Saya bukan seorang penulis…
Saya tidak tahu mahu bermula dari mana…
Saya juga tidak pasti mahu menulis itu bagaimana…
Saya hanya pernah menulis dua kali seumur hidup, pertama pada keluaran The Patin Post Vol. #2 dan terakhir, mungkin pada artikel ini. Ditinggalkan sendirian di hujung tahun membuatkan saya terpaksa mengetik papan kekunci ini bagi melaraskan talaan fikiran bawah sedar agar menerima hakikat yang kini saya harus menjalaninya sendiri.
Sudah hampir dua tahun enam bulan sejak enam artikel pertama diterbitkan pada 16 Jun 2023, saya tidak pernah ‘berperan’ apa apa dalam kerja kerja editorial dan penerbitan artikel di Senimalaya, Saya hanyalah ‘the so called’ creative director/eksekutif editor tempelan yang kadangkala mengikuti sang ‘peneraju editorial’ ke acara acara seni, menyimpul imejan atau membaca artikel sambil memberi komen, ulasan atau berdiskusi dengan beliau tentang artikel artikel yang diterbitkan.
Cuma satu yang kami berdua setuju dan sangat pasti dari awal mula, tujuan dan matlamat Senimalaya jelas, kami mahu lebih fokus dan serius dalam menerbitkan artikel, berita atau wancana berkaitan dengan seni kreatif tanpa kompromi. Senimalaya adalah sebuah portal seni yang ingin mengangkat pemikiran para penulis yang menghargai kesenian sebagai asas dalam pembangunan negara bangsa bertamadun, atau setidaknya menjadi sebuah arkib kepada pemikiran bangsa yang peduli akan perihal kesenian, sastera, falsafah serta warisan dan budaya tanahair yang boleh diekses oleh generasi akan datang.
Sang ‘peneraju editorial’ (seperti yang ingin dikenal pada kartu nama) dengan segala pengalaman dan jalinan yang ada dan bina telah mengumpul barisan para penulis prolifik lama dan baru, tokoh masyarakat, wartawan senior, sasterawan, pengkarya, budayawan serta ahli akademik untuk menyumbang fikiran dan dapatan mereka tentang seni, sastera, falsafah, muzik, filem, warisan dan budaya dalam bentuk artikel, wancana dan sebagainya. Sehingga artikel ini, sebanyak 615 buah artikel telah pun diterbitkan dan tersimpan di portal Senimalaya, menjadikanya secara purata sekitar 20 artikel setiap bulan dalam tempoh tiga puluh bulan Senimalaya dilancarkan. Nama nama yang tidak asing seperti Tan Sri Johan Jaaffar, Ku Seman Ku Hussain, Dr. Muliyadi Mahamood, Dr. Saiful Akram, Dr. Uwei HajiSaari, Abdullahjones, Noor Azam Shairi, Zin Mahmud, Dr. Jailani Abu Hassan, Sabri Yunus, Norman Yusoff, Fazleena Hishamuddin, Ku Syafiq Ku Fozi, Syahrul Musa, Fakir Muhamad, Anuar Manshor, Marsli N.O, Abror Rival, Ghaffar Mohamad, Ahmad Kamal Abu Bakar serta beberapa nama lain menjadi sinonim di sepanjang penerbitan artikel di Senimalaya.
Senimalaya menjadi sanggar kepada para penulis menata fikiran mereka dengan jelas dan tersusun kerana sang ‘peneraju editorial’ kritikal pada ‘etika jurnalistik’ serta standard operasi penerbitan berita professional. Di zaman semua orang kelihatan berupaya untuk melampiaskan ketidakpuasan atau gagasan ‘rentan-btter’ di dinding dan bebenang ‘Sokmed’, Senimalaya cuba menjauhkan diri dari kebiasan itu. Saya amat tahu jika ada penulis yang menghantar penulisan yang tidak jelas atau keliru dalam melaraskan pemikirannya, nescaya ianya hampir pasti tidak diterbitkan. (Saya percaya tulisan ini juga pasti akan di‘BIN’kan di Macbook nya jika beliau masih ada disini).
Senimalaya bukan basa-basi, tiada gossip atau cerita artis kahwin mahupun bercerai menghiasi portal ini dan disebabkan itu, Senimalaya menjadi sebuah portal berita seni ‘niche‘ berbahasa Melayu yang tiada iklan ‘ubat kuat’ sudi melanggan, statistik dan capaian trafiknya bukanlah sesuatu yang boleh digahkan dalam ‘deck’ penjualan iklan. Senimalaya cuma ada NAG yang tanpa lelah sudi membantu kelangsungan portal ini agar sedikit sebanyak dapat bertahan demi meneruskan apa yang kami percaya harus dilakukan sekiranya tiada yang berpeluang untuk melakukanya. (Terima kasih NAG team).
‘Time flies’, suku ketiga 2025 bergerak dengan sangat laju, Senimalaya tanpa perancangan tuntas memulakan satu gerakan baru, dari sebuah portal berita seni atas talian, kami menghidupkan sebuah galeri seni yang diberi nama ‘Ruang Teduh’ oleh sang ‘peneraju editorial’ di Menara Exchange 106, TRX Kuala Lumpur dengan bantuan dan kolaborasi bersama Galeri Puteh, bagi merancakkan pergerakan seni visual serta keterlibatan para seniman mendapatkan lebih ruang pameran untuk mereka, Ruang Teduh pun berjalan dan mengalir dengan tiga pameran telah pun berlangsung bermula seawal Ogos 2025. Terima kasih pada pasukan Exchange 106 dan Galeri Puteh atas kerjasama yang yang telah diberikan.

Bersama congak congak kasar difikiranya, sang ‘peneraju editorial’ pada suatu hari sekitar Oktober menyuarakan kepada saya keputusan beliau untuk memulakan ‘Podcast Senimalaya’ yang sudah agak lama kami rancang tapi masih belum dapat digerakkan. Katanya kami sudah tidak boleh menunggu lagi, waktu seakan mendesak, “Gua rasa kita buat jer dulu” (Secara sinematik, saya mengambarkan seolah beliau sedang mengikat lilitan kain merah dikepala ala Rambo sewaktu menuturkan kata kata tersebut kepada saya). Sejujurnya, saya dan mungkin juga beliau sendiri secara sedar atau tanpa sedar, tidak begitu memahami seluruhnya apa yang dituturkan itu. Saya melihat tambah-tambahan angka yang tidak memungkinkan gerakan ini berlaku secara logis, tapi semangatnya membuatkan saya bersetuju tanpa persoalan. Podcast Senimalaya pun bermula, juga dengan sangat pantas dan senyap, Low Ngai Yuen dengan segala kemurahan hati sudi untuk menjadi jangkar kepada Podcast tersebut bersama Dr. Uwei HajiSaari sebagai tetamu Istimewa bagi episod pertama, di ikuti dengan Ahmad Fuad Osman, Zan Azlee, Adibah Omar, Sabri Yunus dan Mohd Khair Ngadiron.
Untuk tempoh dua bulan terakhir ini enam episod telah pun disiarkan disaluran YouTube ‘Podcast Senimalaya’, dan ternyata memang waktunya yang kian mendesak, kekalutanya bersebab, beliau bersetuju untuk memulakan sesuatu yang belum pernah beliau lakukan untuk ditinggalkan dalam arkib Senimalaya. Terima kasih Yuen atas sokongan dan semangat besar anda dan sekali lagi NAG atas jasa dan kerjasama. Inshaallah kami akan meneruskan baki episod musim satu yang tertunda dalam jangka masa yang terdekat. (Podcast Senimalaya bersama beliau masih berbaki dua episod yang belum disiarkan serta dua tetamu undangan yang tidak berkesempatan beliau temui dan bersiaran).

Dalam kesibukan mengimbagi beberapa perkara lainya, beliau masih juga sempat menggerakkan ‘Sesi Borak Filem’ Senimalaya pertama di Aswara dengan tayangan filem ‘Orang Itu’ pada bulan November dan sudah pun merancang sesi kedua di DBP sebelum beliau pergi, semua perkara diluar penerbitan portal Senimalaya ini berlaku dalam tempoh singkat pada suku terakhir tahun 2025. Terima kasih kepada seluruh pasukan ASWARA yang sudi untuk berkerjasama.
Hujung November, saya tidak peka pada tanda tanda ketika hitungan bulan itu ditutup, sehinggalah setelah tiada, barulah saya sedar rupanya beliau telah melakukan satu ‘masterstroke’ terakhir dengan menerbitkan jumlah artikel paling banyak dalam rekod dan sejarah penerbitan artikel di Senimalaya. Pada hemat saya, mungkin itulah cara serta kontribusi terakhirnya untuk menunjukkan rasa hormat serta tanda kasih beliau kepada para ‘contributing writers’ yang amat kami hargai di Senimalaya. Terima kasih semua atas sumbangan anda untuk Senimalaya selama ini.
1 Januari 2026, saya masih berada dalam lingkaran fikiran yang berulang ulang seperti pemain kaset lama dalam mode ‘auto reverse’ dan kini mungkin sedikit memahami apa yang dipanggil ‘traumatic bereavement’. Ada yang bertanya apa nasib Senimalaya setelah sang ‘peneraju editorial’ tiada, saya tiada jawapan untuk pertanyaan tersebut, yang pasti saya kini harus menjalaninya sendiri dengan janji yang diulang ulang didalam kepala untuk meneruskan apa juga yang tersisa di Senimalaya, itu pasti walaupun sebenarnya saya sendiri tidak tahu bagaimana ia akan berlaku, saya hanya mampu meneruskan apa ditinggalkan dengan cara sendiri selagi termampu, berpeluang dan terdaya.
Terima kasih pada semua yang telah menyokong, menyumbang dan membantu kami disepanjang kewujudan Senimalaya memasuki perbarisan seni kreatif tanahair. Kami bangga pada anda semua yang masih percaya pada nilai kesenian yang menjadi asas dalam pembentukan negara bangsa yang bertamadun. Semoga tahun baru 2026 memberi rahmat dan kesejahteraan pada semua. Harapan Senimalaya tetap sama dan masih jelas, cuma mungkin suatu hari nanti anda akan menyumpah sendirian ketika memasuki portal ini, pop-up iklan ‘ubat kuat’ tiba tiba muncul dihadapan mata anda.
Seperti kata Gerhard Richter, saya juga percaya bahawa “Seni adalah suatu bentuk pengharapan yang paling tinggi”
“Waktu terus bergulir
Kita ‘kan pergi dan ditinggal pergi
Redalah tangis, redalah tawa
Tunas-tunas muda bersemi
Waktu terus bergulir
Semuanya mesti terjadi
Daun-daun berguguran
Tunas-tunas muda bersemi“
Satu-Satu – Iwan Fals
Al Fatihah.

Semoga noktah diulang 3kali supaya cerita ini tidak tamat di sini