APABILA kepala OPR Network atau ramai rakan-rakan media memanggilnya PR terbaik ketika ini, Opie Sofia menghantar pesanan ringkas “dan get ready bulan 10,” keterujaan untuk menyaksikan Cipta 2 terus meledak, membuak-buak, walaupun pada ketika itu, baru hari keenam konsert Cipta berakhir.
Tahap keseronokan dalam konsert siri pertama tersebut yang agak tinggi menjadikan nafsu berhibur meminta-minta untuk dipuaskan lagi.
Maka, apabila tiba harinya, melihat 8,000 lagi peminat M.Nasir hadir dengan rata-rata mengenakan jeans biru berbaju t-shirt putih mengikut tema, perasaan teruja yang dirasai sejak dua bulan lalu berasakan wajar.
Bermula dengan tayangan video pendek hiruk-pikuk kehidupan di ibu kota yang juga seperti Cipta, mempunyai visual yang amat menarik perhatian, penghibur veteran tersebut terus menghangatkan ruang Axiata Arena dengan memilih untuk mendendangkan lagu Pawana (Search) dan Hukum Karma (Wings).
Sebanyak 32 lagu dinyanyikan mengikut segmen sepanjang 3 jam termasuk Kias Fansuri, Malam, Juwita, Mencurah Janji di Daun Keladi, Mustika serta Sahabat Gua, selain lagu-lagu wajib beliau setiap kali konsert, Apokalips, Tanya Sama Itu Hud Hud dan Hati Emas.
Cipta 2 juga menjadi lebih seronok kerana M.Nasir yang selalu dilihat keras dan pilih bulu, bersikap sporting bersetuju menyanyikan lagu-lagu kenduri seperti Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycats), Lagu Jiwa Lagu Cinta (berduet Mawi), Awan Nano (Hafiz Suip) dan Kenangan Lalu (Flybaits).
Penampilan Kid, pemain gitar kumpulan muzik Search mengiringi M.Nasir untuk lagu Fantasia Bulan Madu dan Isabella (Search), dan Tiara (Kris) membuatkan penonton muda dan tua tambah menggila.
Ramai yang mengatakan mereka sebak melihat kemunculan Kid dipentas Cipta 2. Komen peminat ada masanya dilihat lebih tahu dari tuan badan. Itu lah gelagat peminat artis.

Namun pada malam yang dilimpahi rahmat hujan lebat itu, kilauan persona M.Nasir tidak seterang di bulan Ogos yang lalu.
Beberapa kali M.Nasir mengubah nada, tidak sampai atau tertukar lirik dan walaupun sebenarnya ini tidak begitu penting untuk diperkatakan, namun ada ketikanya keinginan untuk berkaraoke seperti yang dijanjikan penganjur jadi tersekat-sekat.
Bagi sesetengah orang, karaoke sepatutnya kena sama lah seperti di dalam kaset.
Boleh jadi stamina M.Nasir belum pulih sepenuhnya. Atau mungkinkah M.Nasir sebenarnya memberi peluang kepada para peminatnya malam itu menyanyi sepuas-puasnya untuk meraikan dirinya pula? Boleh jadi.
Aspek lain yang banyak diperkatakan adalah kegagalan kamera merakam momen-momen penting dan berkesan ketika konsert tersebut. Ia satu kegagalan yang sukar dimaafkan ketika sebuah konsert yang menampilkan seorang yang disegani. Entah apa yang ada dalam kepala jurukamera malam itu, hanya tuhan yang tahu dan dengan apa yang dirakamkan kepada tuhan juga lah kita berserah.
Selain yang telah dinyatakan tersebut, tiada lagi perkara siginifikan yang boleh diperkatakan mengenai konsert Cipta 2.
Stunt menerbangkan paket raya berisi nota seringgit berjumlah RM10 ribu kepada penonton ketika lagu terakhir Suatu Hari di Hari Raya mungkin lebih meninggalkan kesan sekiranya penganjur mendermakan sahaja kepada Gaza sepertimana niat M.Nasir menghadiahkan lagu tersebut kepada mereka yang terkesan peperangan dan penindasan.
Secara keseluruhannya, penyampaian konsert ke-2 agak bersahaja berbanding yang pertama, namun jelas dilihat bahawa kehebatan Cipta 2 terletak pada tahap keghairahan peminat M.Nasir yang memang tidak boleh move on sejak 12 Ogos yang lalu. Setiap kali konsert M.Nasir berjaya menarik peminatnya tidak kira muda atau yang sebaya abang Lan Naga bangun menari.

Juga, keseragaman 8,000 penonton yang hadir menjadikan suasana pada malam tersebut lebih bermakna buat M.Nasir dan pihak penganjur kerana dengan hanya bersandarkan satu titik persamaan untuk meraikan seorang seniman, seni sentiasa mampu menyatukan.
Para peminat yang masih belum puas dan juga yang belum sempat merasai kedua-dua edisi Cipta akan berpeluang untuk menyertai kemeriahan Cipta 3 yang telah diumumkan dalam akaun rasmi Instagram Konsert Dato’ M.N45IR Cipta tiga hari lalu.
Agaknya, tema apakah yang akan dipilih selepas tradisional dan denim (moden) nanti?
Dan kepada yang skeptikal menyatakan rangkaian konsert yang rapat antara satu dengan yang lain seakan untuk mengambil kesempatan, pastinya jumlah yang berada di Axiata Arena untuk kedua-dua terdahulu dapat membidas.
Jadi, pastikan kita bersedia dan dapat berjumpa lagi di Cipta 3.
– NURUL LATIFATULALIZA merupakan seorang yang gemar muzik serta namanya amat susah untuk diingati dan sering disalah eja.

