SASTERA kanak-kanak tidak pernah menjadi sekadar hiburan yang ringan. Di sebalik halaman yang berwarna-warni, tersimpan kuasa simbolik yang membentuk cara kanak-kanak memahami dunia, menilai diri, dan mengenal bangsa.
Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, buku kanak-kanak mempunyai potensi yang jauh lebih besar. Ia bukan sekadar mendidik anak membaca, tetapi turut membentuk cara mereka berfikir berkenaan identiti, kemanusiaan, dan kebersamaan.
Seorang anak kecil yang membaca kisah berkenaan rakannya daripada bangsa atau budaya lain, dia sebenarnya sedang mempelajari konsep empati dan penerimaan yang tidak mungkin diajar secara langsung oleh mana-mana kurikulum formal.
Jean Piaget dalam buku Play, Dreams and Imitation In Childhood (1999) menjelaskan bahawa kanak-kanak belajar dan membina pengetahuan melalui hubungan mereka dengan persekitaran melalui “permainan” imaginatif dan simbolik. Permainan ini membantu mereka beralih daripada tindakan deria dan motor kepada keupayaan membentuk gambaran mental atau idea dalam fikiran.
Prinsip yang sama turut berlaku dalam aktiviti membaca. Buku kanak-kanak menjadi lanjutan kepada pengalaman bermain yang membolehkan mereka menstruktur semula realiti melalui simbol dan cerita.

Buku kanak-kanak, seperti yang dihuraikan oleh Rudine Sims Bishop (1990), berperanan sebagai “tingkap” dan “cermin”. Buku menjadi tingkap yang membuka pandangan kanak-kanak terhadap dunia lain. Pada masa yang sama, ia juga menjadi cermin yang memantulkan identiti serta pengalaman diri mereka sendiri.
Dari aspek pendidikan bahasa pula, Lev S. Vygotsky (1986) menjelaskan bahawa bahasa adalah alat untuk berfikir. Ucapan atau percakapan kita bermula daripada interaksi sosial, kemudian diinternalisasikan (masuk dalam diri) dan menjadi pemikiran verbal apabila kanak-kanak membesar.
Oleh itu, apabila kanak-kanak membaca dalam bahasa ibunda yang kemas dan sarat dengan nilai budaya, mereka bukan sahaja menambah kosa kata baharu, malah turut belajar berfikir secara teratur dan membentuk rasa moral. Vygotsky (1987) menulis, “The word is a microcosm of human consciousness” (kata yang bermakna adalah gambaran kecil bagi kesedaran manusia).
Inilah nilai utama yang menjadi tunjang kepada inisiatif Bengkel Kepengarangan dan Penerbitan Buku Kanak-kanak Pelbagai Kaum 2025 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) pada 3–5 Oktober 2025. Bengkel ini adalah usaha yang tidak berfokus pada penghasilan teks semata-mata, malah turut memperjuangkan pembinaan fikrah melalui bahasa dan seni bercerita.
Semua orang maklum bahawa setiap bangsa yang maju, lahir daripada tradisi membaca yang kukuh. Tradisi membaca yang kukuh pula selalu bermula dengan cerita.
Kanak-kanak yang mengenal buku sejak awal akan membesar dengan sistem simbol dan metafora yang memperkaya daya fikirnya. Naratif yang baik bukan sahaja menghiburkan, malah melatih keupayaan mental, membayangkan, menilai sebab-akibat, memahami emosi, dan menstrukturkan pengalaman.
Dalam buku Actual Minds, Possible Worlds, Jerome Seymour Bruner (1986) menyatakan bahawa manusia membentuk makna melalui naratif. Kita tidak sekadar mengingati fakta, malah turut mengingati kisah. Maksudnya, apabila seorang kanak-kanak membaca kisah berkenaan keberanian seekor anak kucing atau persahabatan antara dua bangsa, ia sebenarnya sedang membina model moral dan kognitif berkenaan kehidupan bersama.

Buku kanak-kanak menjadi tempat pertemuan antara bahasa dan nilai. Di sinilah pentingnya bimbingan penulis dan pelukis (atau ilustrator) memahami tanggungjawab mereka bukan sekadar mencipta watak comel, tetapi menulis dengan niat mahu mendidik pemikiran bangsa yang inklusif.
Estetika Cerita, Etika Bangsa
Dalam sejarah kesusasteraan Melayu, naratif kanak-kanak mula berakar sejak zaman Hikayat Sang Kancil dan Cerita Rakyat Nusantara. Watak-watak seperti Sang Kancil, Si Tanggang, dan Bawang Putih Bawang Merah menjadi ikon moral yang disampaikan dari generasi ke generasi.
Namun, cabaran sastera kanak-kanak moden adalah bagaimana memperbaharui bentuk naratif tanpa kehilangan nilai etika yang menjadi teras bangsa.
Apabila penulis kontemporari mula menulis berkenaan kanak-kanak Iban, perkahwinan India, permainan tradisional Cina, atau watak Sikh yang beridentiti Malaysia, sebenarnya mereka sedang menulis semula makna “kita” dalam konteks yang lebih luas. Buku seperti Ketupat Palas dan Bakcang, Dastar Budak Sikh, atau Budak Bajau Laut yang akan diterbitkan melalui projek GAPENA ini bukan sekadar projek kesenian. Ia adalah manifestasi kesedaran nasional melalui sastera.
Dari sudut estetikanya, buku kanak-kanak membawa keindahan yang bersifat “pedagogi estetik”. Ia mengajar tanpa memaksa dan mendidik tanpa menggurui. Ilustrasi, warna, dan susun atur menjadi bahasa visual yang memudahkan pemahaman nilai tanpa perlu syarahan. Dalam konteks ini, ilustrator dan penulis berperanan sebagai pengantara moral bangsa.
Atas faktor tersebut, buku kanak-kanak bukan sekadar bacaan santai kerana ia adalah “tindakan kebudayaan”. Melalui cerita, anak-anak belajar mengenal diri, memahami orang lain, dan melihat dunia dari pelbagai sisi. Ketika seorang kanak-kanak membaca kisah berkenaan sahabatnya dari latar budaya yang berbeza, dia sebenarnya sedang memupuk rasa hormat dan empati terhadap perbezaan. Bacaannya itu menjadi jendela yang membuka minda serta cermin yang memantulkan nilai dalam dirinya.
Oleh itu, semakin banyak buku kanak-kanak yang diterbitkan dalam pelbagai tema, bahasa, dan budaya, semakin luas juga ruang pembelajaran yang terbina dalam masyarakat. Negara yang memperbanyak penerbitan buku untuk kanak-kanak sebenarnya sedang membina akar tamadun ilmu dan perpaduan dari bawah. Buku-buku inilah yang akan membentuk cara generasi muda berfikir, menilai, dan bertindak apabila dewasa kelak.
Sekiranya pembangunan buku kanak-kanak diabaikan, maka hilanglah satu ruang penting bagi menanam nilai bahasa, budi, dan moral bangsa sejak awal. Namun, apabila usaha penerbitan ini digerakkan secara berterusan seperti yang dilakukan oleh GAPENA dan penerbit-penerbit tempatan, maka bangsa ini sedang menulis semula masa hadapannya melalui tangan-tangan kecil yang membaca dengan rasa ingin tahu dan kasih terhadap dunia.
Dalam konteks negara membangun, keilmuan tidak lahir daripada teknologi semata-mata, tetapi daripada keupayaan membaca secara mendalam (deep reading). Buku kanak-kanak adalah latihan awal ke arah budaya ini. Kajian UNESCO (2025) berkenaan What you need to know on lifelong learning menegaskan bahawa minat membaca yang ditanam pada usia awal adalah faktor utama kejayaan pembelajaran sepanjang hayat.
Lebih penting daripada itu, pembacaan sastera kanak-kanak berperanan membentuk kewarganegaraan budaya (cultural citizenship), iaitu keupayaan memahami dan menghormati perbezaan sebagai kekuatan, bukan ancaman. Buku yang menggambarkan pelbagai etnik Malaysia bukan sahaja memperkaya bahasa, malah turut membina “kewarganegaraan budaya”, iaitu keupayaan kita menghargai perbezaan sebagai kekuatan bersama.

Oleh itu, apabila ada peserta bengkel yang menulis kisah berkenaan permainan teng-teng di bandar, dan ada ilustrator melukis pakaian tradisional Iban, mereka sebenarnya sedang mendokumentasikan warisan negara dalam bentuk naratif kecil yang membentuk sejarah besar.
Dalam dunia yang dipenuhi gajet dan maklumat segera, buku kanak-kanak kekal sebagai ruang paling lembut, tetapi paling berpengaruh untuk membina manusia. Ia mendidik mata untuk membaca, lidah untuk berkata, dan hati untuk merasa.
Menulis buku untuk kanak-kanak bermakna menulis untuk masa hadapan bangsa, iaitu menulis untuk generasi yang akan memegang pena seterusnya. Maka, setiap karya yang lahir daripada pena penulis atau lakaran berus pelukis harus dianggap sebagai sumbangan terhadap pembangunan minda kebangsaan.
Penulisan untuk kanak-kanak sebagaimana diusahakan melalui inisiatif GAPENA ini tidak hanya berhenti pada keindahan cerita, tetapi berfungsi sebagai gerakan intelektual dan sosial yang menanam makna berkenaan manusia, bahasa, dan kebangsaan.
Nanti, apabila seorang anak kecil membuka buku dan membaca kisah berkenaan sahabatnya daripada budaya lain, dia tidak hanya belajar membaca huruf. Sebenarnya dia sedang belajar membaca manusia. Di situlah bermulanya pembangunan bangsa yang berakal dan berjiwa.
Rujukan
Bruner, J. S. (1986). Actual Minds, Possible Worlds. Harvard University Press.
Piaget, J. (1999). Play, dreams and imitation in childhood (C. Gattegno & F. M. Hodgson, Trans.). Routledge.
Sims Bishop, R. (1990). Mirrors, windows, and sliding glass doors. Perspectives: Choosing and Using Books for the Classroom, 6(3).
Vygotsky, L. S. (1986). Thinking and Speech. In R. W. Rieber, & A. S. Carton (Eds.), The Collected Works of L. S. Vygotsky (Vol. 1), Problems of General Psychology (pp. 39-285). New York: Plenum Press.
Vygotsky, L.S. (1987). Thought and language. In MIT Press eBooks.
What you need to know on lifelong learning. (2025, February 13). https://www.unesco.org/en/lifelong-learning/need-know
