PADA bulan Julai dan Ogos 2019, penyair-pelukis A. Ghafar Ibrahim (Agi) mengadakan pameran solo di Galeri Aswara. Saya bersama-sama beliau pada satu pagi bercakap tentang “Pameran Tak Tun” dan hal-hal lain. Hal-hal lain termasuklah perjalanan panjang beliau sebagai guru dan seniman, pembabitan dengan Anak Alam dan keadaan seni semasa. Hasil perbualan dan kesan pemerhatian saya terhadap pameran itu saya rakamkan dalam rencana yang tersiar dalam akhbar The Star berjudul “Feel the Tak Tun Pulse In Veteran Poet-Painter AGI’s Abstract Works” yang tersiar pada 13 Ogos 2019.
Agi orang yang saya hormati, kagumi malah salah seorang ikon saya dalam dunia seni. Saya tidak dikenal sebagai penyair tetapi saya banyak berteater (sewaktu saya lebih muda). Saya mengenal Agi sejak saya di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1974, menyaksikan beliau membaca puisi, membuat improvisasi dan melukis. Saya terhuja. Beliau seniman yang lain daripada yang lain.

Saya tidak begitu memahami konsep 3V masa itu – verbal, vocal, visual. (Konsep itu lebih dikenal sebagai Tri-V hari ini). Bagi pelajar yang cenderung pada teater, saya melihat Agi bukan sekadar mendeklamasikan puisi tetapi melakonkan dan memimprovisasi pembacaannya. Saya melihat beliau sebagai dramatis yang menggunakan puisi sebagai dialog dan ruang terbuka sebagai latarnya.
Melihat Agi membaca puisi bagaikan melihat Agi berteater – dengan gerak, langkah, intonasi suara, play-acting, penuh penghayatan dan meyakinkan.
Bagi yang kurang jelas tentang Tri-V, beliau menyimpulkan:
“Verbal adalah isi sajak. Vokal bunyinya. Visual ialah teknik sajak.”
Tulis beliau lagi:
Tempat penglahiran sajak tidak terbatas. Di atas kertas, melalui TV, radio, tayangan slides dan movie. Cara mana sajak disampaikan adalah tekniknya. Cara ia dilahirkan itu dinamakan visual. Jadi sebuah sajak itu mestilah dibaca, didengar, dilihat. “
Mungkin itu manifesto sajak Agi. Sajak bukan hanya dihayati dan dibacakan, tapi di Tri-Vkan. Begitu kira-kiranya. “Barulah kita akan dapat suatu pengertian yang nikmat.”
Sudah tentu saya kagum. Saya sering mengikut pendramaan puisinya di banyak tempat. Saya mengagumi puisi Tak Tun, kemudiannya Tan Sri Bulan dan banyak lagi. Saya boleh relate dengan Agi. Agi menteaterkan puisi. Saya suka cara Agi. Cara Agi cara saya juga mengekpresi diri.
Lalu saya terbayangkan apa yang saya pelajari tentang folk literature (sastera rakyat) khususnya di Perancis Selatan dan Utara Itali pada abad ke-11 hingga ke-13. Kelompok lyric-poets (penyair lirik) dan poet-musicians (penyair pemusik) yang berkembang sebagai seniman yang dihormati. Mereka berkeliling membawakan puisi dan lagu.
Dalam konteks lebih moden penggunaan konsep troubadour dihidupkan kembali sebagai seniman yang membawa puisi dan lagu kepada khalayak. Perkataan itu secara slanga dikaitkan dengan gerakan seniman yang mendidik dan menghibur serta turut mencorakkan kesenian rakyat atau folks tradition.
Bagi saya Agi adalah troubadour kontemporari dengan ciptaan puisi dan melodi puisi yang membentuk korpus yang mendefinisikan personanya.
Maka bagi saya, perjalanan Agi sebagai seniman adalah pengembaraan seni seorang troubadour moden di rantau ini. Beliau mencipta, mencorak, mewarnai, memberi digniti dan harga diri pada dunia kesenimananya.
Saya melihat ke-troubadour-an seorang Agi, yang tulen, asli, jujur, bersahaja. Maka saya mula berjinak-jinak untuk memahami apakah yang menggelodakkan seorang penyair-pelukis menggunakan ruang sebagai ekpresi vokal dan puitiknya. Dan cuma meletakkan dirinya pada sangkar kesenimanan yang istimewa.

Tambahan pula sejak tahun 1974 saya mulai mendampingi Kumpulan Anak Alam. Sebuah rumah bernombor 905 di hadapan Padang Merbuk di Kuala Lumpur itu punya sejarah yang luar biasa. Ia tempat berhimpunnya komuniti seniman – yang menamakan diri mereka Anak Alam – mulanya terdiri daripada pelukis penyair dan kemudiannya dramatis.
Semasa saya mula mendampingi Anak Alam, pelopornya seperti Latiff Mohiddin, Agi, Siti Zainon Ismail, Zulkifli Dahlan, Ali Mahuba dan yang lain-lain sudah tidak ada di sana. Tinggallah Mustafa Ibrahim dan Maryam Abdullah sebagai “Bapa” dan “Ibu” Alam.
Selain aktif dengan Anak Alam serta mementaskan drama-drama saya menggunakan label Anak Alam, saya masih terus mengikuti perkembangan pelopor Anak Alam yang lain. Termasuklah Agi. Rumah Anak Alam gapura seni sebenar, tempat bereksperimen, tempat membuka jendela seni seluas-luasnya. Saya pernah tinggal di sana bersama-sama teman-teman yang lain. Kami main teater, baca puisi, buat improvisasi.
Kami bawa teater ke padang terbuka, ke tempat letak kereta dan di dalam pasar raya. Kami mulakan busking teater dengan “Pemburu Perkasa” yang dilakonkan oleh Muhamad Abdullah dan Omar Abdullah.
Di Galeri Aswara pagi itu, Agi menunjukkan pada saya sebuah lukisan yang luar biasa – kanvas bermuat dua buah puisi Muhammad Yassin Makmur atau lebih dikenal sebagai Pungguk berjudul “Ibuku” dan “Selalu Merayu.” Kedua buah puisi itu pernah tersiar dalam Majalah Guru pada tahun 1934. Menurut cerita Agi, pada satu hari pada tahun 1970, Pungguk datang sendiri ke rumahnya di Kampung Sesapan Batu Minangkabau di Beranang, Selangor.
Pungguk menulis semula kedua-dua buah puisi itu di atas kanvas dalam tulisan jawi. Agi mengisi ruang yang kosong di antara dua sajak itu dan melakar wajah Pungguk. Maka terakamlah lakaran wajah Pungguk, orang yang dianggap Bapa Puisi Moden Melayu, bersama-sama dua buah puisinya yang ikonik.
Pungguk adalah lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim yang tersohor itu. Selain menjadi guru beliau adalah Pengarang Majalah Guru. Inilah wahana yang memberikan ruang untuk sasterawan menulis puisi. Dari tahun 1934 hingga 1938 di bawah pimpinan beliau Majalah Guru menyuburkan bidang puisi.
Menurut Agi, Pungguk datang lagi ke rumahnya pada 1 Februari 1971, kali ini untuk menurunkan tandatangannya pada lukisan itu. Lukisan itu berukuran 110 kali 104 sentimeter.

Pada tahun 2019, sudah 48 tahun usia lukisan itu.
“Masuk akal tak kalau Abang nilaikan RM1000 bagi setiap tahun?”
Saya nampak logiknya. Maka nilai kanvas berisi dua buah puisi Pungguk yang dilukis oleh Agi bernilai RM48,000 pada tahun itu.
“Siapakah bakal pemilik cintaku harta intelekku catan Pungguk?’ Dia menanyakan.
Malah, bagi saya, nilainya lebih daripada itu. Tulisan tangan tokoh besar sasterawan yang potretnya dirakamkan oleh Agi 53 tahun yang lalu tentulah sangat berharga. Menggunakan kayu ukur pasaran seni lukis antarabangsa, nilainya sepatutnya mencecah jutaan ringgit.
Sehingga hari ini catan itu masih dalam simpanannya.
Pameran di Aswara itu merupakan pameran persendiriannya yang ke tujuh bermula dengan pameran solo di Galeri 11 di Kuala Lumpur pada tahun 1969. Agi juga sudah terlibat dengan pameran bersama lebih 24 kali, bermula di World Assembly of Youth Arts Festival di Liege, Belgium pada tahun 1969.
Tapi sebagai penyairlah Agi akan sentiasa diingat kehebatannya. Apa yang tidak ditulis lagi tentang Agi sebagai penyair? Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Melayu, Umar Junus pernah penulis tentang “Tan Sri Bulan Paparkan Percubaan yang Lantang dan Berani (Berita Minggu, 4 November 1973); (Sasterawan Negara) Anwar Rithwan menulis tentang “Ghafar Bersama Tan Sri Bulan” (Utusan Malaysia, 11 November 1973) sementara Jaafar H.S. menghasilkan “Meneliti Suara Ghafar Ibrahim dalam Tri-V = Tan Sri Bulan” (Dewan Sastera, Disember 1973).
Utih (Krishen Jit) pula menulis tentang “Ghafar, the Poet, Gives new Twist to Theatre” (New Sunday Times, 29 September 1974); Darwis Harapah, “Beberapa Puisi Ghafar Layak Diteaterkan”, (Berita Minggu, 24 Ogos 1980); Mohamad Daud Mohamad menulis “Kreativiti A. Ghafar Ibrahim” (Dewan Sastera, November 1989); Kee Thuan Chye mencatatkan “Poet With the 3-V Formula”, (Business Times, 2 Mei 1987) dan banyak lagi. Pada bulan Januari 2006, Dewan Sastera memperagakan fokus utama pada kulitnya, “Agi: Peneroka dan Pengasas Puisi Ekperimen Malaysia.”
Jadi tidak hairanlah sekiranya kita mengalu-alukan kelahiran koleksi puisinya yang terbaru, Kaleidoskop. Mengapa Kaleidoskop? “Kaleidoscope” dalam bahasa Inggeris bermaksud jalinan yang silih berganti. Mungkin maknanya silang warna, panca warna atau kepelbagaian warna, yang menjambati horizon seninya sejak tahun 1965. Puisi dalam Kaleidoskop disusunselia oleh seorang anak muda pengagum Agi bernama Jack Malik yang amat berbakat.

Jack dalam Epilognya mengakui jarak usianya dengan Agi adalah 50 tahun. Kumpulan ini merangkumi puisi selama 57 tahun (1965 hingga 2023).
Menurut Jack, “Apa yang Abdul Ghafar Ibrahim tawarkan adalah sebahagian daripada kanon persajakan Melayu Malaysia. Kebiruan langit Abdul Ghafar Ibrahim mungkin berlainan daripada apa yang biasa kita tatap. Tetapi jika kita sudi mendongak barangkali kita nampak dunia persajakan kita hanya terbatas oleh keterbukaan diri kita. Sajak dari Tan Sri Bulan, Tak Tun dan Yang Yang, Abdul Ghafar Ibrahim sudah menghamparkan kepada kita rangka tindakannya untuk menggerakkan sajak Melayu Malaysia ke ufuk baharu.”
Saya bersetuju penuh pemerhatian cerdik ini.
Menurut Ts Dr Mohd Saipuddin Suliman yang menulis prolog untuk koleksi ini, Kaleidoskop turut “mewarnai jagat bahasa, sastera dan budaya tanahair tercinta.”
Saya berkesempatan ke rumah Agi bersama-sama anak saya YB Syahredzan pada hari Ahad 16 Jun baru lalu. Syahredzan bukan penyair tetapi minat beliau pada puisi amat mendalam. Saya percaya beliau menikmati puisi-puisi Agi seperti ayahnya juga.
Benarlah kata Agi, bagi orang yang mahu mengenal sajak sesungguhnya, “Sajak itu sendiri membawa persoalan bukannya jawaban. Sebuah sajak akan berhenti menjadi sajak bila dia telah menyediakan jawaban dalam dirinya.”
Lagi katanya, “Keindahan untuk dihayati, bukan difahami.”
Pada pagi itu di rumah yang meminjam istilah Agi sendiri, “rumahku yang kecil semuat-muatnya memuatkan cinta seniku yang saujana” Agi bercakap tentang dirinya, perjalanan hidupnya, usianya (baru 81 tahun) juga tentang lebih banyak lagi koleksi yang mahu diterbitkan serta lukisan yang mahu dilahirkan.

Demikianlah Si Troubadour Tua tetap masih berbisa dan bersengat yang akan terus melakar kanvas dengan ketekunan luar biasa dan melahirkan puisi yang menjelaskan persona artistiknya. Perjalanan itu belum selesai sekadar Kaleidoskop. Perjalanannya masih panjang selagi nyawa dikandung badan.
Benar kata Agi,
“Sajak tidak habis dan tidak tamat dalam tulisan, tidak mencungap-cungap dan tidak terpengap dalam buku; tidak hapak; dan tidak menyombong dalam kota akademik. Sajak ingin melontar, bersilat, berenang, berterbangan, berlari, bertepuk-tampar, berdoa, beratip, berzanji, berqasidah, bernasyid dan berberber dan beryangyang.”
Berberber dan beryangyang.
Tulisnya lagi, “Kerana itulah anda lihat ada kalanya aku berdiri sebagai seorang performer, entertainer, exhibitionist dan kelihatan luklak tapi tidak; nampak bersahaja tetapi bersungguh-sungguh.”
Demikianlah Agi dan dunia Agi. Dunia yang tersingkap sedikit sebanyak dalam Kaleidoskop yang istimewa ini.
–TAN SRI JOHAN JAAFFAR adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau juga aktivis seni, pernah menulis naskhah, berlakon dan mengarah teater. Pengalamannya dirakamkan dalam Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad terbitan DBP.


Thankfulness to my father who shared with me on the topic of this blog, this web site is truly remarkable.