Masa kecil dulu, saya selalu juga berangan nak masuk pertandingan tivi realiti. Tak mahu Akademi Fantasia sebab tak boleh pilih lagu sendiri. Saya nak masuk Malaysian Idol atau One In A Million.
Saya nak letak katil di pentas, dengan selimut kartun, acah-acah baru bangun tidur kemudian nyanyi lagu Bosan oleh Roti. Mesti Paul Moss suka.
Tapi, lepas dengar rakaman suara sendiri menyanyi, kemudian dimarah kawan dan adik sebab menyanyi tak masuk key, saya lupakan impian itu.
Bila dewasa, saya jumpa bakat menulis, lalu saya menulis tentang muzik. Itu sumbangan yang saya boleh buat untuk muzik yang saya cinta.
Kalau kita cinta muzik, tak semestinya kita perlu bikin muzik. Itu yang saya faham dan percaya.
Sebahagian besarnya sebab, ada satu hari saya naik kereta dengan kawan, seorang gitaris kugiran puisi rock bernama Rengkuh. Ini dah lama, beberapa tahun lepas, waktu dia masih ada kugiran rock alternatif bernama motherwit. Saya pecah sunyi dengan berkata, saya nak beli gitar. Bila ada gitar sendiri, rajin sikit nak belajar.
Dia bantah.“Tak payahhhh!” Dia kata. Kata dia yang juga meniaga sandwich, kita dah ada ramai pemuzik. Kita tak perlu lebih ramai pemuzik. Kita perlu lebih ramai pendengar dan peminat.
Sampai sekarang saya tak beli gitar.
Dah ada beribu lagu
Saya tak jumpa data terkini tapi pada 2023, waktu teknologi AI untuk buat lagu tak sehebat sekarang, jumlah lagu yang diterbit di Malaysia ada lebih 1,300 lagu. Lebih sebab jumlah 1,300 itu saya jumpa dari laman web Diskograf. Saya jangka, ada juga lagu yang tidak dikesan laman web itu.
Kalau tak nak ambil data itu pun, Anugerah Lagu Indie (ALI) 2025 umumkan baru-baru ini, mereka terima 590 pencalonan. Jumlahnya tak jauh beza dengan tahun-tahun sebelum, malah pernah mencecah 808 lagu pada 2022.
Kalau lagu-lagu artis independen saja sudah cecah sampai 800 setahun, bayangkan jumlah keseluruhan lagu yang diterbit di Malaysia?
Apa yang saya nak cakap, kita dah ada banyak lagu. Sangat banyak. Saya yakin, tak ada satu manusia pun yang mampu dengar semua lagu yang diterbit di Malaysia setiap tahun.
Jadi, para pencinta muzik yang berhasrat nak buat lagu guna AI, tak payahlah. Cari jalan sumbangan yang lebih bermakna kepada muzik negara. Tak perlu tambah katalog lagu di Malaysia ini yang sudah mencecah ribuan lagu setahun.
Bakat prompt bukan deria komposer
Saya boleh faham keinginan yang membuak dalam dada para prompters Suno. Kita tengok orang buat lagu, kita pun nak buat lagu. Kita ada sesuatu nak disampaikan dan kita fikir, alangkah seronoknya kalau hal itu disampaikan dalam bentuk lagu.
Kemudian, teknologi AI datang. Proses buat lagu jadi mudah. Kita jadi seronok. Maka kita prompt sampai jadi lagu.
Saya boleh faham semua itu. Tapi, lagu AI tak sedap.
Cadangkanlah lagu AI paling tular sekalipun, berjuta tontonan, tetap ia tak sedap. Vokalnya terlalu sempurna. Melodinya templat. Liriknya lagilah.

Ada ramai orang yang pandai main alat muzik tapi tak semua boleh buat lagu sedap. Ramai orang boleh menyanyi tapi tak semua boleh buat lagu sedap. Ramai orang boleh tulis puisi tapi tak semua boleh tulis lirik yang baik.
Untuk menulis lagu yang baik, tak cukup hanya idea. Ini hal penting kita kena faham. Para komposer dan penulis lirik hebat yang kita ada bukan hanya ada idea, mereka ada deria seorang komposer dan penulis lirik. Ini bakat yang Tuhan tak beri pada semua orang.
Ramai orang cakap, AI ialah tools. Perkakas. Perkakas pun tak membantu kalau tiada deria seni. Saya bagi awak kanvas, berus dan akrilik, belum tentu awak boleh hasilkan lukisan yang cantik. Sama juga apabila awak dikurnia perkakas dalam bentuk AI, kalau awak tiada deria seorang pelukis, lukisan yang awak jana tetap tak cantik.
Kita perlukan pendengar
Satu hal penting yang saya fikir jarang dipeduli para pencinta muzik: muzik memerlukan pendengar. Ekosistem muzik akan tempang tanpa pendengar. Kita kurang orang yang mahu jadi pendengar muzik yang baik.
Pendengar muzik yang baik rajin meneroka. Mereka akan cari muzik yang baik dari setiap ceruk dunia. Pendengar muzik yang baik juga akan berbelanja untuk kelangsungan hidup pemuzik. Seberapa yang mereka mampu, mereka bayar.
Mereka bayar tiket konsert, mereka bayar platform strim, mereka beli album fizikal.
Di Malaysia, ramai yang mahu dengar muzik tapi tak mahu keluar wang. Ramai yang cari platform strim crack. Pergi pasar malam, beli pen drive lagu cetak rompak.
Cuba bayangkan, 10,000 ahli grup Suno AI Malaysia di Facebook itu berusaha menjadi pendengar yang baik berbanding mencipta lagu lohong menggunakan AI, bukankah itu lebih bermakna?
Sebab muzik Malaysia tak perlukan banyak-banyak lagu. Lagu dah cukup, setiap tahun beribu lagu diterbitkan tanpa bergantung penuh pada teknologi AI. Dalam beribu lagu itu, beberapa ratus saja yang memberi nilai tambah dan impak kepada lapangan muzik tempatan.
Yang kita perlukan ialah pendengar yang baik. Penyokong berkualiti untuk pemuzik yang dikurniakan bakat serta kemahiran. Jadilah pendengar yang baik, itu lebih diperlukan lapangan muzik Malaysia.
Hantu Walter datang bersyarah
Saya selalu berpandangan, mencipta lagu menggunakan AI ialah satu tindakan sia-sia. Terutamanya untuk anda yang sanggup bayar beratus ringgit untuk masuk ke kelas prompt.
Sebab nilai seni terletak pada kelangkaan (scarcity). Sesuatu seni bernilai sebab tak semua orang ada bakat untuk menghasilkannya. Sebab itu lukisan Monalisa mahal, sebab tak ada orang dapat mengulangi penghasilannya sampai hari ini.
90 tahun lalu, Walter Benjamin menulis esei yang sangat penting, bertajuk The Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction. Esei itu menyorot perubahan dalam nilai seni apabila teknologi membolehkan reproduksi karya secara mekanikal, melalui teknologi cetakan dan fotografi.

Ternyata, selepas hampir satu abad, reproduksi mekanikal tidak mengurangkan nilai seni. Sebab dari segi penghasilan, atau produksi, ia masih langka. Tak ramai yang boleh menghasilkan seni berkualiti, walaupun hasil seninya itu boleh dicetak dan disebar berjuta kali.
Kalau Walter hidup hari ini, dia mungkin menulis esei bertajuk The Work of Art in the Age of Generative Production. Dan saya boleh jangka kesimpulannya—seni janaan AI tidak bernilai sebab ia menghapuskan punca nilai seni itu sendiri, iaitu kelangkaan.
Sebab dengan AI, semua orang boleh hasilkan lagu, contohnya. Hanya perlu belajar prompt. Kalau semua orang boleh buat lagu, ratusan ribu atau jutaan lagu dijana setiap tahun, lagu-lagu itu sudah hilang nilai. Manusia yang menghargai seni akan kembali mencari kelangkaan, iaitu lagu-lagu ciptaan manusia yang terpilih menerima bakat kurniaan Tuhan, dan yang bekerja keras menajamkan kraf.
Maka, buat para prompters, fikirkan semula tujuan anda menjana lagu.
Adakah untuk memeriahkan industri? Tak, industri tak akan meriah dengan lagu-lagu anda. Kita dah ada cukup banyak lagu yang diterbit setiap tahun.
Adakah untuk kaya? Susah. Lagu janaan AI tak bernilai. Atau sekurang-kurangnya, akan hilang nilai.
Adakah untuk suka-suka? Tak patut juga sebab teknologi AI beri kesan pada alam sekitar, malah teknologi itu juga mencuri hak intelek pengkarya tanpa etika.
Jadi, sudah-sudahlah jana lagu. Kalau mahu juga, belajar tulis lagu secara tradisional. Kalau tak menjadi, tak apalah, itu bukan bakat awak. Pergi berkebun untuk tambah jumlah oksigen Malaysia. Bela alga.
Ataupun, jadilah pendengar yang baik. Itu lebih bermakna.
