MALAYSIA tidak membakar buku tetapi sangat cemerlang dalam menyorokkannya sampai hilang. Novel Terdedah tulisan Shahnon Ahmad tahun 1965 ialah salah satu daripadanya. Novel yang diterbitkan pada 1965 itu seolah-olah disimpan dalam sebuah peti. Selepas itu ia hilang.
Terdedah yang mengisahkan tentang janda muda dan dua kekasih kini dibuka semula bukan sebagai novel tetapi sebagai dokumentari visual yang sedang menunggu untuk dinyalakan semula dalam mata penonton hari ini.
Dokumentari berjudul TERDEDAH: 7 Artists in Search of a Cover arahan Amir Muhammad akan ditayangkan buat pertama kali pada 29 November jam 8 malam di UAB Hall di Pulau Pinang. Amir tidak menulis semula cerita Terdedah dan tidak menganalisisnya. Sebaliknya beliau menjemput tujuh artis dan meminta mereka membayangkan kulit buku Terdedah seolah olah novel itu akan lahir semula esok pagi.

Namun eksperimen itu tidak berjalan lurus. “Dalam dokumentari ini seorang artis hilang dan diganti dengan ChatGPT,” katanya.
Apabila ditanya sama ada keputusan itu mencerminkan masa depan imaginasi manusia yang semakin digantikan robot Amir menjawab dengan nada tenang tetapi tajam. “Boleh dilihat begitu. Banyak saja jenis kerja yang telah diganti oleh robot. Daripada tiga sifat terpuji yang harus dimiliki mana mana karyawan freelance ialah mudah berurusan, menepati masa, berbakat dan yang paling penting adalah menepati masa.”
Ramai yang percaya masyarakat hari ini lebih matang berbanding era 1960an. Tetapi sebuah novel tentang janda muda dengan dua kekasih yang ditulis pada 1965 hilang begitu sahaja daripada radar budaya negara. Ia hilang mungkin kerana terlalu dekat dengan keinginan yang kita cuba anggap tidak wujud.
“Saya sendiri tak tahu sebab kenapa buku ini dah tidak diterbitkan berbanding novel novel awalnya yang lain seperti Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong,” kata Amir. “Pendekatan Terdedah moden licik dan masih lantang sama seperti karya Hamzah Hussin pada waktu itu.”
Amir tidak memilih artis dengan selamat. “Penyertaan sengaja dibuka kepada semua jenis artist tak semestinya figuratif atau yang biasa buat kulit buku. Sebab kami nak lihat keragaman dari segi pendekatan.” Namun syaratnya tidak berganjak. “Faktor utama ialah artist itu harus mampu baca novel nipis itu sepenuhnya. Mungkin faktor itu menakutkan ramai orang sebab hanya tujuh yang mohon.”
Apabila ditanya sama ada artis hari ini masih takut menyentuh tubuh atau sensualiti wanita Amir berkata. “Tak semua menggambarkan figura jelas. Mungkin ada tabu yang berkait agama tapi mungkin juga artist itu ada cara tersendiri.”
Ditanya tentang kulit novel sekarang, Amir berkata; “Untuk kulit novel sekarang pun jarang ada penampilan manusia secara terang terang dan realistik seperti zaman Creative Enterprise pada awal 1990an. Ia dianggap sedikit lapuk. Kini kebanyakan novel guna siluet atau susunan yang simbolik.”
Jika Shahnon menonton dokumentari ini adakah dia akan menggigil atau tertawa. Jawapan Amir pendek dan tidak dramatik. “Saya harap dia akan kasi 5 bintang di IMDB.”
Durasi dokumentari ini ialah 50 minit dan akan disertai sesi soal jawab langsung bersama Amir. TERDEDAH: 7 Artists in Search of a Cover bukan sahaja mengangkat semula sebuah novel yang lenyap dari rak. Ia menguji sama ada mata masyarakat hari ini masih sanggup melihat sesuatu yang tidak mahu diakui tetapi tidak pernah betul betul hilang.
