“Masa kat bengkel menulis, ada satu budak tu, dia kata dia minat abang. Dan dia kata dia nak menulis macam abang. Saya kata, JANGAN! JANGAN!! JANGAN!!! Saya terus potong tak bagi dia ikut macam abang,” cerita budak Johol yang kami berjanji tidak akan sebut namanya itu tapi nama dia Ku Syafiq.
Kami pun buat-buat gelak dan senyum-senyum. Sengaja tidak mahu mengeruhkan suasana walaupun hati kami luka. Hati kami remuk teruk mendengar penyataan itu. Habis musnah keagungan diri yang kami banggakan selama ini. Kami kecewa kerana dia cuba menafikan kehebatan kami dengan cara halus sebegitu. Dia telah memadamkan satu usaha untuk menjadikan kami immortal. Ini agaknya yang dikatakan sebagai sihir zaman madani.
Biasanya kami begitulah.Kami sentiasa dilihat senyum dan bergelak ketawa walau apa dikata orang dan laranya kami tanggung sendiri tanpa ada dendam dihati. Kami berpegang kepada ilmu zen dari Jepun yakni jika kamu perhatikan mereka akan sentiasa kelihatan agak dungu didepan siapa pun. Mengangguk-angguk dan seperti temanggu dan teruja mendengar penerangan dari kamu. Sepatah kata kamu, dibalas dengan dua patah hait, hait!. Dan kamu pun merasa lebih pandai dari mereka sedangkan negara mereka sudah maju 100 tahun dari negara kamu. Tetapi yang ironinya ialah, orang Jepun berlagak bodoh untuk meraikan orang sementara kami pula memang semulajadi bodoh.
Dan apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan Johol selain stesyen minyaknya itu. Orang sudah merancang untuk tinggal tetap di planet Marikh, mereka pula tidak habis-habis hidup dalam cinta kenangan silam. Saling tidak tumpah seperti peminat dan pemusik rock kapak. Umur sudah dekat 500 tahun tapi masih sibuk berambut panjang, berseluar ketat dan berharap XPDC Penyu, XPDC Labi-Labi dan XPDC Kura-Kura kembali bersatu demi keamanan negara.
Namun semua kehancuran, kemusnahan dan lara hati yang diakibatkan oleh budak indie yang tidak bermanfaat itu terbalas apabila Zainal Rashid Ahmad (ZRA) menyebut nama kami sebaris dengan nama-nama hebat yang lain dalam satu hantaran di media sosialnya.

Sebagai tanda hormat, kami menyebut nama Benz Ali, Faisal Tehrani dan Kiridaren di sini. Jika kamu belum membaca hantaran ZRA itu, sayugia kami sarankan kamu segera keakaun Facebook milik ZRA STRIM.
ZRA dengan amat bergayanya telah melebelkan kami sebagai mengkagumkan dan kami langsung tidak menyalahkan keterujaannya itu. Dia hanya berkata benar kepada satu kebenaran yang nyata. Dia meraikan kehebatan pada tempat yang betul .ZRA adalah siapa yang selalu disebut sebagai berkata benar di depan penguasa yang zalim. Dalam kes ini penzalim yang kami maksudkan adalah mamat indie dari daerah Johol itulah. Dengan penyataan itu juga kita faham bahawa kebenaran mesti ditelan walaupun pahit. Pahit di sini adalah kami dan yang menelannya sekali lagi adalah budak yang tidak akan kami sebut namanya lagi itu.
Semasa mula-mula menulis dan melukis dulu, kami sudah Nampak potensi kehebatan diri ini dan tanpa ada sebarang keraguan telah berkata pada diri sendiri yang kami ini nanti akan jadi sangat terkenal. Nampak seperti ujub namun kenyataannya ialah kami ini sebenarnya telah menguasai ilmu kenal diri. ‘Man ‘arafa nafsahu faqad ‘arafa Rabbahu’. Kami tahu siapa dan mengapa. Maka dengan itu kami telah Nampak sinar terang yang datang akibat terbuka nya ‘sirr’.
Dan demi ‘tazkiyah al-Nafs’ kami telah berjanji dengan diri sendiri untuk menolak apa pun jenis penghargaan yang bakal kami terima. Apa pun gelaran seperti sasterawan negara, penulis kebangsaan, Datuk, orang tua dan tidak kacak tapi ada bisanya dan sebagainya akan kami tolak dengan mentah-mentah.

Namun setelah membaca hantaran ZRA yang menyebut nama kami dua kali itu, kami dengan ini mengisytiharkan bahawa kami sudi dengan beratnyanya menerima gelaran BAPA KEKOLUMAN MODEN MALAYA dari mana-mana pihak yang sudi memberi. Kami juga tidak merasa jauh hati jika terpaksa berkongsi gelaran tersebut dengan Benz Ali. Boleh saja kami berdua digelar sebagai BAPA-BAPA KEKOLUMAN MODEN MALAYA. Namun begitu jika gelaran tersebut datang bersama wang tunai, kami tidak sudi untuk berkongsi dengan si rebel yang bertujuan tersebut. Benz Ali ada perniagaan, kami cuma penulis dan pelukis sepenuh masa. Adil rasanya jika apa-apa anugerah yang melibatkan wang ringgit hanya menjadi milik mutlak kami sahaja.
Sebut fasal Benz Ali, sekali imbas melihat rambutnya yang panjang itu pun kita sudah tahu dia seorang pemberontak. Kami syak dia peminat XPDC. Cuma kami tidak tahu dia peminat XPDC yang mana. Penyu kah, Labi-labi Kah atau Kura-kura kah.

Hal perseteruan kumpulan XPDC ini sepatutnya diselesaikan sendiri oleh PMX kerana ia kelihatan seperti sangat menggugat keharmonian dan keselamatan negara. Sementelah pula dia suka kan hal-hal yang sepele seperti ini selain berusaha memajukan negara kita yang tercinta.
Sebut pula fasal wang ringgit lalu masalah pun timbul. Kami menulis dengan tekun di Senimalaya ini, di Malaysiakini dan juga satu portal yang kami mulakan sendiri. Editor Senimalaya melarang kami menyebut nama portal tersebut dan kami akur tapi nama portal tersebut ialah Kolumpo Art. Selain itu kadangkala kami juga dijemput untuk menulis di beberapa tempat lain secara berkala.
Kesemua portal tersebut menumpang kehandalan kami dan sebagai insan lemah yang gilakan populariti dan glamor yang datang bersamanya, kami dengan bersemangatnya menyempurnakan apa juga tanggungjawab yang diberikan. Kami dengan yakin akan mengatakan yang kami belum pernah menghampakan siapa pun yang meminta, insya Allah. Namun satu kemusykilan yang terpaksa kami hadapi adalah bagaimana kesemua mereka yang datang menagih air tangan kami itu bertegas untuk membayar kami dengan harga dibawah gaji minima.
Cuba kamu bayangkan, dengan menulis dan melukis hampir setiap hari, kami masih terkial-kial mencari wang untuk menukar brek Kancil Turbo 660 kami dari jenama Bendix yang biasa-biasa kepada brek Brembo yang menyala-nyala. Kami suka brek Brembo yang berwarna merah itu tetapi dengan upah yang menyakitkan hati yang kami terima sekarang ini nampaknya kami terpaksa menunggu untuk memilikinya nanti bila kami sudah bersenang-lenang di sorga.
Dan lagi, selama menulis, kami tidak pernah mendapat undangan dari portal atau pihak yang mendewakan Bahasa Inggeris. Mengapa agaknya? Apa mereka menyangka kami ini tidak pandai menggunakan Bahasa tersebut sedangkan kami sudah berlatih makan kacang panggang waktu pagi sejak sekian lama. Sengaja kami sebut seperti diatas kerana katanya, selain nampak lebih berprestij, portal berbahasa inggeris juga katanya membayar penulisnya dengan lebih tinggi.
Sebut fasal Bendix dan Brembo, semasa melintas ke dewan pameran HARtA, kami dapati karya-karya di pameran A Tribute To Askandar Unglehrt sangat menepati citarasa zamannya..
Kami dengar Senimalaya akan memulakan siri podcastnya sendiri dalam masa terdekat ini dan tahniah kami ucapkan. Semasa berbual dengan editornya, dia ada mencadangkan agar kami menjadi tetamu pertamanya. Jenis muka tak tahu malu. Kita menulis dibayar murah kemudian ada hati mahu menjemput kita ke podcastnya secara percuma. Jenis penunggang podcast. Baser.

Dalam hal lukisan juga begitu. Kamu tidak akan lihat Balai Seni Negara, Bank Negara, Khazanah, KWAP, PNB, SIME DARBY atau CIMB (sekadar menyebut semua nama yang terlibat dalam hal menyimpan hasil seni negara) terburu-buru datang ke studio kami untuk berebut-rebut memiliki hasil kerja kami. Hairan benar rasanya. Mungkin mereka menganggap kami ni pelukis yang biasa-biasa. Atau mungkin mereka mahu menunggu sehingga kami sudah tiada lalu diraikan. Dah la dibenci di negeri sendiri, mengadu pada negara pun tidak peduli. Sigh.
Padahal bukan nak kata tapi jika kamu berlaku adil tentu tidak akan ada seniman di negara ini yang akan terhiba minta dikasihani dek kerana derita sakit atau merayu-rayu memohon bantuan kerana galeri disita. Atau yang mengidam Kancil Turbo 880 Facelift dan kempunan seperti kami misalnya.
Untuk pengetahuan, pelukis Hasnee Rahman yang menghidap penyakit kanser kini memerlukan bantuan kewangan untuk perbelanjaan ubat-ubatan sementara pelukis Shaimy Hashim pula menghadapi sedikit masalah bagi mempertahan koleksi lukisan karya pelukis tempatan yang bernilai jutaan ringgit dalam simpananya.
Jika kamu ada keupayaan, tidak menjadi dosa sekiranya kamu pergi kepada mereka untuk bertanya khabar.
Seniman seperti juga manusia-manusia lain yakni mereka tidak memerlukan bantuan, pengiktirafan, rasa kerugian dan segala macam kekesalan dari orang hidup setelah mereka meninggal dunia. Lalu sementara mereka masih ada, hargailah mereka yang berada disekeliling kita.
Dalam nada yang lebih serius, kami mengucapkan terima kasih kepada ZRA walaupun sebenarnya dia terlalu berlebihan bila menyamakan kami dengan tokoh-tokoh hebat tersebut. Faisal Tehrani, Benz Ali dan juga Kiridaren adalah pemain papan atas dunia penulisan sementara kami cuma mat belia yang menyamar sebagai kutu.
Mat belia tapi rugged laa.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang sedang mengumpul dana untuk menerbitkan filem biopic tentang dirinya sendiri.
