SETIAP kali menjelang hari jadi, saya akan menghadiahkan diri sendiri sesuatu yang bermakna. Tahun ini, ketika sedang memikirkan hadiahnya, pengumuman konsert Efek Rumah Kaca (ERK) tiba-tiba muncul di timeline Instagram. Kulit album pertama ERK terpampang dengan siluet berkembar KLCC, bersama teks yang meraikan 18 tahun kelahiran album tersebut.
Di ruangan kapsyen, penganjur menggoda dengan janji suasana intim di aras 51 Vox Live Kuala Lumpur–sebuah lokasi yang betul-betul menghadap Menara Berkembar Petronas. Terbayang alunan lagu-lagu yang membawa saya pulang ke masa lalu, sambil menikmati Kuala Lumpur yang basah dan berlumuran cahaya.
Hanya dengan memikirkan saat itu, ribuan rama-rama segera berterbangan dalam perut. Berdebar dan berdenyut segala urat nadi. Barangkali saya antara yang pertama merebut tiket saat jualannya dibuka. Inilah self-reward saya tahun ini–penghargaan kecil untuk diri yang masih bernafas dan terus bertahan.
Kali terakhir saya menonton ERK ialah pada tahun 2010, di mana saya juga menjadi pengacara untuk sesi diskutik (diskusi dan akustik) di rumah Frinjan (kini rumah itu juga tinggal kenangan). Tahun lalu, saat mereka berdendang di Zepp KL saya pula tak berkesempatan hadir. Namun tidak untuk kali ini. Apatah lagi ia berlangsung hanya dua hari selepas hari jadi saya.

Sedar tak sedar, saya sebenarnya turut mendewasa bersama ERK. Bila dikenang kembali, 15 tahun lalu saya pernah duduk berbual dengan Cholil, Adrian dan Akhbar bertanyakan kisah perjuangan muzik mereka. Sureal rasanya. Hasil selongkar blog lama, rupa-rupanya ada gambar saya bersama mereka dari sesi diskusi itu–wajah dan fizikal kami begitu remaja, begitu membara. Oh, betapa nostalgiknya.
Saya hadir bersama suami, berbekalkan lagu-lagunya yang kami ulang dengar sepanjang beberapa minggu ini. Agar dapat meresapi segala bumbu melodi dan liriknya. Agar keberadaan kami di sana nanti benar-benar total–tenggelam dalam seluruh emosi dan rasa. Kebetulan penganjur juga sudah mengeluarkan set list lebih awal.
Sesampainya kami di luar bangunan acara, terserempak pula dengan wajah-wajah familiar–seronok sekali rasanya. Kawan-kawan lama; teman lepak-sembang mamak sampai pagi, menonton gig saban minggu, dan mereka yang pernah sama-sama berpeleseran di acara seni. Suasana yang saya rindukan, membuatkan diri terasa muda kembali.
Tak sabar rasanya untuk hanyut dalam persembahan ERK–merayakan ulang tahun kelahiran album pertama mereka yang ke-18, sekaligus merayakan pertambahan usia saya sendiri. Perfecto!
Band Ramayan sedang beraksi di pentas ketika kami masuk ke perut Vox Life–ruang yang terasa seperti lif kecil yang diisi hampir dua kali ganda daripada kapasiti. Sesak! Untuk menyelinap ke bahagian depan hampir mustahil; ruang itu sudah terlalu padat. Kami enggan mengambil risiko terhimpit dan terperangkap dalam keramaian, apatah lagi malam itu ingin dilunaskan dalam suasana yang selesa dan gembira. Walaupun begitu, saya sedar dari awal bahawa namanya juga sebuah konsert–pasti ada perkara yang di luar jangka.
Tempat apakah ini? Saya hanya mendengar suara Syafie, vokalis Ramayan, tetapi langsung tidak nampak wajahnya–apalagi untuk melihat mereka beraksi di pentas. Perlu seseorang mengangkat saya, atau saya sendiri menjengkitkan kaki barulah mampu menonton. Pentasnya rendah, ruangnya cuma sekitar 3,500 kaki persegi; sebuah lokasi yang kebiasaan digunakan untuk acara DJ atau rave, pelancaran produk atau album, seminar dan sesi panel, gala dinner, showcase muzik berskala kecil, karaoke, atau jamming peribadi.

Ketika menulis ini, saya semak laman web mereka: kapasiti dinyatakan sekitar 690 orang sahaja. Tetapi penganjur menulis bahawa acara ini ‘terhad kepada seribu penonton’. Jadi bayangkanlah–sebuah konsert band legenda di ruang yang kecil, pentas rendah, dan jumlah manusia melebihi kapasiti.
Nasib baik ada platform kecil setinggi beberapa inci yang membolehkan saya berdiri, walaupun masih terpaksa berjengkit dan menegangkan leher untuk melihat ke hadapan. Rasa seperti kembali ke gig zaman dulu–berhimpit, dan hampir tidak nampak apa pun di depan. Bayangkan sepanjang konsert begitu: berpadatan–dengan kaki lenguh, bahu kejang, dan hati yang sakit.
Sebenarnya, saya lebih rasa kasihan pada mereka yang berada di ruang tengah. Sekurang-kurangnya saya berdiri di atas platform; bayangkan perempuan-perempuan bertubuh kecil molek di tengah keramaian–hanya dapat melihat kepala dan badan orang lain. Sadis.
Apalah salahnya memasangkan layar bagi penonton di tengah dan belakang? Kita semua bayar tiket–bukan RM30 macam masuk gig biasa. Sungguh, tiada langsung common sense.
Awal-awal saya mendengus dan mengeluh pada suami, tetapi saya fikir sampai bila. Malam ini tak patut berakhir dengan kesedihan dan kemarahan. Namun sebagai penggemar muzik ERK, saya perlu menyatakan sikap terhadap penganjur yang culas. ERK mengajarkan saya untuk berani bersuara–setiap tindakan kita adalah bukti kesedaran kita terhadap lingkungan. Protes jika sistem itu mencengkam. Lawan pada ketidakadilan. Tegar dalam mempertahankan hak asasi sebagai manusia. Bebas memberi respon dan unjuran. Belajar menjadi entiti yang peduli. Seperti kata ERK dalam lagu Merdeka:
Kami adalah orang yang merdeka
Kami hidup dalam kebebasannya
Damai lahir batinnya.
Saya lebih suka jika Pitahati yang membuka panggung malam itu. Jalur muzik dan isi lirik mereka–baik Pitahati mahupun ERK–agak sejajar. Ramayan juga saya suka; lagu-lagunya catchy, dan kata-katanya puitis. Tentulah kuah akan jatuh ke nasi, keduanya legasi M. Nasir. Cuma Pitahati terasa lebih matang, solid, dengan estetika dan kedalaman pemikiran.
Upacara sambutan 18 tahun album pertama Efek Rumah Kaca dimulai dengan Melankolia. Degup jantung bergema, airmata bertakung. Lagu itu menjadi soundtrack hidup saya di zaman awal menjadi freelancer–setiap malam mesti dengar, nangis sendiri sambil memeluk lutut–sambil merenung langit kelam. Opening yang benar-benar meruntun.
Nikmatilah saja kegundahan ini
Segala denyutnya yang merobek sepi
Kelesuan ini jangan lekas pergi
Aku menyelami sampai lelah hati
Cholil, dengan uban yang sudah memutih di kepala, tetap mempersona dengan gaya introvertnya dan suara yang penuh emosi. Sejak dulu, saya rasakan tone suaranya unik dan tersendiri; kini terdengar lebih matang dan berlemak–seperti orang demam, namun tetap sedap dan raw. Penuh intensiti. Kekuatan vokalnya terletak pada rasa dan emosi yang disampaikan–penuh depth dan penghayatan yang menjiwai setiap bait. Walaupun sistem teknikal kadang menenggelamkan suaranya, karisma dan kekuatan vokal Cholil tetap memukau. Mungkin karisma atau aura seseorang sebenarnya bukan datang dari aksi yang berlebihan. Less is more.
Permainan muzik mereka padat dan enak dinikmati, walaupun saya geram dan bengang kerana tidak dapat melihat wajah atau aksi mereka di pentas. Saya menikmati setiap momen. Tanpa banyak bicara atau basa-basi, ERK memberikan keadilan kepada peminat yang mendambakan persembahan epik, kerana saya yakin kebanyakan yang hadir malam itu adalah pendengar setia mereka, ketika album pertama mereka diterbitkan. Dengan 17 lagu yang dimainkan, setiap nota dan lirik terasa sebagai peringatan akan perjalanan panjang dan konsistensi mereka–sebuah pengalaman yang meninggalkan bekas mendalam dalam hati setiap penonton.
Ketika lagu Sebelah Mata, Cholil sengaja membiarkan khalayak menyanyi dari mula sehingga selesai. Lagu yang diciptakan oleh Adrian Yunan (pemain bass) bersama Cholil menceritakan perjuangan Adrian yang menghadapi masalah penglihatan. Pada saya lagu ini bukan sekadar tentang penglihatan fizikal yang hilang, tetapi lebih kepada persepsi hidup. Bagaimana seseorang melihat dunia dari sudut yang berbeza, menerima kegelapan sebagai sebahagian dari pengalaman, dan menemukan makna dan kekuatan dalam perjuangan peribadi.

Yang paling mengharukan, Adrian sendiri hadir malam itu, walau sudah tidak lagi bermain bersama ERK, menghidupkan kembali kenangan dan emosi yang membuat setiap penonton terasa dekat dengan perjalanan mereka. Saat itu, setiap nada, setiap lirik, bukan hanya lagu–tetapi saksi sebuah ketabahan, harapan, dan keindahan yang lahir dari pengalaman hidup yang nyata.
Satu lagi perkara yang saya kagumi tentang konsert ini ialah bagaimana visual yang mengiringi setiap lagu memberikan perspektif yang unik, sekaligus memberi ruang kepada penonton untuk menafsir sendiri makna di sebaliknya. Berbeza dengan konsert komersial masa kini–di mana lirik sering dipaparkan di skrin supaya semua orang boleh sing along–ERK memilih berbeza. Tidak ada tekanan untuk menyanyi bersama; mereka mahu setiap pendengar benar-benar mendengar setiap butir kata, meresapi setiap lapisan makna yang disampaikan melalui visual dan muzik. Pendekatan ini menegaskan sejauhmana nilai seni dan muzik diletakkan pada tempatnya. Segalanya bersatu: visual, melodi, lirik, dan emosi, mencipta pengalaman yang bukan sekadar ditonton, tetapi benar-benar dirasa.
Sewaktu lagu Di Udara, ERK mempamerkan imej mata seseorang dengan latarbelakang putih. Sedia maklum lagu ini bukan sekadar lagu, tetapi sebuah deklarasi perjuangan. Didedikasikan untuk aktivis hak asasi manusia, Munir Said Thalib yang menggambarkan bahaya dan ancaman yang dihadapi mereka yang berani menentang ketidakadilan.
Ku bisa dibuat menderita
Aku bisa dibuat tak bernyawa
Dikursilistrikkan ataupun ditikam
Tapi aku tak pernah mati
Tak akan berhenti
Tapi aku tak pernah mati
Tak akan berhenti
Ku bisa tenggelam di lautan
Aku bisa diracun di udara
Aku bisa terbunuh di trotoar jalan
Munir Said Thalib, aktivis hak asasi manusia terkenal Indonesia, meninggal dunia pada 7 September 2004 akibat diracun arsenik dalam penerbangan ke Belanda. Kematian beliau memicu kemarahan masyarakat dan menjadikannya simbol perjuangan melawan pelanggaran HAM serta risiko yang dihadapi aktivis dalam memperjuangkan keadilan.
Melalui lirik yang kuat dan visual imaginatif, ERK menyampaikan pesan bahawa perjuangan menegakkan keadilan adalah hak setiap manusia, dan bahawa keberanian serta keteguhan hati mampu menyalakan inspirasi dalam masyarakat.
Rugi bagi sesiapa yang mengaku minat muzik tetapi belum mendengar Efek Rumah Kaca, kerana kugiran ini lebih daripada sekadar hiburan. Mereka menyampaikan lirik yang sarat dengan makna sosial dan politik, mendorong pendengar berfikir kritis tentang isu kemanusiaan dan keadilan.
Lebih daripada itu, ERK dihormati di kalangan karyawan dan pemuzik Indonesia atas ketajaman lirik dan integriti muzik mereka, sekaligus ditakuti oleh pihak pemerintah kerana keberanian mereka menyingkap realiti sosial melalui lagu. Salah satu lagu mereka, Seperti Rahim Ibu, bahkan dijadikan tema untuk program televisyen Mata Najwa, menunjukkan pengaruh dan pengiktirafan mereka yang melangkaui pentas muzik biasa.

Mata Najwa ialah program talk show terkenal di Indonesia yang dikendalikan oleh Najwa Shihab yang menumpukan isu sosial, politik, dan kemanusiaan, sering menampilkan wawancara mendalam dengan tokoh penting–sambil memberi ruang untuk analisis dan perbincangan kritis.
Lagu-lagu mereka memberi suara kepada yang bisu, menjadikan muzik sebagai medium empati dan refleksi. Tanpa menggurui, mereka mendidik pendengar tentang kehidupan, perjuangan, dan kesedaran sosial dengan cara yang puitis dan emosional. Konsistensi dan integriti seni ERK membuktikan bahawa muzik mampu menghidupkan nilai, prinsip, dan mesej yang melebihi hiburan semata. Mereka bukan sekadar band–mereka adalah cermin masyarakat dan suara perubahan.
Lagu-lagu Efek Rumah Kaca jauh lebih daripada sekadar lagu cinta; ia adalah suara kritis yang menyentuh pelbagai isu sosial dan politik. Dari Cinta Melulu yang menyindir industri muzik dengan lambakan lagu-lagu klise, hingga Desember yang merenungkan bencana dan kesedihan sosial. Setiap karya mereka penuh lapisan makna.
Jalang mengkritik sistem undang-undang tentang anti pornografi dan pornoaksi. Jatuh Cinta Itu Biasa Saja tentang bagaimana memaknai cinta dengan sederhana dan berpijak di dunia realiti, tanpa perlu euforia berlebihan. Belanja Sampai Mati merupakan sindiran terhadap gaya hidup yang konsumtif.
Muzik Efek Rumah Kaca tidak sekadar membuat kita rasa nyaman tetapi medium yang menghentak dasar fikir, membentuk kesedaran kemanusiaan, menggugah dan menginsafkan. Kita akan mempersoalkan eksistensi diri dan menyelak lapis makna kehidupan dari pelbagai perspektif.
Puas. Itulah yang saya rasakan malam itu. Disebalik segala kekurangan penganjuran, saya bersyukur kerana benar-benar menikmati persembahan ERK dengan seleksi lagunya yang menurut saya tersusun sempurna.
Usai acara, suami ajak bergambar berdua–tapi itu satu lagi momen yang ‘potong mood’. Tiada satu pun photobooth atau backdrop dengan poster acarasebagai latar untuk kenangan. Entah penganjur nak berjimat apa pun tak tau. Janganlah cakap terlepas pandang pula. Tak logik alasan tu. Terpaksa minta Ku Syafiq ambilkan gambar di depan bangunan; nasib baik ada arca warna warni sebagai background, jadi masih boleh bergaya bagaikan pelancong yang sedang bercuti. Harap selepas ini, kalau Arts of Speed mahu buat konsert lagi, jangan abaikan hal-hal penting sebegini. Jangan buat acara sekadar syok sendiri tanpa memikirkan pengalaman penonton.

Berjalan pulang beriringan dengan teman kami Roy dan anaknya Iman berusia 14 tahun. Mereka teruja menceritakan pengalaman berdiri di barisan depan sekali, kerana datang awal. Bila ditanya pada Iman apakah lagu kegemarannya, dia laungkan Kau dan Aku Menuju Ruang Hampa. Saya menepuk bahunya penuh teruja sambil lirik lagu tersebut menendang benak, bergema bertalu-talu. Sehingga saya sendiri tak sedar mula humming iramanya.
Hingga kau belah rongga dadaku
Mengganti isinya dengan batu
Hingga kau kunci rapat mulutku
Engkau dan aku bumi dan langit
Melihat senyuman Iman, rasa syukur membuncah dalam hati. Ternyata ibu bapa sebenarnya mampu membimbing anak-anak dengan pilihan bijaksana jika sedar peranan mereka. Hati kecil saya berbisik, bahawa masih ada cahaya untuk generasi akan datang–yang akan menelusuri muzik berkualiti, menikmatinya, dan benar-benar menghargainya.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
