NOVEL Kuala Lumpur Kita Punya (1967) tak mudah dijumpai sekarang. Ia tak pernah diterbit semula pada abad ini biarpun penulisnya telah digelar Sasterawan Negara. Ia masuk dalam kategori yang dikenali dalam kalangan pengumpul buku sebagai ‘novel nakal awal oleh penulis terkenal yang kini berstatus langka’ – termasuk Terdedah (1965) Shahnon Ahmad, dan Garis Lintang Anak Haram (1968) Aziz Hj Abdullah.
Membaca KLKP pada tahun 2024 memang seronok, bukan saja kerana kenakalannya. Kita dapat mengenang kembali zaman Jalan Mountbatten belum diberi nama yang lebih ‘tempatan’, dan Jalan Duta belum diberi nama lebih ‘feudal’.
Novel ini menceritakan seminggu dalam kehidupan empat anak muda – Johan, Nordin, Adnan dan Tahar – yang berkongsi rumah di Kampung Baru. Kami dapat tahu hanya sedikit tentang kerja dan keluarga masing-masing, kerana fokus novel ini ialah pengalaman dan impian seksual setiap bujang-yang-belum-terlajak ini.
Novel bermula dengan Johan yang “tidak ada seurat benang pun” sedang mengintai dari jendela biliknya kepada jiran yang diminatnya. Unsur ‘telanjang’ dan ‘memerhati’ ditekankan dari awal sebagai tema berkait dalam perjalanan novel ini.
KL menjadi temasya asmara, di mana pelbagai lokasi – bas padat, lif sempit, lalu lintas jalan, pawagam, malah bilik air pejabat selepas waktu kerja – seakan mekar dengan kemungkinan berahi, untuk yang berani. Malah jika terlihat perempuan sedang berteduh semasa hujan pun, lelaki berkenderaan dapat ambil kesempatan; seperti difikir Adnan:
Kerana sudah banyak orang lain menceritakan kepadanya, betapa gadis-gadis dan perempuan-perempuan yang sedang menunggu di stesen bas itu diambil ke dalam motokar mula-mula dengan dalih mau dihantar pulang, tapi kalau pancingnya mengena terus dibawa berjalan, malah ada yang sampai ke bilik hotel. […] Orang yang ada motokar lebih senang daripada orang-orang yang hanya naik bas saja, tetapi ada juga orang yang naik bas yang mendapat peluang yang sama. Asal rajin dan berani atau tahan bermuka hemoi.

Terfikir juga bahawa sasaran pembaca novel ini mungkin kebanyakannya orang yang tidak menetap di KL sendiri; jadi elemen keliaran kota ditambah bumbu untuk menyedapkan lagi sisi ‘bernafas dalam (kuala) lumpur’. Atau memang itu dokumentasi sebenar? Kena tanya mereka yang sudah dewasa ketika itu.
Keberanian untuk memberahi bukan hanya milik lelaki; adegan seks pertama (di Bab 3) dimulai apabila Ramlah, yang lebih berumur, menyambar Johan di bilik air pejabat yang disebut sebelum ini. Namun aksi mereka tamat awal kerana lelaki itu tidak dapat mengawal diri, dan pengakhirannya:
Nafas Johan semakin kuat dan keras dan kemudian ia beransur-ansur lemah. Ramlah tersenyum kecewa […]. Orang muda tidak tahan. Tetapi tidak mengapa, lama-lama dia akan biasa.
Johan mendapat peluang untuk membuktikan stamina jantannya kemudian, tetapi unsur ‘gagal’ juga menandai pengalaman Nordin (yang bertunang tapi berkencan dengan perempuan lain dalam pawagam) dan yang paling ketara Tahar – cara dia tewas di ranjang mengakibatkan trauma yang begitu dahsyat sehingga dia terpaksa balik kampung untuk healing.
Apabila skodeng orang yang tengah romen di kereta-kereta yang diparkir di lereng Jalan Kenny, Adnan diberitahu oleh kawannya: “Kalau siang hari kau akan dapat melihat kertas-kertas tisu bertaburan di tempat-tempat motokar itu berhenti. Pada kertas-kertas tidak saja gincu bibir dan sebagainya, tetapi juga air mata.”
Unsur ‘air mata’ tidak begitu ditekankan dalam KLKP; walaupun penghujungnya ada disuntik elemen malang (yang agak medadak), secara am ia bergerak bagaikan komedi tentang nafsu. Kalau nak dibandingkan dengan filem P. Ramlee, ia lebih dekat dengan Bujang Lapok tapi versi 18SX (dengan beberapa elemen kebobrokan sosial Keluarga 69) berbanding filem noir seperti Dr. Rushdi atau Gelora.
Filem adalah cara lebih mudah untuk melihat persekitaran sesuatu zaman yang telah berlalu. Namun novel dewasa sebegini lebih dekat dengan cara percakapan sebenar. Ertinya, dialog dalam KLKP lebih realistik dalam merakam zamannya, khasnya cara seloroh kasar sesama kawan lelaki. Sudah pasti lebih true berbanding filem-filem lakonan Ed Osmera atau Jins Shamsudin, yang terpaksa melalui lembaga yang menapis.
Novel ini dilihat hampir sepenuhnya daripada perspektif empat lelaki berkenaan. (Ada beberapa selingan apabila perempuan flashback kepada pengalaman lampau mereka – pengalaman awal bersama lelaki, pastinya.) Kesenjangan gender ini, bukan saja dari elemen narasi tapi mata sosial, diakui sendiri dalam teks:
“Orang lelaki lain,” jawab Rubiah. “Mereka boleh berkawan dengan seberapa banyak perempuan yang mereka sukai tetapi namanya masih tetap baik dalam kalangan masyarakat. Sebaliknya kami orang perempuan, kalau sudah lepas dari satu lelaki, orang akan menuduh yang bukan-bukan…”
Berbeza sungguh dengan novel Imam (1995) yang terbit hanya setahun sebelum penulisnya dinobat sebagai Sasterawan Negara, KLKP tiada unsur khutbah atau agama yang tersurat. Tiada sesiapa yang bertaubat atau mula solat. Tetapi ia tetap punyai pemerhatian tentang lapisan masyarakat, dan ini menjadikannya bukan sekadar roman picisan.
Slogan “kita punya” dalam tajuknya tidak merujuk kepada sifat Romeo empat lelaki berkenaan, tapi kepada sesiapa yang ada kuasa dan kemampuan dan menggunakannya untuk memangsai orang lain, dilihat dalam ayat lucu “Bila cukup penumpangnya teksi-teksi ini lari macam setan, macam jalanraya ini merekalah yang punya.”
Kepelbagaian kaum, biarpun tidak diserlah sebagai tunjang seperti dalam Interlok (1971) oleh penulis sama, tetap ada peranan dalam menghidupkan suasana urban. Bertempat beberapa tahun sebelum Dasar Ekonomi Baru, keempat-empat anak muda ini tidak mengeluh tentang nasib bangsa yang ditindas, tetapi tidak juga mendapat keistimewaan Bumiputera yang nyata berbanding kaum lain. Yang dapat dilihat adalah empati yang tidak dicemar ‘semboyan’. Lihat saja adegan di mana Tahar yang trauma (lemah tenaga batin) sedang berjalan di Chow Kit pada awal pagi:
Kerana di dalam keraguan, dia tidak memandang ke sebelah kanan ketika dia berbelok itu dan hampir saja dilanggar oleh seorang budak lelaki Cina yang mengenderai basikal dengan sebakul penuh sayur-sayuran di belakangnya. […] Fikirannya tertumpu pada anak Cina itu pula. Kalau dia, tentu dia tidak akan bekerja seperti anak Cina itu, bangun pagi-pagi membawa sayur ke pasar serupa itu. […] Orang Melayu tidak ada yang mau bersusah-payah seperti itu, fikirnya.
Ini mengingatkan kepada beberapa puisi Usman Awang seperti Anak Jiran Tionghua (1962) atau Sahabatku (Kepada Dr M. Rajakumar) (1979). Di sini, elemen ‘telanjang’ dalam KLKP boleh juga dilihat sebagai pemerhatian jujur terhadap manusia tanpa dikaburi darjat atau halangan lain yang dibentuk oleh politik, seperti konsep kaum.
Pun, tema sebegini tidak dipersembahkan secara sentimental tapi sensual dan humor. Paling mengesankan apabila Adnan meniduri seorang minah salleh:
Ia merasa beruntung sebab dapat mengecap nikmat kemerdekaan walaupun sudah menyimpang sama sekali dengan hakikat kemerdekaan yang sebenarnya. Sebagai orang kulit berwarna dia ingin menggunakan kesempatan ini, untuk menambahkan gensinya dan menaikkan harga dirinya, kalaupun tidak dapat dikatakan membalas dendam.
Nah, seakan parodi tulisan Franz Fanon atau novel Sudan, Season of Migration to the North (1966)!
– AMIR MUHAMMAD merupakan seorang penerbit buku dan filem.

