“Bagi ke SM Zakir je gelaran Sasterawan Negara tu. Tak pun Faisal Tehrani,” kata seorang sahabat yang tidak boleh disebut namanya bila berbincang mengenai siapa yang layak digelar Sasterawan Negara untuk kali ini. Dia memberikan pendapatnya semasa kami berbual-bual tempoh hari.
Sahabat kami ini keturunan Nabi jadi dia adalah seorang habaib maka sebagai seorang ASWAJA, adalah amat kurang ajar seandainya kami tidak membuat kunjungan hormat semasa dalam perjalanan ke Kuala Kangsar baru-baru ini. Dia tinggal di Ipoh dan dianggap dewa oleh budak-budak bandaraya tersebut. Apa nak dikata, orang sesat tentu saja akan memilih yang sesat juga sebagai dewanya.
Kami pula, mulanya mahu mengaku sebagai orang wahabi tetapi akibat dari kurangnya kehandalan dalam hal berdebat dan cepat trigged, kami mengaku Ahli Sunnah Wal Jamaah sajalah. Orang awam bodoh seperti kami ini itu saja layaknya yakni jadi pengikut majoriti. Bimbang jika berpetuanglang dalam beramal lalu dikatakan sebagai pengikut kumpulan yang meraban.
Satu kesilapan besar sahabat kami ini ialah dia tidak menjaga nasab keturunannya yakni dia bernikah dengan orang kebanyakan. Akibatnya habis pada dirinya sahaja keramat yang dimilikinya. Nafsu telah membutakan hatinya barangkali, atau mungkin dia lebih mementingkan harta dunia dari kesejahteraan abadi kerana menurut kata dirinya sendiri, “bini ambe kaya”.
Sebagai penafian, semua pendapat,idea, cadangan malah hasutan mengenai pemilihan Sasterawan Negara yang terbit dalam tulisan kami kali ini datang dari sahabat kami yang satu ini. Maka kami berlepas tangan dari bertanggungjawab.

Sebelum itu izinkan kami berterima kasih kepada si habaib ini kerana sudi meluangkan masa untuk berbual-bual dengan kami. Kami rasa ini adalah waktu paling lama kami duduk berdua dan mengambil ilmu dari dia.
Kami berdua berbual dari jam lapan malam sehingga jam satu pagi. Dia makan mee goreng daging sementara kami pula makan kuey teow goreng kering. Berbekal dua gelas minuman seorang kami berdua berbual seakan tidak ada hentinya dan dengan berat hati terpaksa berpisah bila tuan punya kedai mahu menutup perniagaan. Kami enjoy momen tersebut dengan sedikit rasa sakit hati.
Dia yang terkenal kuat merokok itu kini tidak lagi berbuat demikian kerana katanya baru kebah dari serangan jantung. Kami jadi sakit hati kerana dia tidak lagi merokok dan juga sebagai seorang habaib, dia tidak sepatutnya takut kepada mati.
Terbit juga rasa serba salah pada awal mahu bertemu dengan dia namun sejurus duduk semeja kami dapati dia sangat berhemah orangnya. Dia amat arif dalam bab meraikan teman. Direndahkan kepintarannya beberapa.
Malah ada ketikanya dia berlakon seolah-olah lebih dungu dari kami. Dan tentu saja dia membuatkan kami bahagia kerana merasa diri sepintar dia.
Membahagiakan orang kadang bukan memerlukan belanja besar. Belanja dia kuey teow goreng kering satu pinggan serta dua gelas kopi o ais saja pun sudah membuatkan seorang teman itu seolah duduk disorga paling atas.
Menurut sahabat kami ini, penulis yang melontarkan saranan supaya sasterawan negara yang dipilih hendaklah dari kalangan mereka yang mempunyai kelulusan universiti, aktif dalam persatuan serta juga handal hal hal-hal pembentangan kertas kerja dan beberapa hal lain itu, hanyalah satu pandangan peribadi.
Ia bukan kriteria yang sudah diputuskan oleh panel pemilihan. Kerana itu, apa juga kerunsingan mengenainya adalah sia-sia.
Semua orang yang mempunyai pendapat harus dibiarkan berbuat demikian. Dan jika kita bersetuju atau pun tidak maka kemukakan pula pendapat dari pihak kita. Ini tentu saja akan mewarnai dunia penulisan dan membuatkannya menjadi lebih diambil berat.
Tidak selamanya kita menulis untuk menjadi popular atau untuk memenangi hati pembaca. Biarkan saja siapa pun yang mahu menyokong Kerajaan misalnya menulis puji-pujian manakala mereka yang menentangnya pula harus juga diluaskan jalan. Jangan terkangkang menghadang jalan hanya kerana pendapat orang itu bertentangan dengan apa yang kamu rasanya sebagai kebenaran.
Sudah-sudahlah menjadi barua. Lagipun, jika terlalu sibuk terkangkang di tengah jalan, bimbang ‘telor’ disepak orang.
Mengenai pemilihan SM Zakir atau pun Faisal Tehrani pula, sahabat kami ini berpendapat bahawa semua sasterawan lama sudah tewas. Maksudnya mereka pernah bertanding dengan A.Samad Said, Siti Zainon Ismail, Kemala, Baha Zain, Shahnon Ahmad dan semua sasterawan negara yang lain dan kalah.
Mereka pernah lawan berkarya dengan kumpulan yang terbaik dan dinilai sebagai rakan tandingan lalu kedudukan mereka sepatutnya bukan lagi untuk diperlombakan. Sementelah pula mereka kini tidak lagi duduk dalam zaman puncaknya. Karya-karya mereka juga sepertinya sedang mendatar.
Lalu jika mereka menerima gelaran Sasterawan Negara dengan pencen dengan serba maknika kebesaran itu, apakah sumbangan mereka seterusnya kepada dunia kesusasteraan?

Gelaran Sasterawan Negara tidak sepatutnya menjadi kemuncak kegemilangan sebaliknya ia mesti dijadikan pemula dari segala kecemerlangan.
Kerana itu sasterawan yang lebih muda adalah selayaknya dipilih untuk memegang gelaran tersebut. Dengan jaminan pendapatan dan juga rawatan kelas pertama, sasterawan yang lebih muda tentu saja dapat menumpukan seluruh jiwa dan raga untuk menghasilkan sastera yang bermutu tinggi. Dan jika diikut hukum alam, mereka juga akan mempunyai masa yang lebih lama untuk melakukannya.
Sasterawan di negara kita lebih beruntung berbanding seniman jika kita mengambil penting hal materi. Gelaran Sasterawan Negara datang dengan pencen bulanan sebanyak RM5,000 dan juga hadiah wang tunai sebanyak RM60,000. Selain itu pemenang juga mendapat jaminan penerbitan buku bernilai RM500,000 dan akan terus dibeli oleh Kerajaan. Kemudahan lain adalah seperti rawatan kelas pertama hospital kerajaan serta juga kemudahan mencetak dan menerbitkan karya.
Sementara itu, hadiah seniman negara pula membawa pulang wang tunai RM60,000, watikah, trofi dan sepersalinan pakaian kebangsaan. Pemenang juga akan menjadi karyawan tamu pihak pelancongan negara dan juga rawatan perubatan sama seperti sasterawan negara.
Tiada pencen yang ditawarkan. Seniman terbabit juga tidak dapat menikmati apa-apa kemudahan untuk menghasilkan karya.
Seperti yang kami katakan tadi, semua pendapat ini datangnya dari sahabat kami si habaib itu lalu kamu harus faham bahawa dia telah mengorbankan kemungkinan dia sendiri memegang gelaran tersebut kerana faktor-faktor di atas yakni dia juga seorang seniman tua. Dan berkorban untuk kecemerlangan dunia sastera kita adalah mudah untuk seseorang yang berjiwa sebesar dia.
Selain Faisal Tehrani dan SM Zakir, sahabat kami itu juga mencadangkan nama Azalan Hussain sebagai simpanan untuk gelaran Sasterawan Negara jika apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada dua nama tersebut.
Kami pun menyokong dia kerana kalau Lan Hussain menang, kami pun turut sama merasa tempiasnya.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang tidak memandang gelaran-gelaran dunia yang dianggapnya penuh kepalsuan.

