JAKARTA tidak pernah sunyi. Di jalan raya, bunyi hon bertingkah dengan deru enjin. Di ruang buku, desiran helaian kertas bertukar-tukar tangan.
Bermula 31 Julai sehingga 3 Ogos 2025, saya ke kota ini atas undangan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Niat hati bukan sekadar untuk membeli buku, tetapi mahu menyelami denyut nadi sastera dan penerbitan Indonesia yang menjadi cermin, bahkan cabaran kepada ekosistem buku Malaysia.
Walaupun ini bukan kali pertama saya menjejakkan kaki ke republik ini, saya pernah hadir beberapa kali khususnya menyertai Pesta Buku Antarabangsa Indonesia, tetapi lawatan kali ini berbeza.
Saya mahu melihat dari dekat bagaimana kedai buku mereka beradaptasi dengan zaman, bagaimana komuniti pembaca mereka hidup di antara tradisi dan inovasi, dan bagaimana buku fizikal di sini masih menjadi sebahagian denyut sosial.
Yayasan Pustaka Obor Indonesia: 49 Tahun Menjaga Nyala Sastera
Setibanya di Jakarta, langkah pertama kami membawa ke Yayasan Pustaka Obor Indonesia, sebuah institusi penerbitan yang ketika itu sedang menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-49. Di bawah pimpinan Ibu Kartini Nurdin, yang masih utuh mempertahankan penerbitan karya besar sastera Indonesia dan dunia, Obor terus menghidupkan buku-buku penting seperti karya Sapardi Djoko Damono, Mochtar Lubis, dan deretan penulis mapan.
Obor bukan sekadar penerbit. Ia adalah benteng yang menjaga warisan kata dan memastikan nilai-nilai kesusasteraan merentas generasi dan sempadan negara. Mengunjungi Obor seolah-olah memasuki sebuah ruang yang dipenuhi semangat idealisme, di mana setiap buku adalah manifestasi perjuangan untuk mengekalkan intelektualisme dan kebebasan berfikir.
Makarya di Gramedia Matraman: Bab Baharu Buku sebagai Pengalaman
Gramedia Matraman, yang dibuka 33 tahun lalu, adalah ikon dalam semua 126 cawangan Gramedia di seluruh Indonesia. Terletak di Jalan Matraman Raya yang sibuk, ia bukan sekadar kedai buku. Ia adalah destinasi.

Namun, dunia buku sudah berubah. Maka lahirlah Makarya, konsep “bookstore meets coffee shop” hasil kerjasama Gramedia dengan Smiljan Space dan kurator buku bebas, Tomi Wibisono. Ia mengingatkan saya kepada strategi Waterstones di United Kingdom yang menggandingkan diri James Daunt daripada Daunt Books. Ia satu simbiosis antara kekuatan runcit besar dan sentuhan peribadi kedai kecil.
Makarya terasa seperti ruang tamu pembaca. Raknya kecil, tetapi tertampil, label genre diganti dengan frasa mesra seperti Get to Know Yourself, ada sudut kopi yang mengajak pembaca duduk lama, dan selalu diadakan program atau acara seperti bicara buku, kelab pembaca, serta persembahan seni kecil-kecilan.
Ketika saya melangkah masuk ternampak sosok Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia sedang mencicip kopi di situ sementara menantikan ketibaan kami. Maka tahulah saya Makarya bukan sekadar berkenaan menjual buku semata-mata, ia mencipta suasana yang membuat orang mahu kembali.
Dan benar. Selepas bermesyuarat dengan Pengurusan Gramedia di tingkat paling atas, kami kembali di situ menikmati suasana dan kopi sekali lagi. Kembali lagi selepas pulang ke Kuala Lumpur? Ya hati berkata pasti!
Uniknya, buku fizikal di sini bukan sekadar bertahan, malah berkembang bersama-sama jualan dalam talian yang rancak di platform seperti Tokopedia dan Shopee.
Gramedia Jalma dan Dunia Buku Terpakai Blok M: Dua Wajah Satu Jiwa
Jika Matraman adalah benteng pembaharuan, Gramedia Jalma di Blok M adalah wajah kontemporari. Dahulunya Gramedia Melawai, ia kini dirombak dengan ruang terbuka, meja panjang, sudut kanak-kanak berwarna-warni, dan kafe kecil yang menggamit pembaca bekerja atau berbual di antara bab ke bab.
Beberapa langkah sahaja di seberang jalan, iaitu di tingkat bawah Blok M Square, suasananya berubah. Di sinilah “pasar buku” dalam erti sebenar. Deretan buku terpakai, antik, dan sayangnya buku “repro” (reproduction) atau “bajakan” (haram) pun ada di situ. Namun, nilai sejarahnya besar.

Penjual-penjual di situ mengingatkan saya kepada sosok Nazmi Yaakub, SM Zakir, Ku Seman Ku Hussain, atau Nassury Ibrahim yang begitu konsisten sebagai kurator buku di Pasar Buku Bangi. Cetakan awal Pramoedya Ananta Toer yang mencecah Rp3 juta, buku Tere Liye yang tersusun rapi semua koleksi lengkap yang saya kurang pasti repro ataupun asli. Yang pastinya, Azalan Hussain sempat membeli satu buku dengan harga yang Rp20,000 daripada Rp60,000 di Gramedia. Buku “Repro” katanya.
Membeli di sini seperti membeli sehelai kain songket lama. Nilainya bukan hanya pada fizikalnya, tetapi pada cerita yang dibawanya.
Taman Ismail Marzuki & HB Jassin: Perpustakaan Sebagai Ruang Ketiga
Lawatan kami ke Taman Ismail Marzuki (TIM) disambut dari jauh dengan alunan gamelan yang lembut namun bertenaga, dimainkan oleh sekumpulan anak-anak dan remaja di ruang latihan terbuka. Di sisinya, para penari mengulang gerak yang sama berulang kali, mencari kesempurnaan pada setiap langkah. Bunyi saron dan bonang berbaur dengan hentakan kaki, menghidupkan suasana TIM sebagai pusat seni yang bukan sekadar untuk ditonton, tetapi untuk dirasai.
Dari situ, kami melangkah ke bangunan Perpustakaan Jakarta-Cikini dan Pusat Dokumentasi Sastra HB Jassin, yang mengingatkan bahawa perpustakaan moden tidak lagi hanya rak buku dan meja baca. Selepas pengubahsuaian pada tahun 2022, perpustakaan ini melonjak daripada 300 pengunjung sehari pada hujung minggu kepada purata 980 pengunjung pada hari biasa dan 2,230 pada hujung minggu.

Dengan koleksi 382,497 bahan, termasuk 6,000 buku Braille dan 200 buku audio, ia menjadi “ruang ketiga” warga Jakarta selepas rumah dan tempat kerja. Maka tidak hairanlah peminjaman meningkat daripada 18,456 (2022) kepada 37,012 (2023).
Di sini, saya melihat kanak-kanak tekun di bilik bercerita, orang yang bekerja bebas menaip di ruang terbuka, warga emas membaca buku Braille. Ia mengingatkan saya kepada Pustaka Raja Tun Uda di Shah Alam, perpustakaan yang merangkum fungsi sebagai ruang inklusif, kreatif, dan komuniti. Ia sebuah tempat di mana buku, teknologi, dan manusia saling bertemu untuk berkongsi ilham.
Jakarta sebagai Ekosistem Buku
Empat hari di Jakarta berlalu seperti membaca novel yang tebal, tetapi mengasyikkan. Setiap destinasi, dari ruang klasik penuh sejarah di Yayasan Pustaka Obor, inovasi runcit di Gramedia Matraman, wajah urban di Gramedia Jalma, pesona buku terpakai Blok M, hingga denyut seni dan literasi di TIM, semuanya memberikan lapisan baharu kepada pemahaman saya berkenaan ekosistem buku di sini.
Yang paling ketara bagaimana buku di Jakarta tidak terperangkap di rak, tetapi hidup di tengah-tengah masyarakat. Penerbit seperti Obor mengangkat karya yang menjadi rujukan dunia. Rangkaian seperti Gramedia memikirkan semula pengalaman membeli buku. Pasar buku terpakai memelihara warisan dan cerita masa lampau. Perpustakaan seperti HB Jassin mencipta ruang di mana komuniti, seni, dan ilmu bertemu tanpa batas.
Bagi saya, inilah pelajaran terbesar. Ekosistem buku yang sihat memerlukan kepelbagaian habitatnya; penerbit idealis, pengedar kreatif, penjual bersemangat, pembaca setia, dan institusi awam yang progresif. Di Malaysia, kita sering berbicara berkenaan cabaran industri buku, tetapi lawatan ini membuktikan bahawa dengan visi, keberanian bereksperimen, dan sokongan komuniti, buku boleh kekal menjadi pusat kehidupan intelektual dan budaya.
Seperti kata Pak Shaleh (Itubuku.com) semasa menghantar kami ke Bandara Soekarno-Hatta dengan mengirimkan tiga kotak buku ke Malaysia, “Buku itu tidak pernah mati, Pak Anuar … hanya kita yang kadang lupa menemuinya.”
