Abang Adik menang hadiah utama filem terbaik di Asian World Film Festival (AWFF) 2024, mengetepikan 15 filem lain yang juga bersaing bersamanya untuk Oscars di Anugerah Akademi ke-97.
Kemenangan filem arahan Jin Ong itu diumumkan pada majlis penutup festival tahunan yang ke-10 di Los Angeles, hari ini.
Pelakon utamanya Wu Kang-ren dari Taiwan pula dinamakan sebagai pelakon lelaki terbaik, menjadikan hadiah peribadi yang kedua baginya untuk filem yang sama selepas menang di Golden Horse Awards ke-60 di Taipei, setahun yang lepas.
Abang Adik dipertandingkan merebut Piala Snow Leopard bersama, antaranya, 12.12: The Day dari Korea Selatan, Laapataa Ladies (India), How to Make Millions Before Grandma Dies (Thailand), dan Meeting with Pol Pot (Kemboja).
Semua 16 filem yang bertanding adalah calon negara masing-masing untuk Oscars bagi kategori filem asing terbaik.
Minggu ini, portal filem Variety dalam ulasannya selepas tontonan di AWFF menyifatkan Abang Adik sebuah filem yang menyentuh perasaan tentang persaudaraan dan identiti, yang mengangkat permasalahan golongan tersisih di Malaysia.
Dalam pada itu, hadiah pelakon wanita terbaik diberikan kepada Diamand Bou Abboud dari Lubnan melalui filem Arzé.
Sinematografi terbaik dimenangi oleh Zhanrbek Yeleubek dari Kazakhstan untuk filem Bauryna Salu. Anugerah ini datang bersama geran AS$45,000 sumbangan Panavision.
Pertandingan merebut Piala Snow Leopard dinilai oleh barisan juri yang diketuai penerbit filem dari China, Iris Wang, yang juga naib presiden syarikat produksi, Shinework Pictures. Juri dibarisi oleh sinematografer Patti Lee, pelakon Nguyen Cao Ky Duyen, pengarah Sam Kadi, pelakon Stephanie Nur, pelakon dan penulis Sue Shaheen, serta penerbit dan pelakon Jiin Jang.
Sementara itu, pelakon Filipina Kathryn Bernardo yang membintangi Hello, Love, Again menerima Anugerah Bintang Harapan Snow Leopard. Filem itu sedang tayang di 250 pawagam di Amerika Syarikat dan ditayang juga sebagai penutup AWFF hari ini.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman Snow Leopar diberikan kepada pengarah Sergei Bodrov dari Rusia sebagai penghargaan terhadap sumbangannya selama 50 tahun dalam bidang perfileman. Filemnya “Mongol: The Rise of Genghis Khan” (2007) tercalon untuk filem asing terbaik di Anugerah Akademi.
Pengarah Hong Kong, Peter Ho-Sun Chan dihadiahkan Anugerah Pencapaian Cemerlang Snow Leopard. Filemnya yang terkenal Comrades: Almost a Love Story (1996) ditayangkan di AWFF tahun ini.
AWFF adalah sebuah festival yang dianjurkan untuk memperkenalkan sinema Asia kepada masyarakat perfileman Hollywood yang bertapak di Los Angeles.

