MEREKA muncul pada 2011. Sebuah EP lima lagu jadi pertaruhan, bertajuk Bintang Biru Kristal Salju. Hanya lima lagu tapi durasinya lebih 30 minit. Trek terakhir, Revolusioner: Jilid 1 berdurasi 16 minit 2 saat.
2011 ialah tahun awal ledakan indie di arus perdana mula menguncup. Tapi Pitahati sempat menyelit. Bintang Biru Kristal Salju dipersembahkan dalam kaca televisyen, dalam program Muzik-Muzik.
Nama Pitahati mula disebut-sebut peminat muzik, khususnya mereka yang berminat dengan muzik alternatif serta menyimpan kekaguman pada era psikedelik 1970-an. Sebelum itu, mungkin, orang tak pernah terfikir mahu minta salinan Pink Floyd, The Doors atau Jimi Hendrix muncul di Malaysia pada era pasca-Y2K.
Tapi Pitahati datang membawa kemungkinan. Lebih baik lagi, mereka bukan salinan kosong. Dalam Pitahati meresap juga roh Kembara, Blues Gang serta perwira rock 70-an dan 80-an tempatan yang lain.
Tiada gamelan, tiada tanjak tapi orang ramai melihat Pitahati sebagai antara penjulang panji muzik Nusantara yang mendadak popular pada dekad 2010-an.
Pendahuluan ini menyorot sejarah Pitahati pada tahun-tahun awal kemunculan kerana mereka lahir ke dunia dengan identiti yang kuat. Ada tiga anak M. Nasir dalam kugiran ini tapi pada awal kemunculan, orang tak berbual tentang itu. Muzik mereka lebih besar berbanding jenama ‘anak M. Nasir’.
Ketika muzik independen menguncup, mereka merecup. Kini selepas 13 tahun, apa lagi yang mahu dicapai Pitahati?
Dulu lain, sekarang lain
Muzik progresif sering dikaitkan dengan permainan teknikal yang sukar ditiru mat rock gitar kapok di simpang jalan taman perumahan. Pitahati membina nama dengan reputasi sebegitu.
Muzik mereka teliti – segala hal diambil kira, terutamanya penggunaan efek yang tepat dan cukup, malah membawa amp sendiri ketika persembahan langsung.
Tapi kemunculan Sahabat sebagai lagu runut utama filem Terbaik Dari Langit merakyatkan mereka. Petikan gitar akustik yang ringkas ditemani vokal dan harmonika membolehkan lagu mereka didendang mudah orang biasa.
Dari progresif rumit kepada folk ringkas. Susah kugiran baharu nak main Hafiz Sufian di studio jamming suka-suka tapi tak apa, mereka boleh main Sahabat.
Namun, selepas penerbitan album Selamat Datang Ke Panggung Suara (2015), kembara muzik Pitahati jadi perlahan. Ada beberapa lagu tunggal diterbit sehinggalah tahun ini, mereka melancarkan lagu Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) yang diumum sebagai single dari album ketiga.
Saya mula perasan perubahan pada Pitahati ketika menonton persembahan mereka dalam Tamasya Anak Muda. Konteksnya, itu pertama kali saya tonton persembahan langsung mereka.
Sebagai peminat yang terlepas fasa kemuncak mereka, saya sedikit kecewa kerana Pitahati yang muncul malam itu bukan Pitahati yang intense, mendalam dan artistik. Saya mahu tonton Pitahati macam yang dalam video muzik Melayar, secara berdepan.
Tapi mereka tampil lebih bersahaja dan dalam banyak masa, kelakar. Begitu juga dengan pengalaman bertemu Ilham beberapa kali. Ada masa, apabila berborak hal serius, dia serius. Tapi sering juga dia buat lawak.
Biar saya jelaskan, tiada masalah untuk Pitahati berubah wajah. Ini pandangan peribadi. Hasrat peribadi saya yang terlepas fasa awal Pitahati. Ia tidak penting tapi ada kaitannya dengan apa yang mahu disampaikan nanti. Teruskan membaca.
Menjadi komedi
Judul Ana Yang Punya mungkin homaj kepada baris lirik Madu Tiga nyanyian Tan Sri P. Ramlee atau lagu Dunia Ana Yang Punya nyanyian S. Shamsudin, Aziz Sattar dan Dahlina Aziz. Kedua-duanya ada unsur komedi.
1 Ringgit 2 Ringgit pula mengingatkan kita pada lagu Gila Judi oleh M. Daud Kilau, juga ada unsur komedi.
Visual rasmi lagu itu juga sarat komedi. Ekspresi wajah dan pergerakan rambang oleh setiap anggota Pitahati buat orang tersenyum dan ketawa.
Yang tidak kelakar ialah isu yang dibawa liriknya. Ia kritikan kepada para hamba wang, baik si dewa atau dewi kayangan. Isu itu serius tapi dibawa dalam persembahan muzik yang mencuit.
Kita tak dapat Nafas, Bicara Dan Susunkata, Melayar atau Eternitas dari Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit). Pitahati datang membawa wajah dan sikap baharu.
Itu yang buat saya tertanya-tanya, adakah ini haluan Pitahati dalam album mereka nanti?
Saya sentiasa mengalu-alukan penerokaan haluan baharu oleh kugiran. Kalau itu yang mahu dibuat Pitahati, saya menanti dengan teruja.
Cuma, perlu diperhatikan beberapa perkara. Penerbitan lagu tunggal itu boleh menjadi penguji pasaran untuk Pitahati.
Dalam ruangan komen di Youtube, ada dua hal yang paling jelas. Satu, orang petik Riders On The Storm oleh The Doors. Kedua, orang sebut Kembara dan M. Nasir.
Kenapa dua hal ini penting?
Identiti Pitahati
Seperti yang disebut pada awal artikel, Pitahati muncul dengan identiti yang kuat. Status sebagai kugiran anak M. Nasir pun tidak begitu dipeduli sebab mereka datang membawa kekuatan sendiri.
Pitahati pada lima tahun awalnya tidak perlu bergantung kepada apa-apa – bukan nama syarikat rakaman mereka, bukan trend muzik independen. Mereka dikenali ramai atas kekuatan kaki sendiri.
Tapi untuk lagu Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit), orang mula petik nama The Doors, Kembara dan M. Nasir. Ini boleh jadi tanda kekuatan identiti mereka semakin terhakis.
Namun, ini penilaian pramatang sebab baru satu lagu. Penilaian menyeluruh hanya boleh dibuat apabila album ketiga mereka diterbitkan nanti.
Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) ialah lagu yang baik. Susah kita nak jumpa kelemahan ketara pada komposisi dan permainan instrumen Pitahati sebab dalam hal itu, mereka pakar.
Cuma kelemahan terbesarnya adalah dari segi identiti. Itu bukan lagu yang kuat untuk menggambarkan identiti dan prestij yang telah dibina Pitahati sejak 2011.
Saya mengharapkan lagu-lagu lain dalam album yang diterbitkan kelak mempunyai kekuatan identiti yang kukuh. Semoga makbul. Amin.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

