MENJADI ibu pada zaman ini tidak lagi sekadar memenuhi keperluan anak-anak dan keluarga. Kini ia hadir bersama tekanan tidak rasmi yang berakar daripada media sosial–sebuah medan maya yang secara halus mencipta satu garis piawai yang sukar dicapai.
Di platform seperti Instagram, TikTok, dan Facebook, para ibu disajikan dengan paparan kehidupan yang terlihat sempurna: rumah kemas terletak, anak-anak berpakaian serba elok, bekal sekolah berwarna-warni dan ibu sendiri tampil anggun dengan wajah berseri walau mengurus tiga orang anak kecil. Apa yang dipaparkan hanyalah serpihan kehidupan terbaik orang lain–namun ia memberi kesan yang besar kepada jiwa yang sedang lelah namun masih berlumba mencari validation.
Terimbau kenangan ketika berada dalam pasca melahirkan, melihat susu yang penuh melimpah dari perahan sehinggalah ke simpanan di freezer dari media sosial ibu-ibu (secara random dan asing) begitu memedihkan. Sedang kita di sini begitu bermati-matian dalam perjuangan menyusui. Ini belum lagi perihal ibu bekerja vs surirumah, yang sentiasa diperdebatkan.
Ibu-ibu moden akhirnya terperangkap dalam satu perlumbaan yang tidak nampak. Mereka bukan sahaja ingin menjadi ibu penyayang yang sentiasa ada untuk anak-anak, tetapi juga terdesak untuk menjadi wanita yang menarik, isteri yang romantis, pekerja berdedikasi dan anak yang tidak mengecewakan ibu bapa sendiri. Dalam masa yang sama, perlu membina jenama peribadi di media sosial–supaya mereka tidak ketinggalan dalam era ‘visibility’.

Dalam cubaan untuk memenuhi semua peranan ini, ramai yang mula kehilangan suara sendiri. Mereka menyesuaikan diri dengan harapan orang lain, sehingga terlupa bertanya: “Apa yang aku benar-benar mahu untuk diriku sendiri?”
Seorang ibu muda yang baru melahirkan mungkin merasa tertekan untuk kembali ke bentuk badan asal dalam masa tiga bulan, kerana media sosial dipenuhi dengan video ‘postpartum glow-up’ yang memaparkan ibu-ibu lain melakukan senaman ringan dengan bayi di sisi.
Seorang lagi mungkin merasa bersalah kerana menghantar anak ke taska walaupun bekerja dari rumah, setelah membaca status seseorang yang ‘bangga membesarkan anak tanpa bantuan sesiapa’.
Tekanan ini tidak datang dalam bentuk cemuhan terang-terangan, tetapi melalui penilaian senyap dan perbandingan yang berlaku dalam diam. Sering kali, ibu-ibu ini merasa tidak cukup–tidak cukup cantik, tidak cukup baik, tidak cukup sabar, walaupun mereka sudah melakukan yang terbaik dalam kapasiti kemampuan sendiri.
Lebih membimbangkan, dalam perlumbaan untuk memenuhi harapan yang dibentuk oleh masyarakat dan algoritma media sosial, ramai ibu yang akhirnya kehabisan tenaga untuk dirinya sendiri. Mereka tidak lagi tahu apa yang menggembirakan mereka, kerana segala masa dan emosi telah dikorbankan demi mencipta imej ibu yang ‘ideal’ yang tidak pernah wujud pun dalam realiti.
Apa yang lebih menyedihkan ialah perasaan ‘gagal’ itu datang bukan kerana mereka benar-benar gagal sebagai ibu, tetapi kerana mereka gagal memenuhi satu gambaran sempurna yang palsu. Mereka terlupa yang anak perlukan hanyalah ibu yang ada dan menyayanginya, bukan yang cuba jadi sempurna untuk dunia.
Di sebalik senyuman yang terukir di wajah seorang ibu, tersembunyi ribuan emosi yang tidak terluah. Ada penat yang tidak pernah benar-benar hilang. Ada tangis dalam diam yang disorokkan agar anak-anak tidak terlihat. Ada rindu terhadap diri sendiri yang dulu, sebelum gelaran ‘ibu’ hadir dengan seribu tanggungjawab. Tema besar inilah yang diketengahkan dalam buku Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang, karya Bonda Umirah terbitan IMAN Publication.
Naskhah ini bukan sebuah buku motivasi klise, jauh sekali menjadi manual keibubapaan biasa. Sebaliknya, ia adalah luahan jujur dan penuh kasih daripada seorang ibu kepada para ibu yang lain. Ia hadir seperti sebuah pelukan hangat–menenangkan dan menyentuh hati. Ditulis oleh seorang kaunselor berdaftar, bekas doktor perubatan yang juga merupakan ibu kepada tujuh orang cahaya mata–buku ini membawa suara yang tulus dan penuh pemahaman. Dari ibu untuk ibu.

Dalam penulisan yang lembut dan reflektif, Bonda Umirah menyentuh pelbagai dimensi kehidupan seorang ibu–keletihan yang tidak berpenghujung, perasaan bersalah kerana mengambil masa untuk diri sendiri, dan pergelutan dalaman yang jarang difahami orang sekeliling. Ia adalah pengakuan bahawa menjadi ibu bukan sekadar memberi, tetapi juga tentang kehilangan sebahagian daripada diri sendiri. Lebih menyayat hati, buku ini juga membongkar hakikat bagaimana sesetengah ibu, dalam diam, mula meragui keupayaan dan nilainya sendiri hanya kerana terlalu lama mengabaikan suara hatinya.
Namun, Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang tidak ditulis dalam nada yang suram atau meratapi nasib. Sebaliknya, ia sarat dengan harapan dan ajakan untuk para ibu kembali kepada diri sendiri. Buku ini mengajak pembaca mengenali semula siapa diri mereka sebelum digelar ‘ibu’, dan bagaimana mereka boleh menyusun semula emosi dan tenaga supaya tetap mampu menyayangi dengan waras. Ia menawarkan ruang untuk para ibu bernafas, mengingatkan bahawa tidak salah untuk berhenti sejenak, dan tidak berdosa untuk mengutamakan kesejahteraan diri sendiri.
Bahasa yang digunakan juga tidak bersifat menghakimi. Ia hadir seperti nasihat seorang sahabat yang memahami–tidak memaksa, tetapi menggalakkan. Ibarat berbual di ruang tamu sambil memegang secawan teh panas, buku ini menyampaikan mesej bahawa keibuan bukanlah perlumbaan untuk menjadi sempurna. Ia tentang keikhlasan mencintai, termasuk mencintai diri sendiri dalam prosesnya.
Buku ini ditulis dengan penuh kepekaan terhadap realiti kehidupan ibu-ibu moden yang sentiasa sibuk dan jarang punya waktu panjang untuk duduk membaca. Bahasanya tidak rumit, telus, dan terus ke hati–tanpa kiasan yang berbelit atau ungkapan yang sukar difahami. Ia disusun dengan gaya yang praktikal dan mesra pembaca, hadir dalam bentuk grafik, poin-poin ringkas, jadual serta ruang jurnal peribadi yang membolehkan pembaca berhenti seketika untuk merenung diri. Pendekatan ini sangat membantu ibu-ibu yang terkejar-kejar dengan pelbagai tanggungjawab, kerana mereka masih boleh memperoleh nilai dan hikmah besar daripada buku ini tanpa perlu menghabiskan waktu yang panjang dalam sekali bacaan.
Terdapat beberapa buku yang selari dari segi pendekatan dengan Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang, khususnya dalam menyantuni emosi dan cabaran ibu moden yang hidup dalam dunia serba laju dan penuh ekspektasi. Antaranya ialah Fair Play karya Eve Rodsky, sebuah buku yang mengetengahkan isu pembahagian kerja rumah tangga dan beban mental ibu melalui sistem visual berbentuk ‘kad tugasan’ yang praktikal dan mudah diikuti. Buku ini sangat membantu pasangan untuk membina rumah tangga yang lebih adil tanpa menjadikan ibu sebagai mangsa utama beban yang senyap.
The Motherhood Sessions oleh Dr. Alexandra Sacks menyelami sisi psikologi dan perubahan identiti yang dialami ibu selepas bersalin. Ditulis berdasarkan pengalaman klinikal, ia menggunakan kisah sebenar dan gaya penulisan yang mudah diikuti walaupun menyentuh tema berat. Begitu juga dengan The Fifth Trimester oleh Lauren Smith Brody yang memfokuskan kepada fasa peralihan kembali ke dunia pekerjaan selepas cuti bersalin. Buku ini bersifat sangat praktikal, lengkap dengan senarai semak, carta dan strategi harian–sesuai untuk ibu bekerja yang mahu kekal berfungsi walaupun belum pulih sepenuhnya dari segi emosi dan fizikal.
Salah satu kekuatan utama dalam buku Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang adalah keberanian Bonda Umirah menjadikan dirinya sendiri sebagai cerminan kepada kisah yang ingin disampaikan. Beliau tidak menulis dari kejauhan, apatah lagi berselindung di sebalik teori atau nasihat kosong. Sebaliknya, beliau membawa pembaca menyusuri peristiwa sebenar dalam kehidupannya sebagai seorang ibu kepada tujuh orang anak, seorang wanita yang pernah tenggelam dalam keletihan, tekanan, dan rasa hilang arah. Kisah-kisah yang dikongsikan bukan sekadar anekdot, tetapi testimoni hidup yang menjadi nadi kepada penulisan buku ini.
Penuh ketelusan Bonda Umirah mendedahkan sisi rapuhnya–saat beliau merasa tidak cukup baik, saat dirinya meletup kerana tekanan emosi yang terlalu lama dipendam, dan saat-saat getir yang membuatnya terfikir sama ada dirinya mampu terus bertahan sebagai ibu. Namun di sebalik kejujuran itu, terselit keberanian luar biasa untuk bangkit dan memperbaiki diri, bukan dengan jalan singkat atau sempurna, tetapi dengan perlahan-lahan belajar mengenali semula siapa dirinya, dan bagaimana untuk menyayangi kembali dirinya yang dulu.

Ketulusan ini menjadikan penulisan beliau sangat dekat di hati pembaca. Ia tidak terasa dibuat-buat, malah mengundang empati yang lahir secara semula jadi. Pembaca, khususnya para ibu, tidak merasa dihakimi. Sebaliknya, mereka merasa difahami. Ada sesuatu yang sangat menginsafkan apabila seseorang yang kelihatan ‘mampu’ atau ‘kuat’ tampil mengakui kelemahannya tanpa rasa malu. Dari situlah timbul kekuatan sebenar–bukan pada citra kesempurnaan, tetapi pada keikhlasan untuk berkongsi luka, agar orang lain tidak merasa keseorangan dalam luka yang sama.
Melalui kisah hidupnya, Bonda Umirah membuktikan bahawa ibu bukanlah watak sampingan dalam kehidupan orang lain, tetapi insan yang berhak dirai dan dipulihkan–dengan kasih sayang, dengan ruang untuk berehat, dan dengan keberanian untuk jujur pada diri sendiri. Inilah yang menjadikan buku ini bukan sekadar bacaan, tetapi pengalaman yang menyentuh hati dan membina kekuatan baharu dalam diam.
Bonda Umirah turut menggalakkan para ibu untuk mencatat–menjadikan penulisan sebagai alat penyembuhan emosi dan kelegaan kepada kepenatan menjalani peranan sebagai ibu. Dalam era di mana media sosial sering dijadikan kiblat hingga kita terlupa berbicara dengan diri sendiri, menulis menjadi ruang sunyi yang menyelamatkan. Kembalilah ke zaman kita menulis diari semasa di bangku sekolah–saat setiap luahan dititipkan tanpa penilaian. Melalui tulisan, kita belajar mengenal dan mengatur emosi, membina semula keseimbangan dalam hidup yang sering berkecamuk. Tulis, walau sedikit; kerana di situlah kadang-kadang letaknya penyembuhan yang kita cari.
Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang adalah satu peringatan lembut bahawa ibu juga berhak merasa letih tanpa merasa bersalah. Ia adalah pengakuan jujur bahawa tidak mengapa jika sesekali ibu marah, menangis, atau merasa tidak cukup baik. Yang penting, kasih sayang itu tetap ada, dan dengan sedikit ruang untuk diri sendiri, kasih itu boleh terus mekar tanpa membakar diri.
Buku ini sangat sesuai untuk ibu-ibu yang sedang mencari makna dan kekuatan dalam keletihan harian mereka. Sama ada mereka baru pertama kali menimang cahaya mata atau telah bertahun-tahun menjalani peranan sebagai ibu, isi kandungannya tetap relevan dan menyentuh. Bahkan bagi suami, bakal ayah, atau individu lain yang ingin memahami dunia dalaman seorang ibu, buku ini mampu membuka mata dan hati. Ia membawa pembaca masuk ke dunia emosi seorang wanita yang setiap hari bangkit, bukan kerana dia tidak penat, tetapi kerana dia masih menyayangi.
Dalam dunia yang sering menuntut ibu untuk terus memberi tanpa henti, buku ini hadir sebagai satu bentuk rehat. Sebuah ruang yang membolehkan ibu berhenti sejenak, mendengar semula degup hatinya sendiri, dan menyedari bahawa dia tidak bersendirian. Ia adalah suara yang selama ini tersembunyi dalam diam, kini akhirnya mendapat tempat untuk diluahkan–dengan kata-kata yang membina, merawat, dan penuh cinta.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
