Hussain Haniff adalah salah seorang pengarah sinema Melayu era studio yang sering saya ikuti dan cermati karyanya. Beliau adalah anak kelahiran Pakistan yang membesar dan bermastautin di Singapura. Sebelum memegang teraju sebagai pengarah, Hussain memulakan kariernya di studio Cathay-Keris sebagai pemotong negatif filem sebelum ditawarkan menjadi penyunting. Sepanjang karier pengarahan filemnya di Cathay-Keris, beliau telah mengarahkan sebanyak 12 buah filem sebelum meninggal dunia akibat sakit barah. Sayangnya, satu-satunya karya Hussain yang tidak sempat ditonton adalah filem purba Istana Berdarah (1965), yang salinannya telah dilaporkan hilang. Istana Berdarah sebenarnya adalah adaptasi naskah pentas Shakespeare, Macbeth, selain diinspirasi dari filem Jepun kegemaran Hussain sendiri, Throne of Blood (1957), garapan Akira Kurosawa yang juga diangkat dari teks Macbeth.
Selain Istana Berdarah, Hussain sememangnya dikenali dengan filem-filem purba seperti Hang Jebat (1961), Dang Anom (1962) dan Dua Pendekar (1964). Antara yang paling dirai dan diperkatakan adalah Hang Jebat, dengan lakonlayar Ali Aziz yang diadaptasi dari naskah drama radio tulisannya, Tragedi Hang Jebat (1958) sebelum ditukar judulnya menjadi Hang Jebat Menderhaka yang kemudiannya dipentaskan. Hang Jebat menampilkan tafsiran semula kisahan keperwiraan Hang Tuah-Hang Jebat yang dipahatkan perspektif ideologi kekirian. Namun, saya berpandangan yang Dang Anom adalah filem terbaik Hussain, malah antara filem Melayu era studio yang bukan saja mengangkat sosok wanita yang kental serta protes yang meluap-luap terhadap feudalisme, tetapi didukungi stail sinematik, terutamanya penyuntingan, yang lebih ekspresif lagi mengasak.

Selain itu, dua lagi filem Hussain Haniff yang saya gemari berlatarkan dunia kontemporari: Jiran Sekampong (1965) dan Chinta Kaseh Sayang (1965). Jiran Sekampong adalah satu kaleidoskop cerita dengan sketsa-sketsa realiti sosial seharian serta gelagat dan ragam para penduduk sebuah perkampungan Melayu. Juga perihal protes anak-anak muda, yang mendakapi nilai yang lebih moden lagi liberal, terhadap generasi tua, yang diwakili para ibu-bapa yang masih konservatif lagi authoritative. Manakala Chinta Kaseh Sayang pula adalah protes senyap seorang isteri terhadap suaminya yang terlalu taksub dengan kerjayanya. Ketika ketiadaan suaminya kerana lawatan kerja di luar negeri, si isteri secara tak sengaja terjebak dalam skandal dengan suami orang, sebelum berhubungan pula (secara santai) dengan seorang pemuda yang masih bujang. Kedua-duanya membawa anjakan baharu yang menyimpang dari kelaziman sinema Melayu era studio yang kental didasari mode dan struktur melodrama. Selain tidak menyajikan babak-babak nyanyian yang menjadi ramuan wajib sinema Melayu ketika itu.
Sebuah lagi karya Hussain Haniff dengan latar kontemporari yang menarik perhatian saya adalah Korban Kaseh (1962), sebuah melodrama dalam erti kata sebenar, yang dilakonkan Yusof Latif, Fatimah Ahmad, Yem Jaafar dan Siput Serawak. Kisahnya bertumpu kepada Tengku Iskandar yang dianggap mati setelah nahas kapal terbang yang dinaikinya dalam lawatan perniagaannya ke Jakarta. Setelah pulang ke pangkuan keluarganya, hancur luluh hati Iskandar bila mendapati kekasihnya, Marhani, seorang jururawat, telah mengahwini lelaki lain. Keadaan menjadi bertambah parah lagi rumit bila beliau mengetahui yang Marhani mengahwini bapanya, Tengku Mahmud. Sewaktu ketiadaan Iskandar, Marhani dicadangkan adiknya membantu merawat Tengku Mahmud dan menjaga dua adik Iskandar yang masih kecil, Tengku Umar dan Tengku Ngah. Disebabkan sayangnya dua anak kecil tersebut kepada Marhani, Tengku Mahmud mengambil keputusan menikahinya. Iskandar kemudiannya berkahwin dengan Rokiah, anak kepada rakan baik Tengku Mahmud, setelah diminta dan dipujuk bapanya itu.

Protagonis Korban Kaseh, Iskandar dan Marhani, adalah ‘mangsa’ keadaan di luar kawalan mereka sendiri. Kedua-duanya telah mengorbankan hasrat/hajat mereka tetapi tidak dapat menguburkan perasaan cinta mereka. Hasrat/hajat tak kesampaian mereka, seperti yang dipaparkan, lebih diatur ketentuan takdir, berbanding struktur dan interaksi sosial serta norma-norma budaya. Justeru adalah sesuatu yang menarik bila filem ini tidak mempermasalahkan politik kelas sosial walaupun punya ruang berbuat demikian. Selain kurang ditunjangi retorika ‘baik-lawan-batil’ atau moraliti Manichaean, seperti kebanyakan melodrama tradisional. Pengaruh/faktor metafizik yang lebih mendasari naratif filem ini yang membezakannya dengan kebanyakan melodrama Barat, termasuk Hollywood, pada era yang sama. Di mana, dalam melodrama Hollywood, watak-wataknya sering terperangkap atas faktor-faktor sosial dan punya ruang/agensi untuk memilih, merubah dan bertindak. Namun, hingga ke penghujung cerita, kedua-dua Iskandar dan Marhani tidak berkudrat untuk menganjak takdir mereka, seperti yang ditegaskan Marhani kepada Iskandar (dalam satu babak) yang “segalanya adalah takdir Illahi.”
Dunia lakaran Hussain Haniff adalah dunia nestapa, seksa-sengsara manusia-manusianya yang terpenjara dalam kepompong takdir dan keadaannya. Lihat saja babak nyanyian Marhani yang sedang melayani lamunan rindu dendamnya akibat berjauhan dengan Iskandar setelah berangkat terbang ke Jakarta. Landskap yang dipilih Hussain, sebuah taman di tepian pantai, terkait dengan fikrah-emosi wataknya. Close-up wajah Marhanidan long shot sosoknya disandingkan dengan syot-syot – buih-buih ombak laut mengocak dan menyimbah batu-batuan, pepohon melentok-lentok dihembus bayu, burung-burung bebas berterbangan menghiasi langit. Kesemua ini semacam mewakili landskap mental Marhani walaupun tidaklah mencapai tahap Ingmar Bergman!. Sandingan ini menembusi reaksi/ekspresi wajah Marhani bagi menyatakan yang batiniah,justeru rasa pilu, hiba-sendu Marhani melibatkan interplay antara yang fizikal dengan mental.
Beban nestapa yang dideritai Marhani dan Iskandar dialami secara internal, batiniah. Hingga ke akhir cerita, Iskandar tidak mendedahkan kepada bapanya tentang hubungannya dengan Marhani lalu terus menanggung beban memendam rasa. Dalam melayarkan nestapa, Hussain turut mempamerkan kesakitan watak-wataknya secara fizikal/jasmaniah – Iskandar yang tersadai di sebuah pulau perkampungan akibat nahas kapal terbang dirawat di situ; Iskandar yang mabuk hingga jatuh sakit lalu dirawat Marhani; Iskandar melawat rakannya yang pemabuk terlantar sakit di hospital; Tengku Mahmud yang murung lalu jatuh sakit; adik perempuan Iskandar, Tengku Ngah patah sebelah kakinya akibat ditolak adiknya Tengku Umar; dan, Marhani jatuh sakit pada akhir cerita (tanpa ditunjukkan). Dapat dikesan kontras pada watak Iskandar, antara nestapa jasadi/jasmaniahnya yang dapat dirawat dan dibaik pulih dengan nestapa yang bertamu di kalbu (batiniah) yang sukar disembuhkan.

Malah, seperti dalam filem Melayu era studio yang lain, watak-watak dalam Korban Kaseh dikurniakan ‘firasat’ terhadap sesuatu yang bakal menimpa mereka, dengan penyampaian bahasa filem yang tersendiri. Sekuen Marhani bernikah dengan Tengku Mahmud yang diakhiri dengan Marhani mencium tangan suaminya sebagai tanda kerelaan, kamera Hussain cut to syot Iskandar (di pulau perkampungan tadi) sedang menggesel-gesel hidungnya di atas kedua-dua punggung tangannya. Iskandar digambarkan gundah-gulana, merasai sesuatu yang tak kena bila ditanyakan seseorang di situ. Dalam memperkatakan hal-hal ketakdiran, filem ini turut tampilkan dua antagonis, Rokiah dan Zainab, yang cuba menyanggah takdir kerana masih dibaluti kepercayaan tahyul-khurafat walaupun secara luarannya mereka tampak moden. Zainab membawa Rokiah dapatkan khidmat seorang bomoh bagi melakukan sesuatu ke atas Iskandar dan Marhani.
Seperti kebiasaan tradisi melodrama Melayu era studio, dua citra wanita yang bertentangan sering ditonjolkan. Satu sebagai manifestasi kesucian/kepolosan atau yang bersifat kemalaikatan seperti Marhani, selain digambarkan sebagai self-sacrificing. Satu lagi citra melibatkan antagonis ala femme fatale, seperti yang direpresentasi Rokiah dan Zainab. Namun, boleh dibahaskan yang watak mereka berdua bukanlah agen kebatilan, penyebab utama kepada nestapa atau pengorbanan watak protagonis. Kedua-duanya hanya ‘acah-acah jahat’ dengan menjadikan Iskandar sebagai object of desire mereka. Rokiah akhirnya bertemu jodoh dengan Iskandar, perkahwinan yang diatur keluarga. Zainab pula yang flirtatious dan pernah banyak kali berkahwin seringkali mencuba nasib untuk menggoda Iskandar.
Satu sekuen yang agak noir-ish perlihatkan Iskandar menjadi self-destructive akibat kecewa menonggeng. Milieunya adalah kota pada malam hari.Yang agak menarik bila, dengan latar muzik jazz, syot-syot kereta Iskandar yang sedang dipandunya terhuyung-hayang disandingkan dengan syot-syot papan tanda nyalaan neon terhadap jenama arak, contohnya, Dewar’s White Label Scotch Whisky, White Horse Scotch Whiskey dan Shamrock Stout. Namun, montaj persis Lev Kuleshov ini yang menyarankan idea intoksikasi, akan menjadi lebih efektif dan bermakna jika tidak diperlihatkan syot Iskandar menikmati alkohol di pusat hiburan sebuah hotel. Imej-imej sekuen ini dengan gubahan tatacahaya low-key, dari pusat hiburan hingga Iskandar tiba di rumahnya, dilakarkan rona dan tekstur yang mengungkap sisi gelap keadaan manusiawi berkaitan fatalisme dan pesimisme. Vibe ini bukan saja dapat membayangkan pengakhiran cerita ini, tetapi juga sudah dikiaskan ketika Iskandar ditimpa nahas kapal terbang.

Hussain Haniff turut manfaatkan ruang sebagai wahana cetusan emosi watak-wataknya. Contohnya, babak Iskandar dipertemukan buat pertama kalinya dengan Marhani sebagai isteri baru bapanya, menggunakan pattern syot dan syot reaksi di antara Iskandar dan Marhani. Dengan suntingan yang dramatik, Hussain ciptakan ruang peribadi/subjektif watak. Di sini, aspek ruang, yakni ruang dalam bingkai filem dan ruang yang disarankan antara kamera (penonton) dan subjek, dimanipulasi Hussain bagi berkomunikasi dengan idea-ideanya. Reaksi dan reaksi balas antara Iskandar dan Marhani berlanjutan hingga Hussain menyunting ke syot yang lebih dekat (close-up) bagi mendedahkan ekspresi masing-masing yang terkejut dengan hati remuk-redam, justeru menyemarakkan keterlibatan penonton secara emosinya.
Dalam sekuen yang sama, Marhani yang dibingkaikan jenang dan langsir pintu yang sedang berdiri sambil menangis menyatakan keadaan keterperangkapan/keterbatasan. Hussain persembahkan tiga syot berlainan saiz, yakni syot close-up, medium close-up dan medium long shot. Di sini, kita dihidangkan dengan rincian ekspresi emosi Marhani bagi mendekatkan kita dengan subjek, hinggalah kepada pembingkaian (syot ketiga) yang berupa negative space yang mula menjarakkan kita dengan subjek. Segmen ini juga bekalkan kita dengan subjektiviti mental Marhani bila diperdengarkan suara dan bisikan hati (suara dalaman) beliau yang dapat menembusi fikrahnya. Sekuen ini mengesahkan stail pengarahan Hussain Haniff terhadap dimensi emosi yang dizahirkan secara ruang dan melalui naratif melodramatiknya.
Iskandar digambarkan sebagai hero dengan genangan dan titisan air mata pada satu segi, tetapi agresif membuak-buak dengan amarahnya pada segi yang lain. Tetapi nada melankoli dan sensitiviti lebih menguasai wataknya. Dalam babak tadi selepas terkejut mendapati Marhani adalah ibu tirinya, Iskandar bergegas turun ke ruang tamu, kemudian diikuti Tengku Mahmud yang berpenasaran dan cuba mendapatkan penjelasan dari anaknya itu. Teknik close-up digunakan bagi merincikan emosi Iskandar yang sudah mula menitiskan air mata sambil berkata-kata di hadapan kamera, manakala kelibat Tengku Mahmud pada lapisan latar belakang dilenyapkan dari pandangan penonton bagi mendekatkan penonton dengan Iskandar.
Manakala dalam babak Marhani merawat Iskandar (dengan Tengku Mahmud sedang memujuknya mengahwini Rokiah), dapat dikesan nuansa-nuansa emosi Iskandar, dari juraian air matanya hingga kepada gelisah-nestapa pada gesture dan wajahnya. Syot terakhir, dalam bentuk tight, Dutch tilt close-up, dengan Iskandar mengiring mengadap kamera setelah melabuhkan kepalanya di atas bantal. Ditangkap juraian air matanya, gelisah-nestapa pada gesture dan wajahnya dan sayu-hiba getar suaranya sebelum menangkupkan sebahagian wajahnya ke bantal sambil menangis sedu-sedan. Di sini, keterlibatan kita dengan Iskandar menjadi intim dan dirangsang secara emosinya. Apatah lagi dijayakan stail lakonan Yusof Latiff yang agak melodramatik – pengaruh kuat bangsawan/sandiwara dan filem-filem melodramatik India. Di sini, kita dapat bertaut pada ruang dan dinamika psikik peribadinya, selain dapat menjana rasa patos terhadap nestapa yang dideritai Iskandar.

Syot Iskandar menangis tadi berhubung secara signifikan dengan babak/syot seterusnya, iaitu empty shot majlis perkahwinan Iskandar-Rokiah yang menangkap peterakna pelamin tanpa pasangan pengantin atau sebarang watak, justeru menandakan sesuatu yang negatif tentang perkahwinan dan hubungan Iskandar-Rokiah. Di sini, sinematografi Hussain Haniff turut berpaut pada prop dan latar set dalam mengungkap makna dan mentakrif form filem ini. Beberapa syot/framing dengan kekisi bercorak pada lapisan foreground memisahkan ruang tamu rumah dan ruang terletaknya telefon lalu menghalang/menindih subjek, menyampaikan rasa keterperangkapan, keterbatasan dan keresahan pada watak. Cermin pula sering dihadirkan sepanjang filem. Contohnya, bila Rokiah, selepas tiga minggu berkahwin, berada di hadapan cermin solek merenjis wangian seraya menyapu ke lehernya dan memperagakan sosok tubuhnya (dalam kebaya ketat) serta dalam babak nyanyian, dengan aksi sensual Rokiah di ranjang dalam ‘menjinakkan’ Iskandar yang dingin terhadapnya. Pantulan imejnya di cermin mendedahkan dan mengaitkan Rokiah dengan narsisisme dan vanity, terutama dalam muslihatnya untuk bersaing dengan Marhani dan menguasai/menundukkan Iskandar.
Tangga dalam rumah Tengku Mahmud menjadi ikonografi penting, lambang kepada struktur hirarki sosial dan dinamika keluarga. Tangga menyarankan idea-idea berkaitan turun-naik, jatuh-bangun, keteraturan dan hubungan kekuasaan. Juga sebagai penanda status atau kelas sosial, selain mementaskan konflik di antara watak-watak dan mengungkap transformasi watak. Lihat saja ketika Iskandar yang baru tiba di rumahnya dalam keadaan mabuk cuba menaiki tangga lalu selepas beberapa langkah tergelincir jatuh bergolek-golek ke lantai, hingga berlakunya konfrontasi dengan Marhani di tangga tersebut. Ketika ini, syot high angle diterapkan bagi menyingkap perspektif ketidakberdayaan dan kerapuhan diri Iskandar di mana keadaan psikologi dan spiritualnya mula merosot dan kacau-bilau. Dalam babak tadi dan banyak babak lainnya, tangga dijadikan titik persimpangan antara watak-watak yang terpisah secara emosi dan batiniahnya, seperti dilema yang dilalui Iskandar dan Marhani.
Korban Kaseh mengikut alur kelaziman melodrama dengan pattern naratif lost-and-found yang disulamipelbagai strategi tipikal genre ini. Ini termasuklah hal-hal luar jangkaan, kejadian kebetulan, peluang/pertemuan yang terlepas, pembalikan nasib, dan pendedahan demi pendedahan. Bentuk-bentuk halangan dan rintangan dijelmakan bagi menggagalkan pemenuhan hasrat/hajat dan fantasi watak. Sebagai sebuah melodrama, Korban Kaseh bukan saja melayarkan fantasi kepada penonton, tetapi turut memuatkan watak-wataknya dengan fantasi (cinta) yang ada ketikanya mustahil untuk direalisasikan. Fantasi inilah pemangkin kepada hasrat/hajat mereka yang berpotensi untuk dicapai. Iskandar, Marhani, Tengku Mahmud, Rokiah dan Zainab ingin mengecapi kebahagiaan menerusi perjodohan. Hasrat/hajat Iskandar dan Marhaini, yang difokuskan Hussain Hanifff, sering libatkan penangguhan masa atau kekangan tertentu. Walaupun tanpa penamat yang bahagia seperti mana kebanyakan romance atau melodrama tragis, kenikmatan/kepuasan fantasi penonton cenderung kepada proses sesuatu hasrat/hajat itu dijayakan, umpamanya, pada mulanya bertangguh-tangguh, akhirnya melibatkan kehilangan. Jadi kepuasan fantasi penonton bukannya secara langsung menyasarkan kepada objek keinginan.
Dalam banyak hal, sekuen akhir Korban Kaseh bergerak sedikit di luar kebiasaan kerana dimainkan elipsis (hal-hal yang tidak ditonjolkan) serta ketiadaan taktik-taktik melodrama seperti penamat ala deus ex machina. Sekuen akhir ini melibatkan Iskandar terperangkap dalam kelewatan masa – bukan penangguhan masa – satu bentuk peluang yang terlepas kerana tidak dapat/sempat menjejaki Marhani setelah ibu tirinya itu meninggalkan rumah. Turut menarik perhatian saya ialah selitan babak ringkas yang agak misterius lagi ambiguous bagi membayangkan hal yang bakal menimpa Marhani – beliau menziarahi sebuah masjid (di Singapura) yang turut terletaknya sebuah makam seorang wali, dengan dilihat memanjat tangga yang agak tinggi lagi bertahap-tahap. Adakah tangga ini secara tersiratnya tangga yang muktamad dan aksi Marhani menaikinya adalah usahanya meraih satu bentuk salvation dari selubung nestapa yang tak tertanggungkan? Adakah apa yang akhirnya menimpa Marhani adalah doanya yang dikabulkan, yakni doa yang dititipkan dalam dendangannya (dalam babak nyanyian tadi) agar Iskandar bahagia?
Segmen terakhir sekuen ini menyaksikan Iskandar terpaksa berhadapan dengan satu ‘kehilangan’ yang tidak diduga. Sebaik saja Iskandar mendapat berita tersebut, teknik crosscutting menyelang-nyelikan syot-syot Iskandar bergegas memecut keretanya dengan syot-syot para jemaah yang sedang berarak menuju ke tanah perkuburan. Ketika mendekati para jemaah yang masih berarak di jalan raya, Iskandar menghentikan keretanya dan terus menyertai mereka. Menerusi syot-syot terakhir, Hussain Haniff seolah-olah menggesa kita (penonton) untuk menyahkan tumpuan/identifikasi/keprihatinan kita terhadap protagonisnya kerana Iskandar harus akhirnya pasrah lagi redha menerima satu suratan takdir. Iskandar yang tampak sugul lagi hiba sambil turut mengusung keranda jenazah ditangkap secara medium close-up, sebelum kamera zoom out beransur-ansur meninggalkan beliau bersama-sama para jemaah lain yang sedang melantunkan kalimah Lailahaillallah Muhammadarrasulullah.
– DR NORMAN YUSOFF merupakan pensyarah kanan di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Kampus Puncak Perdana.
