BEBERAPA tahun lepas, saya berpindah bilik. Bilik yang saya nak pindah itu katilnya dah rosak, jadi penghuni lama letak tilam atas lantai. Waktu saya nak masuk, tuan rumah nak beri katil baharu tapi saya tak nak. Saya nak letak tilam atas lantai.
Saya ada simpan satu impian, lama dulu waktu belajar. Saya berangan, kalau nanti kerja di KL, saya nak duduk rumah macam Azman Hashim. Rumah Azman kecil, rumah flat yang macam tak ada perabot sangat. Dia tidur di ruang tamu, atas tilam bujang atas lantai. Di sekeliling tilamnya ada buku bertingkat-tingkat.
Rupa bilik saya sekarang hampir sama macam itu, cuma bezanya saya sewa bilik, bukan rumah. Bila sewa bilik, ruang tak besar. Jadi nampak sempit sikit, tak macam Azman.
Azman watak yang dilakonkan Nam Ron dalam filem Gadoh (2009). Dalam filem itu, dia jadi aktivis teater yang ditugaskan melatih sekumpulan budak jahat di sekolah. Gayanya pemikir; suka duduk silang kaki, cakap tak tergesa. Tapi marhaen; duduk flat, makan di warung, rambut tak minyak.
Entah apa rosaknya otak saya waktu itu, mahu jadi marhaen macam Azman. Sila-silap, Nam Ron pun tak mahu jadi macam Azman.
Selagi ada Parlimen
Gadoh antara filem yang banyak mempengaruhi waktu muda saya. Bila tonton balik, banyak hal dah tak relevan. Babak-babak dalam sekolah nampak lapuk sebab saya yakin, cikgu-cikgu dan pegawai PPD dah tak sesempit itu akalnya. Masih ada, cuma taklah seteruk itu.
Tapi semangat Gadoh terus hidup sampai sekarang. Persoalan perkauman yang jadi tunjang elok difikirkan semula. Di Malaysia, selagi ada Parlimen, selagi itu ada perkauman.
Gadoh memaparkan penyelesaian masalah perkauman yang simplistik. Khalil nampak perempuan Cina tolong orang buta Melayu lintas jalan. Balik rumah, dia dengar bapanya atur duit kopi untuk dapat tender dari Dato’ Melayu. Sedang berjalan, dia nampak Heng tolong ayahnya jual cakoi. Pengalaman singkat dan padat itu buat dia persoal kembali kebenciannya pada Cina.
Tapi mungkin, memang semudah itu untuk meleraikan perkauman. “Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa”. Semudah itu bait sajak Pemuda dan Gadis Tionghoa oleh Usman Awang. Cuma itulah, kita ada Parlimen.
Sikap perkauman pada pelajar-pelajar sekolah dalam filem itu dicarik-carik di dua ruang. Pertama, stor yang dijadikan tempat latihan kelab teater. Azman minta semua pelajar meluahkan apa yang terbuku dalam hati lepas budak-budak itu tak habis-habis bergaduh.

Jan paling ekstrem. Orang Cina makan babi. Berak tak pernah basuh. Bangun pagi tak mandi pagi. Bencinya tak logik dan bersifat peribadi. Khalil lebih ekonomi. Katanya, orang Cina tamak, selalu pijak bangsa Melayu.
Watak-watak Cina pula lebih tak puas hati tentang hak dan keadilan. Kata Heng, orang Cina kena kerja kuat untuk hidup, untuk belajar tinggi. Seng kata, orang Melayu belajar tak pandai pun boleh masuk universiti. Padu.
Ruang kedua ialah pentas teater. Ketika pementasan teater di depan pegawai PPD dan semua warga sekolah, kebencian kaum dilakonkan semula sampai ke tahap bertumbuk dan akhirnya membunuh.
Dalam kes ini, perkauman terlerai apabila rupa bentuknya didedah kepada umum. Tajali yang membawa mati. Ada sensasi unik apabila fikiran-fikiran buruk kita diucap kepada umum; bukan bergaung dalam hati sendiri atau dibincang sehala dengan kawan-kawan sefikrah.
Pendedahan rasa dan fikiran sebegitu buat kita persoal kembali pandangan sendiri. Itu yang berlaku pada Khalil. Apabila pandangan disuarakan, kemudian bertembung satu ekstrem dengan ekstrem yang lain, maka berlangsunglah bahas dalaman yang menyedarkan.
Ruang yang selamat
Kedua-dua ruang – stor latihan dan pentas teater – dibentuk menjadi ruang selamat oleh Azman. Dan itulah fungsi seni, bagi saya. Ia sebentuk ruang yang selamat untuk kita ucap, dengar, lihat, tunjuk, tulis atau baca apa saja. Kesan tindakan itu kita perlu tanggung tapi yang penting, seni memberi ruang yang selamat.
Kefasihan dan cinta Azman pada seni teater buat dia mampu membuka ruang selamat itu untuk pelajarnya dengan natural. Dia faham teater menuntut kerapuhan, maka pembentukan ruang selamat itu hal wahid.
Melalui ruang selamat itu juga curiga perkauman dalam kalangan pelajarnya terdedah, terapung jadi gas lalu berjaya ditiup jauh. Bukan perkauman saja, kritikan terhadap sistem sekolah oleh Linda juga terlerai. Beban buli dalam dada Raj berjaya dilepas.
Ah, buli. Sampai bila kita perlu baca berita nyawa muda melayang kerana buli? Zulfarhan Osman, T. Nhaveen dan terbaharu, Zara Qairina.
“Sampai bila korang nak tolak aku? Sampai ke dinding? Sampai aku mengamuk, membunuh? Itu yang korang nak?” soal Raj dalam monolognya. Dan ia mengingatkan saya pada cerita Prebet Adam yang mengamuk selepas dibuli di kem askar. Dia, tanpa sengaja, terbunuh orang awam.
HSPM dan Bapa Kekoluman
Kembali kepada ruang selamat. Ketika artikel ini ditulis, masih hangat nama Irfan Fikri dipetik dalam media sosial kerana kritikan keras dan tajamnya terhadap Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 dan karya-karya yang memenangi hadiah tersebut.
Dalam perjumpaan Kultus Kata Edisi Ke-16 pada 26 Julai lepas, polemik tersebut turut berbangkit dan pada satu ketika, di celah-celah pandangan berapi orang lain, saya ditanya pandangan tentang isu itu. Lidah saya kelu.

Ada benda saya cakap tapi peratusnya sangat sedikit berbanding orang lain. Sebab, sejujurnya, saya tak begitu peduli tentang polemik itu. Zurinah Hassan menang, saya okay. Zurinah menjungkir balik cerita rakyat, saya okay. Lutfi Ishak kritik Zurinah, saya okay.
Sebab, pertama, saya tak peduli sangat pada HSPM. Puisi-puisi yang saya suka tak menang hadiah itu, malah mungkin tak dicalonkan pun. Puisi yang menang pun, bagi saya tak sedap. Selera saya tak ke situ. Saya cuma seronok sebab Nadhirah Ghani menang.
Kedua, saya fikir, esei berbalas-balas itu memang natijah baik anugerah sastera, tak kiralah kita setuju atau tak dengan hujah para penulis. Mereka tulis, saya belajar. Itu saja.
Sebab, kembali kepada Gadoh, seni itu ruang selamat untuk kita bertekak. Cuma, bila kritikan disamakan dengan salakan anjing, ruang selamat itu teregang. Kalau dibiar, boleh putus. Itu saja saya tak setuju.
Setakat ini, ruang sastera kita masih selamat. Maka, biarkanlah pandangan-pandangan didedah, terapung jadi gas dan kalau buruk, ditiup jauh. Sastera sedang meniti jalan sihat, nikmatilah.
Selepas menonton Gadoh, isu-isu semasa yang berlegar boleh masuk dalam kepala saya, bergaul mesra dengan ucap dialog dan riak wajah watak-watak dalam filem itu. Dari perkauman, buli sampai polemik sastera. Itu tanda filem itu cemerlang, malah malar segar.
Tentang HSPM, saya akan terus tidak peduli pada acaranya lama, saya fikir. Yang lebih mustahak bagi saya ialah penganugerahan Bapa Kekoluman Moden Malaya kepada Abdullah Jones, seorang pelukis kaya yang saya hormati dan sanjungi.
Saya harap kerajaan dapat usahakan sebuah majlis gemilang untuk beliau. Sediakan bajet untuk jemput Real XPDC, Orkes A. Hizadin dan Dewataraya buat persembahan. Beliau suka lagu tentang korupsi oleh Orkes A. Hizadin dan suara ala M. Nasir vokalis Dewataraya.
Abdullah Jones sudah terlalu layak untuk gelaran itu. Media mana tak mahu tulisannya? Dah berapa kali tulisannya dikumpul lalu dibukukan dan dijual dengan harga mahal? Malah, dengan wajahnya yang kacak, rambut digunting dengan gunting (bukan mesin), seluar harga lumayan, dia punya penampilan yang sempurna untuk menerima gelaran tersebut. Bila lagi kerajaan mahu beri gelar kepada ahli makrifat?
Moga dengan lobi ini saya dapat terus menumpang keretanya, menghirup udara yang sama dengannya, mengikut setiap derap perlahan kakinya dan dipertimbang menjadi menantunya. Amin.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
