LANGIT mendung mengiringi langkah saya dari stesen MRT ke Pasar Seni atau sejak dulu ia dikenali sebagai Central Market (CM). Berjanji dengan teman yang baru saja dikenali lewat acara di Singapura baru-baru ini. Mysara merupakan penulis dan aktivis kemanusiaan asal Kota Singa yang muda, cantik, berwawasan dan kritis. Rancangannya sederhana: bertemu, berbual dan menikmati makan tengah hari bersama sebelum ke Panggung Bandaraya menonton Teater Muzikal Sudirmania.
Mysara sering membawa aura perbualan yang menggugah, penuh cerita-cerita yang menggerakkan–memaksa saya untuk merenung lebih dalam, melihat dunia dengan horizon baru. Dalam keterbatasan waktu dan kematangan usia–sahabat sepertinya lebih bernilai dari apa pun.

Disela-sela percakapan, kami mendengar guruh sahut-sahutan. Selesai menikmati nasi lemak, kuih muih dan kopi kami bergegas ke pintu belakang CM dan hujan mulai mencurah. Laluan ke Panggung Bandaraya harus melintasi jalanan yang tidak berbumbung. Dalam kekalutan, kami berlari sekitar CM mencari kedai yang menjual payung (atau baju hujan), namun gagal. Sehinggalah mata saya tertumpu pada sebuah raga yang terdapat payung berwarna hitam di dalamnya–pada salah satu deretan kedai yang mempamer dan menjual lukisan.
Dalam keterdesakan dan masa yang mencemburui, saya mendekati pemuda yang sedang melukis dalam kedai tersebut. Penuh harap, saya bertanya.
“Maaf bang, boleh saya pinjam payung ini? Saya ada acara di Panggung Bandaraya. Pinjam dalam dua jam je bang. Nanti saya pulangkan secepatnya.”
Tanpa ragu dia mengangkat wajahnya dan menyunggingkan senyuman:
“Gunalah. Guna saja sepanjang masa yang diperlukan.”
Kami teruja dan mengucapkan terima kasih, penuh kelegaan. Kebaikan ada di mana-mana.
Berpapasanlah kami dengan sekaki payung dalam genggaman. Hujan makin deras, sesekali dress vintaj labuh (kebetulan style kami serupa petang itu) mencium gigi hujan yang menjunam. Dalam langkah yang pantas, boot kami memijak lopak air dan terpercik di merata tubuh. Bila difikirkan, agak romantik babak itu–pasti menjadi ingatan kukuh dalam peta persahabatan kami.
Menyusuri Sungai Klang yang berkilau dalam renyai, melewati bangunan kolonial yang kebasahan, terpampang mural-mural dari dinding bangunan yang seolah melambai ke arah kami–terasa begitu mempesonakan. Begitu sinematik.
Akhirnya, kami tiba di Panggung Bandaraya. Orang ramai sudah memenuhi ruangan, namun pintu masih belum dibuka. Kami berdua berpandangan dengan tiket teater di tangan. “We made it.” Kata saya. Mysara mengangguk, senyum dan berkata:
“Sudirmania, you have to be great. So that we feel it’s worth watching.”
Kami mengambil tempat duduk dan menyaksikan payung-payung hitam disusun di atas pentas dengan pencahayaan yang menyuguhkan rasa welcoming kepada khalayak. Apa lagi dengan suasana petang itu–begitu kena dengan mood yang membawa sentimen syahdu dan nostalgik. Lagu Hujan dinyanyikan secara ensemble membuka tirai persembahan.
Hujan yang turun bersama air mata
Bersama pedih, bersama rindu
Kau datang dan kau pergi jua
Rindu lagi
Kita memiliki deretan lagu yang bertemakan hujan, namun tiada yang mampu menandingi keindahan dan kemerduan lagu yang dinyanyikan oleh lagenda ini. Setiap kali hujan turun–entah di balkoni, di jalan raya ketika memandu, di sebuah kafe yang tenang atau dalam situasi chaos sekali pun, saya pasti akan terdorong untuk bergumam lagu ini. Ia begitu kuat, begitu menyentuh–hingga tidak ada yang mampu menggantikannya.
Kirin Muhammad, yang kemudiannya muncul menyanyikan lagu Jauh di Sudut Hati dengan dendangan yang gemersik, telah memberikan penghormatan yang sempurna, juga keadilan yang selayaknya. Keberadaan dan penghayatan serta auranya yang memikat–menyentuh setiap deria.

Saya mengenali Kirin sebagai seorang pelakon teater yang memiliki weight yang begitu dahsyat. Saya sentiasa mengharapkan bintangnya akan terus bersinar dalam produksi filem atau televisyen di luar sana. Dunia seni kita pasti akan lebih gemerlap dengan kehadirannya. Masyrakat berhak untuk melihatnya berkembang dan menjelajah lebih banyak lapangan.
Teater Muzikal Sudirmania pernah saya tonton di Istana Budaya pada 2014. Sebelumnya pernah dipersembahkan di Menara MARA, Kuala Lumpur (2013) dan Dewan Tunku Abdul Rahman, MATIC, Kuala Lumpur sekitar 2021. Kini dipentaskan untuk kali ke-empat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur pada 27-29 Disember 2024.
Pengalaman menonton saya di Istana Budaya tidaklah begitu menggamit perasaan. Tidak begitu terpahat dalam ingatan. Banyak faktor mungkin yang mendasarinya. Usia, kematangan, cara fikir. Namun untuk kali ini saya menikmatinya. Saya fikir, Revolution Stage juga telah mengalami evolusi yang positif dan progresif, seiring keghairahannya dalam medan perjuangan seni pentas ini. Saya percaya naskah dan persembahan Teater Muzikal Sudirmania telah diperhalusi dan diperkemaskan agar ia tidak menjadi satu tontonan yang repetitive dan stagnasi.
Tambahan pula ia didanai dan disokong oleh pelbagai badan yang signifikan. Pementasan teater ini dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan Pertubuhan Pameran Seni Teater (PEPSTER) dan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Sudirman Asset Management dan Revolution Stage.
Teater Muzikal Sudirmania, karya dan arahan Khairunazwan Rodzy dibintangi oleh Fimie Don, Amerul Affendi, Putri Khareeza, Khayrisyah Kemal, Dzellfa Zainal, Akmal Asyraf, Kirin Muhamad, Aidil Rosli, Ron Isa, Sara Sulaiman, Akmal Sulaiman dan ramai lagi. Gembira melihat gabungan karyawan dari ranah perdana dan indie bersatu. Ternyata formula ini menjadi.
Persembahan ini merupakan adaptasi dari lagu-lagu nyanyian Allahyarham Dato’ Sudirman Hj. Arshad yang kemudiannya dijadikan naskhah pementasan. Lagu-lagu yang terpilih diolah menjadi sebuah cerita yang bertemakan kehidupan remaja dan dewasa dalam mengharungi gelombang percintaan.
Kisah bermula dengan Yusof yang setia menanti kepulangan Laila, isteri tercintanya. Laila, yang pernah meninggalkan kampung demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi di Kuala Lumpur, akhirnya menjadi isteri orang kaya dan tidak kembali lagi. Sementara itu, anak Yusof, Ramlan, terlibat dalam percintaan dengan Zeti, seorang gadis di ibu kota. Ramlan berhasrat bertemu Zeti di konsert Sudirman di Chow Kit Road, namun Zeti sudah bertunang dengan Osman, anak hartawan yang suka berjoli. Kisah percintaan yang penuh harapan ini berakhir dengan kekecewaan, diiringi konflik dan cabaran yang melibatkan watak-watak lain dalam mengungkapkan pengorbanan cinta. Turut diselang-selikan dengan tiga sahabat ‘mat pet’ iaitu Din, Basir dan Mael yang mempunyai rancangan jahat sewaktu konsert berlangsung. Konsert Sudirman di Chow Kit Road sekitar 80-an merupakan titik pertemuan antara watak-watak ini yang berjanji untuk bertemu. Yang akhirnya menjadi tragedi yang memedihkan.
Revolution Stage selalu tampil dengan tragedi hitam di akhir cerita. Ia seperti trademark atau strategi mereka dalam berkarya. Ada kalanya ia terlalu dikonstruksikan, sehingga menjadi sesuatu yang tidak organik. Sedikit terganggu dengan pengakhiran ceritanya yang pada saya ‘try hard’ untuk mengangkat eleman malapetaka yang memedihkan. Walau pun saya sudah maklum mengenai jalan ceritanya sebelum ini, namun di sudut hati ini, saya mengharapkan sebuah pemurnian.
Namun ini tidak mengubah perasaan saya tentang keindahan dan apresiasi yang diberikan oleh semua yang terlibat dalam pementasan ini. Setiap pemain, ensemble dan ahli produksi berusaha untuk memberikan yang terbaik. Seolah mereka membawa nama Sudirman dalam darah dan denyut nadi. Sebuah pementasan yang kemas, penuh penghayatan dan menghiburkan.
Memetik kata Sudirman sendiri:
“Saya ingin masyarakat menikmati muzik saya dengan penuh rasa, bukan sekadar mendengar, tetapi merasai apa yang saya nyanyikan.”
Membesar dengan lagu-lagu Sudirman, pementasan ini benar-benar mengusir kerinduan. Sukar untuk tidak mencintai seniman yang penuh nilai kasih sayang ini. Sudirman mengajarkan kita bahawa seni bukan hanya soal bakat, tetapi juga soal memberi makna, inspirasi dan perhatian kepada kemanusiaan. Bukan sahaja lagu-lagunya yang malar segar, namun sikap dan karismanya yang mulia, baik budi, mudah didekati dan selalu berempati melayakkannya sebaris Tan Sri P.Ramlee yang akan kita kenang selamanya.

Melihat anak-anak muda beraksi di Panggung Bandaraya menyarungkan watak di sekeliling kita, berlagu dan berdendang dengan sepenuh jiwa–membuktikan Sudirman akan terus diingati dan disayangi hingga ke generasi seterusnya. Ada di kalangan mereka yang muda remaja mungkin tidak pernah mengenali Sudirman sebelum ini, tetapi telah memberikan persembahan yang membanggakan. Syabas untuk setiap kerja keras dan dedikasi yang luar biasa.
17 lagu yang telah disampaikan secara live diiringi para pemuzik handalan sewajarnya dipuji. Antara lagu-lagu yang disampaikan seperti Pelangi Petang, Nilai Cintamu, Merisik Khabar, Aku Penggangur, Jauh Di Sudut Hati, Basikal Tua dan lagu-lagu popular Sudirman yang lain. Rata-rata pemain boleh menyanyi dengan sangat baik, ini memberikan nilai tambah kepada seluruh persembahan. Seronok melihat para pelakon ini masuk ke dunia 80-an dengan tidak kekok dan bersahaja. Eleman humornya juga tidak keterlaluan atau dibuat-buat. Mereka bermain dengan serius.
Ramai terhibur melihat keletah Amerul Affendi sebagai leader kepada kutu-kutu dadah di Chow Kit ditemani Ron Isa dan Aidil Rosli. Kewujudan Amerul sangat penting sebagai indikasi bahawa teater adalah tentang kebersamaan. Tentang kerja berpasukan. Tiada wujud istilah senioriti atau kelayakan status, walaupun Amerul mungkin lebih dulu masuk dalam industri dan telah membina namanya. Langsung tak nampak Ron dan Aidil terpisah atau di ‘makan’ oleh Amerul. Mereka berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Saling membantu dan memberikan energy yang sepenuhnya pada rakan lakon. Ini sebuah pencapaian yang membanggakan. Terharu melihat bagaimana aktor bekerjasama dengan persekitaran yang sihat begini. Tentu ia datang dengan kepimpinan yang teliti dan bijaksana.
Tahniah untuk master mind Khairunazwan Rodzy yang telah menumpahkan seluruh keringat dan airmatanya untuk membangunkan Revolution Stage hingga ke hari ini. Kerajinan, semangat dan kerja kerasnya wajar mendapat pengiktirafan. Beliau telah melahirkan ratusan anak didik yang telah mewarnai dunia seni kita. Doa saya agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan hidup agar terus memperjuangkan teater sebagai medium pengetahuan, pembelajaran dan kasih sayang. Dengan membawa nama Revolution Stage, saya berharap agar Wan (panggilan mesra untuknya) terus melahirkan revolusi-revolusi yang lebih radikal dan berinovasi dalam pengkaryaannya di masa mendatang.
Petang itu saya pulang dengan jiwa yang penuh. Sebuah pengalaman menonton yang mengesankan sebagai penutup 2024. Sengaja saya berdiri (walau ada kerusi kosong) untuk melihat permandangan matahari terbenam dari dalam tren. Senja begitu mempesonakan seperti berjuta bunga marigold terbenam di kaki langit. Lagu Salam Terakhir bergema entah dari mana. Sebak menguasai dada.
Sebelum matahari lenyap di pelukan langit malam, saya bermunajat. Semoga roh arwah Sudirman diberi tempat mulia di sisi Allah SWT, dalam kedamaian yang abadi. Semoga seni yang beliau wariskan terus mekar, abadi dan menginspirasi dari generasi ke generasi.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.

