PERSOALAN identiti dan imaginasi merupakan dua perkara penting yang menjadi teras perbincangan pada Persidangan Kebangsaan Ilustrasi Buku Kanak-kanak yang bertemakan “Melakar Cerita Malaysia: Identiti dan Imaginasi” anjuran bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Malaysian Board on Books for Young People (MBBY) dan Universiti Selangor (UNISEL) yang berlangsung di PPAS, Shah Alam pada hari Sabtu, 12 Julai 2025 yang baru lalu.
Dalam konteks ini, persidangan itu berhasrat membincangkan apa yang disifatkan sebagai suara, nilai dan identiti Malaysia yang tercerna melalui ilustrasi buku kanak-kanak. “Suara” dapat ditafsirkan sebagai cerita, naratif mahupun harapan;“Nilai” dapat dihayati dalam mesej dan makna secara tersurat mahupun tersirat, dan nilai juga berkaitan dengan hal pengkomersilan. “Identiti” lazimnya tergambar menerusi rupa dan gaya ataupun stail ilustrasi, sementara “Imaginasi” merujuk kepada daya fikir atau daya kreatif yang terjana dalam minda penghayat atau pembaca.
Sastera kanak-kanak merangkumi karya penulisan yang lazimnya digabungkan dengan ilustrasi bergambar bagi menghibur dan membimbing pembaca muda. Genre kesusasteraan ini merangkumi pelbagai bentuk karya, termasuklah cerita-cerita klasik yang ditimba daripada sastera global, buku bergambar dan buku cerita yang ditulis secara mudah khusus untuk kanak-kanak, termasuklah kisah-kisah dongeng, lagu rakyat dan cerita lisan. Sastera kanak-kanak adalah istilah umum yang merangkumi buku-buku yang mana sasaran utama pembacanya bukanlah orang dewasa, tetapi kanak-kanak di bawah umur sekolah menengah tinggi (www//britannica.com).
Buku kanak-kanak boleh terhasil dalam dua bentuk, pertama yang mengandungi semata-mata ilustrasi atau gambar sahaja dan sering kali disebut sebagai silent book atau buku senyap; kedua, buku yang menggabungkan ilustrasi atau imejan dengan teks dan boleh disifatkan sebagai seni hibrid, seperti buku komik dan kartun.
Ilustrasi pula dapat ditafsirkan sebagai “sesuatu yang berperanan untuk menggambarkan, seperti gambar atau gambar rajah yang membuat sesuatu perkara lebih jelas atau menarik; suatu contoh yang menjelaskan akan sesuatu”(merriam.webster.com/dictionary/illustration), atau kalau mengikut Kamus Dewan, “bahan visual seperti lukisan, gambar rajah, foto, peta, jadual, carta yang digunakan untuk menyokong keterangan dalam teks atau sebagai penyendal atau hiasan dalam sesuatu bahan terbitan” (prpm.dbp.gov.my).

Menghasilkan ilustrasi buku kanak-kanak bukanlah suatu perkara yang mudah, sebaliknya memerlukan banyak pertimbangan, sebagaimana kata Dapo Adeola, pemenang Waterstones Children’s Book Prize 2020, “It’s hard to create children’s book illustrations when you don’t understand the mechanics of how children’s books work. You need to know the rules before you can bend or break them.” (3dtotalPublishing, How to be a Children’s Book Illustrator, 2022).
Justertu itu, antara perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ilustrator mahupun penulis buku kanak-kanak adalah memahami khalayak atau pembaca sasaran mereka. Misalnya dari segi tahap atau peringkat umur, sama ada daripada usia 0 hingga 24 bulan; dua hingga empat tahun; empat hingga enam tahun; ataupun enam hingga lapan tahun.
Di samping itu, aspek kepelbagaian dari segi bangsa, etnik, budaya, agama, kepercayaan, fizikal dan keupayaan juga perlu diambil kira. Apakah kaedah interpretasi yang sesuai terhadap watak, latar belakang, dan ciri-ciri kesinambungan cerita dan ilustrasi. Bagaimana pula pendekatan yang perlu digunakan dalam menangani tema-tema yang mencabar seperti persahabatan dan gejala buli, kebersamaan dan identiti, keluarga, kesedihan dan kehilangan, rasisme dan gender. Seperkara yang penting, ilustrasi buku kanak-kanak itu perlulah mesra kanak-kanak dan tonanya tidak terlalu serius (Ibid).
Dalam konteks persidangan dan penulisan ini, beberapa persoalan cuba dijawab, apakah sebenarnya ciri-ciri ilustrasi yang baik, khususnya bagi kanak-kanak? Bagaimanakah pendekatan yang sesuai untuk menggambarkan identiti Malaysia dan menjana imaginasi pembaca dalam membaca buku kanak-kanak dan menghayati ilustrasi-ilustrasi yang ditampilkan?
Rentetan daripada itu, saya cuba menggariskan dua objektif utama dalam menangani perkara ini: pertama, mengenal pasti dan meneliti kaedah terbaik dalam menterjemahkan nilai dan identiti Malaysia dalam ilustrasi buku kanak-kanak dan kedua, mengenal pasti dan meneliti kesesuaian pendekatan komik, kartun dan seni moden dengan ilustrasi buku kanak-kanak dalam menterjemahkan tradisi dan identiti serta menjana imaginasi penghayat. Bagi merungkai permasalahan ini, pandangan beberapa ilustrator dan pemain industri sektor ini sempat saya kumpulkan melalui sesi temubual bersama mereka dan hasilnya wajar diberi pertimbangan.
Menurut Jaafar Taib, seniman, pelukis dan kartunis tersohor tanah air, yang juga merupakan Pengasas majalah Gila-Gila dan Pengarah Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd., “ilustrasi yang baik adalah ilustrasi yang malar segar, merentasi usia, disukai oleh semua lapisan usia pembaca. Ilustrasi yang kekal disukai dan relevan” (Temubual bersama penulis, Khamis, 19 Jun 2025).

Dalam konteks ini, apa yang dimaksudkan oleh Jaafar Taib, dia merujuk kepada ilustrasi buku kanak-kanak, yang menurutnya meskipun jika dihasilkan untuk kanak-kanak berusia enam hingga lapan tahun, pada ketika mereka berumur 10 hingga 12 tahun, ataupun ketika meningkat usia remaja dan dewasa, mereka masih menyukai ilustrasi yang dihasilkan itu.
Jelasnya, meskipun dihasilkan untuk kanak-kanak, ilustrasi tersebut sepatutnya disukai juga oleh golongan dewasa, lebih-lebih lagi para ibu bapa yang lazimnya membacakan atau membimbing kanak-kanak dalam membaca buku cerita kanak-kanak. Ini yang dimaksudkan ilustrasi yang baik itu digemari oleh pelbagai golongan pembaca tanpa mengira usia mereka. Ini yang Jaafar Taib cuba terapkan menerusi ilustrasi-ilustrasi indah dan realistik dalam karya ikoniknya berasaskan Hikayat Sang Kancil (Creative Enterprise Sdn Bhd., 2005).
Dalam konteks ini juga, mungkin karya terpenting Seniman Negara Datuk Lat yang berjudul The Kampung Boy (Berita Publishing Sdn Bhd, 1979) itu menjawab apa yang ditegaskan oleh Jaafar Taib. Meskipun novel grafik ini bukanlah buku cerita kanak-kanak, sebaliknya mengangkat tema nostalgia dan alam kanak-kanak, ia digemari oleh semua golongan dan lapisan pembaca, malar segar dan bertahan serta masih popular hingga ke hari ini. Bukan itu sahaja, naskah ini sudah diterjemahkan ke dalam 14 bahasa asing, diadaptasi ke dalam bentuk teater muzikal dan animasi.

Dalam konteks ini, sambil merujuk juga kepada karya lainnya yang penting, iaitu Town Boy, (Berita Publishing Sdn Bhd., 1981) Lat menyebut, “karya saya mempamerkan sebuah negara yang penuh cinta dan kebersamaan” (Petikan video Anugerah Seniman Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, 13 November 2024). Mengisahkan persahabatan antara budak kampung dengan seorang budak Cina bandar, buku ini mengangkat tema kepelbagaian bangsa dan budaya, justeru mencerminkan identiti masyarakat majmuk negara ini.
Merujuk amalan syarikatnya, Wan Zuhairi Wan Zainuddin, Pengurus Penerbitan PTS/Komik M. pula berpendapat “Ilustrasi yang baik adalah yang dapat diterima pembaca, sedap mata memandang dan mempunyai nilai-nilai komersil. Penerbit lazimnya mahukan jualan yang bagus dan mengikut cita rasa terkini. Gaya lukisan adalah bebas dan terbuka, tetapi kandungannya perlulah bersifat Malaysiana” (Temubual bersama penulis, Jumaat, 27 Jun 2025).
Pernyataan ini amat menarik khususnya dalam menterjemahkan populariti dan penerimaan baik di kalangan pembaca terhadap produk-produk Komik M, seperti komik Ben Wong berjudul Atan (2015) yang telah memenangi anugerah di Jepun dan terkini telah diterjemahkan ke bahasa Turki. Komik seperti ini umumnya bukan sahaja menghibur, tetapi juga mendidik para pembaca menerusi penampilan nilai-nilai murni, moral dan pengajaran. Meskipun merujuk pada karya seni komik, pandangannya wajar dipertimbangkan dalam penghasilan buku cerita kanak-kanak.

Malahan konsep pengkaryaan seperti ini jugalah yang diperjuangkan oleh Allahyarham Rejabhad, tokoh kartunis yang memberi banyak inspirasi kepada kartunis tanah air. Menurut Rejabhad, “kartun harus menghibur, mengajar dan menyedarkan” (Muliyadi Mahamood, “Kartunis Menjadi Pelakon,” dalam Dewan Budaya, April 2002: 65).
Selaras dengan semangat dan falsafah itu, Armin Azhari Saleh, Mantan Ketua Editor Buku Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka pula berpendapat, “seseorang ilustrator mestilah memahami cerita dan konteks masanya dengan memfokus kepada fakta dalam kerja-kerja ilustrasinya” (Temubual bersama penulis, Rabu, 2 Julai 2025).
Hal ini merujuk kepada konteks atau skop masa naratif. Sebagai contoh, sekiranya cerita itu berdasarkan Zaman Kesultanan Melaka atau cerita purbawara, mana mungkin pakaian watak-wataknya berbentuk moden, kecuali berdasarkan teks dan konsep ceritanya. Penyelidikan yang terperinci wajar dilakukan bagi memastikan fakta yang betul dalam merujuk kepada latar belakang cerita, masa, lokasi dan pesekitaran yang ditampilkan.
Justeru itu, ilustrasi yang baik mengambil kira banyak perkara, termasuklah ciri-ciri menghibur, mendidik dan mengujakan, sebagaimana dalam buku Tiga Ekor Gajah oleh Yusof Gajah (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2024).
Buku ini menampilkan kisah tiga ekor gajah bernama Jojo, Jiji dan Jaja yang berwarna putih, namun masing-masing bertukar warna apabila memasuki kolam air berwarna merah, kuning dan biru. Mereka kemudiannya ke kolam-kolam lain, seperti Jiji yang sudah berwarna kuning menjadi hijau setelah memasuki kolam berwarna biru. Di samping mengujakan kanak-kanak, ilustrator mendidik mereka perihal warna dan sifat-sifatnya.

Temubual saya bersama beberapa ilustrator dan editor penerbitan buku kanak-kanak memperjelaskan beberapa isu berkaitan ilustrator yang perlu ditangani, misalnya perihal kefahaman asas seni lukis, termasuklah kadar banding bentuk tubuh badan manusia dan haiwan, kurangnya rujukan atau petikan terhadap cerita-cerita tradisi dan moral dalam konteks menyebarkan aspek pengajaran dan nilai yang boleh ditimba pembaca dan kefahaman terhadap fakta dan konteks cerita.
Di samping itu, soal kadar bayaran royalti untuk penulis dan ilustrator turut dibangkitkan mereka. Misalnya, jika buku dicetak terlalu banyak, harga buku menjadi murah, justeru royalti yang diterima adalah rendah. Selain itu, saingan syarikat-syarikat penerbitan tempatan dengan syarikat-syarikat besar yang menjual buku berkualiti dengan harga lebih murah dan rendah juga merupakan suatu cabaran bagi penerbit, penulis dan ilustrator. Mereka juga menyuarakan perihal kurangnya pengiktirafan atau anugerah untuk mengangkat sastera kanak-kanak, termasuklah untuk para ilustrator.
Berdasarkan beberapa contoh terpilih, identiti dalam ilustrasi buku kanak-kanak boleh dijelmakan dengan merujuk kesenian tradisi dan kehidupan masyarakat kontemporari atau masyarakat sekeliling yang berbilang bangsa dan budaya sebagai tema dan subjek naratif, di samping meneliti pendekatan bentuk-bentuk seni lain seperti komik, kartun dan karya seni moden dalam menterjemahkan naratif, mencetuskan imaginasi dan menarik minat pembaca.

Rujukan terhadap kesenian tradisional boleh dilakukan dengan merujuk kesusasteraan dan kesenian bentuk visual. Kesusasteraan dalam bentuk teks atau cerita termasuklah cerita rakyat, cerita jenaka, pantun, syair, dan peribahasa. Seni visual pula termasuklah seni kraf tradisional seperti ukiran dan pertukangan tangan, seni bina, batik, songket, dan anyaman. Keperluan memetik dan merujuk kesusasteraan tradisibagi tujuan mesej moral dan pengajaran, pembentukan adab dan akhlak mulia sudah tentu berkaitan dengan peribahasa, kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Dalam konteks seni komik dan kartun, format bersekuen dengan pengolahan humor, menghibur dan mendidik mampu menjana imaginasi terpimpin di kalangan pembaca. Komik, kartun dan buku kanak-kanak adalah sastera visual yang menggabungkan teks dan imejan, mengandungi naratif, komposisi, watak dan kepintaran pengolahan. Pendekatan bersekuen dalam seni komik sudah tentu boleh disesuaikan untuk penampilan ilustrasi buku cerita kanak-kanak.
Ilustrator adalah seniman profesional dan pemerhati masyarakat dan budaya yang tajam. Ilustrasi buku kanak-kanak adalah perihal kehidupan, budaya dan identiti yang menghibur, mengajar dan menyedarkan. Ilustrasi memberi inspirasi dan menjana imaginasi. Ilustrator ada tanggungjawab untuk mendidik dengan penuh integriti, kerja keras, proaktif, konsisten dan penuh kesabaran.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
