriah filem lain. Tak banyak media utama datang buat liputan. Bajetnya rendah, pastilah tak cukup untuk ‘menjemput’ wartawan-wartawan besar datang memuji. Tapi Ninavau menawarkan cabaran kepada penonton yang semakin lama semakin selesa dengan templat penceritaan filem popular. Ia menjadi antitesis tepat kepada anggapan bahawa filem wujud semata-mata sebagai sumber hiburan.

Selesai menonton, anda akan pulang dengan kekeliruan yang berbaloi difikirkan. Malah, riak muram Jovenea Jim sebagai Ninavau akan melekat lama dalam kepala. Ia mencabar dan itulah sepatutnya impak sebuah filem kepada kita.
Apabila sebuah filem dibikin dengan jiwa yang besar dan murni tetapi dikekang bajet yang tidak mencukupi, masyarakat yang menghargai seni filem boleh mengambil peranan memasarkannya dengan kudrat sendiri. Itu yang saya belajar dari lapangan seni lain yang didasari semangat komuniti serta mandiri.
Penulisan ini adalah sebahagian usaha kendiri saya untuk menggalakkan orang keluar sedikit belanja untuk menonton Ninavau di pawagam. Pengarah seperti Bebbra Mailin, penerbit seperti Kristal Azmir dan Le Mediator Studio ada wawasan besar yang perlu dibaja supaya filem-filem Malaysia hadir dengan kepelbagaian.
Dan besar juga hasrat saya melihat Jovenea, Edward Sinsong dan Tati Eliana Tonny membesar menjadi pelakon yang terampil dengan tawaran-tawaran yang lebih besar selepas ini.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik, filem dan sastera negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
