Mungkin kita kan temui kebahagiaan di Kuala Lumpur
dan mungkin kita akan kecewa
mungkin kita akan jadi kaya dalam lumpur
mungkin kita akan terperdaya
mungkin kita akan terperdaya
-Sesat di Kuala Lumpur (Kembara)
Ada ratusan lagu tentang Kuala Lumpur dan begitu banyak filem yang berlatarkan kota ini. Dari situ kita tahu bahawa Kuala Lumpur sarat dengan cerita suka, duka, pedih dan menghiris. Sebuah kota yang menawarkan segalanya-galanya, namun mampu menghapuskan apa yang terbina, andai kita alpa.
Jika Kuala Lumpur itu seorang manusia, sanggupkah kita membencinya? Atau akan terus mencintainya walaupun berulang kali melukakan?
Baru-baru ini, saya berkesempatan menonton sebuah pementasan teater di sebuah pertandingan dengan tema Kuala Lumpur. Kumpulan berkenaan mementaskan naskhah Di Kampung Di Kota tulisan Syed Alwi Syed Hassan. Ia merupakan karya yang mengangkat kisah perpindahan warga desa ke kota. Ceritanya berpusat pada konflik perkahwinan yang ditetapkan keluarga dan bagaimana anak-anak muda berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan bandar serta persepsi masyarakat di sekeliling terhadap mereka. Mengenali Syed Alwi sebagai pengkarya yang tegas menulis tentang realiti dan masyarakat Melayu, pementasan ini jelas memilih pendekatan realisme dengan suntikan komedi dalam setiap adegan.
Tidak menjadi masalah untuk mementaskan karya tokoh penting seperti Syed Alwi, namun seharusnya ia diolah agar beradaptasi dengan konteks hari ini. Jika naskhah itu dipentaskan pada era 80-an atau 90-an, mungkin kesannya terasa lebih mendalam, namun dalam konteks kini, ia menuntut nafas baharu agar terus relevan.
Mereka yang di atas pentas ialah anak-anak muda berbakat. Sayangnya, mereka tidak berusaha untuk mengadaptasi skrip itu dengan nuansa lebih segar dan kontekstual. Sudahlah memilih naskhah lama, kemudian tidak pula serius mengolahnya.
Paling mengecewakan, mereka sekadar menambah unsur nyanyian dan tarian semata-mata untuk memancing tawa penonton, lalu melupakan teras karya ini mengenai pemikiran dan kecenderungan masyarakat Melayu dalam mencampuri urusan kehidupan anak-anak. Set dan latarnya bernafas era 90-an (atau mungkin lebih ke belakang), namun lagu-lagu yang digunakan pula bersifat terkini dengan lirik yang diubah suai. Keseluruhannya menampakkan tiadanya perancangan khusus, seolah-olah produksi ini dibuat ‘asal ada’.
Pada saya, pertandingan ialah gelanggang sebenar untuk berkarya dengan jujur dan berani. Inilah ruang untuk menulis sesuatu yang segar dan mencerminkan pelbagai persoalan yang berlaku di sekeliling kita. Mengapa masih gemar mengulang tema yang sudah lama dilaungkan oleh penggiat terdahulu? Mengapa tidak mencabar diri menulis dan mempersembahkan kisah zaman ini? Adakah anak-anak muda masih terperangkap dalam balutan nostalgia atau ini sebenarnya soal kemalasan kreatif?
Beberapa hari selepas itu, saya menonton filem Badak. Hanya saya seorang di dalam panggung. Membawa ingatan kepada kumpulan teater yang telah mengecewakan. Sepanjang perjalanan pulang saya berbual dengan suami. Kata-katanya begitu menghiris; kalau macam inilah teater yang dibikin anak muda, sampai bila pun teater kita takkan ke mana-mana.

Badak adalah kisah Kuala Lumpur yang saya harapkan dapat mewarnai industri seni kita. Alur ceritanya tidak rumit, langsung dan menyentuh hati. Kisah tentang permasalahan hari ini yang mudah untuk dihayati. Secara tidak langsung, filem ini memberi cahaya kembali kepada saya bahawa kita tidak pernah kekurangan cerita yang baik, sebaliknya kita cuma kurang pengkarya yang peka.
Menonton filem Badak mengingatkan saya kepada filem CODA (2021) yang juga mengangkat tema keluarga dengan cabaran komunikasi dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) pendengaran. CODA mengisahkan Ruby Rossi, satu-satunya anggota keluarga yang mendengar dalam keluarga pekak dan bergelut antara tanggungjawab terhadap keluarga dan impian muziknya. Filem ini menyorot pengorbanan, kasih sayang, dan dinamika keluarga. Sama seperti CODA, Badak memperlihat naratif emosional dan kompleks mengenai keluarga yang hidup dengan realiti OKU pendengaran, namun dibalut dengan sentuhan budaya tempatan yang sangat dekat dengan penonton Malaysia.
Badak mengisahkan bapa tunggal yang pekak bernama Badak (lakonan Shaheizy Sam) dan tinggal di sebuah rumah pangsa di tengah Chow Kit, Kuala Lumpur. Badak bergelut bukan hanya dengan kekurangan pendengarannya, tetapi juga konflik batin yang mendalam terhadap hubungan dengan anak perempuannya, Mirah (Aida Amron). Mirah remaja yang sedang berusaha mencari identiti dan bercita-cita menjadi penyanyi hip hop–sebuah dunia penuh bunyi dan ekspresi yang bertentangan dengan daerah sunyi ayahnya.
Konflik utama dalam filem ini adalah ketegangan antara dunia bisu Badak dan dunia bertenaga Mirah–muzik dan teknologi moden. Badak bimbang gagal menjadi ayah yang faham impian anaknya, terutama kerana beliau tidak mampu mendengar dan berkomunikasi dengan cara normal. Ketakutan dan kegusaran ini menggambarkan jurang generasi serta cabaran psikologi dialami oleh ayah yang ingin menyokong, namun merasa terasing dari dunia anaknya. Peranan datuk Mirah yang mampu mendengar dan memberi sokongan penuh menambah kontras dan kedalaman kepada naratif keluarga ini.
Salah satu aspek yang menarik adalah kekurangan latar belakang dan back history watak ayah Badak (Wan Hanafi Su). Konflik batin watak ini seolah-olah menjadi bayangan dan tanda tanya, memberi ruang kepada penonton untuk menginterpretasi sendiri mengapa dia bersikap dingin dan jauh dari anaknya. Kekurangan maklumat ini sebenarnya menambahkan lapisan realisme kerana dalam kehidupan sebenar, tidak semua konflik keluarga mudah difahami atau dijelaskan dengan kata-kata. Ini seterusnya memaparkan jarak emosi yang bukan sekadar hasil perbezaan keupayaan mendengar, tetapi juga trauma dan kebimbangan tak terungkap. Walau pun ada masanya saya terlalu ingin tahu mengapa datuk Mirah begitu membenci anaknya sehingga tidak mahu belajar bahasa isyarat untuk berkomunikasi. Begitu tegar seorang ayah membiarkan anaknya berteka-teki dalam kesunyian dan kekurangan dirinya.

Lakonan Sam sebagai Badak sungguh luar biasa. Beliau juga membuktikan dirinya seorang pelakon yang komited. Demi menjadi Badak, Sam sanggup menaikkan berat sebanyak 30 kilogram hanya dalam masa lima bulan. Di awal cerita kurus, kemudian apabila Mirah dewasa, dia membesar menjadi seorang Badak yang buncit–sesuai dengan namanya mungkin (pekak dan buncit sekaligus). Penonton dapat menikmati Sam yang kurus dan gemuk dalam satu filem. Gerak tubuh–caranya mengetap bibir, anggukan dan pandangan mata yang penuh makna mengingatkan saya kepada Abang Pyanhabib. Saling tak tumpah. Kekuatan lakonannya membuatkan saya merasai kesunyian dan segala ketakutannya. Saya pasti pemerhatian dan kajian yang mendalam telah dia lakukan. Saya sendiri beberapa kali menitiskan air mata. Ia mengalir tanpa paksaan. Sudah lama saya tidak menonton filem Melayu yang membawa emosi sebegini.
Aida Amron yang memegang watak Mirah memberikan persembahan natural namun punya weight, hasil pengalaman teaternya sejak remaja. Ia jelas membantu beliau membawa watak Mirah dengan sangat meyakinkan. Aida yang merupakan adik kepada pelakon Nadiya Nissa, walau masih baru dalam dunia perfileman, tampil bergaya disamping Sam. Tidak nampak kekok, takut atau terburu-buru. Lakonannya sangat bersahaja dan genuine, sehingga kita merasai pergelutandan gejojak hatinya. Bukan senang mahu rapping, bukan mudah untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon berkarisma, tetapi saya percaya dengan latihan dan semangat membara, Aida telah berjaya membuktikan beliau bakal menjadi pelakon yang berwibawa dan dihormati.

Tahniah kepada Ayam Fareed yang menjadi jurulatih lakon untuk filem Badak. Saya fikir wajib ada peranan ini dalam setiap produksi filem dan drama. Ini merupakan nilai tambah kepada persembahan cemerlang para pemainnya. Usahlah berkira untuk melabur demi mendapatkan seorang jurulatih lakon yang baik. Hasilnya pasti berbaloi.
Latar tempat di Chow Kit merupakan satu lagi elemen penting yang berjaya membina suasana dan identiti filem ini. Rumah pangsa lama yang menjadi tempat tinggal keluarga Badak, memberikan simbolik ‘hutan batu’ kehidupan kota dengan segala kesibukan dan cabarannya. Dari atas bumbung rumah pangsa itu kita dapat melihat kesibukan kota yang bertentangan dengan keheningan dunia Badak. Tempat itu juga menjadi ruang di mana Mirah merenung dan memujuk hatinya, sebagai simbol komunikasi tanpa kata-kata yang berlebihan. Visual dan suasana yang dibina berjaya menangkap rasa sederhana, cabaran hidup dan kasih sayang dalam keluarga.
Filem ini turut menampilkan muzik hip hop yang segar dan relevan, sesuai dengan jiwa muda Mirah dan dunia kontemporari. Lagu-lagu yang digunakan memberi rentak baharu kepada naratif, menggambarkan jurang generasi dan realiti zaman moden yang tidak dapat dipisahkan dari teknologi serta muzik. Ia menjadikan filem ini bukan sekadar cerita keluarga biasa, tetapi sebagai refleksi budaya masa kini yang lebih luas dan relevan.
Elemen sokongan dari kumpulan rakan dan komuniti Badak juga memberikan warna tersendiri dalam filem ini. Hubungan antara Badak dan sahabat-sahabatnya dipenuhi dengan humor dan kehangatan, menunjukkan pentingnya support group bagi golongan OKU. Ini membuatkan penonton merasa lebih dekat dan memahami dunia mereka serta melihat kekuatan komuniti yang memberi sokongan dan menguatkan semangat.
Pengarah dan penulis skrip, M Raihan, membuktikan beliau memiliki visi yang tajam dan matang dalam menggambarkan realiti zaman serta masyarakat kita. Dengan rekod projek-projek terdahulu yang mendapat pujian, beliau berjaya membawa kisah kehidupan keluarga dengan jiwa muda yang peka dan penuh kreativiti. M Raihan bukan sekadar menampilkan cabaran golongan OKU, tetapi mengangkat kekuatan, harapan dan keunikan mereka–menjadikan Badak sebuah karya penting yang memperkaya legasi filem Malaysia.
Golongan OKU kurang mendapat perhatian dan perlindungan dalam masyarakat kita. Justeru, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan hak mereka dihormati, dilindungi dan diperjuangkan agar mereka diberi ruang sama rata untuk hidup bermaruah dan berdaya saing.
Berteluku lama saya duduk sendirian sehingga tamat paparan credit titles, mengusap air mata yang jatuh satu persatu. Mungkin inilah yang disebutkan sebagai happy tears.
