Juhari Said memegang peranan yang signifikan dalam seni kontemporari Malaysia sebagai seorang seniman, pendidik, dan juga kompas moral dari generasi yang dilatih dalam seni halus, khususnya seni cetak.
Mesra dengan panggilan Cikgu Ayi, beliau tergolong dalam generasi seniman yang melihat seni sebagai wahana komentar sosial, bukan sekadar ekspresi estetika semata-mata. Asas beliau yang kukuh dalam teknik cetakan kayu dan cetakan campuran telah membentuk satu bahasa artistik yang dicirikan oleh disiplin, pengulangan, dan kerja fizikal. Ciri-ciri ini bukan kebetulan; sebaliknya mencerminkan keadaan sosial dan struktur kuasa yang sering menjadi tumpuan dalam karya-karyanya.

Seni cetak, secara semula jadi, menuntut ketahanan dan ketepatan. Proses mengukir dan mencetak melibatkan rintangan fizikal, pengulangan, dan kawalan diri. Di tangan Juhari, proses-proses ini diterjemahkan menjadi strategi visual dalam menyampaikan ketegangan, perjuangan, dan kecekalan. Garisan tebal, komposisi yang mampat, serta figura yang berulang dalam karyanya menggambarkan tekanan kolektif berbanding kesateriaan individu. Ruang visual yang padat menjadi metafora kepada kesesakan sosial: tubuh-tubuh yang bersaing untuk ruang, suara, dan kelangsungan hidup. Ini bukan imej hiasan, tetapi komentar visual tentang kuasa, autoriti, ketidaksamaan, serta pengalaman hidup golongan pekerja.
Di samping karya seni cetak yang sarat dengan penglibatan sosial, Juhari turut meneroka kaligrafi Islam sebagai satu bentuk ekspresi selari. Kaligrafi dalam praktik beliau bukan bersifat ornamental, tetapi reflektif, menawarkan ruang jeda dan renungan di tengah-tengah kritikan.

Satu aspek yang menonjol dalam amalan seni Juhari Said ialah kecenderungannya terhadap peribahasa Melayu. Peribahasa berfungsi dalam budaya Melayu sebagai wadah ringkas kebijaksanaan kolektif, menyampaikan panduan moral melalui metafora dan keakraban bahasa. Juhari tidak sekadar mengulang peribahasa ini; beliau mengolah, menyesuaikan, dan kadangkala mencipta variasi baharu yang bergema dalam realiti semasa. Dengan cara ini, beliau merapatkan jurang antara warisan pengetahuan budaya dengan keprihatinan masa kini, membolehkan tradisi kekal bergerak secara dinamik dan tidak statik.

Salah satu contohnya ialah ‘Katak Nak Jadi Lembu’. Walaupun ia mencerminkan struktur dan nada peribahasa Melayu tradisional, ungkapan ini bukan peribahasa yang lazim. Kekuatan karya ini terletak pada sifatnya yang samar. Imej seekor katak yang berhasrat menjadi lembu boleh ditafsirkan sebagai renungan halus tentang peniruan, cita-cita yang tersasar, dan tekanan untuk kelihatan lebih besar atau lebih berkuasa daripada kemampuan sebenar. Daripada menyampaikan penghakiman moral secara langsung, karya ini mengundang suatu fikiran serta cerminan diri yang mendalam. Ia membuka ruang kepada penonton untuk menilai implikasi sosial dan peribadi berkaitan perbandingan, keterlaluan, dan aspirasi dalam kehidupan semasa.

Dalam Siasah: Naratif Politik dalam Cat Air, penggunaan cat air oleh Juhari memperlihatkan satu peralihan bahasa material yang ketara tanpa mengabaikan keprihatinan kritis beliau. Cat air, yang sering dikaitkan dengan kelembutan dan ketelusan, membolehkan idea-idea beliau berkembang dengan lebih halus. Medium ini menggalakkan renungan berbanding konfrontasi. Ini bukan suatu pengunduran daripada komentar politik, tetapi satu penalaan semula cara penyampaiannya. Pengurangan intensiti garisan dan warna memperlahankan pengalaman visual, sekali gus mengajak penonton untuk terlibat dengan lebih teliti.

Walaupun kelihatan ringan, karya-karya cat air dalam Siasah tetap mengekalkan ketajaman kritis yang terdapat dalam karya seni cetak awal Juhari. Tema-tema kekuasaan, tanggungjawab, dan kesedaran sosial terus dikekalkan. Yang berubah hanyalah nadanya. Karya-karya ini berbicara dengan lembut, namun tidak kabur. Ia mencadangkan bahawa kesedaran politik tidak semestinya terzahir melalui gerak isyarat besar atau protes terbuka. Ia juga boleh muncul melalui pemerhatian yang teliti, pertimbangan etika, dan pilihan sehari hari.

Juhari Said – Belajar Taat – Watercolor & Pencil on Paper – 25cm x 25cm – 2025
Pendekatan ini selari dengan premis kuratorial Siasah yang meletakkan politik bukan sebagai suatu tontonan luaran, tetapi sebagai amalan dalaman. Keputusan yang kelihatan peribadi, apa yang diambil, diabaikan, diterima, atau ditentang akan terkumpul dan membentuk realiti kolektif. Karya-karya Juhari mencerminkan kefahaman ini. Ia tidak memberitahu penonton apa yang harus difikirkan, tetapi menegaskan keperluan untuk berfikir itu sendiri.

Akhirnya, Siasah berfungsi dalam dua tahap. Ia menegaskan semula cat air sebagai medium yang mampu memikul kandungan intelektual dan sosial yang serius, serta menekankan tanggungjawab sebagai satu proses berterusan, bukan tindakan yang bersifat sekali sahaja. Melalui penglibatan visualnya dengan peribahasa Melayu dan komentar politik yang bersifat terkawal, Juhari Said mengingatkan kita bahawa peribadi tidak pernah terpisah dari politik. Perubahan, sama ada sosial atau budaya, bermula bukan dengan tontonan, tetapi dengan kesedaran, cerminan diri serta kebertanggungjawaban.
Prof. Dr. Zurina Shafii merupakan Profesor dalam bidang kewangan Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta penasihat kepada beberapa institusi kewangan Islam termasuk Khadijah International Waqf Foundation (Labuan), dalam usaha memajukan wakaf untuk pembangunan komuniti. Beliau boleh dihubungi di zurina.shafii@usim.edu.my.
