Mimpi, Ingatan & Kelangsungan
Pameran yang bakal diadakan di Galeri Rissim Contemporary ini akan mempertemukan kosmologi masyarakat Semai ke dalam ruangan seni kontemporari, bukan sebagai objek etnografi, tetapi sebagai pengetahuan hidup yang terus menelusuri perubahan zaman, sebelum bergerak ke Gwangju Biennale 2026.
Ada sesuatu yang menarik apabila cetusan idea tentang kerja dan projek seni tidak bermula dengan visual atau objek, tetapi dengan mimpi.
Bukan mimpi dalam pengertian aspirasi peribadi atau fantasi masa depan, tetapi mimpi sebagai bentuk pengetahuan, sesuatu yang boleh memberi petunjuk, membentuk keputusan dan menghubungkan manusia dengan jagat raya, juga pada alam nyata dan tidak nyata
Itulah titik berangkat Mimpi Jernang, sebuah projek seni dan media yang akan dipersembahkan dari 15 hingga 31 Ogos 2026 ini di Galeri Rissim Contemporary, Bangsar, Kuala Lumpur.
Dibangunkan bersama masyarakat Orang Asli Semai dari Pos Jernang, Sungkai, Perak, projek ini menempatkan pengalaman bermimpi sebagai gerbang kepada persoalan yang jauh lebih luas: bagaimana pengetahuan diwariskan?, bagaimana ingatan berubah? dan bagaimana sebuah komuniti membayangkan kelangsungan hidupnya apabila tanah, ekonomi dan struktur sosial terus mengalami tekanan?

Di sinilah Mimpi Jernang menjadi lebih daripada sebuah pameran bertemakan budaya. Ia merupakan usaha untuk melihat semula hubungan antara seni dan pengetahuan pribumi, sambil mempertanyakan cara sesuatu pengalaman komuniti diterjemahkan apabila ia memasuki ruang galeri seni kontemporari.
Dalam banyak pembentangan seni kontemporari tentang masyarakat pribumi, terdapat risiko bahawa pengetahuan ‘Indigenous’ di’taksidermi’kan menjadi tradisi, sesuatu yang eksotik, lampau dan boleh dipamerkan.
Mimpi Jernang mengambil jalan yang lebih rumit. Projek ini tidak cuba menjadikan mimpi sebagai simbol eksotik tentang “dunia ghaib” semata-mata, sebaliknya menempatkannya sebagai sistem pengetahuan yang masih mempunyai fungsi dalam kehidupan seharian.
Kajian mengenai masyarakat Semai sendiri menunjukkan bahawa mitos dan cerita lisan mempunyai kedudukan penting dalam pembentukan kosmologi, identiti serta hubungan masyarakat dengan dunia luar.

Dalam tradisi kebijaksanaan masyarakat Semai, cerita bukan semata-mata bahan warisan; ia merupakan cara memahami sejarah dan mengatur hubungan sosial.
Penyelidikan kontemporari mengenai kosmologi Semai pula menekankan hubungan antara manusia, landskap dan entiti lebih-daripada-manusia sebagai sebahagian daripada sistem pengetahuan yang saling berkait.
Maka, apabila projek Mimpi Jernang memilih mimpi sebagai subjek, ia sebenarnya sedang memasuki sebuah wilayah epistemologi, persoalan tentang apakah yang dianggap sebagai pengetahuan, siapa yang berhak menentukannya dan bagaimana pengetahuan tersebut dapat bertahan.

Dalam Meditations on First Philosophy, René Descartes berhujah bahawa seseorang tidak boleh mempercayai deria mereka sepenuhnya kerana deria bukanlah sumber yang boleh dipercayai untuk memperoleh pengetahuan tentang dunia.
Salah satu hujah utama Descartes dalam menyokong pendirian ini ialah penjelasannya tentang mimpi, iaitu keadaan apabila seseorang berasa seolah-olah dirinya sedang berjaga, sedangkan sebenarnya dia sedang bermimpi.
Namun begitu, masyarakat Pribumi Amerika mempunyai pandangan yang berbeza terhadap mimpi, mereka berhujah bahawa pengalaman yang dialami dalam mimpi adalah nyata dan merupakan salah satu sumber pengetahuan tentang dunia sebenar.
Bagi mereka, mimpi merupakan sumber epistemologi dan juga satu cara untuk memperoleh serta memahami identiti diri. Atas sebab ini, mereka memandang mimpi atau penglihatan dalam mimpi dengan serius kerana pengalaman tersebut boleh memberikan maklumat yang penting.
Maklumat yang diterima melalui mimpi boleh memberikan seseorang suatu kuasa yang dianugerahkan oleh roh, atau menunjukkan arah dan jalan yang wajar diambil dalam kehidupan.
Secara umumnya, masyarakat Pribumi Amerika memperoleh pengetahuan dan memahami perkara-perkara tentang dunia nyata berdasarkan maklumat yang mereka peroleh daripada dunia mimpi. Oleh itu, mimpi merupakan satu komponen penting dalam kehidupan seharian mereka (Native American Epistemology Through Dreams oleh Joel Alvare)
Sebuah komuniti di Amazon Peru yang dikenali sebagai Sonenekuiñaji pula datang bersama teori mimpi mereka yang unik. Sonenekuiñaji merupakan kelompok Ese Eja yang yang mendiami kawasan anak sungai Madre de Dios di Peru dan Bolivia.
Sonenekuiñaji mempunyai hubungan yang sangat istimewa dengan mimpi, yang berfungsi sebagai panduan dalam kehidupan seharian mereka serta memberikan pemahaman tentang ‘perspectivism-multinaturalism‘, mereka menjelaskan konsep ini sebagai eshawa, yang merujuk kepada pengaburan sempadan antara realiti bermimpi dengan realiti ketika berjaga.
Konsep tersebut juga memberikan haiwan dan semua makhluk bernyawa suatu dimensi sebagai persona, yang membolehkan identiti manusia merentasi pelbagai bentuk realiti dan memperoleh pengetahuan melalui naratif mimpi mereka. – Peluso 2004, 109 (Indigenous Dreams: Prophetic Nature, Spirituality, and Survivance oleh Alessandro Casale ’19)
Dua makna dalam sebuah mimpi masyarakat Semai

Pertama, mimpi sebagai panduan. Ia berakar dalam kosmologi masyarakat Semai dan pengalaman hidup yang diwarisi. Mimpi bukan sekadar pengalaman psikologi individu yang berlaku ketika tidur, tetapi sebahagian daripada hubungan yang lebih luas antara manusia, alam dan perkara perkara ghaib.
Kedua, mimpi sebagai harapan. Dalam pengertian ini, mimpi merujuk kepada aspirasi untuk terus hidup, mengekalkan hubungan dengan tanah dan memastikan kesinambungan generasi.
Pertemuan antara kedua-dua pengertian inilah yang menjadi ruang kritikal projek tersebut.
Persoalannya bukan lagi sekadar “apakah yang dimimpikan?”, tetapi apakah yang diperlukan untuk terus bermimpi apabila dunia tempat seseorang hidup sedang berubah?
Pertanyaan ini mempunyai gemaan yang lebih luas dalam seni kontemporari hari ini. Di peringkat antarabangsa, semakin banyak karya Indigenous menggunakan mimpi, ingatan, ritual, bahasa dan hubungan dengan tanah bukan sebagai bahan nostalgia, tetapi sebagai cara menghasilkan pengetahuan alternatif.
Hal yang sama dapat dilihat dalam amalan Suzanne Kite (Oglála Lakȟóta) seorang seniman, komposer dan sarjana dengan karyanya menggabungkan sistem pengetahuan Lakȟóta dengan persembahan, bunyi, arca dan media pengkomputeran yang memusatkan seni konseptual dan penyelidikan akademiknya tentang mimpi sebagai kaedah utama penghasilan pengetahuan, menterjemahkan kosmologi Lakȟóta, semiotik dan jurnal mimpi jangka panjang ke dalam sistem AI fizikal, digital dan generatif.
Dalam projeknya, mimpi menjadi satu cara untuk membayangkan masa depan komuniti, bukannya sekadar representasi pengalaman peribadi.
Keselarian ini penting, bukan kerana Mimpi Jernang perlu dibaca melalui kerangka seni Indigenous dari Amerika Utara atau Australia, tetapi kerana ia menunjukkan satu kecenderungan yang lebih luas: seni kontemporari Indigenous sedang mencabar idea bahawa pengetahuan moden hanya datang melalui institusi akademik, sains atau arkib rasmi.
Mimpi, cerita, tubuh, tanah dan ingatan juga boleh menjadi arkib.
Apa yang tinggal apabila sesuatu mula hilang?
Mimpi Jernang dibangunkan melalui penyelidikan lapangan dan penglibatan berterusan antara pengamal seni, media dan masyarakat di tiga kampung: Kampung Sat, Kampung Kejau dan Kampung Ras.
Temu bual merentasi generasi menjadi sebahagian penting daripada proses tersebut. Namun, projek ini tidak menggunakan temu bual semata-mata untuk menghasilkan sebuah naratif yang lancar dan mudah difahami.

Sebaliknya, ia maraikan keretakan.
Ada catatan yang terperinci, ada yang instruktif, ada yang menunjukkan perkara yang semakin berkurangan, ingatan yang tidak lagi lengkap, pengetahuan yang tidak lagi diwariskan dengan cara yang sama atau pengalaman yang berubah apabila generasi baharu berhadapan dengan keadaan sosial dan ekonomi yang berbeza.
Keputusan untuk mengekalkan perbezaan ini menjadikan Mimpi Jernang menarik secara kuratorial.
Ia tidak cuba menghasilkan satu versi “tulen” tentang budaya masyarakat Semai.
Dalam banyak projek dokumentasi budaya, terdapat kecenderungan untuk menyusun bahan lapangan menjadi naratif yang kemas: tradisi > ancaman > kehilangan > pemulihan.
Beberapa tahun kebelakangan ini, seni kontemporari semakin banyak bergerak ke arah penyelidikan sosial, dokumentasi komuniti dan amalan kolaboratif.
Namun, pendekatan sebegini turut membawa persoalan etika: bilakah dokumentasi menjadi eksploitasi? Bilakah pengalaman sesuatu komuniti mula dipasarkan sebagai estetika? Dan sejauh mana seniman atau institusi mampu melepaskan kawalan terhadap cerita yang mereka bantu bawa ke ruang pameran?
Mimpi Jernang menarik kerana ia sedar terhadap persoalan tersebut.

Pernyataan projek dengan jelas menolak dua kemungkinan: ia bukan rekod etnografi dan bukan pula ilustrasi kepada kehidupan Semai. Sebaliknya, ia berusaha membina bentuk arkib yang lain, sebuah ruang pertemuan antara pengalaman, ingatan, seni dan penyelidikan.
Dalam hal ini, pameran tersebut lebih produktif apabila dilihat sebagai platform perundingan daripada sebuah objek budaya yang siap dan tertutup.
Ia membenarkan percanggahan kekal sebagai percanggahan.
Apa yang masih diketahui berdiri di sebelah apa yang telah hilang. Apa yang diwarisi berdiri di sebelah apa yang sedang berubah. Mimpi sebagai petunjuk berdiri di sebelah mimpi sebagai harapan.
Struktur sebegini mudah difahami tetapi sering menghapuskan kerumitan pengalaman sebenar komuniti.
Mimpi Jernang memilih untuk tidak menyelesaikan perbezaan tersebut.
Dalam pengertian ini, projek ini lebih dekat kepada gagasan arkib sebagai sesuatu yang hidup dan tidak stabil. Beberapa pembentangan seni kontemporari mutakhir turut menunjukkan bagaimana bahan arkib boleh berfungsi bukan sekadar sebagai bukti sejarah, tetapi sebagai ruang untuk menghubungkan memori, generasi dan pengalaman yang masih berlangsung.
Mimpi Jernang mengembangkan gagasan tersebut melalui konteks Masyarakat Semai, rakaman lapangan, transkrip temu bual, lakaran dan dokumentasi tidak ditempatkan hanya sebagai bahan sokongan kepada karya, kesemuanya menjadi sebahagian daripada karya dan membentuk sebuah arkib tandingan (counter-archive).

Istilah ini penting.
Arkib tandingan tidak semestinya bermaksud menggantikan sejarah rasmi dengan sejarah alternatif. Sebaliknya, ia membuka ruang bagi suara dan bentuk ingatan yang mungkin tidak pernah mendapat tempat dalam sistem dokumentasi dominan.
Dengan demikian, suara komuniti tidak sekadar menjadi “sumber” untuk karya seniman. Ia menjadi sebahagian daripada struktur pengetahuan yang membentuk pameran itu sendiri.
Pos Jernang dan politik tanah
Mimpi tidak pernah benar-benar terpisah daripada materialiti kehidupan.
Pos Jernang membawa sejarah yang panjang tentang tanah, penempatan dan perjuangan mempertahankan ruang hidup.
Ditubuhkan sebagai penempatan di daerah Batang Padang pada 1940-an dan kemudiannya digabungkan ke dalam Skim Penempatan Semula, masyarakat di sini telah berhadapan dengan persoalan tanah adat dan pembalakan sejak dekad 1970-an.
Maka, apabila Mimpi Jernang berbicara tentang kelangsungan hidup, ia bukan metafora yang abstrak. Ia berkait secara langsung dengan tanah.
Tanah ialah tempat tinggal, sumber kehidupan, ruang memori dan asas pewarisan. Apabila tanah berubah, bukan sahaja ekonomi berubah. Bahasa, cerita, adat, hubungan sosial dan cara manusia memahami dunia juga boleh mengalami perubahan.
Dalam hubungan ini, mimpi sebagai panduan dan mimpi sebagai harapan bertemu pada satu titik yang sama: masa hadapan.
Mimpi Jernang tidak menawarkan penyelesaian politik terhadap isu tanah, sebaliknya, ia melakukan sesuatu yang lebih halus: ia membolehkan kita mendengar bagaimana persoalan kelangsungan hidup dirasai dari dalam komuniti.

Pendekatan seperti ini selari dengan pergeseran penting dalam seni kontemporari Indigenous antarabangsa, apabila karya semakin dilihat sebagai penghasilan hubungan antara negara, komuniti, generasi dan pengetahuan, bukan sekadar penghasilan objek seni semata-mata.
Pembentangan seni oleh The APY Art Centre Collective The Anangu Pitjantjatjara Yankunytjatjara (APYACC), yang berpusat di Thebarton, Adelaide, Australia, sekumpulan pusat seni milik dan tadbir urus Orang Asli yang bekerjasama dalam projek seni inovatif dan inisiatif perniagaan menekankan hubungan antara karya, negara komuniti dan pengetahuan budaya sebagai sesuatu yang terus berkembang, bukan warisan yang dipegunkan.
Daripada dokumentasi kepada pengalaman
Dari segi medium, Mimpi Jernang bergerak merentasi video, komposisi bunyi, cyanotype dan instalasi. Pilihan medium ini penting kerana pengalaman mimpi sendiri sukar diterjemahkan melalui satu bentuk representasi. Mimpi bukan hanya imej; ia memiliki bunyi, tempo, suasana, ruang, ingatan dan tubuh.
Oleh itu, penggunaan bunyi dalam projek ini khususnya membuka satu dimensi yang tidak dapat diberikan oleh imej semata-mata. Bunyi boleh menjadi tidak kelihatan tetapi hadir secara fizikal. Ia memenuhi ruang, bergerak melalui tubuh dan mencipta pengalaman yang tidak semestinya mempunyai permulaan atau pengakhiran yang jelas.
Persembahan bunyi secara langsung oleh Mrizalmustbedestroyed pada hari pembukaan, berserta pelancaran album runut bunyi Mimpi Jernang itu nanti akan memperluaskan lagi pendekatan ini.
Pameran tidak berakhir pada objek yang digantung di dinding; ia mempunyai dimensi temporal. Pengunjung bukan sekadar dapat melihat dokumentasi tentang mimpi, tetapi bersemuka dengan bunyi, ruang dan bahan yang mengajak mereka mengalami pameran secara lebih perlahan.

Dalam hal ini, projek tersebut berkongsi kecenderungan dengan beberapa pendekatan seni kontemporari Indigenous yang menggunakan muzik, persembahan dan bentuk visual secara silang disiplin untuk menghasilkan pengalaman kolektif.
Semiotik Lakȟóta karya Suzanne Kite berpusat pada bermimpi sebagai kaedah penghasilan pengetahuan, Kite membangunkan sistem simbolik yang diambil daripada kosmologi Lakȟóta dan penyelidikan mimpi jangka panjang, menterjemahkannya ke dalam bentuk visual, performatif dan pengiraan yang kemudiannya ditafsir semula melalui improvisasi muzik.
Perbandingan ini membuka satu kemungkinan pembacaan terhadap Mimpi Jernang: bunyi bukan sekadar pelengkap kepada karya visual, tetapi satu bentuk penyimpanan dan penghantaran pengetahuan.
Menolak pandangan Etnografi
Salah satu kenyataan paling penting dalam projek ini ialah bahan yang dipamerkan berfungsi sebagai arkib tandingan yang apabila dihimpunkan, bahan-bahan ini merakam naratif masyarakat Semai dalam bentuk yang bukan rekod etnografi mahupun ilustrasi.
Pemisahan ini sangat signifikan.

Apabila karya yang berkaitan dengan masyarakat pribumi memasuki ruang galeri, terdapat risiko bahawa komuniti tersebut akan dilihat sebagai objek kajian.
Kamera menjadi alat pemerhatian; temu bual menjadi data; artefak menjadi bukti; dan seniman menjadi pihak yang menterjemahkan semuanya kepada khalayak.
Mimpi Jernang cuba mengganggu struktur tersebut melalui penglibatan berterusan dengan komuniti dan pengumpulan bahan merentasi generasi.
Ini bukan bermaksud persoalan representasi telah selesai. Sebaliknya, projek ini menjadi lebih menarik apabila kita melihatnya sebagai ruang rundingan, antara pengalaman komuniti dan bahasa seni kontemporari, antara pengetahuan lisan dan arkib, antara perkara yang masih diingati dengan perkara yang mula hilang.
Pendekatan sedemikian penting kerana seni yang bekerja dengan komuniti tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan “keaslian” representasinya. Yang lebih penting ialah hubungan yang dibina, proses penghasilan pengetahuan dan siapa yang mempunyai suara dalam menentukan bagaimana cerita itu dikongsi.

Mimpi sebagai bentuk masa depan
Mimpi Jernang mengajak kita memikirkan semula maksud “masa depan”.
Dalam wacana pembangunan moden, masa depan biasanya dibayangkan melalui pertumbuhan ekonomi, teknologi, infrastruktur dan mobiliti atau sesuatu yang cenderung ke arah materi.
Tetapi bagi komuniti yang berakar pada tanah, masa depan mempunyai ukuran yang berbeza. Ia mungkin bermaksud tanah yang masih boleh diwarisi, bahasa yang masih boleh difahami, cerita yang masih boleh diceritakan, hubungan antara manusia dan alam yang masih mempunyai makna dan, dan mungkin juga, kemampuan untuk terus bermimpi.
Di sini Mimpi Jernang memperoleh kekuatan politiknya. Mimpi bukan pelarian daripada realiti. Ia merupakan cara untuk membaca realiti dan membayangkan kemungkinan yang lain.

Dalam beberapa wacana seni Indigenous kontemporari, “dreaming” dan hubungan dengan tanah semakin dilihat sebagai sistem pengetahuan yang mencabar pemisahan moden antara alam, budaya dan manusia.
Pameran berkumpulan seperti ‘Knowing Otherwise’ yang diadakan di Monash University Museum of Art (MUMA), Melbourne, Australia misalnya, secara jelas menempatkan pengetahuan spiritual, cerita First Nations dan bentuk pengetahuan yang terjelma dalam tubuh (embodied) sebagai sistem hidup yang tidak wajar dianggap sebagai sesuatu yang marginal atau esoterik.
Mimpi Jernang membawa persoalan tersebut dalam hubunganya dengan masyarakat Semai, yang dipertaruhkan bukan sekadar bagaimana sebuah komuniti mengingati masa lalu, tetapi bagaimana ia menentukan apa yang masih bernilai untuk dibawa ke hadapan.
Dari Kuala Lumpur ke Gwangju
Skala projek ini juga dijangka akan berkembang merentasi ruang Galeri Rissim Contemporary, selepas dipersembahkan di Kuala Lumpur, Mimpi Jernang bakal bergerak ke Korea Selatan untuk dipersembahkan dalam Gwangju Biennale 2026, sebagai sebahagian daripada Stateless Mind Pavilion, yang dijadualkan berlangsung dari September hingga November 2026. Perpindahan konteks ini berpotensi membuka ruang serta pembacaan baharu terhadap projek tersebut.
Apa yang bermula daripada tiga kampung di Pos Jernang kini memasuki salah satu platform seni kontemporari antarabangsa yang penting di Asia. Pergerakan ini membuka persoalan menarik tentang bagaimana pengetahuan tempatan diterjemahkan apabila memasuki ruang antarabangsa.

Kekuatan projek ini bukan terletak pada skalanya, sebaliknya pada keupayaannya membawa cerita yang sangat setempat tanpa menghapuskan kekhususan asalnya.
Dimasa dunia seni antarabangsa sering mencari naratif tentang identiti, pribumi, ekologi dan dekolonisasi, terdapat risiko bahawa cerita tempatan akan disederhanakan agar mudah difahami oleh khalayak antarabangsa. Mimpi Jernang mempunyai peluang untuk menentang kecenderungan itu, dengan membiarkan kerumitan, ketidakpastian dan suara yang tidak lengkap terus berada di dalam sebuah karya yang berfungsi sebagai arkib tandingan.
Apa yang masih boleh diwariskan
Akhirnya, Mimpi Jernang bukan semata-mata tentang apa yang berlaku ketika manusia tidur.
Ia adalah sebuah projek tentang bagaimana sebuah komuniti membayangkan masa depan ketika hubungan dengan tanah, warisan dan sistem pengetahuan sedang berubah. Mimpi menjadi bahasa untuk memikirkan kelangsungan, bukan sebagai nostalgia terhadap masa lalu, tetapi sebagai usaha memahami apa yang masih mungkin diwariskan.
Di sini, mimpi seperti pepohon yang bergerak dalam dua arah pada waktu yang sama.
Ia melihat ke belakang, kepada pengetahuan yang telah lama hidup dalam komuniti. Pada masa yang sama, ia melihat ke hadapan, kepada kemungkinan sebuah budaya terus bertahan dalam dunia yang berubah.

Pertemuan kedua-dua arah inilah yang menjadikan Mimpi Jernang relevan sebagai projek seni kontemporari. Ia tidak meminta penonton sekadar memahami masyarakat Semai, tetapi mengajak mereka memikirkan semula bagaimana pengetahuan dibentuk, bagaimana sejarah disimpan dan bagaimana masa depan dibayangkan.
Lebih penting, projek ini mengingatkan bahawa tidak semua pengetahuan hadir dalam bentuk akademik seperti buku, dokumen atau institusi. Ada yang diwariskan melalui cerita. Ada melalui hubungan dengan tanah. Ada melalui bunyi dan ingatan. Dan ada yang datang ketika seseorang sedang bermimpi.
Di ruangan Galeri Rissim Contemporary, mimpi diberi ruang untuk menjadi arkib tandingan, dan arkib tersebut diberi kemungkinan untuk menjadi sebuah harapan.
Info Pameran ‘Mimpi Jernang’ dari 15 – 31 Ogos 2026
Lokasi: Rissim Contemporary, Bangsar, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 12 tengah hari – 6 petang (dibuka pada hujung minggu)
Majlis Pembukaan: Sabtu, 15 Ogos 2026 – 5 petang
Persembahan Bunyi Secara Langsung oleh Mrizalmustbedestroyed dan Pelancaran Album Runut Bunyi Mimpi Jernang: 6 – 7 petang:
Pengamal Seni dan Media Projek Mimpi Jernang:
Saiful Razman, Mrizalmustbedestroyed, Edroger Rosili, Zulfadly Helmy, Faizal Wahab, Aiman Anaqi, Rashid Nor dan Nizar Sulaiman, bersama komuniti Orang Asli Kampung Sat, Kampung Kejau dan Kampung Ras.

Kredit:
Cerita Asal: Yahya Torek
Penerbit: Saiful Razman
Kurator: Azzad Diah
Pengurus Projek: Low Pey Sien
Perbendaharaan: Nadiya Nisaa
Video: Ibrahim Harris
Dokumentasi Foto: Puah Chin Kok
Penulis: Ahmad Kamal Abu Bakar
Pereka: Faizal Wahab

Sokongan:
MOTAC Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2026 dan (DKP) PORT Ipoh
Rakan lokasi:
Rissim Contemporary
Penyokong teknikal:
The Japan Foundation, Kuala Lumpur
